Home Novel Cinta DIA DOKTOR HATIKU
DIA DOKTOR HATIKU
26/5/2014 08:16:51
77,932
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 4

“MAK bawakan bubur nasi. Syirah makan sikit ya sayang…” Fatimah menghulurkan sesudu bubur nasi.

Insyirah menggeleng. Bukan tidak mahu tetapi dia tidak mampu untuk menelan sebarang makanan. Jiwa dan emosinya bercelaru. Orang yang dipercayai ahli keluarganya sanggup mengkhianati amanah. Semuanya kerana nafsu yang tidak bertepi.

Sekali lagi Fatimah memegang dahi anak sulongnya. Masih panas. Walaupun sudah dua biji aspirin ditelan, tetapi tiada perubahan langsung. “Kita ke klinik ya,” pujuk Fatimah lagi. Masuk kali ini, sudah empat kali dia memujuk Insyirah supaya ke klinik, tetapi anaknya tetap enggan. Alasannya akan baik sekejap lagi.

“Demam biasa aje, mak.” Hanya itu yang terluah. Sebenarnya dia tidak mahu keluar dari bilik itu. Keluar bermakna pak uda yang akan menghantarnya ke klinik. Dia tidak mahu tubuhnya disentuh lagi oleh lelaki durjana itu. Seboleh mungkin dia mahu mengelak daripada bertemu dengan lelaki yang tidak berperikemanusiaan itu.

“Kalau macam tu, Syirah makanlah sikit. Jangan biar perut tu kosong. Nanti mak juga yang susah,” sambung Fatimah.

Insyirah membuka mulut. Dia hanya mampu menerima dua suapan sahaja lalu menggeleng. Mahu sahaja air matanya mengalir melihat kesungguhan Fatimah memujuknya untuk makan. ‘Maafkan Syirah, mak. Syirah tak boleh beritahu mak perkara yang sebenar. Nanti keluarga kita dapat susah.’ Syirah menahan sendu yang teramat. Tidak mampu bercakap benar waima kepada emaknya sendiri.

“Mak risau sangat. Mak panggil anak Pak Yakob, ya. Dia doktor pelatih,” kata Fatimah lagi.

“Jangan, mak. Nanti Syirah baiklah. Mak jangan risau.”

Insyirah menitiskan air mata buat sekian kalinya. Dia sudah tidak mampu untuk mengesat takungan air jernih itu lagi lalu membiarkan sahaja ia tumpah membasahi tilam.

“Syirah tak sihat ya?”

Suara yang cukup dikenalinya kini berada di muka pintu. Dia benci suara dan rupa lelaki itu. Insyirah hanya memejam mata tanda protes.

“Kak Mah… biar saya suapkan Syirah. Akak pergilah ke dapur buat kerja.”

Dada Insyirah berdebar. Apa lagi yang mahu dilakukan lelaki keparat ini? Mahu sahaja dijerit agar emaknya tidak berlalu dari situ. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Tubuhnya kini terasa amat kejang. Denyutan jantungnya begitu pantas berdegup. ‘Ya Allah! Selamatkanlah aku daripada lelaki durjana ini!’

Lelaki itu duduk di kerusi kecil sebelah katil Insyirah dengan senyuman sinis. “Kalau tak nak makan, Syirah akan sakit. Kalau sakit, semua orang akan susah hati. Syirah kena ingat, pak uda boleh lakukan apa sahaja yang pak uda suka!” ugut lelaki itu lagi dengan suara perlahan. Keras tanpa langsung belas kasihan pada kanak-kanak sekecil Insyirah.

“Ingat! Kalau Syirah beritahu mak, ayah atau sesiapa sahaja… pak uda boleh musnahkan keluarga Syirah dalam sekelip mata aje. Bukannya susah pun!” tukas lelaki itu lagi. Setiap kali bercakap, bau nikotin yang busuk itu menusuk ke hidung Insyirah.

“Untuk pengetahuan Syirah, tanah tempat keluarga Syirah berteduh ni, milik pak uda. Dan jika pak uda halau kamu keluar dari sini… kamu akan merempat. Sebab tiada siapa pun akan bersimpati dengan nasib kamu sekeluarga!”

Kecut perut Insyirah mendengarnya. Tubuhnya yang panas tadi bertambah kejang. Dia langsung tidak punya sebarang pilihan. Kejamnya lelaki ini.

“Jadi, jika Syirah terus-terusan begini… pak uda akan buat sesuatu di luar kemampuan kamu untuk berfikir!” kata Kasim lagi dengan jelingan yang sungguh menjelikkan bersama senyuman sinis. Dia meninggalkan Insyirah dengan semangkuk bubur yang masih tersisa.

Insyirah benci lelaki itu! Kenapa ini harus terjadi pada dirinya? ‘Di mana semua keadilan bila aku memerlukannya? Kenapa aku yang menjadi mangsa manusia rakus lelaki durjana itu? Kenapa pak uda boleh buat apa saja yang dia suka? Kenapa aku begitu bernasib malang?’ Insyirah merintih sendirian. Hati menangis tak siapa yang tahu… tiada tempat untuk mengadu. Dia harus melupakan kejadian ini. Dia cuba bangun dan mula menyuap bubur ke mulutnya.

Sudah seminggu Inyirah tidak hadir ke sekolah. Tajul mula resah. Puas bertanyakan rakan-rakan sekelasnya, tiada siapa pun yang tahu lokasi rumah Insyirah.

Namun hari ini, doanya dimakbulkan Tuhan. Dari jauh, seorang gadis comel sedang mengayuh basikal menghala ke sekolah. Hati Tajul berbunga riang. Hajat hatinya dipermudahkan.

“Syirah…” Tajul melemparkan segarit senyuman, namun disambut dingin oleh gadis berwajah duka itu. “Kenapa lama tak datang ke sekolah?”

“Saya sakit. Hari ni baru okey sikit,” balas Insyirah lalu menarik basikalnya menuju parkir basikal.

“Saya tunggu awak minggu lepas.”

“Maaf susahkan awak.”

“Awak dah baca buku tu?” Tajul berlari anak mengejar Insyirah yang tidak mempedulikan kehadirannya.

“Buku?” Insyirah menjawab malas. Kenapa lelaki ini terlalu sibuk menjaga tepi kainnya? Dia lemas.

“Ya, buku Laila dan Majnun. Kisah cinta klasik Timur Tengah abad ketujuh,” jelas Tajul yang agak kecewa kerana Insyirah terlupa kewujudan buku yang dihadiahkannya. Adakah dia juga tidak membelek surat yang dikepilkan bersama?

“Oh! Saya akan pulangkan pada awak esok,” jawab Insyirah dengan muka bersahaja.

“Tak perlu, saya memang bagi hadiah kat awak pun.”

“Terima kasih. Maaf saya nak cepat,” kata Insyirah. Beberapa pasang mata mula memerhati ke arah mereka yang seakan-akan bertengkar.

“Sekejap. Awak ada masalah ke?” tanya Tajul lalu berhenti tepat di hadapan Insyirah, menghalang laluan gadis itu berjalan. Sebenarnya Tajul telah menyemak buku kedatangan 5 Agresif secara curi-curi. Ternyata Insyirah tidak pernah ponteng sekolah. Cuma minggu lepas saja mencacatkan kedatangannya. Pasti ada alasan di sebalik semua ini.

“Maaf, saya nak cepat.” Insyirah tidak peduli halangan Tajul. Dia terus mengambil laluan kanan untuk berjalan.

“Awak marah saya ke?” tanya Tajul tidak puas hati. Dia terus mengekori langkah Insyirah.

“Kenapa pula nak marah? Saya betul-betul tak sihat. Maaf, saya nak masuk kelas sekarang.” Insyirah tidak mempedulikan mata-mata yang makin ramai memandang ke arah mereka. Ya! Seorang ketua pengawas telah bertindak kurang wajar dengan mengekori pelajar perempuan.

“Jadi, awak sudi berkawan dengan saya tak?” tanya Tajul tidak puas hati.

Insyirah berhenti berjalan. Terasa penat melayan lelaki yang tidak faham bahasa Melayu. Memandang lelaki itu sekilas lalu melemparkan pandangannya ke padang nan luas. Ya! Dia mulai menyukai lelaki itu sebagai rakan. Tetapi semua itu tidak lagi bernilai sekarang.

“Saya rasa kita tak sehaluan. Lagipun awak akan masuk tingkatan satu, dan kita tak akan jumpa lagi. Kita memang tak serasi,” jawab Insyirah lalu meninggalkan orang yang mula bertakhta di hatinya itu.

Tajul hanya berdiri di situ. Terpinga-pinga dengan apa yang diperkatakan Insyirah sebentar tadi. Dia tidak memahami sikap Insyirah. Beberapa minggu yang lepas, Insyirah melayannya dengan baik, walaupun masih menjual mahal.

Insyirah berlari ke tandas perempuan. Tiada siapa pun di situ. Dia menangis semahu-mahunya. Beban berat di bahu hanya ditanggung sendiri. Dia tidak mempunyai pilihan. Bercerita kepada sesiapa pun bermakna rahsia dirinya yang misteri akan lebih tercemar. Mungkin lebih teruk jika ia tersebar dari mulut ke mulut.

‘Maafkan aku, Tajul. Aku tidak layak untuk kau. Aku tidak layak untuk sesiapa pun kerana aku kotor.’ Insyirah merintih sendirian. Air mata mengalir laju di pipi hingga membasahi tudung sekolahnya. ‘Aku telah dirogol dan kesucian diriku sudah dinodai oleh lelaki yang dipercayai keluarga.’

Siapakah yang mahu mempercayai kata-kata budak naif sepertinya? Lebih memilukan keluarganya akan di halau dari tanah kepunyaan lelaki bangsat itu! Ya. Insyirah perlu tabah dan kuat. Dia harus memikul beban ini. Jangan sesekali menyusahkan keluarga yang menjadi tempat berlindungnya selama ini. Semangatnya hilang untuk bersekolah. Semuanya ini dilakukan hanya kerana terpaksa.

Dia bukan lagi Insyirah yang sangat teruja menjawab peperiksaan demi mengejar matlamat A. Segala soalan di dalam kertas peperiksaan dijawabnya sekadar memenuhi syarat sahaja. Dia tidak peduli lagi. Ia sekadar untuk meneruskan kelangsungan hidup. Kini dia lebih dewasa berbanding usianya yang masih lagi mentah. Namun, satu perkara yang cukup pasti. Dia bencikan semua lelaki.

Tajul hanya melihat dari jauh kelibat Insyirah yang tidak keluar lagi dari tandas pelajar. Setelah menunggu selama 30 minit, dia mengambil keputusan untuk ke kelasnya pula.

“Setiap hembusan angin membawa harummu untukku. Setiap kicauan burung mendendangkan namamu untukku. Setiap mimpi yang hadir membawa wajahmu untukku. Setiap pandangan menampakkan bayanganmu padaku. Aku milikmu, aku milikmu, jauh mau pun dekat. Dukamu adalah dukaku, seluruhnya milikku, di manapun ia tertambat” Linangan Syair Nizami ternginang-ngiang di telinganya. ‘Apakah yang berlaku pada kau, Insyirah?’

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.