Home Novel Cinta Isteriku Bekas Banduan
Isteriku Bekas Banduan
Kasturi Madu
26/12/2020 06:27:16
70,467
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12


Melorot jatuh tubuh Puan Zubaidah apabila mendapat perkhabaran mengenai anak sulungnya yang telah ditangkap oleh pihak polis. Luluh hati ibunya saat ini.


Melati segera mendapatkan ibunya itu. Tubuh Puan Zubaidah didakap seeratnya. Air mata sang ibu meragut tangkal hatinya. Dia juga masih lagi terkejut apabila mendapat panggilan telefon daripada balai polis yang mengatakan bahawa kakaknya Mawar Saffiyah sudah ditangkap kerana terlibat dalam kes pengedaran dadah.


Untung saja Mawar sempat membelikan sebuah telefon untuk kegunaan mereka sekeluarga. Jika tidak pasti mereka tidak akan tahu apa-apa berita tentang si kakak sulung. Dahlia hanya mampu memerhati dia yang masih kecil masih tidak faham situasi yang berlaku didalam keluarga mereka.


"Mak.. Mak sabar ya..." pujuk Melati.


"Apa yang kita nak buat sekarang ni Melati? Kita bukan orang senang. Macam mana kita nak tolong Kak Mawar kamu?" ucap Puan Zubaidah sayu.


"Melati pun tak tahu tapi mak sabar dulu ya. Esok kita pegi balai polis kita tanya polis tu macam mana keadaan Kak Mawar. Melati yakin Kak Mawar tak salah dalam hal ni.."


"Apa kata kita pegi hari ni Melati.. Mak rasa kita tak boleh duduk diam macam ni je," resah Puan Zubaidah.


"Mak kalau kita pegi hari ni pun tak guna. Hari dah petang mak. Lagi pun bas pun dah takde masa-masa macam ni. Esok jelah kita pegi ya," pujuk Melati.


"Mak risaukan keadaan Kak Mawar kamu," air mata semakin laju merembes keluar dipipi tuanya.


"Melati pun sama risaukan Kak Mawar. Kita doakan jelah yang baik-baik untuk Kak Mawar. InshaAllah Kak Mawar tak apa-apa.."


"Allahuakbar... Ujian apa lagi yang Kau mahu kirimkan kepada hamba Mu ini...." ucap Puan Zubaidah sayu.


Melati yang melihatkan sang ibu turut merasa sebak. Dalam hati tidak henti-henti mendoakan keselamatan Mawar Saffiyah. 


Beberapa minit berdiam diri Puan Zubaidah mula bersuara apabila ingatannya mengingati sesuatu. 


"Melati kamu tahu rumah Haris Botak tu dekat mana?" soal Puan Zubaidah. 


"Haris Botak..? Melati tak tahu mak.. Kenapa mak tanya?" berkerut pelik Melati. 


"Kakak kamu kan kerja dengan si Haris tu. Mesti dia tahu pasal Kak Mawar ni. Mesti dia boleh tolong kita," ucap Puan Zubaidah. 


"Betul jugak kata mak tu. Tapi masalahnya Melati tak tahu rumah dia dekat mana. Tapi betul jugak kata mak tu mesti Haris tahu kenapa Kak Mawar boleh kena tangkap dengan polis." 


"Habis tu macam mana? Kak Mawar kamu tak pernah ke bagi tahu mana budak Haris tu tinggal..?" soal Puan Zubaidah. 


"Tak pernah mak... Tapi yang Melati tahu Haris tu bukan budak kampung kita ni. Melati rasa mungkin budak kampung sebelah. Tapi anak siapa Melati tak tahu," jujur Melati.


"Habis tu macam mana kita nak tolong kakak kamu ni?" soal Puan Zubaidah susah hati. 


"Mak.. Mak sabar dulu ya. Apa pun kita tunggu esok.. Pasal Haris tu nanti jelah kita fikirkan.." pujuk Melati. 


"Hmm yelah..." akur Puan Zubaidah. 





~~~~~





Air mata Mawar sudah seperti tidak mahu berhenti. Sejak dibawa ke balai polis dan dimasukkan ke tempat tahanan reman dia masih tidak henti menangisi apa yang telah berlaku kepada dirinya.


Dia sendiri buntu dengan apa yang barusan dikhabarkan oleh pihak polis yang mengatakan bahawa selama ini dia sebenarnya berkerja sebagai penghantar bahan terlarang iaitu dadah disekitar Bentong, Pahang. Jiwanya remuk.


Dia cuma mahu mencari rezeki buat ibu dan adik-adiknya namun mengapa dia harus menjadi mangsa angkara perbuatan Haris yang jelas telah menjadikannya sebagai keldai dadah. Air mata yang laju membasahi pipinya diseka kasar. Dinding batu yang diconteng dengan perbagai tulisan dipandang sepi. 


Saat Mawar sedang leka melayani perasaannya tiba-tiba dia tersentak apabila teguran seseorang mengembalikannya di alam dunia realiti. Kepala laju menoleh ke arah figura yang kini sudah melabuhkan duduk bersebelahannya. 


"Kau tak nak makan ke?" soal wanita itu. 


"Aku takde selera.." jujur Mawar. 


"Apa nama kau? Daripada kau masuk sini tadi aku tengok kau asyik menangis je," soal wanita itu. 


"Mawar... Mawar Saffiyah..." jawab Mawar perlahan namun cukup dapat didengari oleh wanita itu. 


Sel tahanan itu dihuni hampir 5 orang wanita termasuk Mawar. Masing-masing sibuk bercerita mengenai perihal masing-masing. Cuma Mawar yang hanya bersendirian duduk disalah satu penjuru didalam bilik tahanan itu. 


"Aku Laila.." tangan dihulurkan kepada Mawar. Lambat-lambat Mawar menyambut huluran tangan Laila dengan perasaan malas. 


Beberapa minit menyepikan diri Laila bersuara bagi memecahkan kesunyian diantara mereka. 


"Kau masuk sini kes apa? Kau ni nampak macam pertama kali masuk sini," Laila cuba beramah mesra dengan Mawar. 


"Aku kena tuduh mengedar dadah," jawab Mawar. 


"Kena tuduh ke atau kau memang buat kerja tu?" soal Laila. 


"Aku tak tahu selama ni aku dipergunakan oleh kawan aku sendiri. Dia cakap aku kerja hantar barang. Tapi aku tak sangka selama ni barang yang aku hantar tu sebenarnya adalah dadah," cerita Mawar seperti apa yang diberitahu oleh polis seketika tadi. 


"Maksud kau kawan kau jadikan kau keldai dadah?" soal Laila lagi. 


Mawar hanya mengangguk tanda mengiyakan apa yang dikatakan oleh Laila. Sejujurnya dia tiada mood untuk berbicara dengan sesiapa saat ini. 


"Kau masuk sini sorang je ke?" soal Laila yang masih cuba untuk berbual dengan Mawar. 


"Aku dengan sorang lagi kawan aku.. Driver yang selalu bawak aku untuk hantar barang tu sekitar sini.." jawab Mawar malas. 


"Tapi aku sebenarnya tak faham dengan kisah kau ni. Kau cakap kau kerja hantar barang. Takkan selama ni kau tak penah ambil tahu barang apa yang kau hantar. Kau tak penah tanya dorang?" 


"Aku dah penah tanya barang apa aku hantar. Banyak kali aku tanya tapi dia orang masih tak nak bagi tahu pasal ni. Imran pun langsung tak nak cerita apa-apa dekat aku," luah Mawar. 


"Imran..?" pelik Laila. 


"Imran tu driver yang kena tangkap sama-sama dengan aku tadi," ucap Mawar. 


Laila mengangguk faham.


"Kau sabar jelah. Tapi daripada apa yang kau cerita dekat aku, aku yakin kau tak salah. Kau cuma mangsa keadaan. Aku harap nasib baik berpihak kepada kau," ucap Laila yang cuba menenangkan Mawar. 


Mawar mengerling ke arah Laila. Nafas dihela perlahan-lahan sebelum dia kembali bersuara. 


"Kau masuk sini kenapa?" soal Mawar. 


"Aku..? Aku sebab bunuh majikan aku.." ucap Laila selamba. 


"Bunuh?" membuntang mata Mawar mendengarkannya. 


"Yelah.. Bukan niat aku nak bunuh orang tua tu. Tapi aku terpaksa," ujar Laila selamba. 


"Apa maksud kau?" soal Mawar hairan. 


"Aku terpaksa bunuh orang tua tu sebab dia cuba nak rogol aku. Aku cuma pertahankan diri aku daripada menjadi mangsa serakah orang tua keparat tu. Tapi alih-alih aku yang kena balik. Dunia ni memang tak penah nak adil," ucap Laila sebal. 


"Tapi takkan takde cara lain kau nak selamatkan diri kau selain daripada membunuh?" 


"Kalau ada cara lain aku takkan bodoh sampai nak bunuh dia tu. Aku buat ni cuma nak pertahankan maruah aku daripada terus dipijak oleh orang tua tak guna tu," jawab Laila. 


"Habis tu macam mana sekarang ni?" soal Mawar lagi. 


"Entahlah.. Aku pun dah malas nak fikir. Apa nak jadi, jadilah. Tapi sekurang-kurangnya aku puas bila iblis tu dah mampos. Lepas ni takde dah yang akan jadi mangsa nafsu kuda dia tu," senyuman sinis terbit dibibir Laila. Dia merasakan puas walaupun dia tahu bahawa akan ada hukuman berat yang menantinya kelak. 


Mawar menggelengkan kepalanya. Keluhan berat dilepaskan kasar oleh Mawar. Air mata yang mengalir diseka kasar dengan jari jemarinya. Laila yang sedar akan keluhan Mawar segera bersuara.


"Tak guna kau nak menangis air mata darah sekali pun. Benda dah jadi. Lepas ni apa yang jadi kau kena terima jelah Mawar. Dah nasib kau macam ni. Nak tak nak kau kena terima jugak apa pun keputusan selepas ni," nasihat Laila. 


"Tapi masalahnya aku langsung tak salah dalam hal ni.. Aku betul-betul tak tahu menahu soal ni. Kau faham tak?" geram Mawar. 


"Semuanya dah terlambat Mawar. Kau ingat dia orang tu semua nak percaya ke apa yang kau cakapkan ni? Bukti dah ada depan mata. Lagi pun memang kau terlibat sama dalam kerja-kerja tu semua. Kau nak persoalkan apa lagi Mawar?" balas Laila. 


"Aku tak salah...! Aku cuma cari rezeki untuk bagi mak dengan adik-adik aku sekolah. Makan pakai dia orang.. Aku cuma nak ubah nasib keluarga aku.." ucap Mawar lirih. 


"Mawar kau kena tahu satu benda. Dalam dunia ni kita tak boleh baik sangat Mawar. Kalau kita baik sangat senang-senang kita ni kena pijak. Macam kes kaulah. Senang-senang kena game dengan kawan kau sendiri. Kesudahannya kau yang meringkuk dalam penjara ni. Kawan kau mana? Entah-entah tengah berpesta dekat luar tu.." perli Laila. 


"Apa maksud kau?" soal Mawar tidak puas hati. 


"Buka mata kau. Buka minda kau. Kau ni terlalu baik sangat Mawar. Sebab tu senang-senang orang nak pijak kau. Berhentilah kau meratapi nasib kau. Kau menangis air mata darah sekali pun takkan dapat ubah apa-apa pun. Bila-bila masa je hukuman kau akan dijatuhkan oleh mahkamah. Kau kena kuat kalau nak terus hidup lama dalam ni. Aku tahu kau tak salah tapi orang macam kita ni salah ke tak salah ke tetap dia orang tu takkan pandang.." ujar Laila.


Mawar terdiam. Apa yang barusan dikatakan oleh Laila benar belaka. Dia terlalu polos sehingga menjadi alat untuk digunakan oleh Haris bagi mengaut keuntungan dengan melakukan kerja-kerja kotor lelaki itu.





~~~~~





Aizat menarik nafas panjang. Dia memberhentikan motorsikalnya disalah sebuah pondok perhentian bas ditepi jalan. Hujan yang tiba-tiba turun membasahi bumi dengan lebatnya menyukarkan Aizat untuk terus menunggang motorsikalnya.


Tiupan angin mula menampar-nampar tubuhnya. Malah bajunya yang sedikit basah lagi menambahkan rasa yang mula mencengkam hingga ke tulang putih. Laju Aizat menyarungkan baju dan seluar hujan. Risau jika berlama-lama nanti dia bakal dijangkiti demam.


"Hmm.. Hujan-hujan ni harap adalah rezeki untuk aku.." gumam Aizat. 


Hampir 15 minit berdiam diri memerhati air hujan, bunyi telefon bimbit yang datangnya daripada beg galasnya menyentakkan Aizat. Laju dia membuka alat berbentuk petak segi empat itu.


Bersinar anak matanya apabila melihat dua pesanan makanan yang diterimanya.


"Alhamdullilah.. Ada jugak rezeki untuk aku..." gumam Aizat sendirian.


Tidak menunggu lama motorsikalnya segera dihidupkan. Dengan penuh berhati-hati Aizat meredah hujan yang sudah mulai turun dengan semakin lebat.


Hujan yang semakin lebat mula menyukarkan pemandangan Aizat untuk melihat jalan dihadapannya. Tanpa disedari oleh Aizat tiba-tiba muncul sebuah kereta yang datang entah dari mana memotongnya dengan laju. 


Aizat yang tidak bersedia dengan kehadiran mengejut itu segera cuba memberhentikan motorsikal miliknya. Namun malang tidak berbau dalam dia cuba untuk mengelak akhirnya motorsikal yang dinaikinya terbabas melanggar pembahagi jalan. Manakala Aizat sudah tercampak ke tengah jalan.


Hentakkan kuat yang dialami cukup dirasai sehingga ke setiap organ dalamannya. Dengan bersusah payah dia cuba untuk bangun dan mengesot ke tepi jalan risau jika dilanggar.


Namun nasib Aizat sudah seperti jatuh ditimpa tangga. Keadaan hujan lebat menyukarkan sesiapa yang melihatnya. Dalam dia cuba untuk menyelamatkan diri, dia tidak sangka sebuah kereta yang sedang laju melanggarnya sehingga sekali lagi tubuhnya melambung dan jatuh menyembah bumi. 


"Allahuakbar..." desis Aizat.


'Jika ini adalah cara untuk Kau mengambil nyawaku, aku redha Ya Allah...' jauh disudut hati Aizat berbicara sendiri.


Menyerahkan segala-galanya kepada sang Pencipta.


Pandangannya mula gelap gelita. Matanya perlahan-lahan terpejam rapat. 

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.