Home Novel Cinta DIA DOKTOR HATIKU
DIA DOKTOR HATIKU
26/5/2014 08:16:51
78,026
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 13

ESOK hari terakhir mereka menamatkan kembara Kepimpinan Desasiswa Cahaya Permai. Hati Lydia bersorak girang. Malam ini, setiap kumpulan perlu membuat persembahan kebudayaan sebagai acara penutup.

Kumpulan mereka bersepakat untuk mengadakan persembahan dikir barat sebagai penutup persembahan. Lagi pula ia cukup senang dan tidak perlu terlalu banyak berlatih. Hanya pastikan lenggok gaya mereka serentak dan juga hafal lirik lagu.

“Kita jangan cari pasal Lydia. Kita di sini cuma nak berhibur. Bukan cari gaduh dengan sesiapa pun,” tegur Ziha perlahan agar tidak didengari oleh ahli kumpulan lain.

“Apa yang kau cakap ni?” Lydia rasa berdebar-debar. Adakah rancangannya diketahui?

“Aku tahu kau ubah suai lirik lagu tu. Kau masukkan unsur sindiran kepada lelaki hidung belang. Walaupun secara berseloroh, ia memang tidak elok untuk menyindir sesiapa pun.”

“Helo… Aku taulah yang mana sensitif, yang mana tak. Nama pun hiburan, bukannya persendakan sesiapa pun. Kita cuma sebutnya secara umum. Takkan itu pun salah?” jawab Lydia tegas. Sedikit kesal kerana bodoh dalam membuat percaturan. Bukankah lagi bagus membalas dendam tanpa membabitkan ahli kumpulan?

“Aku tahu pada siapa kau tujukan lagu ini.” Ziha melirik tajam ke arah Lydia. “Kau berdendam dengan dia, kan?”

Kata-kata Ziha benar-benar mencabar kesabaran Lydia. Sudahlah Imran tidak habis-habis mengenakannya. Sahabat baiknya kini langsung tidak menyebelahi keputusannya. “Ziha, ini bukan soal dendam. Aku sekadar nak ingatkan lelaki supaya tidak permainkan perasaan wanita.”

“Tidak! Kau akan nyanyikan lirik kita yang asal. Apa nak jadi, jadilah!” jawab Ziha tegas.

“Kenapa bertekak di sini?” marah Imran yang tiba-tiba muncul. Kenapa dia sentiasa ada di mana-mana? “Giliran kumpulan kamu selepas ini tapi masih ada masa bergaduh sesama sendiri?” dengusnya kasar.

Ahli kumpulan yang lain hanya terdiam. Tidak menyangka Imran mencampuri urusan mereka berdua.

“Maafkan kami.” Akhirnya Ziha bersuara.

Lydia tetap membisu. Benci dengan sikap Imran yang mahu menunjuk-nunjuk kuasanya.

“Dahlah, teruskan persembahan kamu. Walaupun ini bukan pertandingan, jangan ambil remeh. Kamu semua dipilih ke sini sebab kami percaya kamu mampu untuk mengambil alih kepimpinan kami nanti!” tegasnya lagi. Suaranya juga mula kendur lalu terus menuju ke bawah pentas.

Ziha dan Lydia hanya berpandangan sesama sendiri.

Selesai membuat persembahan, mereka disajikan dengan persembahan oleh senior-senior yang menari dengan iringan muzik rancak. Terasa kelakar juga bila melihat beberapa Exco yang selama ini terkenal dengan sifat serius, rupa-rupanya pandai juga menghayunkan langkah untuk menari.

“Maafkan aku, Lydia.” Ziha menghulurkan tangannya. “Aku tak ada niat nak bergaduh dengan kau tadi.”

Lydia tergamam. Bodoh betul dirinya. Hanya kerana sebuah lirik, sanggup dia bertekak dengan kawan baiknya? “Aku pun minta maaf.” Huluran disambut. “Aku tak sepatutnya bertindak bodoh.”

Mereka kembali menyaksikan persembahan Exco.

Lydia mencari-cari kelibat Imran. Walaupun tidak menyukai Imran, tetapi hati kecilnya tetap mendesak untuk mengetahui perkembangan lelaki itu. Di mana dia sekarang ya? Sedang cuba mengorat awek yang lain ke?

Pencariannya berjaya. Imran sedang tekun meneliti helaian demi helaian kertas di atas mejanya bersama Exco yang tidak membuat persembahan.

Tiba-tiba pandangan mereka bertaut. Lydia terkhayal seketika. Satu perasaan indah dapat dirasakan dalam setiap urat nadi yang berdenyut-denyut di tubuhnya sekarang.

Imran melemparkan senyuman, lalu meneruskan perbincangan dengan rakan-rakannya.

‘Aneh! Gelojak apakah yang mengalir ke segala sendi-sendi dan tulang rusukku kini? Adakah itu panahan cinta yang tulus dan suci seperti yang diperkatakan Laila dan Majnun? Tiba-tiba dia teringatkan buku kisah cinta di zaman kanak-kanak yang masih tersimpan rapi sebagai koleksi.

‘Ah! Menyesalnya aku tengok dia tadi. Bagaimana dia boleh melihat aku sedangkan aku berada di antara puluhan pelajar lain? Bertentang mata pula tu? Sudah tentu dia menyangka aku meminatinya kerana kami sempat bertentangan mata buat beberapa saat. Aneh! Dia memberi senyuman yang cukup mahal sebelum ini. Apa yang berlaku? Keajaiban apa hingga meruntun hatiku untuk terus mengingati dirinya?’

Sekali lagi Lydia mengangkat mukanya sambil mencari kelibat Imran, namun gagal kerana Imran sudah menghilangkan dirinya. Ke mana dia pergi agaknya?

Testing... testing… 1, 2, 3…” Rupa-rupanya Imran sudah berada di pentas.

Hati Lydia berasa cuak. Adakah Imran akan memalukannya sekali lagi? Adakah lelaki itu tahu punca pergaduhan dengan Ziha tadi? Hatinya makin tidak keruan, menyesal kerana bersungguh-sungguh untuk mengikuti perkhemahan ini. Jika dia tidak berdegil, sudah tentu segala perkara ini tidak berlaku. Perasaan indah ini pula? Dia sendiri juga tidak menyukainya!

“Assalamualaikum... Saya mewakili Exco Desasiswa Cahaya Permai USM amat bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh adik-adik semua. Semangat tidak putus asa menghadapi segala cabaran dalam kembara kepimpinan kali ini harus dipuji. Terus terang saya katakan, semangat dan tekad kamu semua menjalani cabaran, membuatkan kami percaya bahawa kamu adalah pilihan paling tepat sebagai pemimpin pelapis di masa depan.”

Kata-kata Imran disambut dengan tepukan gemuruh.

“Walaupun banyak cabaran yang dihadapi, namun kau orang tetap cekal. Ada yang terpaksa memikul batu setelah telur mereka dirampas juga harus diberi pujian. Walau amanah berupa telur telah musnah, namun berkat kesabaran dan usaha yang bersungguh-sungguh memikul batu yang berat itu, menyentuh hati kami semua. Ada peserta yang takut meniti tali gantung dan sebagainya. Ada yang masak daging hangit sedikit. Tetapi itu sebenarnya adalah pengalaman yang paling indah buat anda semua satu hari nanti.

“Mungkin hari ini anda akan marah kepada kami, yang dikatakan bersikap zalim, kejam dan kasar. Tapi percayalah ia untuk kebaikan anda satu hari nanti. Niat kami baik. Mahu menjadikan anda pemimpin pelapis yang dapat mencorakkan generasi seterusnya dengan lebih baik.” Sekali lagi ucapan Imran mendapat perhatian dan tepukan gemuruh.

Hati Lydia tercuit. ‘Daging hangit dan titian gantung nampaknya ditujukan kepada aku seorang. Kau memang tak habis-habis kan Imran!’

“Saya akhiri dengan memohon ribuan kemaafan jika ada peserta yang terasa hati dengan tindakan saya dan juga exco yang lain. Abang-abang dan kakak-kakak di sini tak bermaksud untuk menganiaya anda. Tetapi memberi pengajaran yang cukup berguna buat anda semua. Setelah berbincang, kami ingin mewujudkan satu lagi anugerah iaitu peserta paling sporting.”

Semua pelajar terdiam seketika.

“Peserta paling sporting bermaksud… walau dia mendapat kritikan dan dimarah, dia cukup sportingdan menerimanya dengan hati yang tabah. Dia tak marah atau berdendam. Jadi, peserta paling sporting jatuh kepada…”

Senior-senior lain bertepuk tangan sebagai muzik iringan. Imran tersengih memandang kesemua anak buahnya. Pandangannya jatuh pada Lydia yang leka membelek kukunya.

“Lydia Taufiq.” Suara itu bergema sekali lagi diiringi tepukan semua peserta.

Liza, Ziha dan Yati mencuit-cuit Lydia yang masih tidak percaya namanya diumumkan. Dengan berat hati, dia terpaksa mengagahkan diri untuk bangun lalu menuju ke pentas.

Imran sudah bersedia dengan sebuah hamper bersama senyuman yang cukup menawan. Bagi Lydia, senyuman itu bagai satu sindiran yang cukup sinis kepadanya. Dengan senyum yang dipaksa, Lydia menyambut hadiah tersebut. Dia terpaksa kaku seketika kerana aksi mereka dirakamkan oleh

beberapa kamera. Bertalu-talu percikan flash mengenai mereka berdua.

Kemudian dia turun dari pentas dan terus menuju ke tempat duduknya.

“Aku percaya yang Senior Imran benar-benar menaruh hati kepada kau,” bisik Ziha di telinganya walaupun dipenuhi dengan sorakan peserta yang kegembiraan kerana esok mereka akan kembali ke kampus di Pulau Pinang.

Lydia melihat hadiah yang baru dimenanginya. Pandangannya beralih ke pentas yang dimonopoli oleh para senior yang menyanyi lagu rasmi Desasiswa Cahaya Permai. Takdir ternyata menemukan kembali dengan Imran yang sedang asyik merenungnya.

Sekali lagi mata mereka bertentangan. Terasa jantungnya dirobek-robek membuatkan hatinya tidak keruan.

‘Benarkan Imran mencintaiku seperti yang dikatakan Ziha sebentar tadi? Dan aku sendiri? Bagaimana dengan pendirianku yang tidak mahu bercinta? Bukankah semua lelaki hipokrit?’ Lydia buntu. Dia hanya mampu mengeluh.

Previous: Bab 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.