Home Novel Cinta Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
3/2/2022 09:59:01
7,975
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

“Anne, kau dengan Abang Zam tu rapat semacam je. Ada apa-apa ke?”

Suraya terbatuk kecil. Kerongkong terasa perit. Mujurlah minuman kopi ais itu belum sempat disedut. Kalau tak malanglah nasib orang yang berada dihadapannya ketika itu. Sekotak tisu yang berada di atas meja dicapai. Satu jelingan tajam ke arah dua orang lelaki dihadapannya dilontarkan. Aidil yang duduk disebelah Hadi hanya tersengih. Tiada langsung riak bersalah diwajah mereka berdua. Bengang.

"Korang berdua ni masuk ofis untuk jadi kaki bawang ke?" soalnya bermodalkan wajah yang sengaja dibuat garang. Kedua pemuda itu tergeleng-geleng.

"Habis tu?"

"Tak adalah. Abang Zam tu sikit-sikit mintak tolong kau je. Cara cakap dengan kau pun lain, lah. Kitorang yang duduk semeja ni meremang bulu tengkuk dengar, tau." tutur Hadi bersahaja. Suraya membulatkan mata. Aidil sudah ketawa terbahak-bahak hingga meraih perhatian seorang dua pengunjung diwarung. Warung itu hanya terletak di seberang bangunan pejabat. Dia duduk termenung. Memikirkan rasional dibalik kata-kata Hadi.

"Tapi, aku rasa biasa je." bela Suraya. Tidak membela Zamri, tetapi dirinya sendiri.

"Tulah kau. Bila dah lama-lama baru nak perasan. Masa tu dah terlambat. Orang tu dah jauh angau."

"Hisy, sudahlah. Tak nak aku dengar cerita macam ni lagi. Geli." tepisnya dengan niat supaya kedua pemuda itu mengubah topik perbualan.

"Kitorang tak cerita. Kitorang bagitahu perkara sebenar. Baik kau hati-hati." sampuk Aidil sekadar memberi peringatan. Cepat-cepat dia menggelengkan kepala.

"Dah dah..," putusnya.

"Hari ni korang makanlah apa yang korang nak. Aku belanja." ujar Suraya lagi membuatkan kedua-duanya benar-benar melupakan topik yang baru diutarakan.

"Serius?"

"Alright!"

Hadi dan Aidil sama-sama tersengih gembira.

"Dah kenapa?" Tanya Hadi masih kurang percaya. Padahal yang dicanang oleh Suraya itu hanyalah makan percuma.

"Alah, korang kan senior aku dekat ofis. Banyak tolong, beri tunjuk ajar.. Semua tulah. Terima kasih banyak-banyak, eh." ucapnya dalam rona kemerahan. Hadi dan Aidil berkongsi rasa bangga. Mempunyai seorang junior yang mengenang jasa. Aidil menjadi orang pertama yang bangkit menuju ke sebuah meja buffet untuk mengambil makanan kemudian, Hadi pula. Dia pula hanya menjamah dua keping sandwich sahaja pada tengah hari itu kerana sarapan paginya adalah nasi lemak sotong dengan kuantiti yang agak lebih dari biasa. Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba aje makcik warung buat acara sambil membeli dapat nasi lebih. Terpaksalah dia terima alang-alang sudah terbiasa membeli dengan makcik diwarung yang berdekatan dengan stesen LRT itu.

"Eh, Abang Zam! Jom makan sama. Anne belanja." seru Hadi kepada Zamri yang tiba-tiba muncul. Suraya pura-pura tidak mendengar. Tanpa sebarang komen lelaki itu terus sahaja mengambil makanan dan duduk disebelahnya. Baik Hadi mahupun Aidil serentak terbatuk kecil.

Sengajalah tu!

Suraya merenung tajam. Kedua-duanya buat selamba. Sesekali mereka berdua memberi isyarat melalui mulut dan mata kepadanya. Zamri yang sedang leka menjamah makanan langsung tidak menyedari keadaan itu. Rimas dengan serangan psikologi itu dia mengeluarkan telefon pintar. Perhatiannya kini tertumpu kepada Candy Crush dan bukan lagi dua orang papparazi di hadapannya itu.

Kembali ke pejabat, dia mencapai beg laptop dan bergegas mengikuti langkah Zamri. Kata Zamri, mereka berdua perlu menghadiri sebuah mesyuarat di Batu Tiga. Meski tiada klu yang diberi Suraya mengikut sahaja.

"Waktu Anne mula-mula masuk kerja dulu, abang fikir cukup bulan mesti Anne hantar resign letter. Tapi abang silap. Anne ni boleh tahan mental dengan fizikalnya.”

Zamri memecahkan kesunyian yang melanda di antara mereka sejak pacuan empat roda itu meninggalkan syarikat.

'Jadi, betullah aku kena ragging?'

Bibir menguntum senyuman kecil. Melindungi prasangka yang tiba-tiba muncul.

“Itulah. Beauty and brain seiring…”

Sengaja dia membuat jenaka bagi menutup rapat perasaannya.

'Masuk bakul angkat sendiri. Gasaklah.'

Terdengar Zamri tergelak kecil. Lelaki itu duduk bersandar berlunjur kaki dengan kedua belah tangan berpeluk tubuh. Sepasang cermin mata hitam melekap diwajah. Kesunyian kembali menemani mereka berdua. Hanya suara DJ radio berkumandang. Dia memandu ke arah Shah Alam sambil menjamu mata menyaksikan pemandangan kesibukan kota. Zamri memberi arahan supaya kelajuan yang dicapai cukup sekadar sembilan puluh kilometer sejam. Nampaknya mereka tidak tergesa-gesa untuk tiba ke destinasi. Stereng dikawal penuh cermat dan berhati-hati mengikut rentak kenderaan yang bersimpang-siur. Sesekali sahaja dia memotong kenderaan yang lain apabila dirasakan kelajuan yang dibawa terlalu perlahan. Jalan yang padat dengan kenderaan sudah menjadi perkara biasa bagi dirinya. Awal-awal dahulu ketika tiba dikotaraya ini, tercetus difikiran betapa dia tidak selesa dengan panorama itu. Belum ditambah dengan pencemaran dan udara yang membahang. Kesemuanya menyelinap sebagai satu entiti yang tidak enak baginya. Akhirnya, setelah saban waktu melalui fenomena itu, dia menjadi terbiasa. Menjadilah dirinya sebahagian perantau yang berhijrah ke kota demi mencari rezeki. Ketika tiba di Batu Tiga, kenderaan yang dipandu keluar dari Lebuhraya Persekutuan memasuki daerah perindustrian yang padat dengan bangunan-bangunan mega pula. Kontena Nasional dilewati sebelum kenderaan memasuki sebuah kawasan berpagar yang dikawal ketat oleh pengawal keselamatan. Tiada bicara yang keluar dari mereka berdua. Tatkala turun dari kenderaan dan menuju ke pintu utama bangunan itu pun masing-masing masih menyepikan diri. Selepas Zamri mendaftarkan kehadiran mereka dan memperoleh pas lawatan, barulah lelaki itu membuka mulut.

"Sebenarnya Abang Zam sorang je yang patut pergi. Tapi, entah macam mana last minute call dari Mr. Lee, Anne pun kena dibawa sekali." cerita Zamri yang sesekali melontar pandangan ke belakang. Tangga kecemasan digunakan oleh mereka untuk naik ke tingkat satu.

"Kena? Kenapa kena bawak saya?" Soal Suraya hairan. Sebagaimana Zamri berasa pelik, dia apatah lagi.

"Entah. Tak perasan pulak abang nama Anne ada dalam list email."

Makin menjadi-jadi teka-teki yang bermain difikiran. Malah terpukul kerana sedar akan maksud Zamri itu sebentar tadi. Siapalah dirinya jika mahu dibandingkan untuk duduk semeja bermesyuarat bersama-sama mereka yang terpilih itu. Antah berkumpul sama antah, beras bersama beras. Mujurlah Zamri berjalan mendahului dihadapan. Tidaklah terlihat perubahan riak wajahnya yang tidak sengaja mendung itu. Seakan sudah mengetahui selok-belok tempat itu, Zamri terus mengambil laluan yang membawa mereka melewati suatu lorong yang memperlihatkan ruangan pekerja yang sedang sibuk dibalik dinding cermin. Dia terpempan sebentar. Disana sini dipenuhi dengan skrin. Beberapa buah yang bersaiz besar melekap pada dinding. Manakala disetiap meja tidak satu pasti dua buah desktop yang memaparkan peta, data dan pelbagai nilai bacaan yang kurang difahami olehnya sendiri. Ketika tiba dibilik mesyuarat, terdapat dua orang lelaki sedang tekun menghadap laptop. Sibuk benar hinggakan kedatangan mereka berdua tidak disedari. Zamri pura-pura batuk kecil bagi menarik perhatian mereka berdua. Helahnya menjadi.

“Anne, kenalkan Azlan dan Kit, NOC engineer." ucap Zamri. Jari telunjuknya menunjuk ke arah seorang demi seorang lelaki yang diperkenalkan. Suraya hanya mampu tersenyum kelat.

"Encik Musa dan Josh mana?"

Zamri bersuara lagi. Dia pula tidak berbunyi. Hanya diam mengekor gerakan Zamri yang menarik kerusi untuk duduk.

"Belum sampai lagi. Sekejap lagi, kot."

Salah seorang dari lelaki itu berkata-kata.

"Erm, you anak Che Nor, ke?"

Suraya mengangkat kepala. Tiga pasang mata memandang namun hanya sepasang yang melekat dimatanya ketika ini. Sedikit kerutan didahi terukir.

"Azlan, sepupu Hanis."

Lelaki itu mengingatkan. Terkebil-kebil buat seketika sebelum Suraya menutup mulut dengan tangannya. Dia mengangguk beberapa kali.

"Sorry, tak perasan." ucapnya malu-malu kucing. Apa tidaknya, perbualan kecil itu tiba-tiba sahaja membuatkan dirinya menjadi perhatian.

"Oh, kalau dah kenal tu baguslah." celah Zamri menamatkan terus perbualan yang tiada lagi sambungan. Seperti yang dikatakan memang benar Encik Musa dan Josh tiba tidak lama kemudian. Dia mengenali mereka pun setelah dirisik dengan Zamri. Tetapi, mereka tidak berdua. Sebaliknya bertiga. Di tengah mereka berdua, Dr. Adrian hadir dengan wajah yang sentiasa cool itu. Encik Musa dan Josh kelihatan sebaya dalam usia lewat empat puluhan. Kedua-duanya tidak henti berbual. Kadangkala kedengaran tawa besar. Entah apa yang mereka bualkan hingga ketika duduk pun perbualan itu masih rancak diteruskan. Yang peliknya perbualan itu seakan dikongsi sesama mereka berdua sahaja. Dr. Adrian seakan tidak berminat untuk ikut mencelah. Hanya mendiamkan diri. Ketika Dr. Adrian mengambil tempat duduk yang bertentangan dengannya dimeja bulat itu, lirikan lelaki itu jatuh kepadanya. Suraya terus menundukkan kepala. Kecut nak menunjukkan wajah selepas kata-kata berani mati yang dilemparkan kepada lelaki itu tempoh hari. Itulah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata terpaksalah dia menghadap akibatnya. Tetapi, tidak pula dia menerima sebarang tindakan setelah mengecam Dr. Adrian tempoh hari.

"Alright.." tutur Encik Musa memulakan bicara dengan niat menarik perhatian kesemua yang ada.

"Let's start the meeting.. But, wait a minute. Kenapa you yang ada, Zamri?" Tanya Encik Musa setelah menyedari anggota mesyuarat yang hadir pada hari itu agak ganjil.

"I requested him." ucap Dr. Adrian sebelum Zamri sempat menjawab.

"And her?" Soal Josh dengan jari telunjuk menunjuk ke arah Suraya seperti seorang pesalah kena tuduh. Kesemua mata tertumpu kepada dirinya kini. Entahkan berapa tebal pipinya saat itu kerana dia sendiri tidak mempunyai jawapan akan keperluannya berada di dalam mesyuarat itu. Tanpa dia sedari, rayuan dalam diam itu dihantar kepada Dr. Adrian melalui pandangan mata yang terarah kepada lelaki itu seorang.

"Suraya Anne. She's the night shift back up." Tengkuk Suraya sedikit menegang.

'Apa? Shif malam? Back up?'

Dia menoleh pula ke arah Zamri meminta pertolongan tetapi lelaki itu sekadar mengangguk tanda jelas terhadap situasi ketika itu. Jadi, dia seorang ajelah yang tak faham?

"Okay, then. Selesai. So, our project as per requested by Dr. Adrian adalah untuk NOC sending back up connectivity to all his special site if the site goes down until connectivity restore. Dan kalau pre-phase ini berjaya kita akan lanjutkan to entire region..."

Ada di antara minit mesyuarat itu tidak difahami olehnya namun dia tetap gigih menyalin nota-nota untuk simpanan peribadinya. Berada di Network Operating Centre membuatkan Suraya kagum dengan semangat mereka yang tidak kenal erti lelah dalam memerhati, memeriksa dan menyelia rangkaian jaringan perhubungan bagi memastikan network berjalan dengan lancar dan mengikuti proses yang sepatutnya. Kesemua itu harus dilakukan demi keselesaan pengguna. Kerja yang memerlukan 24 jam komitmen itu bukan satu pekerjaan yang mudah. Sebab itulah ketika melewati meja staf NOC tadi, hanya beberapa kerat sahaja terdiri daripada staf wanita.

"Anne, ada peluang boleh kita jumpa lagi." titip Azlan sambil tersengih sebelum lelaki itu beredar. Suraya termangu dipintu bilik mesyuarat. Memerhati sahaja hingga kelibat lelaki itu menghilang.

"Balik ofis dengan I."

Dia berpaling. Hanya mendapati sebidang dada berada dihadapannya. Dia berundur setapak. Dr. Adrian dalam gaya kasual sedang menggalas beg sama seperti dirinya.

"S-saya balik dengan Zamri." sahut Suraya.

"Tak boleh. You have to be with me. I perlu jelaskan task yang bakal you buat nanti."

Kepala sudah terteleng kiri dan kanan. Dia tidak tahu mana satu arah yang diambil oleh Zamri. Ketika mereka ditinggalkan bertiga setelah selesai mesyuarat itu, Zamri terus bergegas keluar. Mungkin ke tandas. Segan hanya tinggal berdua menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menunggu Zamri dimuka pintu. Otak memikir apa alasan yang sesuai untuk menolak pelawaan lelaki itu.

"Come on, Suraya. I'm not patience with traffic jammed."

Tiada alasan yang mampu diberikan akhirnya dia mengangkat kaki yang serasa berat untuk melangkah mengikuti jejak Dr. Adrian keluar dari medan pertahanan pertama andai sistem telekomunikasi terganggu atau tergendala.

"You may ask and I will tell." tutur Dr. Adrian selamba. Suraya sedikit tersentak. Pelukannya terhadap beg laptop dikemaskan. Aroma mint frost yang lembut disedut dalam. Tenang sebentar. Sejak meninggalkan kawasan perindustrian itu hanya sepi yang menemani mereka berdua di dalam kenderaan itu. Dia membuang pandang keluar. Bertali-arus kenderaan dijalanan tetapi, tidak mengakibatkan kesesakan.

"Kenapa saya? Sedangkan saya tak tahu apa-apa pun. Maksud saya, saya masih baru jadi tiada pengalaman." ujarnya sedikit curiga. Misi balas dendam lelaki itu terhadapnya, kah?

"I thought you sendiri yang kata nak turun site, kan?"

Oh, jadi betullah tekaannya. Suraya menjeling sekilas.

'Dasar kebudak-budakan!'

Tiba-tiba emosi mengawal diri.

"Bukan sebab saya perempuan ke? Orang perempuan senang kena buli, kan? Terutama orang baru. Mudah aje disuruh buat itu ini tanpa membantah." getus Suraya menggoyahkan kebenaran yang cuba disamarkan itu. Apa tidak betul ke apa yang dia fikir tu? Dari pertama kali keluar ke site bersama Zamri sehingga ke hari itu pun mengapa tindakan mereka semua seakan memberi interpretasi yang amalan buli dan diskriminasi wujud ditempat kerja itu.

"Buli? Are you sure?" tanya Dr. Adrian serius. Dikerling gadis yang duduk membeku disebelahnya dengan ekor mata. Tegang semacam reaksinya. Seperti dipaksa pula. Suraya membisu tidak mahu menjawab. Frust!

"Suraya, I tanya you sekali lagi. You kena buli ke di ofis?"

Sengaja Dr. Adrian menekankan perkataan buli itu sementelah gadis itu sendiri yang membawakan isu itu sebentar tadi. Bisu. Sekali lagi Dr. Adrian menerima layanan yang dingin. Dia pelik. Mengapa gadis itu mudah mesra dengan sesiapa tetapi tidak dirinya. Mukanya nampak garang ke? Sekilas cermin pandang belakang ditilik. Tak pula. Tegas? Entahlah. Atau Suraya tahu siapa dirinya yang sebenar? Tak mungkin. Buntu. Tiada jawapan yang sesuai akan teka-teki itu melainkan diajukan sendiri kepada gadis itu.

"Saya tak tahu."

Sambil mengetatkan pelukan ke atas beg yang dipegang dia menjawab ringkas. Dadanya bergetar. Menyesal terlepas cakap kerana dirinya belum bersedia untuk menghebahkan perkara itu kepada sesiapa.

"Tapi, you yang cakap tadi.." desak Dr. Adrian.

"Bos, please.. I'm quoting." ucapnya separuh merayu. Entah kenapa dia harus menggunakan rayuan sedangkan dia tidak bersalah.

"Okay, okay.. Baiklah. Tapi kalau benar you kena buli, make a report. Jangan diamkan." pesanan Dr. Adrian pula sama intonasinya seperti dirinya sebentar tadi. Dr. Adrian menjeling sekilas. Tak sanggup rasanya andai ucapan gadis itu benar-benar suatu kenyataan. Sekali lagi sunyi. Suraya pula membatukan diri. Terus menetapkan pandangan ke luar. Dada yang senak dikemaskan dengan berpaut pada beg itu lagi.

"Esok you tak perlu datang kerja."

Suraya membulatkan mata.

'Amboi, protective betul!'

"Siang esok kalau boleh you tidur sebanyak mana yang boleh…"

"Bos, ada apa ni? Saya tak faham lah." celahnya sebelum Dr. Adrian sempat menghabiskan kata-katanya. Wajah yang sentiasa cool itu ditatap seketika dengan penuh keliru.

"Night shift, kan? So, siang esok you dikira on standby, bukan ponteng. Jam 10.00 malam I pick you up dirumah. Ambil ni. Save nombor dan alamat rumah you." arah Dr. Adrian bersahaja seraya mencapai telefon pintar yang dilekapkan pada phone holder yang terpacak disebelah tombol gear. Telefon itu diajukan kepada Suraya. Sempat dia menggigit bibirnya sambil menghalau siulan nakal yang tersalah sangka terhadap niat lelaki itu sebentar tadi. Akur. Telefon bertukar tangan. Dia mendail nombornya sendiri. Kemudian telefon itu dipulangkan.

"Address?"

"Esok." sahut Suraya lantas tiada lagi bicara yang mahu diucapkan. Hanya lelaki itu sahaja dibiarkan bersuara tanpa sebarang interjeksi. Sepanjang perjalanan Dr. Adrian menerangkan sebab musabab dirinya dibawa masuk dan perincian projek yang bakal melibatkan dirinya itu.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.