SEKALI lagi Datuk Lee Chong Wei mengungguli kategori Olahragawan
Kebangsaan, mengenepikan atlit-atlit lain yang tidak kurang hebatnya. Percikan
cahaya daripada kamera DSLR bertalu-talu menyimbahi acara berprestij itu. Dia
juga tidak ketinggalan merakamkan kenangan bersejarah itu dengan telefon
pintarnya yang baru sahaja dihadiahkan orang tersayang.
“Sorry,
are you Lydia Taufiq?”
Lydia berpaling ke arah suara tersebut. Dia
mengamati penampilan wanita berbaju kurung moden daripada fabrik yang tentu
mahal harganya. Lengkap bersama perhiasan barang kemas yang berkilau-kilau
daripada leher dan pergelangan tangannya.
“Ya saya…” ujarnya lagi lalu menghulurkan
tangan. Disambut dingin perempuan lingkungan pertengahan abad itu. Senyuman
yang lahir daripada perempuan itu juga nampak dibuat-buat.
“Lydia!” Firdaus terus duduk di sebelah lalu
menampar lengannya. “Kau kalah! Orang lain yang menang. Jadi kau kena tengok
wayang dengan aku,” katanya selamba. Namun, setelah melihat Lydia membulatkan
matanya, baru disedari ada ketegangan sedang berlaku. “Err... maaf, saya ada
kerja nak dibuat.” Dia terus beredar dari situ.
“Maaf, dia rakan sepejabat saya,” tutur Lydia
penuh hemah. Tidak mahu mencederakan emosi wanita yang seolah-olah mahu
menerkamnya sahaja. Mungkin dia salah seorang tetamu korporat yang hadir di
majlis Anugerah Sukan Negara. Mungkin juga isteri kepada mana-mana kenamaan
yang tidak memahami cara bekerja orang media. “Jadi ada apa yang boleh saya
tolong?”
“Datin Sairabanu, emak Imran. Boleh kita
bercakap sekejap. Tapi, bukan di sini. Lebih baik kita ke coffee house,”
ujar wanita itu dalam nada sinis.
Lydia terdiam. Berdebar-debar hatinya. ‘Kenapa
Imran tak beritahu kedatangan emaknya?’
Mereka sampai ke café yang agak lengang. Kedua-dua wanita berbeza usia itu
mengambil tempat duduk yang agak tersorok sedikit daripada pandangan orang
ramai.
“Well, I harap you tak terkejut dengan
kedatangan I. Kebetulan, I dapat tahu you kerja malam ni. Sebab tu, I datang.”
Lydia hanya menggeleng. Walhal fikirannya
berselirat. Apakah makrifat mama Imran hingga sanggup bertemu dengannya? Di
tempat yang tidak sesuai pulak tu. Nak merisik ke?
“Memang selalu kerja lewat malam ke?”
“Tak, Datin. Saya hanya bekerja jika ada majlis
atau perlawanan sahaja. Selebihnya kami bekerja mengikut jadual,” beritahu
Lydia.
“Oh! Jika ada perlawanan berlangsung sampai
lewat malam, you pun akan sampai rumah masa orang lain nyenyak tidur, begitu?”
Lydia hanya mendiamkan diri. Menunggu kata-kata
seterusnya daripada perempuan angkuh dengan darjatnya ini.
“Susah juga sebenarnya kan… Antara memilih
pekerjaan yang disukai ataupun kekasih hati? Kalau diberi pilihan, sanggup ke
you tinggalkan kerja sekarang untuk berkahwin dengan Imran?” sindir wanita itu
lagi.
Lydia terkedu. Tidak disangka soalan itu akan terlintas
di benak wanita yang juga sedarah dengan Imran. “Maaf, Datin. Saya rasa lebih
baik saya berbincang dengan Imran terlebih dahulu sebelum…”
“Sebelum segala-galanya terlambat?” Pantas
sahaja Datin Sairabanu mematahkan ayat Lydia. “I tahu hubungan you dengan Imran
serius. Tapi sampai sekarang, I tak nampak the ending of love…
atau you sekadar nak mainkan hati dia?” desak Datin Sairabanu. Kerana gadis
itu, anaknya seakan lupa dunia sebenarnya. Dia tidak akan membiarkan Imran
terpedaya dengan pesona palsu.
“Sebenarnya kami dah lama bercinta, Datin.
Hampir enam tahun. Hubungan kami memang serius. Tak pernah terlintas di fikiran
saya untuk main-main. Cuma, biarlah saya stabilkan kerjaya terlebih dahulu
sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan,” jawab Lydia penuh yakin. Walaupun
keyakinan itu sebenarnya merundum bila melihat cara wanita itu berinteraksi
dengannya.
“Oh! I fikir kau orang dah matang dalam buat
keputusan. Imran 27 tahun dan you pula 26. Takkan masih dalam proses
menstabilkan karier masing-masing, hingga lupa nak kahwin?” herdik Datin
Sairabanu lagi.
“Saya
tahu Imran dah cukup syarat untuk berumah tangga. Saya yang masih belum
bersedia sebab saya mahu berbakti kepada keluarga terlebih dahulu. Saya cuma
minta tangguhkan masa. Itu aje.”
“Tangguhkan sampai bila? Sampai Imran terpaksa
cari perempuan lain?” Datin Sairabanu merenung Lydia dengan tajam.
“Maafkan saya, Datin. Kami masih belum bincang
hal ini. Nanti bila ada masa, saya akan bincang dengan dia.”
“Macam mana nak
ada masa… kalau malam-malam begini pun you masih kerja? Semuanya I tengok
dimonopoli kaum Adam. Apakah bertepuk tampar dengan rakan pejabat lelaki di
kira perkara biasa? You tak rasa itu sangat murahan ke?”
Lydia menggigit bibirnya. Tangannya menggeletar.
Disembunyikannya dengan memegang bahagian belakang kerusi. Kasar sungguh
bahasanya. Tak padan dengan status yang dipegangnya ini.
“Tapi Datin… memang itu rakan sekerja pun. Kami
takda apa-apa,” terang Lydia.
Datin Sairabanu merengus kasar. Baginya tiada
langsung kebaikan gadis yang menjadi pujaan hati anaknya ini, melainkan
wajahnya yang sedap mata memandang.
“Seronoklah macam tu. You berfoya-foya di sini
dengan alasan kerja. Imran pula menanti you yang disangkanya sangat baik. Oh!
Adilnya dunia ini.” Datin Sairabanu mencemik, langsung tidak memandang gadis
polos di hadapannya. Dia sangat benci gadis ini.
“Saya rasa Datin salah faham. Sebenarnya…”
“I pun
tak faham kenapa Imran boleh terpikat dengan you. Kamu berdua sangat jauh
berbeza. Seorang dalam dunia korporat, seorang lagi dalam industri hiburan.
Jadi mana kaitannya?”
‘Pedihnya ya Allah.
Kenapalah aku harus bertemu dengan orang yang tidak pandai langsung menjaga
bahasanya? Sekurang-kurangnya berbasa basilah untuk menjaga hati orang. Dan
hiburan? Dia ingat aku bekerja dengan cara berhibur ke?’
“Beginilah Lydia, kita ringkaskan cerita.
Imran satu-satunya anak lelaki kami. Dia harapan ayahnya untuk meneruskan
legasi bisnes. Lagi pula dia selalu outstation. Dia memerlukan seorang
isteri yang sentiasa bersedia untuk mengikutnya ke mana sahaja. I think you
understand what I’m talking about!”
“Maafkan saya, Datin. Saya tak bermaksud mahu
melambatkan perkara ini,” sangkal Lydia, juga dengan nada yang agak lembut,
walau hatinya berdentam detum mahu meletup.
“Ringkaskan cerita, jika Imran terpaksa outstation
dalam jangka masa yang lama, macam I tanya tadi. Adakah you sanggup berhenti
kerja?”
Dum! Soalan yang
menjerat dirinya sendiri. Soalan itulah yang mahu dielakkan daripada mula.
Kenapa perlu mengaitkan kerja dan hubungannya dengan Imran? Perbandingan yang
tidak setara sebenarnya. Tetapi kata-kata itu hanya bergema di dalam hati.
Tidak terluah dengan kata-kata.
“Lydia,
berpijaklah di bumi nyata. You dengan Imran langsung tidak sepadan. I
harap you takkan kecewakan Imran. I have more attractive girl to him. So,
don’t waste your time!” tempelak Datin Sairabanu lagi.
Lydia terdiam. Tak mungkin mama Imran sanggup
menghinanya sedemikian rupa?
“Sorry, I have to go. So, I hope you will
think about it. Bye...”
Lydia hanya memerhati lenggang wanita yang masih
kelihatan anggun. Maklumlah wanita ternama berbanding emaknya yang hanya berada
di sawah bendang seharian.
Mengapa mama Imran beria-ia mahu dia memutuskan
hubungan dengan anaknya? Adakah hanya kerana mereka tidak setaraf? Atau mamanya
malu bermenantukan seorang gadis yang tiada apa-apa? Adakah Imran tahu tentang
pertemuan hari ini? Adakah mamanya mengetahui rahsia ku selama ini? Tak
mungkin! Imran sendiri tidak pernah mengetahuinya. Kusut! Sangat kusut!
‘Sudah tentu kami tidak akan bahagia jika mama
Imran bersikap begini. Kenapa perlu ada orang ketiga antara kami? Hubungan yang
makin renggang nampaknya memunculkan titik-titik perpisahan. Antara aku dan
Imran, bagaikan jasad dan nyawa. Tetapi andai kata kami tidak dijodohkan
bersama, aku harus redha menerimanya. Ya Allah!
Kuatkanlah semangatku untuk menghadapi saat-saat ini.’