Angin yang berhembus lembut tidak mampu memujuk hati yang geram. Masih
terbayang kenangan yang menyakitkan hatinya semalam. Di dalam jadual,
sepatutnya Senior Danial yang menemani mereka berkawal. Namun, tidak
semena-mena, Senior Imran pula menggantikan tugas Senior Danial.
Rasa bengang, geram bersilih ganti di benaknya.
Ikutkan hati, mahu saja dia menarik diri daripada tugasan tersebut. Biar sahaja
Liza yang cukup meminati Senior Imran mengambil alih tugasnya. Dia tidak mahu
memandang muka yang telah mengherdiknya pagi tadi.
“Ehem…
ehem”
Lydia segera berpaling ke arah suara itu. Ziha
yang sedang memegang pinggan sedang merenungnya dengan pandangan yang aneh.
“Kenapa kau tengok aku macam tu?”
Ziha tidak membalas pertanyaannya. Dia hanya
menunjukkan jari telunjuknya ke arah kawah kari dagingnya.
Lydia
terus melihat ke arah kawah itu. Hanya daging yang kering sahaja sedang
dikacaunya. “Ya Allah! Macam mana
boleh lupa letak santan ni? Matilah aku…”
Cepat-cepat dia mengambil santan segera lalu dituangnya ke dalam kawah
tersebut.
Ziha turut mengambil senduk panjang untuk
mengacau kari itu.
“Terima kasih, Ziha. Kalau kau tak ada tadi, dah
tentu kita cuma berlaukkan telur masin, sayur campur dengan sambal saja.”
“Tak ada apa-apalah, Lydia. Nasib baik selamat.
Kalau tak, teruklah grup kita. Nasi dan lauk lain dah masak. Kita tunggu kari
daging ni aje okey!” balas Ziha sambil menyusun bekas yang berterabur. “Jangan
lupa. Lepas asar nanti, kita ada hiking tau.”
“Hiking?” Lydia mengerutkan dahinya.
Istilah hikingdigunakan untuk mendaki bukit dan merentasi segala onak
dan duri dalam belukar bagi menguji ketahanan fizikal dan mental. Penggembaraan
berjalan kaki ini biasanya dilakukan di tempat yang mempunyai persekitaran
semula jadi seperti gunung-ganang atau tanah indah lain.
Bukan dia tidak menggemari aktiviti ini. Tapi
mengenangkan mereka terpaksa berdepan dengan binatang merayap seperti lintah
atau ular yang melingkari pokok yang sewarna dengannya, membuatkan dia rasa
geli geleman. Serta merta bulu roma tegak berdiri mengenangkan habitat semula
jadi hutan itu. Tapi apa nak buat, terpaksalah diharung segala cabaran kerana
dia dan teman-teman terpilih untuk menjadi pelapis pemimpin yang sedia ada.
Pemimpin? Dia hanya mencebik setelah melihat
kelibat Senior Imran melintasi bersama beberapa senior yang lain. Ketika minggu
orientasi, Senior Imran tidak terlalu garang. Mungkin kerana terlalu ramai
pelajar tahun satu yang mendaftar. Tetapi kali ini terserlah sikap hipokritnya.
‘Kau ingat kau boleh kenakan aku ya? Tunggu masa
yang sesuai nanti, aku akan belasah kau cukup-cukup.’ Lydia hanya berbicara
dalam hati sambil tangannya terus ligat mengacau kari daging dalam kawah besar.
“Lydia,
you can do it!” jerit mereka yang berada di seberang bukit. Di hadapan
mereka terbentang sebatang titi kecil yang memisahkan kedudukan gadis itu dan
peserta yang lain.
“Tak boleh! Saya gayat!” jerit Lydia. Dia
memandang ke bawah. Apabila melihat sungai yang berada kira-kira 200 meter
ketinggiannya, dia terasa gayat lagi. Dia cuba mengingati ilmu yang dipelajari
dahulu. Jangan panik, jangan sesekali menoleh ke bawah. Pandang sahaja ke depan
dan teruskan perjalanan anda. Dia mencuba petua tersebut, namun kepalanya mulai
pening. Kini hanya dia seorang sahaja berada di situ sedangkan peserta lain
sudah berlalu meninggalkan perjalanan berkumpulan seramai sepuluh orang.
Senior Imran yang juga berada di situ mula
bercekak pinggang. Entah kenapa darahnya menyirap melihat kerenah freshieyang
satu ini. Hendak dikatakan penakut, rasanya tadi dalam acara memanjat bukit,
dia yang paling di depan. Tetapi sekarang? Hisy! Tak boleh jadi ni.
“Lydia, come on. Takkan itu pun tak boleh
buat!” sambungnya geram dan terus berjalan meniti titian kecil itu. Sampai di
tempat Lydia, terus dihulurnya tangan lantas gadis itu meraihnya. Mata
bertentang mata. Terasa degupan jantung pantas berlari. Tidak terkeluar walau
satu patah perkataan pun dari mulut masing-masing.
Lydia juga kelu. Terasa bayang dirinya berada di
dalam anak mata Imran. Sinar mentari juga dirasakan hanya menyuluh mereka
berdua. Tiga puluh saat berlalu seperti mereka berdua sahaja di situ.
“Woi, Imran!”
Suara itu memecah keheningan. Kelihatan Senior
Danial dan yang lain-lain tersenyum melihat adegan drama romantik itu.
“Kalau nak jadi romeo pun, biarlah kena tempat,”
usik Danial lagi sambil disambut hilaian tawa mereka yang berada di situ.
Dengan pantas, Lydia melepaskan genggaman
tangannya. Entah kenapa, masing-masing terpana sebentar tadi. Dia hanya
mengekori Imran dari belakang sambil mengimbangi badannya. Mereka selamat sampai
di hujung tali tersebut. Mukanya merah menahan malu dengan usikan daripada
senior-senior yang nakal.
“Nasib baik kau dah sampai sini. Kalau tak, aku
dengan Hisham nak ke sana selamatkan korang,” sindir Danial sekali lagi dengan
gelak tawa. Terasa kelakar juga adegan tersebut sebenarnya.
Imran
hanya tersenyum.
Lydia pula terpaksa mengekori Imran kerana
peserta lain sudah di hadapan.
“Lain kali dengar nasihat yang lebih tua! Jangan
nak memandai aje!” nasihat Imran. Nadanya penuh sindiran.
“Eh!” Hanya satu perkataan keluar dari bibirnya.
Tak habis lagi nak marah orang? Geramnya pada Imran membuak-buak. Namun,
memikirkan mereka masih dalam perkhemahan, di matikan hasratnya.
“Ada nak cakap?” soal Imran. Dia memandang Lydia
yang masih mengigil. Lelaki itu hanya tersenyum sinis dengan ekor matanya yang
tajam. Dan amukan Lydia bertali-tali di dalam hati, tunggu mahu meletup.
“Aku
nampak telenovela yang romantis tadi,” kata Ziha apabila Lydia sampai di checkpoint.
“Baik kau jangan mulakan, Ziha!” marah Lydia. Geram
pada Imran masih berbaki, kini rakan-rakannya pula seakan menuang minyak panas.
“Eh! Bukan senang nak diselamatkan oleh YDP kita
tau! Hanya kau sorang aje dalam ramai-ramai peserta okey,” usik Ziha lagi tidak
habis-habis.
Berkerut kening Lydia. Jikalau tidak dikenang
persahabatan mereka, mahu ditinggalkan Ziha terkontang-kanting di situ. Namun
Lydia cuba sabarkan dirinya.
“Ziha… Aku memang tengah marah dan geram ni! Aku
tak mahu dipadan-padankan dengan sesiapa pun. Makin orang berkata, makin aku
benci jejaka perasan tu!”
“Wow! Kalau dah sampai tahap ni, aku percaya kau
memang betul-betul marah.”
“Jadi, boleh tak kita pergi makan sekarang? Aku
lapar sampai seekor kambing pun aku boleh lapah!” marah Lydia lalu menarik
tangan Ziha menuju ke tempat makanan. Sempat dia melirik Imran yang sedang
berbual mesra dengan AJK wanita. Hatinya makin panas dengan tahap miang lelaki
itu. Seakan ada kuasa ajaib pula, ekor mata Imran turut menjeling dia dan Ziha
yang sedang berjalan. Dejavu ke? Cepat-cepat Lydia mengalih pandangannya ke
hadapan. Dasar lelaki gatal.
“Lydia… Jangan ingat aku tak nampak,” usik Ziha.
‘Aduh! Bertimpa-timpa masalahnya. Kenapalah dia
lupa Ziha ada bersama dia? Dah kenapa aku lak yang tak cerdik pandang Napoleon
kecil tu? Geramnya!’
“Dah! Jangan pandang belakang!” Terus dia
menolak Ziha dengan lembut.