Imran mengadap komputer riba yang baru sahaja dibelinya. Lebih berbaloi
beli dua biji sekali gus dengan harga yang tidak dapat ditolak. Ia keperluan
buat seorang pelajar. Satu untuk gadis kesayangan dan satu lagi untuk diri
sendiri. Sengaja tidak diletakkan sebarang nama di kotak komputer tersebut,
agar tidak dicurigai niat murninya oleh Lydia. Dia hanya mahu menggembirakan
gadis itu.
Komputer riba ditutup. Dia keluar dari Cyber
Café setelah puas melayari internet. Destinasi seterusnya ialah merasai sendiri
kemeriahan Pesta Pulau Pinang. Suasananya cukup padat dengan peniaga yang sibuk
berjualan pelbagai barangan dan juga macam-macam aktiviti menarik.
Tiba-tiba dia melihat pergaduhan kecil berlaku
di gerai yang paling hujung sekali. Tidak terhenti setakat itu, kedua-dua
lelaki tersebut sudah mula menarik-narik baju dan mengacukan penumbuk
masing-masing.
Walaupun mereka bukan pelajar, hatinya tetap
merasakan ia satu tanggungjawab sosial untuk meleraikan pergaduhan tersebut.
Imran berlari pantas untuk menenangkan keadaan. Tetapi ia makin tegang dengan
salah seorang daripada mereka menggunakan sebilah pisau lipat yang berkilat
tajam matanya.
“Sudah! Apa yang kamu gaduhkan?” Imran cuba
menyuraikan keadaan yang agak panas. Orang ramai mula mengeremuni mereka.
Kedua-dua lelaki terbabit masih tidak mahu mengalah malahan lelaki yang
memegang pisau itu sudah mula mengacukan pisau ke arah lawannya.
Imran mahu mematahkan lelaki yang memegang pisau
itu. Dia menggunakan segala ilmu taekwando yang ada dengan memaut kaki lelaki
tersebut, berjaya. Lelaki tersebut jatuh ke tanah, tetapi dia bangkit semula
dengan perasaan yang tidak puas hati. Ada orang ketiga yang masuk campur.
“Abang, kita selesaikan perkara ini baik-baik.
Letakkan pisau tu dan kita bincang!” pujuk Imran, meredakan ketegangan antara
dua lelaki yang berusia 30-an tersebut. Lelaki itu mula meletakkan pisau di
atas meja. Keadaan beransur-ansur tenang. Tetapi ejekan daripada salah seorang
pekedai lain membuatkan hatinya kembali membuak marah. Dia mengambil pisau
untuk menerkam lelaki yang mengejeknya tadi.
Pantas Imran memegang tangan lelaki tersebut.
Nasibnya malang setelah pisau itu sendiri menikam ke arah lengannya. Darah
pekat merah membasahi jalan tar. Bau hanyir bercampur dengan air ikan yang tumpah akibat pergelutan tadi. Keadaan semakin
bingit dengan pekikan orang ramai. Imran sendiri sudah tidak sedar dengan apa
yang berlaku.
Matanya dibuka perlahan-lahan. Hanya dinding putih yang berada di
hadapannya sekarang. Tiada siapa pun berada bersamanya kini. Jiwa dirundung
kesedihan. Bukan kerana menyesal atas tindakannya tadi, tapi alangkah indahnya
jika seseorang dapat menemaninya melalui kedukaan begini.
Tetapi itu hanyalah anganan yang tidak mungkin
menjadi kenyataan. Hanya dia sahaja yang berilusi. Sedangkan orang yang dimimpi
selama ini tidak memandangnya walaupun sebelah mata. Imran tidak mahu menangisi
apa yang berlaku. Dia kembali melihat lengannya yang berbalut. Masih terasa
ngilu pisau yang menoreh kulitnya. Nasib baiklah hanya lengan yang cedera. Jika
bahagian badan lain? Entahlah, sudah tentu dia akan koma sekali lagi.
“Awak dah sedar?” Satu suara lembut menyentuh
cuping telinganya. Dia berpaling ke arah suara itu. Serasa tidak percaya, gadis
yang diminatinya selama ini kini sedang menjaganya?
“Awak kat sini ke? Jaga saya?” tanyanya
terkejut. Terasa mahu mengangkat tangan tetapi dia masih cedera.
“Tak! Sekadar bersama seorang teman di kala
susah,” jawab gadis itu lagi dengan wajah sedikit kelat.
Imran tahu si gadis masih menaruh syak wasangka
terhadap dirinya. “Terima kasih kerana datang melawat saya… Lydia.” Sakit
terasa hilang dengan kedatangan gadis idamannya.
“Jangan berterima kasih dengan saya. Saya
sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai seorang kenalan. Awak masih sakit.
Jangan banyak cakap ya,” pinta Lydia. “Awak nak suruh saya telefon emak dan
ayah awak ke?”
“Tak perlu. Biarlah mereka tak tahu tentang
kejadian ini. Saya tak nak mereka sedih.”
“Dalam keadaan begini pun, awak masih fikirkan
orang lain?” soal Lydia. Dia tidak memahami sikap lelaki yang kononnya mahu
menjadi penyelamat ini.
“Awak rasa terpaksa menemani saya di sini ke?”
Soalan tidak dijawab. Sebaliknya Imran bertanya kembali kepada gadis itu. Dia
mengambil nafas sekejap. Melayani fikiran sambil cuba membaca riak wajah gadis
yang sukar ditelah perasaannya ini. Lydia mengangkat wajah dan memandang tepat
ke dalam anak matanya. Sungguh indah. Dia sungguh-sungguh merindui gadis di
depannya ini.
“Imran!” jerit Lydia. Dia melarikan pandangan
tersebut ke bawah. Tidak sanggup bertentang mata dengan lelaki yang penuh
pesona ini. Dia takut hatinya tidak kuat untuk menolak gelodak asmara yang
makin bergelora di tangkai jiwanya.
“Ya, saya…” balas Imran sedikit terkejut. Namun,
dia tetap kelihatan tenang menangani mood tidak stabil gadis di
hadapannya.
“Kenapa awak terbabit dalam pergaduhan di pesta
tu? Mereka bukannya pelajar. Kejadian pun di luar kampus. Awak tak perlu
babitkan diri. Nyawa awak hampir melayang tau tak?” soal Lydia bertubi-tubi.
“Takkan saya nak pandang aje mereka bertikam?”
Imran bersuara perlahan, menahan sakit di lengannya. Mungkin kesan ubat bius
sudah hampir habis. “Saya cuma nak tolong leraikan mereka daripada bergaduh.
Tak sangka jadi macam ni,” sambung Imran lagi sambil tersenyum tipis pada Lydia
yang memandangnya dengan muka tidak puas hati.
“Tapi mereka jauh lebih tua daripada awak! Takkan
awak tak fikir campur tangan ini hanya buatkan keadaan bertambah buruk?” balas
Lydia masih tidak puas hati dengan penjelasan Imran yang lebih mementingkan
orang lain daripada diri sendiri.
“Tapi sekurang-kurangnya saya berjaya hentikan
mereka dari bergaduh kan?”
“Ya! Mereka tak jadi bertikam sebab mangsanya
ialah awak sendiri…” Lydia bersuara geram. “Kenapa awak selalu beranggapan yang
awak ada kuasa luar biasa untuk menolong orang lain?”
Imran tidak menjawab, tekaknya terasa haus lalu
memuncungkan mulutnya ke arah botol minuman yang terletak nun di atas meja.
Lydia yang melihat Imran bersusah payah bangun cuba membetulkan posisi duduk
Imran. Dia menuang air ke dalam gelas dan menyuakannya kepada lelaki yang
beranduh itu.
“Terima kasih.” Seronoknya dapat melepaskan
dahaga, tekaknya terasa lega.
“Kawan awak yang ramai-ramai tu kat mana?”
soalan lagi.
Imran menghembuskan nafas. Cuba menahan denyutan
yang datang sekejap-kejap membuatkan dia tidak selesa.
“Nak saya panggilkan nurse?” Terasa
bersalah pula melihat reaksi Imran yang kurang upaya. Kenapalah mulutnya tidak
henti bertanya itu dan ini?
Imran menggeleng kepala. “No, thanks.”
“Maaf. Mungkin saya patut datang lain kali.”
Lydia bangun, namun lengannya sempat dipegang oleh Imran yang memaksanya duduk
kembali. Mukanya merona merah. Spontan Imran melepaskan pegangannya. Kali ini
duduknya agak jauh supaya Imran tidak mengambil peluang memegangnya lagi.
Benci!
“Awak tanya apa tadi?”
Imran tersenyum tipis membuatkan Lydia rasa
resah. Kenapalah perasaan ini datang bersilih ganti? Sekejap benci, sekejap
perasaan lain pula menjengah kalbu. Pelik.
“Lupakan aje soalan itu,” kata Lydia. Tiada guna
bertekak berkenaan soalan yang Imran sendiri pun tidak mampu menjawabnya. Mana
mungkin Imran tahu kenapa rakannya tidak datang. Dia kan kat hospital.
“Mereka ada hal lain kot. Lagipun sekarang assignment
tengah banyak. Tak apa, awak ada di sini pun satu rahmat bagi saya.”
“Bukan saya yang sepatutnya di sini. Awak kan
ramai kawan.”
Imran tersenyum, walaupun Lydia melayannya
dengan kata-kata sarkastik, dia yakin ini adalah titik permulaan yang baik
dalam sebuah perhubungan. “Awak ada kelas petang ni?”
Giliran Imran pula menyoal membuatkan Lydia
terkebil-kebil. Perlu ke tahu jadual kelasnya? Lelaki ini bertambah pelik
nampaknya.
“Takda… kenapa?”
“Boleh temankan saya makan tengah hari? Macam
susah pula nak suap sendiri. Kalau awak ada… boleh suapkan?” Imran menjeling
manja ke arah Lydia.
“Awak ni dah kenapa? Suruhlah rakan-rakan
perempuan awak yang ramai tu suapkan. Mana mereka? Sorang pun tak nampak?”
Lydia membeliakkan mata. Melontarkan kata-kata sindiran dengan maksud yang
tersirat.
“Mereka ada kelas. Sebab tu saya minta tolong
awak. Itu pun kalau awak sudi.”
“Jadi, awak perlukan saya ketika awak tiada
kawan berfoya-foya di sisi? Begitu?” Bulat mata Lydia memandang Imran. Kurang
ajar bunyinya, namun terpaksa dilakukan kerana Imran seperti mempergunakannya.
“Kenapa awak nak marah-marah? Bukan ke kawan
sepatutnya disisi saat susah dan senang? Awak di hadapan saya sekarang? Salah
ke saya minta tolong?” pinta Imran penuh mengharap.
Lydia
merengus perlahan. Tapi, betul cakap Imran. ‘Kenapa aku marah-marah dia?
Sepatutnya aku bantu dia. Jika tak dapat bantu, tolong jangan sakitkan hati
orang boleh tak?’ Dia memarahi dirinya sendiri.
“Tengoklah dulu macam mana petang ni.” Nada
suaranya agak kendur. “Cuma saya nak tanya awak satu soalan…” Lydia cuba
menduga.
Imran sudah dapat merasakan bakal muncul satu
masalah baru dalam kehidupannya sekejap lagi. Dia hanya membatukan diri, membiarkan
Lydia menguasai bicara.
“Awak tercedera kerana menolong orang. Tapi saya
lagi terluka kerana ada orang yang beri bantuan tanpa hiraukan perasaan saya
langsung!”
“Apa yang awak cakap ni?” sangkal Imran.
“Tak payah berpura-pura Imran! Komputer itu awak
yang punya, kan?” Imran tercengang-cengang. Tidak sangka yang rahsianya
terdedah jua walaupun tanpa sebarang bukti. “Saya akan pulangkannya sebab saya
pun akan beli komputer dengan duit saya sendiri. Saya tak perlukan simpati
sesiapa pun!” Puas hati Lydia setelah meluahkan apa yang terbuku di hati.
“Saya
menolong kerana ikhlas.”
“Tak perlu! Saya tak perlukan semua tu!” Lydia
mengalihkan pandangannya ke arah bertentangan dari Imran. Dia tidak mahu
terlalu kasihan dengan pemuda ini.
“Tapi Lydia…”
Bicara Imran terhenti. Seorang gadis cantik
membuka pintu dan terus meluru ke arah Imran. Gadis itu terus duduk di birai
katil tanpa menyedari kehadiran Lydia di situ.
“Abang…What’s wrong with you?” sapa gadis
itu lagi sambil mengelus-ngelus rambut Imran.
Lydia
hanya memerhati. Dia ingin untuk keluar sahaja dari bilik tersebut, tetapi
kakinya bagai terlekat di wad 303 itu. Cantiknya gadis yang berpakaian agak
mendedahkan dengan tiub dan jeans separas lutut itu. Perawakan seperti anak
orang kaya. Pastinya menghairahkan hati lelaki yang memandang walaupun orang
itu hampir kehilangan nyawa. Hatinya bagai bersetuju dengan keputusan yang
diambil sebentar tadi. Ya! Imran memang seorang kasanova. Semua lelaki memang
tidak boleh dipercayai.
“Takda apa… cuma luka sikit dekat lengan ni,”
jawab Imran perlahan. Matanya masih memandang ke arah Lydia.
Lydia merasakan dirinya tidak diperlukan lagi.
Dia mula melangkah untuk keluar dari situ.
“Eh! Ada orang di sini?” Gadis itu berpaling ke
belakang setelah menyedari derapan kasut. “Hai...” sapanya penuh mesra.
Lydia hanya tersenyum tipis dan mengangguk. Dia
hanya mahu cepat-cepat sahaja berlalu dari situ.
“You Lydia, kan?”
Pertanyaan itu membuatkan langkah Lydia
terhenti. Dari mana gadis comel ini tahu namanya? Mengapa gadis itu kelihatan
selamba aje? Diamatinya wajah gadis itu. Barulah dia sedari ada persamaan iras
antara Imran dan gadis itu. Jangan-jangan mereka ni adik-beradik?
“Saya Yana, adik Imran,” ujarnya lagi sambil
menghulurkan tangan. “Kak Lydia dah nak balik ke?”
“Ya...” Itu sahaja yang mampu diucapkan ketika
ini. Dia betul-betul tergamam. Kak Lydia? Entah apa yang diceritakan oleh Imran
mengenai dirinya. Semua cerita kampus dikongsi bersama adiknya? Tak pandai
menyimpan rahsia langsung! getus hatinya.
“Terima kasih kerana jaga Abang Imran. Yana pun
tak boleh lama sebab ada ujian kat sekolah. Dapat berita ni pun dari kawan baik
abang Imran. Yana terus ambil flight datang sini.” Panjang lebar sahaja
penerangan gadis petah ini.
Lydia merasakan ini masa yang tepat untuk
berlalu dari situ. Dia sudah tidak betah lagi untuk berada dalam situasi yang
mengelirukan.
“Maaf. Saya pun ada hal. Saya pergi dulu ya!”
Lydia mengangguk dan terus pergi dari situ.
Keliru
dan simpati bercampur aduk membuatkan dia tidak mahu lagi memikirkan lagi
tentang lelaki yang seorang ini. Kepalanya penuh sesak dengan persoalan demi
persoalan.
‘Ah! Kenapa aku memeningkan kepalaku dengan
insiden seperti ini? Aku sudah lari daripada matlamat asal. Kalaulah arwah ayah
dan emak tahu mengenai perkara ini, sudah tentu mereka sedih. Noktah! Lelaki
sudah tidak ada dalam kamus hidupnya walaupun lelaki sebaik Imran.