Home Novel Cinta REMAKE
REMAKE
Amru
15/7/2023 13:45:57
5,962
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Epi.4

“Perasaan kau je kut. Takkan la baru baca mukasurat pertama kau dah rasa macam tu.” Alin memeriksa waktu di jam tangannya.

 

“Mungkin betul la kata kau tu.” Dari nada suaranya,jelas Khadijah masih jauh dari pasti.

 

“Okey senang macam ni la. Kau baca dulu empat bab manuskrip tu. Lepas tu tengok macam mana. Sebab aku tak rasa la kau ada kaitan dengan manuskrip tu. Sebab seingat aku cerita dia pasal suami isteri.” Alin yakin memberitahu.

 

Khadijah mengangguk setuju. Setelah Alin bergerak pergi, dia bersandar pada kerusinya. Lalu melepaskan satu keluhan halus. Kolam hatinya masih berkocak. Buat ruang fikirannya turut terganggu. Dalam diam, dia cuba untuk kembali tenang dan fokus. Dia tidak mahu meneruskan hari kerjanya dengan keadaan sebegitu.

 

Skrin komputer dia tatap. Pada lembaran maya tertulis manuskrip yang sedang dia edit. Kerjanya saja berkait rapat dengan manuskrip.Tidak mungkin meneruskan kerja mampu untuk buat dia lupa tentang manuskrip yang ada di dalam beg galas. Manuskrip yang sudah mengganggu kebiasaan hidupnya hari tu.

 

Akhirnya Khadijah berdiri di antara dua keputusan. Mahu teruskan kerja, atau sambung membaca manuskrip yang seakan memanggilnya. Dia mengeluh lagi. Kali ini agak sedikit kasar dan berat.

 

Tangan kanannya lantas mengeluarkan manuskrip daripada beg galasnya. Dia tidak mampu untuk terus menahan diri. Isi manuskrip itu terlalu kuat untuk tidak dia pedulikan, walau untuk seketika. Gema keyakinan yang ia ada kaitan dengan dirinya masih terdengar jelas di dataran fikirannya.

* * * * *

Namun apa yang ingin aku ceritakan sebenarnya bukanlah tentang percintaan kami. Kerana jika kau berharap kisah cinta kami dipenuhi dengan keindahan dan saat-saat romantis, maafkan aku kerana kecewakan kau. Semuanya hanya biasa-biasa saja.

 

Apa yang bakal aku ceritakan kepada kamu adalah kisah tentang kami selepas cinta kami bermula di jinjang pelamin. Tiada di antara kami yang sangka itu adalah saat paling bahagia kami yang terakhir kalinya. Tiada di antara kami yang bersedia dengan badai besar yang bakal menghempas kehidupan kami sebagai pasangan suami isteri.

 

Sebelum berkahwin, aku dan dia sudah berterus-terang sesama kami. Tiada rahsia yang tidak kami kongsikan dan akui. Dia sudi menerima impianku untuk menjadi seorang penulis novel. Malah dialah satu-satu insan yang yakin aku akan berjaya satu hari nanti. Apa yang melukakan hatiku, dia tetap memegang keyakinan itu sehingga ke akhirnya.

 

Selepas berkahwin, kami menyewa bersama di Sri Bayu. Apartment sepuluh tingkat yang sederhana. Bersih dan aman. Penghuninya majoriti pasangan yang sudah berkeluarga. Punya dua lif dan juga dua blok. A dan B. Kelilingnya dipagar rapi dengan satu pondok jaga mengawasi semua kenderaan yang keluar masuk. Rumah kami ada di blok A, tingkat lapan, pintu nombor lima.

 

Dia bekerja di sebuah syarikat pemasaran. Sedang aku masih dengan impianku. Menyusun baris kata siang dan malam di dalam salah satu daripada tiga bilik rumah sewa kami. Dengan harapan satu hari nanti akan ada penerbitan yang mengangguk setuju saat membacanya. Berangan yang karyaku ituakan mengubah hidup kami menjadi lebih sempurna.

 

Permata cinta kami lahir pada 24 Januari 2012. Puteri kami itu aku namakan Sufi. Perut isteriku terpaksa dibelah untuk mengeluarkan puteri kami yang montel dan panjang itu. Di hari kelahirannya, aku berdepan dengan ketakutanku yang paling besar. Iaitu kehilangan isteri kesayangku. Ya. Membayangkan hidupku tanpa dia saja cukup buat semua keberanian di hatikut erhapus tanpa sisa.

 

“Encik Umar. Saya harap encik bertenang. Isteri encik masih koma. Tapi anak perempuan encik, alhamdulillah sihat. Dia ada di wad 3 sekarang. Encik boleh tengok anak perempuan encik dulu. Nanti…” Kata-kata doktor perempuan itu tidak aku pedulikan selebihnya selepas mendengar keadaan isteriku.

 

Sudahnya, hanya ibu mertua dan dua adik iparku yang pergi melihat keadaan puteriku yang baru menatap dunia. Sedang aku menangis di depan pintu ICU. Menanti saat untuk melihat isteriku di bawah keluar dari bilik celaka itu dengan selamat. Aku tidak berfikir dengan lurus lagi ketika itu. Namun aku tetap berdoa walau aku tahu aku kelihatan hina di mata ALLAH ketika itu. Berdoa demi kepentingan diriku sendiri tanpa mahu redha dengan ketentuan ALLAH. Ternyata tiada dusta tentang ALLAH itu MAHA PENGASIH walau untuk hamba sejijik aku. Lima jam kemudian, seorang jururawat memberitahu yang isteriku sudah sedar dan keadaannya mulai stabil.

* * * * *

Khadijah berhenti. Dia melihat sekeliling. Namun fikirannya sudah terbang entah ke mana. Dia kian keliru dengan semua rasa yang ada di dalam hatinya. Akalnya tidak mampu lagi mentafsir tentang semua rasa itu.

 

‘Ya ALLAH…kenapa aku rasa lain sangat bila baca manuskrip ni?’ Dia berbicara dalam hati.

 

Khadijah masukkan manuskrip di tangannya ke dalam beg saat dia terlihat Encik Rohaizad melangkah keluar dari bilik pejabat. Dia tahu itu tanda pasti ketuanya itu akan membuat pusingan memeriksa setiap meja. Bagi memastikan waktu kerja digunakan dengan betul. Dia juga sangat pasti meja paling awal diperiksa adalah…

 

“Saya tengok dari minggu lepas kamu masih kat page yang sama je? Setahu saya kamu ni editor kan? Dan editor rasanya tak perlukan masa untuk ilham datang baru nak sambung mengedit,” kata Encik Rohaizad kepada Khadijah.

 

“Saya tolong Alin clearkan fail lama dan manuskrip yang kena reject tadi boss.” Sambil tersenyum ramah Khadijah menjawab.

 

“Dah. Sambung kerja. Manuskrip tu kena siap sebelum pesta buku.” Suara Encik Rohaizad mulai tenang nadanya. Dia kemudian bergerak ke meja lain.

 

Sebenarnya tentang kerja, Khadijah bukanlah staf yang menjadi masalah. Malah Khadijah adalah antara staf terbaik syarikat. Hasil kerjanya rapi dan mengikut apa yang diharapkan oleh Encik Rohaizad sendiri. Selain dari datang lewat setiap Isnin, Khadijah adalah staf yang tidak pernah menghadirkan hal negatif kepada syarikat.

 

Pemeriksaan rutin Encik Rohaizad itu ternyata berjaya memaksa Khadijah untuk kembali fokus pada kerjanya. Malah perlahan-lahan panggilan manuskrip yang ada di dalam beg galasnya kini, jadi memudar gemanya. Membawa pulang ketenangan di fikiran Khadijah. Walau dia tahu itu pasti hanya untuk sementara waktu. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Amru