Sejak Ziha sibuk berkepit dengan teman lelakinya, Lydia sentiasa ke
mana-mana pun berseorangan. Sengaja dia tidak mahu rapat dengan teman-teman
lain yang hanya akan menjerumuskan pada perbualan yang tidak perlu. Hujung
minggu yang damai ini dia mahu menyiapkan tugasan yang perlu dihantar dua
minggu lagi.
“Buat dua salinan ya pak cik,” arah Lydia.
“Depan belakang atau sehelai-sehelai?” Lelaki
penuh beruban di kepala itu sudah lama dikenali warga kampus.
“Depan belakang,” jawab Lydia. Sementara
menantikan bahan fotokopinya siap, dia meneliti senarai harga komputer di
beberapa kedai lalu membanding-bandingkannya. Jumlahnya ribuan ringgit. Paling
murah pun dua ribu lebih termasuk mesin pencetak.
Jika nak beli komputer, sebaik-baiknya beli
bersama mesin pencetak, kerana ia lebih menjimatkan. Lagipun tidak perlu lagi
membazir masa ke kedai komputer semata-mata untuk mencetak kertas tugasan.
Otaknya
ligat berfikir, mencongak-congak dengan duit pinjaman yang bakal diperolehinya.
Setelah ditolak yuran belajar, penginapan kolej dan segala bahan untuk belajar
dan makanan, semester depan mungkin baru boleh beli. Semester ni tak dapatlah,
bisik Lydia pada dirinya sendiri dalam nada kecewa.
“Survey komputer ke?”
Lydia berpaling ke belakang dan tersenyum
paksa. Imran sedang memandangnya sambil
tersenyum. Dia dari mana? Tiba-tiba aje muncul? Kenapa makin dia melihat wajah
Imran, semakin dia mahu mendampingi lelaki itu? Ah! Jiwa kacau! “Tak adalah,
tengah tunggu fotostat.” Dia menunduk ke bawah, tidak tahu apa lagi yang harus
diperkatakan.
“Okey… Dah selesai nanti kita pergi minum, ya.
Dah lama kita tak sembang, kan?” ajak Imran.
Lydia hanya diam.
“Jomlah, saya betul-betul ikhlas ni,” pujuk
Imran.
Akhirnya Lydia mengangguk.
Sesudah membayar harga fotokopi, mereka beriringan menuju ke sebuah
restoran nasi kandar.
“Lydia nak makan apa? Nasi kandar dia sedap
jugak, nak tak?” pelawa Imran.
“Tak naklah. Bagi saya char kuey teow aje.”
“Okey, nasi kandar campur kari daging dan char
kuey teow satu!” beritahu Imran kepada pelayan tersebut. “Kalau kat Penang, tak
sah kalau tak makan nasi kandar. Awak mesti cuba satu hari nanti.”
Lydia hanya tersenyum tawar.
Keadaan sepi kembali. Mereka berdua hanya
melihat gaya tukang masak yang menggoreng char kuey teow kerang dengan
menggunakan api yang besar.
“Lama tak jumpa. Saya rindu awak.” Bergetar
suara lelaki itu.
Lydia terkejut. Bersungguh-sungguh benar Imran
mahu memikatnya. Jujurkah lelaki ini?
“Lydia, saya betul-betul maksudkan apa yang saya
kata.” Suara Imran tegas.
Lydia makin gelisah. Kenapa pula lelaki ini
harus merinduinya? Bukankah ramai wanita yang tergila-gilakan lelaki tampan
yang kononnya ketua berdedikasi, kata mereka?
“Lydia… saya tak peduli dengan kisah silam awak.
Yang saya tahu saya telah jatuh cinta pada awak. Saya akan menjaga awak
sepanjang hidup saya.”
‘Gila! Lelaki ini sudah hilang kawalan
nampaknya.’
“Sebenarnya awak sedang bermain dengan perasaan
orang, Imran!”
“Saya tak pernah mainkan perasaan orang, Lydia.
Jika tak percaya, tanyalah senior-senior yang awak kenal. Mereka pasti akan
beri jawapan yang sama.”
“Nak nafikan lagi?” soal Lydia geram.
“Apa yang saya nafikan?” tanya Imran seperti
terkejut. Seingatnya, dia tidak pernah bercinta dengan mana-mana gadis sebelum
ini. Hanya Lydia yang bertakhta di hatinya. Itu pun masih belum lekat-lekat
lagi.
“Shereen?” Nama itu disebut juga, walaupun
sungguh dia menyampah dengan tahap miang perempuan itu.
Imran tertawa kecil dan itu menyinggung Lydia. “Sorry…
saya tak bermaksud nak gelakkan awak. Cuma Shereen berkawan baik dengan semua
orang. Bukan dengan saya aje dia mesra.”
Lydia membulatkan matanya. “Oh! Maknanya dengan
semua orang boleh bertepuk tampar? Begitu?” sindirnya lagi.
“Tak adalah sampai tahap tu. Shereen bukan teman
istimewa saya. Untuk pengetahuan awak, saya tak pernah ada teman wanita.”
“Tipu!” Dasar lelaki… tak pernah puas dengan
satu. Namun ayat selebihnya hanya bergema di kalbu.
“Sungguh!
Kan saya kata awak boleh tanya semua orang di Desa Cahaya Permai ni. Hatta pak
cik kantin pun akan jawab benda yang sama.”
Lydia mengerutkan keningnya. Tak mungkin jejaka
sekacak Imran tiada teman wanita. Mustahil.
“Bunyi mustahil kan? Tapi memang betul.
Rakan-rakan perempuan yang awak nampak sama ada rakan persatuan, kelab atau pun
coursemate. Itu saja, dan kalau nampak mesra sekalipun, ia bukan datang
daripada saya. Ia dari perempuan itu sendiri.” jelas Imran.
Uwek! Nak bagitahu dia laku sangat sampai semua
perempuan sukakan dia?
“Lydia… Bukan itu yang saya nak bagitahu hari
ni. Tapi awak dah tanya, saya jawab
sejujur-jujurnya dari sekeping hati yang ikhlas.”
‘Kenapa Imran seakan boleh membaca apa yang
tersirat di mindaku? Dia ada kuasa psikik ke?’
“Saya tahu, jauh di sudut hati... awak ada
menyimpan sedikit perasaan pada saya, kan? Tak banyak, sikit pun ada kan?” usik
lelaki itu. Kini Imran sedang membuai-buai perasaannya.
Lydia terkedu. Sesaat nafasnya bagai terhenti.
“Helo… Jangan nak perasan sangat ya.” Ayat itu terhenti. Dia bagaikan hilang
idea untuk mematahkan provokasi itu. Kenapa Imran tahu isi hatinya? Pipinya
merona merah.
“Saya ada mangkuk jampi tau. Dalam tu, saya
nampak wajah awak menjadi suri hidup saya hingga ke syurga,” seloroh Imran.
Lydia ketawa. Kelakar jugak jejaka ini.
Imran terpegun melihat Lydia ketawa. Gadis ini
makin cantik bila ketawa.
Lydia menyedari pandangan Imran itu. Dia terasa
lemas dengan pandangan helang itu. “Awak… Jangan pandang saya macam tu.” Dia
melihat ke arah jalan Sungai Dua yang tidak pernah surut kesesakannya.
“Awak nampak lagi cantik bila ketawa. Jangan
asyik masam aje. Nanti semua aura negatif datang tau,” pesan Imran lagi.
‘Selama ini aku masam ke? Benarkah apa yang
Imran katakan? Aku sudah jatuh cinta pada dia? Tak mungkin! Bukankah aku telah
berikrar tidak akan jatuh cinta dengan mana-mana lelaki! Bukankah semua lelaki
kejam? Tidak berhati perut! Hanya menganiayai perasaan wanita yang lemah
seperti aku?’
“Lydia… Berilah peluang untuk saya buktikan
kasih sayang saya pada awak. Saya janji tak akan persia-siakan awak, seperti
lelaki yang pernah mengecewakan dulu.”
Demi mendengar perkataan lelaki silam, Lydia
bangun, menarik nafas sedalam mungkin. “Maaf, saya tak mahu menerima lelaki
dalam hidup saya!” Walau berat, dipaksa kaki untuk melangkah. Hatinya pilu
lagi. Mengapa cukup sukar untuk melupakan kisah silam itu?
“Lydia…” Imran buntu. Segala cara sudah dicuba,
segala tindakan sudah diambil. Rasanya dia tidak tersilap kata atau bahasa. Dia
berniat ikhlas, mahu menjadikan Lydia sebagai kekasih hati. Tetapi kenapa hati
wanita itu begitu keras? Begitu sukarkah untuk melupakan kisah cinta hingga
permintaannya ditolak mentah-mentah?
Nasi kandar di hadapannya langsung tidak membuka
selera. Ingatannya hanya pada Lydia. Kenapa gadis itu menolak cintanya?
Bukankah gadis itu juga menyimpan perasaan yang sama dengan dirinya?
Jika dia inginkan seseorang wanita untuk menjadi
kekasihnya, sudah tentu ramai wanita menawarkan diri. Tetapi hatinya kini hanya
dimiliki oleh seorang wanita yang menyimpan seribu kenangan rahsia di masa
silamnya.
“Maaf, saya tak mahu menerima lelaki dalam hidup
saya!” Apa maksudnya? Dan, sehingga kini dia masih gagal untuk menawan hati
gadis tersebut. ‘Aku tidak akan berputus asa. Akan kutawan hatimu gadisku,’
tekad Imran lagi.
‘Jatuh
cintakah aku? Ah! Tak mungkin! Aku tak jatuh cinta! Itu hanya perasaan
semata-mata. Cinta itu buta! Dan lelaki…lelaki hanya tahu mengekploitasi emosi
wanita sahaja! Hanya pandai mengambil kesempatan dengan kata-kata manis.
Kemudian ingkari amanah tersebut tanpa ada perasaan sesal dan bersalah!’
Keriukan pintu menyedarkan Lydia. Teman sebilik
yang tua dua tahun daripadanya masuk ke bilik. Suzana terus membaringkan
dirinya ke katil dan memandang Lydia. “Tadi Kak Sue pergi ke pejabat. Kerani tu
suruh awak ke sana ambil barang.”
“Barang? Barang apa kak?” tanya Lydia.
Setahunya, emak tidak pula mengirim sebarang barangan.
“Kak Sue tak tahulah pula. Tapi baik awak pergi check.”
“Okey, Kak Sue. Terima kasih kerana bagitahu.”
Selepas bersiap ala kadar, Lydia bergegas ke
pejabat. Sesekali dia menoleh ke sekeliling, memerhati agar tidak terserempak
dengan Imran.
‘Aku tidak mahu lagi dibuai perasaan indah itu.
Perasaan rindukah itu? Apakah itu tandanya cinta?’
Kakinya sudah pun sampai di pejabat pentadbiran
desasiswa Cahaya Permai. Seorang wanita sedang terbongkok-bongkok menyusun
kotak.
“Maaf, kak. Saya Lydia Taufiq. Ada barang untuk
saya ke?” tanya Lydia pada wanita bertudung biru itu. Kerani tersebut melihat
senarai nama dan mencari-cari barangan yang dimaksudkan.
“Okey, ini ada barang untuk awak,” katanya lalu
menunjukkan ke arah satu kotak bersaiz besar dan dua kotak lagi bersaiz
sederhana.
Dari luar
kotak, Lydia sudah dapat
mengagak barangan itu. Sebuah set komputer lengkap dengan mesin pencetak
berdasarkan tulisan di luar kotak.
“Akak salah orang agaknya. Saya tak beli
komputer ni,” nafinya lagi. Fikirannya sarat dengan pelbagai soalan. Siapa?
Mengapa? Tetapi ia hanya tersekat di situ.
“Akak tak tau tapi memang barang ni dihantar
oleh kedai komputer di Sungai Dua, dengan nama awak sebagai penerima. Awak kena
ambil barang ini, sebab kat sini dah tak ada ruang,” jawab kerani itu lagi.
“Tapi…” Lydia masih tidak puas hati.
“Maaf Lydia, memang betul awak penerimanya.
Jadi, baik awak ambil sekarang. Akak nak kosongkan tempat ni.”
Lydia buntu. Dengan berat hati, dia membawa
kotak komputer tersebut satu per satu ke biliknya. Tiada surat atau sebarang
resit yang terlekat di kotak tersebut. Sukar untuk menentukan siapakah yang
baik hati menghadiahkan komputer tersebut.
‘Mungkinkah Imran? Tapi kenapa? Untuk membeli
jiwanya? Jika wang menjadi ukuran, kau telah tersilap orang, Imran. Aku bukan
seorang pengemis hingga sanggup menggadaikan prinsip semata-mata kerana
dahagakan kekayaan dan kemewahan. Kau silap Imran.’