Lydia dan Ziha tekun mencatitkan nota-nota penting yang diberikan oleh
pensyarah. Masa berlalu begitu pantas. Kuliah tamat dengan pelajar-pelajar
perlu membuat sedikit bacaan sebelum kuliah sebenar bermula.
“Kelas kita dah habis. Kau nak ke mana lepas
ni?” tanya Ziha.
“Aku ingat nak ke perpustakaan. Buat rujukan
untuk kuliah esok.”
“Wah... rajinnya. Tolong bacakan untuk aku sama
tau,” kata Ziha sambil tersengih.
“Dah! Jangan mengada. Jom ikut aku,” kata Lydia.
“Aku ada hal lain,” jawab Ziha. Dia tersenyum
penuh makna.
Lydia mengangkat keningnya. “Kau nak keluar
dengan Haziq ya? Kau berdua ada apa-apa ke?”
Sambil tersenyum malu-malu, Ziha hanya
mengangguk. “Kau pula tentulah dengan lelaki yang lebih hebat.”
“Lelaki hebat?” tanya Lydia kembali.
“Siapa lagi? Senior Imran, YDP Desa kitalah.
Beruntung kau Lydia,” usik Ziha.
“Eh! Excuse me, aku tak ada perasaan
apa-apa tau! Lagipun dah lama aku tak nampak dia. Tentu sibuk dengan
projek-projek mega dan juga dengan koleksi awek-aweknya.”
“Hai… bunyi macam jealous aje. Kau ada
hati dengan dia, kan?” usik Ziha lagi walaupun dia tahu Lydia tidak suka diusik
pasal lelaki.
“Kau ni Ziha… sehari tak usik aku, tak boleh
ke?”
“Okeylah... aku keluar dengan Haziq dulu.” Ziha
terus melangkah pergi.
Lydia pula menapak menuju ke Perpustakaan utama
USM yang terletak tidak jauh dari dewan kuliahnya.
Dia terus ke tingkat dua perpustakaan. Melihat
senarai bahan rujukan yang telah diberikan oleh pensyarah sebentar tadi, Lydia
mengambil beberapa buah buku yang sudah dijilid lalu mencari-cari lokasi yang
tidak diduduki ramai orang. Dia menjumpai sebuah tempat yang agak tersembunyi
lalu melabuhkan duduk. Dia membelek satu per satu helaian buku tersebut sambil
mencatat beberapa nota penting.
“Assalamualaikum...”
Lydia mendongak. Bagai hendak luruh jantungnya
bila melihat lelaki hebat di depan matanya. Tangannya mula basah dengan peluh,
suara seperti terlekat di kerongkong. Digagahkan jua untuk menjawab salam
tersebut. “Waalaikumussalam...”
“Saya tak menganggu ke?”
“Rasanya tidak.” Lydia rasa tidak sanggup lagi
untuk bertentangan mata dengan Imran. Matanya memandang buku di atas meja.
“Betul ke saya tak ganggu Lydia?” tanya Imran
sekali lagi.
‘Kenapalah lelaki ini suka sangat muncul dalam
hidup aku?’ rungut Lydia di dalam hati. “Tak, Senior Imran,” jawabnya dengan
penuh sabar. ‘Jika tidak sabar, mahu sahaja aku keluar dari perpustakaan ini.
Untuk apa jika hanya menyeksa diri sendiri?’
“Kalau begitu… bolehlah saya duduk sini,” kata
lelaki itu lagi. Dia terus menarik kerusi dan duduk di hadapan Lydia tanpa
segan.
Haruman wangian yang maskulin menusuk ke hidung
Lydia. Dia menjeling sepintas lalu. Imran juga membuka buku.
Suasana sepi. Masing-masing sedang cuba menelaah
apa yang berada di dalam buku. Sesekali Imran membelek helaian buku membuatkan
Lydia terasa mukanya dihembus udara lembut. Perasaannya makin tidak tenteram.
‘Apa yang harus aku lakukan? Berada di sini
seolah-olah tiada apa yang berlaku atau pergi sahaja. Ah! Perbuatan yang kurang
manis. Jadi apa yang harus aku lakukan sekarang?’
“Lydia ambil course apa?” Soalan Imran
memecahkan keheningan mereka berdua.
“Mass comm,” jawab Lydia sambil
mendongakkan kepala memandang ke arah Imran yang leka mengadap buku. Betullah
kata Ziha. Lelaki ini sangat kacak. Tiba-tiba Imran juga mengangkat mukanya dan
sekali lagi perasaannya dibuai dengan keasyikan. Mata itu merenungnya
seolah-olah memberitahu sesuatu yang cukup bermakna sekali. Pantas Lydia
menundukkan pandangannya. Tidak sanggup untuk terperangkap dalam jerat lelaki
ini.
“Baguslah, saya pun minor dalam mass
comm, tapi major in bussiness.”
“Nanti nak pilih major apa? Broadcasting?
Journalist?”
“Journalist. Saya nak jadi wartawan.”
Tanpa sedar, kata-kata itu meluncur laju sahaja dari mulut Lydia. Ke mana pergi
hati keras yang dimiliki sebelum ini?
“Baguslah. Kalau saya nak buat press
conference pasal syarikat saya nanti, bolehlah panggil awak, kan?” gurau
Imran.
Lydia tersenyum. Perasannya dia ni? Ada syarikat
sendiri?
“Imran…” sapa satu suara dengan mesra.
Lydia memerhatikan pemilik suara tersebut.
Seorang gadis jelita, berpakaian agak seksi dengan baju tanpa lengan berwarna
jingga garang dan jeans ketat. Dibandingkan dengan dirinya pula,
hanyalah jeans lusuh dan T-Shirtlonggar. Sungguh berbeza sekali.
Bagai langit dengan bumi.
“Hai, Shereen. Lamanya tak jumpa,” jawab Imran.
‘Dasar lelaki! Semua perempuan harus jadi
miliknya. Perasaan meluat kembali menguasai dirinya. Memang lelaki tidak boleh
dipercayai!’ kata Lydia di dalam hati.
“I miss you so much, Imran. Kenapa
you tak jumpa I cuti semester lepas? Ada awek lain ya?”
“Maaf, I banyak kerja. Ini pun baru habis
ekspedisi Taman Negara,” kata Imran
“Okey I ada temu janji dengan tutor. Jumpa u
nanti ya,” balas gadis itu lalu meninggalkan Imran dengan lambaian yang penuh
menggoda. Setelah dipastikan kelibat Shereen hilang, Imran merenung Lydia yang
kelihatan khusyuk membaca.
“Maaf… terganggu sekejap perbualan kita. Di mana
kita tadi?”
“Tak apalah. Saya pun dah habis studi ni. Saya
balik dululah.” Lydia bangun lalu meninggalkan Imran sendirian. Bangga menyelit
di hati kerana berjaya menepis perasaan indahnya sebentar tadi. Dia memang
tidak akan terperangkap dalam dunia lelaki lagi. ‘Aku benci lelaki.’