Bab 17
Hubungan Elyna dan Fariz kembali dingin dari
sebelumnya. Masing-masing membuat hal sendiri sehingga mengabaikan Dian yang
memerlukan kasih sayang dari mereka berdua. Sehingga suatu hari, Dian pulang
lewat ke sekolah. Apabila ditanya oleh bibik Endang, Dian hanya mendiamkan diri
dan lebih senang berkurung di dalam
bilik. Gelak tawanya kadang kala meletus walaupun tiada sesiapa
bersamanya saat itu.
“
Dian, jom makan…” panggil bibik Endang seraya menolak pintu bilik Dian. Anak
kecil itu ralit melakarkan sesuatu di dalam buku tulis miliknya. Kemudian dia
tergelak kecil seakan berbual dengan seseorang.
“
Cantik tak kak?” soal Dian sambil menghulurkan buku tulis ke hadapan. Gadis
cantik yang sebaya mamanya menganggukkan kepala. Semakin kuatlah Dian
melepaskan tawa apabila dipuji oleh ‘ kawannya’ itu.
Bibik
Endang memandang ke sekiling bilik. Tiada sesiapa yang menemani Dian saat itu.
Entah kenapa bulu roma bibik Endang seakan meremang dengan sendiri.
“
Dian…” bibik Endang duduk di sebelah Dian. Kehadirannya seakan tidak disedari
oleh anak kecil itu. Kemudian matanya terpacak pada gambar yang dilukis oleh
Dian. Bila diperhatikan dengan teliti, bibik Endang terjerit kecil. Pantas
mulutnya ditutup. Gambar sebuah perigi buta dan satu lembaga perempuan
kelihatan hidup dan menyeramkan. Pantas bibik Endang mengambil buku tersebut.
Dia mengucap berkali-kali sebelum terdengar rengusan yang agak kuat.
“
Bagi balik!” tutur Dian dengan kasar. Mukanya masam mencuka. Matanya kelihatan
tajam dan menakutkan bibik Endang.
“
Dian, jom makan. Bibik temankan ya!” ujar bibik Endang seraya menarik tangan
Dian. Buku tersebut ditutup rapat dan diletakkan di bucu katil. Dia benar-benar
rasa seram dengan sikap anak kecil itu. Hatinya juga merasa tidak sedap dengan
apa yang sedang berlaku.
“
Dian ajak kawan Dian sekali.” Dian masih berkasar. Dia merenung kawan barunya
itu. Gadis itu hanya diam membisu.
Bibik Endang mendengus perlahan. Kecil-kecil dah melawan!
“
Nak ajak kawan yang mana? Lain kalilah Dian ajak. Bibik masak lebih sedap!”
pujuk bibik Endang. Dian mendiamkan diri. Dia bangun dan bergegas mengikut
langkah bibik Endang. Sempat dia melambai tangannya ke belakang. Sikapnya itu
membuatkan bibik Endang tidak senang duduk.
“
Bibik, cantik tak kawan Dian tadi? Dian jumpa waktu nak balik dari sekolah. Dia
kata, dia nak kawan dengan Dian.” Dian menutur kata ketika menjamah nasi di
dalam pinggannya. Wajah bibik Endang berubah secara tiba-tiba.
“
Kawan Dian tu kecil macam Dian ke?” soal bibik Endang . Dia meletakkan lauk
untuk Dian. Anak kecil itu menggelengkan kepalanya dengan laju.
“
Kawan Dian tu, sebesar mama. Cantik bibik! Bibik tak nampak ke tadi? Apalah
bibik ni! orang besar macam tu pun tak nampak!” Dian seakan mencemuh. Dia makan
dengan berselera sebelum teringatkan sesuatu.
“
Bibik, nanti letakkan nasi untuk kawan Dian tu ya. Dian takut dia malu nak
makan dengan kita,” tokok Dian lagi. Bibik Endang semakin bimbang dengan sikap
Dian. Sesekali dia memasang telinga kalau-kalau Elyna atau pun Fariz telah
pulang ke rumah. Risau dia jika perkara tidak diingin berlaku kepada mereka.
Dia yakin ada sesuatu yang berdamping dengan anak kecil itu. Sesuatu yang tidak
nampak dek mata kasarnya!
“
Bibik, jangan lupa hantar nasi tu! Nanti kawan Dian lapar!” tutur Dian dengan
kuat. Dia menolak pinggannya ke tepi dan bangun untuk berlalu. Belum sempat
bibik Endang membalas kata-kata Dian, anak kecil itu berlari anak ke bilik.
Entah bila tangan dibasuh, bibik Endang langsung tidak perasan. Sudahnya, dia
hanya mampu berdoa agar tiada perkara buruk berlaku kepada mereka berdua.
****
Sungai yang semakin cetek nampak cantik apabila
pasir di dasarnya kelihatan di pandangan mata. Hairul dan Zack asyik mengutip
pucuk paku yang tumbuh meliar di kawasan sungai itu. Sesekali kelihatan
beberapa ekor monyet berkejaran di atas dahan pokok. Burung-burung yang
berterbangan riang, menghidupkan lagi suasana di Kampung Lubuk Nipah.
Setelah
pucuk paku yang dicari mencukupi untuk makan makan malam nanti, Zack dan Hairul
duduk di atas pasir dan mengadap ke gigi air. Udara yang nyaman membuatkan
tubuh mereka terasa segar.
“
Zack, dah berapa lama ek kita terkurung dekat sini? Aku rasa macam dah lama
sangat!” ujar Hairul sambil menjeling Zack sekilas. Lelaki itu seakan tenggelam
di dalam dunianya sendiri. Soalan Hairul tidak terbalas.
“
Zack!” bahu Zack disentuh. Pantas lelaki itu berpaling seraya menjungkit
kening. Hairul mendengus perlahan. Sempat pulak mamat ni berkhayal!
“
Aku tanya, dah berapa lama kita terkurung dalam kampung ni? Aku rasa macam dah
lama sangat!” Hairul menekankan suaranya. Zack membilang dengan jari. Kemudian
dia memandang Hairul yang masih menunggu jawapan darinya.
“
Dah seminggu lebih dah! Kalau ikut perancangan, hanya dua minggu kita ambil
cuti. Itu pun si Saiful tu suruh kita cuti selama sebulan. Nasiblah kita ni
berniaga sendiri. Kalau tak, mahu kita semua ni kena pecat!” ujar Zack dengan
panjang lebar. Hairul menganggukkan kepalanya beberapa kali. Dia mendiamkan
diri sejenak sebelum keluhan berat terlepas dari mulutnya.
“
Aku takut, kita akan tinggal di sini buat selama-lamanya. Apa yang paling aku
takut, benda tu kacau kita lebih teruk lagi. Kau tak ingat masa Mimi kena rasuk
tu? Nasib muka kau calar balar je. Kalau dibuatnya dia gigit kau, habislah..”
Hairul melepas kata. Fikirannya mula memikirkan perkara yang tidak baik.
“
Takkan sampai macam tu. Kau jangan buat aku takut boleh tak? Lagi pun, bukan
kita punca semua ni. Takkan benda tu nak balas dendam pada kita. Tak adil kut!”
balas Zack tidak senang dengan kata-kata Hairul.
“
Zack, kita tak tahu punca kita diganggu. Lembaga perempuan tu, dia nak apa
sebenarnya? Mungkin sebab kita dah ceroboh tempat dia. Mungkin juga sebelum ni,
ramai orang tinggal kat kampung ni. Tapi bila kena ganggu, semua melarikan
diri. Cuma kita je yang boleh datang ke kampung puaka ni!” Hairul menggunakan
logik akal. Zack menguis-nguis pasir dengan kakinya.
“
Agaknya, perempuan tu kena bunuh. Lepas tu mayat dia orang campak dalam semak
samun. Sebab tu kita jumpa rangka tangan hari tu,” ujar Zack perlahan. Fariz
termenung panjang memikirkan kata-kata lelaki itu.
“
Kena bunuh? Siapa yang begitu kejam mengambil nyawa orang sesuka hati!” ujar
Hairul akhirnya. Zack hanya menggelengkan kepala beberapa kali. Dia kemudian
bangun dari pasir. Hatinya tidak sedap dengan andaiannya sendiri.
“
Kau nak pergi mana?” Hairul turut bangun dan mengibas-ngibas seluarnya yang
berpasir.
“
Baliklah. Aku tak sedap hatilah tinggalkan Mimi dan Joe kat rumah tu. Kalau
diorang bergaduh pun kita tak tahu. Bukan kau tak kenal diorang tu. Macam
anjing dengan kucing!” balas Zack seraya berlalu. Hairul menjungkit bahu dan
mengikut langkah Zack menuju ke kereta. Tanpa membuang masa, enjin kereta
dihidupkan dan meluncur laju meninggalkan kawasan tersebut.
****
Mona menghampiri Fariz di sebuah restoran dengan
senyuman. Lelaki itu nampak kusut dan kelihatan tegang. Tanpa dipinta, dia
duduk dan memanggil pelayan untuk membuat pesanan.
“
Apple Juice ya dik!” tutur Mona dengan ramah. Dia kemudian menilik wajah tampan
Fariz. Lelaki itu seakan tenggelam dalam khayalannya sendiri.
“
Fariz…” panggil Mona sambil mengetuk meja beberapa kali. Fariz tersedar dari
lamunan dan mendengus perlahan apabila melihat Mona berada di hadapan mata. Dia
tidak suka mencari masalah. Di mana ada Mona, pasti masalah akan datang
kepadanya. Bukan dia tidak kenal dengan gadis itu. Pandai memujuk rayu dan
mengambil kesempatan atas kelemahan lelaki sepertinya.
“
Kau tak ada kerja ke selain ganggu aku?” soalan Fariz agak keras. Mona yang
sudah terbiasa dengan sikap lelaki itu, tergelak kecil.
“
Fariz, Fariz..kau dah banyak berubah kan? Kau tak rindu dengan aku?” soal Mona.
Dia merenung dalam ke anak mata Fariz. Lelaki itu memang telah berubah.
Langsung tiada minat dengan kecantikkannya lagi.
“
Aku nak rindukan kau buat apa? Buat semak je!” balas Fariz acuh tak acuh saja
bunyinya. Belum sempat Mona menjawab, air yang dipesan sampai ke meja. Pantas
dia mengucapkan terima kasih kepada pelayan yang datang.
“
Kau seronoklah kalau aku mati? Kalau aku mati baru kau nak cari aku? Kau lupa
ke Fariz, dulu kau cakap aku ni jauh lebih baik dari isteri kau! Sekarang??”
ucap Mona dengan geram.
Fariz
mengetap bibir. Tanpa dia dan Mona sedari, satu lembaga menyeringai di bawah
meja makan. Matanya merah bak saga
seakan menyimpan dendam yang mendalam.
“
Kalau kau nak mati, kau matilah! Buat apa aku nak cari kau. Eh, Mona, kau tak
tahu erti taubat ke? Aku ni suami orang! Kalau kau nak, berlambak lelaki bujang
kat luar sana. Buat apa kau nak ganggu aku lagi?” Fariz kelihatan tegang.
Banyak benar masalah yang menimpa dirinya. Sudahlah hubungannya dengan Elyna
berantakan, kehadiran Mayang Srai pula seakan mengganggu rutin hariannya. Semua
itu cukup memeningkan!
“
Sampai hati kau, Fariz. Walaupun aku ni jahat, tak semua orang aku cinta. Aku
hanya cintakan kau. Lelaki yang hadir dalam hidup aku, semuanya tak guna!
Mereka hanya ingin ambil kesempatan! Tak macam kau!” balas Mona dengan penuh
perasaan. Fariz tersenyum sumbing.
“
Tak guna? Yang kau rela dibawa ke sana ke mari tu apa cerita pulak? Kau tak
rasa ke diorang semua tu hanya main-mainkan kau!” ujar Fariz melepas kata. Mona
merenung anak matanya dengan tajam.
“
Termasuk kau? Macam tu Fariz?” soal Mona inginkan kepastian. Fariz hanya
mendengus perlahan. Malas dia melayan pertanyaan gadis itu. Jika diikutkan, dia
tidak pernah bermimpi untuk berkahwin sekali lagi.
“
Aku bukan yang terbaik untuk kau Mona!” ujar Fariz menjawab persoalan Mona.
“
Habis tu selama ni? Apa yang kau janji dengan aku? Kau cintakan aku kan?”
soalan Mona yang bertubi-tubi menyakitkan telinga Fariz. Belum sempat dia
bersuara, kedengaran Mona menjerit kuat. Semua mata memandang kepada mereka.
Pantas gadis itu mengendap ke bawah meja. Satu lembaga perempuan menyeringai kepadanya. Darah dan lendir hijau
kelihatan basah dan meloyakan tekaknya.
“
Kau apahal? Nak tarik perhatian orang? Tak habis-habislah kau ni buat perangai
Mona!” Fariz cuba bangun namun sempat ditarik oleh Mona. Wajah Mona berkerut
seakan menahan kesakitan yang teramat.
“
Fariz…ada apa kat bawah meja tu Fariz?” Wajah Mona kelihatan pucat tidak
berdarah. Pantas Fariz menundukkan kepalanya. Tiada sesiapa di situ. Dia
kemudian merenung kepada Mona sekilas sebelum bangun meninggalkan gadis itu.
“
Fariz..tunggu aku Fariz!” panggil Mona sebelum meletakkan sekeping duit sepuluh
ringgit di atas meja. Dia mengejar Fariz dengan kaki yang mula berlumuran darah. Sampai di tengah
jalan, sebuah kereta meluncur laju dan tubuh Mona terhumban jatuh betul-betul di hadapan Fariz. Darah
merah mebuak-buak keluar dari mulutnya.
Kereta
yang melanggar Mona, memecut laju tanpa berniat untuk berhenti. Fariz yang
tergamam dengan sitausi tersebut, terduduk di hadapan Mona. Gadis itu
menggeletik kesakitan.
“
Fariz…ada benda yang ikut kau, Fariz. Benda tu ada bawah meja tadi. Kau
hati-hati.. Aku…sayangkan kau…” Mona menutur kata sebelum menutup mata buat
selama-lamanya. Tanpa sedar, Fariz menjerit sekuat hati dan menangis
teresak-esak di situ. Orang ramai yang datang berkerumum hanya mampu
menggelengkan kepala. Innalillah hi wainna ilaihi rajiun…