Untuk apa kehidupan ini jika apa yang dimiliki sudah tiada erti lagi?
Sesekali mindanya merusuh, terbayang
tangan kasar lelaki yang tidak berperikemanusiaan itu melantun tubuhnya
sesuka hati. Setakat manalah kudrat seorang kanak-kanak yang belum akil baligh
untuk melawan tenaga manusia yang hanya mahu memuaskan nafsu serakahnya sahaja?
Dia tersepit antara masa depan diri sendiri dan
juga keluarga. Memberitahu seseorang walaupun emaknya bermaksud memusnahkan
segala apa yang dimiliki oleh keluarganya ketika ini. Bagaimana dengan tapak
rumah yang didiami sekarang? Mereka tetap akan dihalau. Mungkin juga cerita
buruk tentang dirinya akan tersebar. Seorang budak naif mengada-ngadakan
cerita. Tiada siapa pun akan percaya kata-kata budak sepertinya. Apatah lagi
melihat muka pak uda yang baik dan selalu menolong orang-orang kampung yang
dalam kesusahan.
Berdiam diri pula membuatkan masa depannya sudah
tidak secerah seperti yang diimpikan selama ini. Insyirah berhenti menulis
seketika. Memandang cermin yang sudah retak seperti hatinya yang retak seribu.
‘Aku tiada pilihan. Sebenarnya aku langsung
tidak diberi peluang untuk memilih. Jadi jalannya hanyalah satu, berdiam diri
sambil mengubat hati yang lara.’
“Syirah!”
Laungan suara emaknya bergema. Dia memasang
telinga. Walau hati sedang bergundah, namun panggilan emak terus di sahut.
Ruang tamu dijengah. Emaknya sedang membetulkan selendang di kepala.
“Mak nak tolong Mak Esah potong bawang untuk
cukur jambul cucu dia. Syirah nak ikut tak?”
Insyirah menggeleng. Cuaca panas membuatkan
hatinya bertambah walang. Bukan itu saja. Dia tidak mahu bertemu dengan sesiapa
hatta kawan-kawannya sendiri.
“Kalau macam tu, mak pergi dengan adik-adik kau.
Ingat ya, ayah balik nanti Syirah panaskan sayur lemak panas. Ayah tak suka
makan sejuk-sejuk,” pesan emaknya lagi.
Insyirah mengangguk. Dia menyorokkan diari ke
dalam kotak kayu. Selepas itu, dia berbaring di atas katil. Tidak sempat mata
terlena, bunyi pintu rumah dikuak dengan kasar. Derapan kaki melangkah
membuatkan dia terbangun. tu? Apakah
mungkin…
Tidak sempat berfikir, pintu biliknya sudah
diketuk kuat. Bertalu-talu bunyinya meminta untuk dibuka. Suara garau di luar
sudah menjelaskan segala-galanya. Lelaki yang amat ditakutinya kini hanya
berada beberapa jengkal sahaja. Hanya sekeping dinding nipis memisahkan mereka
berdua. Dia tidak punya jalan lain, memboloskan diri ke bawah katil dengan
penuh ketakutan. ‘Ya Allah,
lindungilah hamba-mu yang tidak
berdaya ini,’ bisik hatinya.
Akhirnya pintu di luar berjaya dibuka. Nasib
baiklah tidak pecah akibat hentaman yang kuat. Susuk tubuh sasa mendengus kuat
seakan mencari-cari sesuatu. Insyirah hanya mengerekot, cuba menahan nafas.
Tangannya menggeletar. Hatinya berdoa, moga lelaki durjana itu tidak menemui
nya.
Namun, dia dapat melihat lutut sudah dirapatkan
ke lantai. Walaupun sudah berundur ke belakang dan rapat hingga ke dinding, ia
tetap tidak mampu melindunginya.
“Oh! Kau dah pandai sembunyi ya?” Dengan rakus
rambutnya ditarik keluar. Air mata berhambur laju meminta pertolongan agar pak
uda tidak mengapa-ngapakannya. Tangisan itu sedikit pun tidak melembutkan hati
lelaki yang bertopengkan syaitan.
“Kau memang naik lemak, kan?” Makin kuat diragut
rambut kanak-kanak malang itu hingga Insyirah menjerit. Lebih kejam puntung
rokok yang masih bernyala sengaja dimatikan api pada lengan Insyirah. Menangis
gadis mungil itu menahan kepedihan.
“Kasihanilah saya pak uda,” rayu Insyirah.
“Ah! Kenapa baru sekarang kau nak merayu? Tadi
kenapa sembunyi?” Dilepaskan rambut Insyirah. Dia menendang-nendang kaki
kanak-kanak perempuan yang hanya berusia 11 tahun itu. Sekali tendangan tidak
pernah memuaskan nafsu amarahnya. Kali ini sasarannya di bahagian perut yang tidak
sempat dilindungi gadis kecil itu. Tiada lagi perasaan kasihan. Yang terzahir
hanyalah seorang manusia yang lebih kejam daripada binatang.
“Aku kata, jangan bagitahu sesiapa, kan? Tapi
kenapa ayah kau berpaling tadah? Setelah apa yang aku tabur selama ini… ini
balasannya? Nah! Ambil ni.”
Tidak cukup di perut, kali ini bahagian belakang
pula menjadi mangsa sepakan Kasim. Insyirah cuba untuk bangkit tapi dia jatuh
kembali. Kakinya sudah tidak mampu untuk berdiri.
“Pak uda… sakit. Tolonglah lepaskan saya,” rayu
Insyirah lagi. Suaranya makin perlahan, tersekat-sekat di rengkung.
“Budak tak guna!” herdik Kasim. Kali ini cuba
merentap baju Insyirah pula. Nasib baiklah bunyi laungan salam di hadapan rumah
menyedarkannya daripada kerja gila itu. Terkocoh-kocoh Kasim berlari keluar
melalui pintu dapur.
Insyirah
terdiam sambil menahan ketar. Giginya terkacip-kacip menahan kesakitan di
seluruh tubuh. Dahinya juga berdarah merah pekat. Laungan salam beberapa kali
dari suara lelaki di luar tidak dihiraukannya. Usahkan untuk menjawab, membuka
suara pun dia tidak mampu. Dia menyelimuti seluruh tubuh dan cuba bertenang
seketika dengan harapan ia mampu melenyapkan kesakitan yang ada. Dalam
kesukaran, tangannya mengelap dahi yang berdarah.
Darah
itu tidak lagi memberi makna kerana penderitaan emosinya lebih parah dari itu.
Tangannya semakin menggeletar. Kakinya berasa kebas.
Kerana tendangan yang begitu kuat, dia tidak terasa bahagian mana yang lebih
sakit. Laungan salam kini mula sayup-sayup kedengaran. Harapannya kini agar
lelaki itu segera pergi dan emak pulang lambat agar tidak mengetahui rahsia
yang cuba diselindungi.