Home Novel Cinta DIA DOKTOR HATIKU
DIA DOKTOR HATIKU
26/5/2014 08:16:51
78,031
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 15

Lydia melihat teman sebiliknya yang sudah lena dibuai mimpi. Dilihat jam di tangannya. Baru pukul 10.00 malam. Perutnya berkeroncong. Dia perlu mencari makanan untuk mengalas perut.

Dengan perasaan malas, dia menuju ke café. Selepas membuat pesanan, Lydia duduk di kerusi yang agak jauh dari pandangan orang ramai sambil memerhati suasana sekeliling. Pandangannya beralih ke arah lorong di hadapannya. Dia membulatkan mata. Susuk tubuh yang sedang berjalan menghampirinya seperti dikenali. Belum sempat dia bangun, Imran telah menghampirinya.

“Nak ke mana?” tanya Imran sambil tersenyum.

“Nak balik ke bilik,” jawab Lydia sambil memikirkan cara untuk meloloskan diri melalui lorong tersebut tanpa bersentuh dengan Imran.

“Bukan ke awak dah order burger?” Sengaja Imran membakar Lydia yang kelihatan serba salah mukanya.

“Ha’ah… lupalah,” jawab Lydia lemah. Dia bangun lalu mendekati gerai burger itu semula.

Imran mengekori langkah Lydia. “Sein, buat cepat-cepat untuk awek aku ni tau!” arah Imran.

Sein mengangguk dan tersenyum.

‘Awek?’ Nak termuntah Lydia mendengar perkataan yang disebut Imran.

“Lapar sangat ke?

“Tak lapar sangat. Saja nak makan,” jawab Lydia dengan nada acuh tidak acuh.

“Awak free tak pagi esok?”

“Kenapa?”

“Saya nak ajak awak joging kat Tasik Harapan. Biar keluar peluh sikit!”

Kali ini Lydia terbeliak memandang Imran. Masuk bab jogging pula dah? “Maaf, saya sibuk!”

Lydia makin gelisah dengan pertanyaan demi pertanyaan. Dalam masa yang sama dia merasai perasaan yang cukup aneh. Hatinya terasa indah. Seolah-olah kini dia mempunyai tempat untuk berteduh, bermanja dan bergurau senda. Hati, janganlah terlalu banyak meminta.

“Jomlah, temankan saya. Saya tunggu awak kat blok tujuh pagi esok, okey?” pujuk Imran yang tidak pernah putus asa mahu memenangi hati Lydia.

Wajah Imran tampak ikhlas. Hatinya yang sekeras kerikil tadi mula lembut. Namun, untuk memberi peluang kepada lelaki dalam hidupnya, tidak mungkin menjadi kenyataan.

“Burger dah siap,” laung Sein.

Lydia bangun untuk mengambil burgernya. Selesai membayar, tanpa berpaling ke arah Imran yang menunggu jawapannya, Lydia terus berlalu dari situ.

“Saya tunggu esok. Jangan lupa ya!”

Sayup-sayup kedengaran pesanan suara Imran di gegendang telinganya. Lydia tidak peduli. Dia harus cepat sampai ke bilik.

Sesudah menunaikan solat subuh, Lydia berteleku seketika di sejadah. Dia mengenangkan pertemuan demi pertemuan dengan Imran. Makin kuat dia menolak Imran dalam memorinya, makin kerap wajah itu bertandang dalam setiap perjalanan hidupnya. Secara kebetulan atau sengaja?

Lydia membuka telekungnya lalu meletakkan di atas katil. Sinar suria mula menembusi tingkap biliknya. Matanya memandang ke luar. Seorang lelaki dalam pakaian sukan sedang keseorangan di bawah seperti menantikan seseorang. Dilihat jam di tangan. Tepat jam 7.00 pagi. Imran benar-benar menepati janjinya. Bagaimana ya?

Antara mahu dan tidak, Lydia menyarungkan pakaian sukan dengan kasut lalu menuruni tangga untuk mendapatkan Imran.

“Lama tunggu?” Entah mengapa, hati Lydia jadi lembut menerima pelawaan Imran, tidak seperti lelaki lain. Seperti ada hubungan istimewa terjalin antara dia dengan lelaki berkumis tipis ini.

“Baru lima minit,” balas Imran dengan perasaan gembira. Dia tidak menyangka gadis misteri ini akan menerima pelawaannya. “Jom!”

Sambil berjoging, mereka berbual-bual mengenai sesi kuliah, pensyarah yang menjadi pilihan, peristiwa di Taman Negara dan serba sedikit mengenai ahli keluarga.

Lydia ketawa tatkala Imran membuat lawak.

“Dah ada boyfriend?” Imran memancing perhatian gadis di depannya.

Lydia hanya diam sambil menumpukan perhatian terhadap latihan regangan di Tasik Harapan.

“Kalau dah ada… eloklah saya tarik diri awal-awal. Saya tak nak dikatakan cuba memikat kekasih orang pula,” jawab Imran separuh merajuk.

Lydia berhenti membuat regangan lalu mengalihkan perhatian kepada Imran, mencari riak-riak kejujuran di wajah lelaki itu.

“Kenapa awak tanya?”

“Sekadar bertanya sebelum melangkah lebih jauh,” balas Imran dengan maksud yang cukup tersirat. Mengharapkan gadis di hadapannya memahami keluh resah di jiwa.

“Saya tak ada boyfriendlagi.”

Wajah Imran kembali bercahaya. Dia terasa berada di awang-awangan.

“Dan saya tak berhajat untuk ada boyfriend pun.”

Kata-kata akhir Lydia mengembalikan Imran ke alam nyata, dia masih pelik dengan penjelasan gadis itu. “Tapi kenapa?”

“Saya nak tumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran. Saya nak bekerja dan membantu keluarga,” jelas Lydia tanpa menoleh ke arah Imran. Tidak sanggup rasanya untuk menipu dengan alasan yang sengaja diada-adakan. Namun, inilah alasan terbaik mampu diberikan.

“Saya tak percaya!” tukas Imran.

“Awak meragui kejujuran saya?” Lydia memandang Imran dengan tajam.

“Bukan begitu. Saya rasa awak ada sebab yang lebih kuat untuk tidak ada boyfriend. Bukan kerana keluarga… tetapi kerana ini, kan?” jelas Imran lalu menayangkan sehelai kertas yang bertulis tangan. Terbentang di hadapannya helaian lirik lagu dikir barat yang tidak jadi dipersembahkan ketika perkhemahan dahulu.

Lydia tergamam. Patutlah dia tidak berjumpa kertas tersebut. Rupa-rupanya ia telah dijumpai Imran. Kelu lidahnya untuk mencipta sebarang alasan.

“Kenapa awak benci lelaki?” tanya Imran lagi.

“Betul awak nak tahu?”

Imran mengangguk.

Lydia meraup wajahnya. Imran bukan lelaki yang mudah putus asa. Makin dia melarikan diri, makin kuat Imran mengejarnya. Memang terasa berat untuk bercerita kisah silam, tetapi dia harus berterus terang agar Imran berhenti menganggunya. “Kerana lelaki pernah mengecewakan saya. Menghancurkan hidup hingga seketika saya rasa tak berdaya untuk berfikir waras lagi. Saya tak mahu dikecewakan lagi.”

Imran diam. Mukanya seperti orang bersalah.

“Maafkan saya, Lydia. Maafkan saya. Saya tak bermaksud untuk mengungkit kembali cerita silam Lydia. Maafkan saya.” Berulang kali perkataan maaf disebut Imran.

Lama mereka membisu melayan perasaan.

“Maaf, saya nak balik berehat.” Lydia meneruskan perjalanannya tanpa memberi peluang Imran untuk berkata-kata. Sambil berlari dia menyapu air matanya yang membasahi pipi. Dia tidak peduli mata-mata yang memandangnya. Imran sudah jauh ditinggalkan.

Hatinya luka, pedih dan perit. Kenangan pahit itu berulang lagi seperti tayangan filem dalam memorinya. Kesakitan diterajang, kepedihan dan kedukaan emosinya hanya dia yang menanggungnya. Ia bukan sekadar kesakitan fizikal, tetapi jiwa dan raganya lebih parah lagi. Tekanan jiwa yang orang tidak dapat membacanya menerusi pandangan mata kasar.

Dia begitu bencikan lelaki yang pernah menyakitinya, tetapi bagaimana dengan Imran? Apakah berbaloi menolak seorang lelaki yang baik hanya kerana peristiwa silam? Lydia membiarkan persoalan itu. Dia sudah tidak upaya untuk berfikir lagi.

Previous: BAB 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.