SEBAIK sahaja selesai mengalas perutnya yang lapar,
Hirwan kembali menatap sebuah novel yang sangat unik terletak elok di atas
meja. Hirwan berasa teruja dan segera mengambil telefon bimbitnya untuk merakam
gambar novel yang dikatakan amat berpuaka itu. Dia cuba memuat naik ke aplikasi
Instagram dan juga Facebook tetapi malang baginya gambar itu seolah-olah tidak
mengizinkannya berbuat demikian. Hirwan mendengus geram. Bagai hendak melempar
sahaja telefon bimbitnya setelah segala usahanya menemui kegagalan. Bukan
sahaja ke media sosial gagal dimuat naik gambar novel puaka itu, malahan
menghantarnya kepada rakan-rakan juga tidak boleh. Seakan ada halangan untuk
dia berkongsi gambar novel puaka yang kini berada di hadapan matanya. Ahhh..
Bagaimana dia hendak membuktikan kepada mereka?
“Hesy! Kenapa aku tak boleh upload gambar novel puaka ni? Apa yang tak kena? Handphonebaru kut.”
Sakit hati Hirwan bukan kepalang lagi. Dia tidak
memberikan sepenuh tumpuan terhadap novel puaka itu. Hirwan membaringkan
dirinya di atas sofa sambil merenung ke atas. Entah apa yang difikirkannya.
Tiba-tiba dia mendengar sesuatu yang datang dari sisinya.
Pantas Hirwan memalingkan kepalanya. Alangkah terkejutnya Hirwan apabila dia
melihat novel yang dikatakan berpuaka sedang membuka helaian demi helaian muka
surat seolah-olah meminta Hirwan membaca isinya dengan segera.
Hirwan berasa pelik lalu matanya meliar ke sana sini
mencari punca bagaimana novel berkulit keras berkerawang itu mampu membuka
helaian demi helaian dengan sendiri kerana di dalam rumahnya tidak ada angin
melainkan penghawa dingin. Penghawa dingin juga tidak mungkin akan mampu
membuka kulit novel itu dengan sendirinya.
“Peliknya. Betul ke ia berpuaka? Macam mana boleh terbuka
dengan sendiri sedangkan tak ada angin dalam rumah aku,” Hirwan berkira-kira
ingin mengambil novel puaka itu sesudah lama merenunginya.
Hati Hirwan dilanda debaran rasa yang cukup kuat. Debaran
hatinya bagaikan ombak rakus menghempas pantai. Beberapa kali Hirwan menelan
liurnya dan menarik nafas dalam-dalam.
Keadaan novel puaka itu menarik perhatian Hirwan agar
terus membaca tanpa menangguh walau sesaat jua. Fikiran Hirwan masih sangsi
tetapi entah kenapa hatinya seperti tertarik untuk mengambil novel itu.
“Aku akan buktikan pada semua yang novel ni bukan novel
puaka. Mereka saja nak main-mainkan aku agar aku percaya akan kewujudannya,”
Hirwan memandang sinis walaupun debaran hatinya masih tidak mahu surut.
Sekali lagi Hirwan menarik nafas yang panjang setelah
novel puaka itu berada di dalam genggamannya di dalam keadaan tertutup. Hirwan
menutupnya ketika diambil sebentar tadi. Sebelum membaca sebarang cerita yang
terdapat di dalam novel puaka itu, Hirwan memasang rekod video dan diletakkan
di atas satu sudut ruangan agar nampak jelas. Dia mahu buktikan sesuatu pada
mereka yang memperlekehkannya.
Sebentar kemudian, Hirwan terus membaca kisah-kisah yang
terdapat di dalam novel puaka itu. Dari muka surat pertama hinggalah
seterusnya. Makin dibaca makin menarik kerana keseraman yang terkandung di
dalam novel puaka itu amat lain sekali. Ia seolah-olah hidup dan Hirwan
tenggelam di dalam cerita yang dibacanya. Hirwan terus terleka dalam dunia
ciptaaan novel puaka itu sehingga dia tidak sedar waktu sudah menginjak ke
angka 3 pagi. Walaupun mengantuk tetapi mata Hirwan masih degil untuk
melelapkannya selagi pembacaannya tidak menemukan perkataan tamat. Setiap
cerita yang berbeza membuatkan Hirwan semakin segar.
“Menarik sungguh cerita seram di dalam novel berkerawang
ni. Tak sia-sia aku menyerunya. Cerita-cerita yang tekandung di dalamnya
seolah-olah hidup. Betul ke semua cerita di dalam novel ni berdasarkan cerita
sebenar?”
Hirwan bertanya kepada dirinya sendirinya. Ada kalanya
Hirwan terasa seakan-akan cerita-cerita di dalam novel itu bergerak dengan
sendirinya seakan satu wayang gambar. Apa yang tercerna di mindanya dapat
dilihat di dalam novel puaka itu seolah sedang menonton cerita. Keadaan itulah
yang sebenarnya membuat Hirwan terus hanyut dan terleka. Novel puaka ini mampu
menarik minta pembacanya agar tidak meninggalkan satu pun isi cerita yang
tercatat di dalamnya. Semakin lama semakin ngeri dan semakin menarik untuk
terus dihadamkan oleh pembacanya.
Di dalam keasyikan membaca, penumpuan Hirwan terganggu
apabila muka surat seterusnya tidak mencatatkan apa-apa cerita. Kosong. Hirwan
merasa aneh dan mula bengang dengan keadaan itu. Hatinya mula hangat.
“Ni yang aku tak suka. Tengah syok-syok baca, tak ada
cerita pula pada bab seterusnya. Kalau tak nak bagi aku baca, cakap ajelah tak
payah buat macam ni,” semakin lama semakin tercungkil amarah Hirwan. Mahu
sahaja dilemparnya novel puaka itu tetapi tangannya tidak sempat melakukan apa
yang dirancang mindanya kerana di dalam muka surat seterusnya muncul
tulisan-tulisan yang menggambarkan sebuah cerita yang lain.
“Wow! Novel ni betul-betul sakti. Ia seolah-olah dapat
dengar kemarahan hati aku dan terus melakarkan cerita yang lain. Bagus-bagus,
aku suka!” wajah Hirwan kembali berseri-seri dan terus membacanya dengan rakus.
Makin lama makin seronok dia menghayati cerita baru yang baru sahaja muncul di
dalam helaian-helaian kosong itu.
Tiba-tiba sahaja, Hirwan terasa ada air yang jatuh di
atas kepalanya. Terhenti pembacaan Hirwan yang sudah datang ke bab di mana
suatu makhluk akan muncul di dalam cerita yang sedang dikarang oleh entah siapa
penulisnya.