Home Cerpen Seram/Misteri SIRI HANTU : TERIMA
SIRI HANTU : TERIMA
3/8/2016 19:14:02
5,546
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

TERIMA

Tahun 1940…

Jamung dipacak di kawasan lapang di dalam kebun kelapa itu. Tikar mengkuang segera dibentang. Kemudian semua barang pemujaan diletakkan di atasnya.

Seratus meter dari kawasan itu pula kelihatan apijamung menghampiri dengan pantas. Tidak lama kemudian orang yang membawa jamung itu dan seorang lagi yang mencepung sesuatu sampai di kawasan itu. Tangan, kaki dan pakaian pemuda yang mencepung sesuatu kotor dengan tanah. Badannya pula kuyup dengan peluh.

“Bagus. Barang utama dah ada,” kata Bakar, salah seorang lelaki yang menunggu di kawasan itu. Dia lebih tua berbanding yang lain-lain. “Ada sesiapa nampak, Hashim?” sambungnya.

“Tak, Abang Bakar,” jawab Hashim, pemuda yang memangku sesuatu itu.

“Bagus. Mari kita mulakan lekas. Lagi cepat habis lagi bagus,” kata Bakar.

“Benda ni nak letak mana bang?” tanya Hashim.

“Letak mayat bayi itu atas tikar ni. Kau bersila bersetentang pusat dia. Tuang susu dalam mangkuk. Letak telur-telur tu dalam pinggan. Buka tabung buluh. Bakar kemenyan. Mula baca mantera sepenuh hati,” jawab Bakar mengulangi penerangan yang pernah diberikannya kepada Hashim.

Hashim terus meletakkan mayat bayi yang baru dicurinya dari kubur tadi di atas tikar mengkuang. Bayi itu baru ditanam petang tadi. Mati ketika dilahirkan.

Hashim duduk bersila bersetentang pusat bayi itu. Dia mengejapkan sila, menarik dan menghembus nafas dua tiga kali dan melihat Bakar.

Bakar yang baru memeriksa persekitaran dan merenung melalui firasat mengangguk.

Hashim membakar kemenyan. Asap kemenyan menerawang dari bekasnya. Memejamkan mata dan meletakkan kedua-dua tangannya pada lutut. Kemudian perlahan-lahan membaca mantera yang diajar Bakar tempoh hari.

“Ku seru kau dengan nyawa. Nyawa bersatu dalam tubuh. Bangun kau jadi hamba. Hamba mengikat setia selama-lama.”

Hashim mengucapkan mantera itu dengan sepenuh hati. Suasana sekitar berubah tiba-tiba. Angin dingin berpusar-pusar di sekeliling mayat bayi itu. Bulu romanya menegak dan hatinya tergugah sedikit.

“Bertahan. Jangan gentar.” Bakar yang arif berpesan.

“Bangkitlah kau…” sambung Hashim.

Mayat bayi itu bergetar halus. Perutnya berombak-ombak kecil. Badannya kemudiannya terenjat-renjat.

Seorang pemuda yang bersama Bakar menunggu di kawasan itu tadi menelan air liur ketakutan.

“Bangkitlah!” laung Hashim.

Kawasan itu mula berangin kencang. Api jamung-amung meliuk-liuk hampir terpadam. Kawasan itu sekejap kelam sekejap gelita. Mulut mayat bayi itu ternganga-nganga. Sejurus kemudian jeritan yang mengerikan pun bergema di kawasan itu.

Hashim pantas membuka mata. Pantas mencapai tabung buluh.

“Masuklah!” arah Hashim.

Apijamung-jamung terpadam. Kawasan itu gelita. Angin dingin yang deras menerpa dari arah mayat bayi itu. Terdengar nipis bunyi sesuatu dihirup. Beberapa detik kemudian terdengar pula bunyi tabung buluh bergetar. Apa yang dipuja Hashim itu sudah pun masuk ke dalam tabung buluh itu.

“Aku tuan kau. Berpisah tiada kita selama-lamanya. Syarat-syarat kau aku penuhi. Kau sekarang milikku.”

Selesai mengucapkan mantera itu barulah tabung buluh itu berhenti bergetar. Angin deras juga berhenti melanda. Api jamung-jamung hidup semula. Mengisyaratkan bahawa makhluk halus yang dipuja Hashim itu menerima perjanjian itu. Hashim pantas menyumbat lubang tabung buluh itu dengan daun khas. Kemudian ia diikat pula dengan tangkal.

Bakar melihat Hashim. “Lepas ni tak siapa berani usik harta benda kau lagi.”

Hashim mengangguk puas.

Tahun 1960…

Perbualan di kedai kopi itu hangat.

“Aku perasan huru hara di kampung ni jadi sejak Nawawi tu sakit,” tebak Pak Ali.

“Aku rasa semua tu kerja hantu Abang Nawawi,” tambah Kadir.

Hampir semua orang terkejut dan melihat Kadir. Kadir melihat Pak Ali.

“Kau ceritalah apa yang kita tahu. Biar mereka tahu juga,” kata Pak Ali.

“Aku pernah nampak dia usap kepala hantu tu. Masa tu aku nak pergi ziarah dia. Aku tengok dari beranda. Dia tak sedar aku datang. Bila aku nak cabut dari situ, hantu tu perasan. Aku bertentang mata dengan hantu tu. Aku cabut juga. Malam tu anak aku kena kacau. Dia dengar bunyi bayi menangis di luar. Menangis satu malam anak aku tu…” beritahu Kadir.

“Aku pun biasa nampak. Budak kecil ke Kadir?” kata seorang yang lain.

“Ya,” jawab Kadir.

“Betullah tu… Aku nampak benda tu main buaian di bawah rumah dia tu. Sekali pandang ada, dua kali pandang lesap,” kata seorang yang lain itu.

“Aku pun biasa nampak,” kata seorang yang lain pula.

“Memang sahlah Nawawi tu membela,” simpul Pak Ali.

“Jadi apa kita nak buat Pak Ali?” tanya Kadir.

Pak Ali berfikir sejenak.

“Setiap malam hantu dia tu mengamuk. Mula-mula kacau budak-budak. Sekarang tuju pada orang tua pula. Mak Imah, jiran yang ambik berat pada dia pun sakit teruk. Sakit misteri. Pak Jali yang pergi tengok dia baru-baru ni pun baru sakit. Sakit misteri sampai tak boleh bangun. Lagi lama kita biar lagi huru haralah kampung kita ni,” sambung Kadir.

“Kita halau sahaja dia. Baru aman balik kampung ni,” cadang salah seorang orang kampung.

“Betul, betul,” sambut yang lain-lain.

“Kita tanya Tok Penghulu Rahmat dahulu. Kita dengar apa keputusan dia,” putus Pak Ali.

Mereka bergegas ke rumah Tok Penghulu Rahmat dan menyatakan kegusaran mereka.

“Betul ke?” tanya Tok Penghulu Rahmat.

“Tengok sajalah keadaan dia tu. Terlentang sakit misteri dah lama. Susah mati. Mesti anak dia tak sanggup nak terima benda…” jawab Pak Ali.

“Betul, betul,” sokong yang lain-lain.

“Aku bimbang kalau kita tersalah tuduh,” kata Tok Penghulu Rahmat.

“Tok penghulu tak nak halau dia?” tanya Kadir.

Tok Penghulu Rahmat mengeluh berat. “Bagi aku masa fikir dan siasat. Sebelum tu aku minta kau semua bertenang.”

Pak Ali, Kadir dan lain-lain sedikit kecewa. Tetapi mereka tetap bersurai. Berharap penghulu kampung mereka itu bertindak segera dan tegas.

Tok Penghulu Rahmat ke rumah Nawawi selepas menunaikan solat maghrib di surau. Selepas berpeluang berdua sahaja dengan Nawawi setelah Hayati ke dapur untuk membuat air, dia pun menyuarakan kegusaran orang-orang kampung itu.

Nawawi yang kelihatan lemah menggeleng. “Tidak,” tegasnya dengan suara yang hampir tidak lepas kerongkong.

Tok Penghulu Rahman lega. “Alhamdulillah kalau begitu…”

Hayati datang membawa minuman. Pandangan Tok Penghulu Rahmat tertarik ke muka pintu yang memisahkan ruang tengah itu dengan ruang dapur di tingkat bawah. Berderau darahnya. Ternampak seorang budak kecil mengekori Hayati sebelum ia hilang sekelip mata.

“Kenapa tok penghulu?” tanya Hayati sambil meletakkan talam ke lantai.

“Eh, tak ada apa-apa,” jawab Tok Penghulu Rahmat. Mengandaikan apa yang dilihatnya tadi sekadar mainan perasaan.

“Minum tok penghulu,” kata Hayati sambil menghulurkan secawan kopi o panas.

Tok Penghulu Rahmat menyambut cawan yang dihulurkan Hayati itu.

Di atas katil, Harun, Zubaidah dan Suhaila sedang tidur lena. Pintu bilik tidur itu terbuka perlahan-lahan. Seekor kucing hitam dengan mata yang berkilauan terjengul di muka pintu.

Tok Penghulu Rahmat yang baru keluar dari bilik tidurnya untuk ke jamban terpandang kelibat kucing hitam itu. Dia melangkah ke bilik tidur anak menantunya itu.

Kucing hitam itu berjalan laju ke katil dan melompat ke atasnya. Dia terus mendekati Suhaila yang tidur di antara ibu dan bapanya. Kucing hitam itu menjilat-jilat ibu jari kaki Suhaila. Suhaila bergerak-gerak. Kelopak matanya yang pejam bergetar-getar. Selepas beberapa lama ibu jari kakinya dijilat, budak perempuan berusia enam tahun itu pun membuka mata. Kucing hitam terus melompat ke atas perut Suhaila. Mengeluarkan kuku-kuku kakinya dan mahu mencakar Suhaila. Suhaila yang terkejut menjerit bila melihat ada budak kecil yang hodoh di atas perutnya. Budak kecil itu menyeringai dan mahu mencakarnya.

Tok Penghulu Rahmat menolak pintu bilik tidur itu. Kucing hitam itu berpaling kea rah Tok Penghulu Rahmat. Dalam pandangan Tok penghulu Rahmat dia nampak budak kecil yang sama di rumah Nawawi sedang duduk di atas perut cucunya. Dia melaungkan takbir. Kucing hitam itu berlari laju ke luar rumah menembusi dinding bilik tidur itu.

Tok Penghulu Rahmat terus ke tingkap dan membukanya. Harun dan Zubaidah yang terjaga terpinga-pinga.

“Kenapa pak?” tanya Harun.

“Lekas ikut aku. Kita kejar benda tu. Dia menuju ke baruh,” kata Tok Penghulu Rahmat.

Tanpa banyak bertanya, Harun terus memakai baju dan mengikut bapanya. Mereka berjaya menjejaki kelibat kucing hitam itu. Pada pandangan Tok Penghulu Rahmat sekarang, lembaga yang dilihatnya tadi dalam bentuk kucing hitam semula. Akhirnya kaki kedua-dua lelaki itu berhenti di kepala titi sebuah rumah. Dari situ mereka berdua dapat melihat dengan agak jelas kucing hitam itu naik ke beranda dan berjalan menembusi pintu tingkat atas rumah Nawawi.

“Sahlah kata-kata orang kamupung tu. Kita pergi rumah Ali dan lain-lain,” kata Tok Penghulu Rahmat.

Malam itu juga orang kampung yang diketuai oleh Tok Penghulu Rahmat menghalau Nawawi dan Hayati keluar dari kampung itu.

1980…

Nasir geram. Penyelianya baru memarahinya. Dia rehat lebih lama dari masa yang diperuntukkan. Memang kebiasaannya begitu .Baru kali ini dimarahi teruk oleh penyelianya . Itu pun selepas amaran diberikan berkali-kali.

“Kau tak tahu aku siapa!” Nasir melepaskan kemarahan. Dia membasuh muka di singki dan melihat mukanya yang basah itu di cermin. Tersenyum pada diri sendiri.

Malam itu, di dalam bilik tidurnya, Nasir yang berdendam menjalankan perkara yang dapat melunaskan dendamnya.

“Anakku, pergi kau pada Saad Bin Hamdan. Lunaskan dendamku,” arah Nasir.

Saad terjaga dari tidur. Serentak itu telinganya terdengar deram kucing mahu bergaduh. Bulu romanya tegak. Dia turun katil, menguak langsir dan nampak kelibat seseuatu di luar. Bunyi deram kucing hendak bergaduh terus kedengaran. Dia pantas membuka tingkap. Satu hembusan angin menerpa masuk ke dalam bilik tidur itu. Dia meninjau ke luar. Tiada sesiapa . Deraman kucing itu juga tidak kedengaran lagi.

Ketika dia menutup tingkap bilik, telinganya terdengar pula bunyi pintu bilik ditutup. Menoleh dan mendapati isterinya tiada di katil. Dia hairan dan terus keluar bilik. Melihat isterinya sedang duduk membelakanginya di atas kerusi rotan di ruang tamu. Keadaan ruang tamu itu kelam. Dia meraba suis lampu, memetiknya tetapi lampu tidak menyala.

“Awak buat apa tu sayang?” tanya Saad.

Dia melihat badan isterinya tersengguk-sengguk, sedang menangis. Soalannya tadi tidak dijawab.

“Sayang!” panggil Saad. Takut-takut hendak mendekati isterinya. Bulu romanya masih tegak.

Isterinya yang berambut panjang bangun. Baju tidur putihnya terayun-ayun. Dia menoleh perlahan-lahan.

“Ini bang…” katanya menunjuk seekor kucing yang berlumuran darah di tangannya. “Kucing saya mati. Entah bergaduh dengan kucing mana tadi.”

Saad terkejut sedetik. “Saya ingat apa tadi. Awak ni buat saya terkejut saje. Sudah sampai masa kucing tu mati. Nanti kita cari ganti ya?”

Isterinya itu diam tidak menjawab. Dia dilihat dalam ketakutan. Bangkai kucing terlepas dari tangannya. Tangan itu dinaikkan dan jari telunjuk diluruskan mengarah kepada Saad.

“Kenapa sayang?” tanya Saad yang hairan.

“Siapa di belakang abang tu?” tanya isteri Saad. Suaranya terketar-ketar.

Saad menoleh perlahan-lahan. Sebaik badannya berpaling penuh, dia nampak lembaga berupa budak. Lembaga yang terbeliak besar dengan tangan mencekau-cekau serta mulut yang bergigi rapat dan tajam terbuka luas terus menerpa ke arahnya. Lembaga itu hilang sebaik merempuh Saad. Selepas beberapa detik, badan Saad pun terenjat-renjat dan dia rebah tidak sedarkan diri.

Genap tiga hari, Saad pun menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam keadaan mayatnya yang menyayat hati. Sakitnya misteri.

Tahun 2000…

Azwar duduk bersendirian di tangga beranda. Berdepan likat gelap malam dan dihurung nyaring cengkerik. Bayu malam panas yang baru menyapa tubuh menyebabkan dirinya semakin tidak selesa.

Diamelepaskan keluhan. Keluhan yang panjang itu tetap tidak dapat menghalau gundah gulana yang mula bersarang di hati. Dia menekup muka pula. Cuba mengerahkan otak bekerja lebih kuat mencari cara untuk menyelesaikan masalahnya. Dia berfikir sampai kepala panas tetapi cara itu tidak juga ditemui.

‘Mati aku! Mati aku!’ jerit Azwar di dalam hati.

Dia menarik tekupan di muka. Tangan-tangan itu digaru pula pada kepala. Kuku mengikis kulit-kulit kepala. Berhenti menggaru hanya selepas kepalanya pedih.

“Macam mana ni!” katanya kepada diri sendiri.

Dia tidak nampak jalan lain. Dia sudah mencongak malah mengira dengan kalkulator.Sekurang-kurangnya dia perlu 10 tahun untuk kumpul amaun yang diperlukan. 10 tahun!

Dia mengeluh lagi. Berat.

Berasa menyesal dengan diri sendiri. Terlalu percaya pada kawan. Keretanya yang diserahkan kepada Shahril untuk disambung bayar sudah ditarik dan dilelong oleh pihak bank. Selepas dilelong, dia masih berhutang RM30 ribu dengan bank. Namanya disenarai hitam.

Semua itu berlaku tanpa pengetahuannya. Sejak dia berpindah dari rumah sewa lama memang dia tidak terima lagi surat menyurat dari pihak bank. Dia pula tidak pernah terlintas hendak memaklumkan pihak bank tentang pertukaran alamat dan nombor telefon. Dia sangka semuanya baik sahaja. Malah sampai sekarang Shahril masih berhubung dengannya walaupun kawan baiknya itu sudah berpindah ke selatan. Hanya tadi bila dia menyoal mengenai kereta itu barulah Shahril tiba-tiba mematikan talian telefon.

Natijahnya siang tadi dia dimaklumkan oleh pegawai bank yang permohonan pinjaman peribadinya sebanyak RM100 ribu dengan bank itu ditolak. Segala perancangan yang pada mulanya dilihat tiada masalah kini berdepan kegagalan. Kegagalan yang akan merisikokan hubungannya dengan gadis idamannya.

‘Siallah kau Shahril!’ jeritnya di dalam hati.

Kemarahan yang dilepaskan di dalam hati itu masih tidak mampu menyelesaikan masalahnya.

Lantai papan beranda berkeriuk. Azwar segera menoleh lalu melemparkan semyuman paksa.

“Apa yang kau termenung tu?”tanya Mak Jah.

“Tiba-tiba pening mak,” bohong Azwar.

“Mak ambilkan panadol,” kata Mak Jah mahu pergi dari beranda.

“Tak payah mak. Sikit saja ni.”

Mak Jah tidak jadi mengambil panadol. Sebaliknya duduk di kerusi rotan di atas beranda itu. Azwar kini duduk bersila di atas berandadan mengadap Mak Jah.

“Sudah selamat pun. ..” tanya Mak Jah.

Azwar tersengih.

“Bapanyategaskan beberapa kali tadi yang majlis mesti diadakan selepas genap setahun. Tak boleh tangguh,” pesan Mak Jah.

Azwar mengangguk.

“Wang hantaran 18 ribu. Tak lebih dan tak kurang,” sambung Mak Jah.

Azwar mengangguk juga.

“Pak Long kau taklah minta kurang tadi. Sudah kau pesan jangan minta kurang. Tetapi 18 ribu tu tinggi sangat. Mak Ngah kau pun kata mahal,” kata Mak Jah lagi, melihat reaksi anaknya itu.

Azwar tersengih.

“Memang le budak tu cantik tetapi mahal sangatlah kata Mak Ngah kau. Anak adik ipar dia, cantik, doktor, wang hantaran hanya 8 ribu saja,” sambung Mak Jah lagi.

Azwar tersengih. “Saya mampu mak.”

Kali ini Mak Jah yang mengangguk pula. “Kalau begitu kata kau, tak apalah. Setakat seribu dua tu bolehlah mak bantu. Kalau belas atau puluh ribu tak mampulah. Abah kau pun tengah sakit sekarang. Banyak nak guna duit untuk berubat.”

Azwar mengangguk.

“Jah!”

Dari dalam rumah terdengar suara Jalil, abah Azwar memanggil Mak Jah.

“Mak masuk dulu. Abah kau dah panggil,” kata Mak Jah.

Azwar mengangguk.

“Jangan lama-lama duduk di beranda ni. Sudah larut malam,” pesan Mak Jah.

“Baik, mak,” jawab Azwar.

Mak Jah masuk ke dalam rumah. Azwar mengeluh. Hatinya masih gundah gulana.

Sebulan berlalu…

Jari-jari yang cantik itu meletakkan pisau dan garpu saling bersebelahan di atas pinggang. Zeti baru selesai menjamah chicken chop. Matanya yang bundar dan cantik itu melihat ke arah Azwar. Senyuman manis terukir di bibirnya.

Azwar yang sudah lama selesai makan tengah hari itu membalas senyuman Zeti.

“Hari niIbelanja,” kata Zeti lalu menggamit pelayan restoran.

Azwar mengangguk.

“Lepas ni kita ke Cindai, ya?” tanya Zeti.

“Hari ini ke?” tanya Azwar.

You dah lupa ke? Idah bagitahu dua hari lepas,” jawab Zeti.

“Okey,” jawab Azwar. Dia banyak masalah hendak difikirkan. Duit yang belum cukup kerana permohonan-permohonan pinjaman peribadinya yang dibuat ke bank-bank lain pun semuanya ditolak. Baru pagi tadi dia dihubungi oleh kawannya yang bekerja di Maybank memberitahu berita kecewa yang sama.

“Jom kita pergi. Appointmentpukul 2,” kata Zeti.

“Kita buat baju pengantin di butik lain tak okey ke?” tanya Azwar.

Zeti yang baru hendak bangun, duduk semula. “Kenapa pula?” Mukanya berkerut.

“Tak mahal sangat ke?” tanya Azwar.

Youkan dah setuju,” kata Zeti. Tarik muka masam.

“Memanglah… Tapi bila difikir-fikirkan balik, tak berbaloi buang duit untuk…”

I nak kahwin sekali sahaja tau,” potong Zeti. “Inakperkahwinan yang hanya sekali ni…”

“Jom, jom,” pintas Azwar pula. Dia tahu apa yang hendak dibebelkan Zeti. Zeti sudah terangkan sewaktu mereka membuat perancangan untuk majlis pertunangan dan perkahwinan mereka itu beberapa bulan yang lalu. “Imain-main saja tadi.”

Jari Zeti pantas mencubit lengan Azwar. Azwar tersenyum.

“Jangan main-main. Iserius ni. Jangan youkata tak jadi buat majlis kenduri sebelah you di hotel pulak. Iboleh terima hotel tiga bintangtu. Sudah hotel tu saja yang ada di tempat you. Sebelah Ibuat di hotel lima bintang tau,” kata Zeti.

“Ya lah…” jawab Azwar.

“Awak dah uruskan baju pengantin kita untuk resepsi sebelah awak tu?” tanya Zeti.

“Saya dah telefon pemilik Butik Sutera tu,” jawab Azwar.

Zeti tersenyum. Bangun dan pergi kepada Azwar. Mereka beredar dari meja dengan berpimpinan tangan.

Memang tiada jalan lain. Semua bank tolak. Semua koperasi pun tolak. Apa lagi pilihan yang ada? Dia juga sudah cuba ah long. Dalam bimbang digagahkan juga dirinya menelefon nombor-nombor telefon ah long yang ditampal di merata tempat itu. Puih! 3% konon! Pinjam RM1000, kena bayar RM1300. Dapat dekat tangan bukan RM1000 tapi RM750! Bunganya hampir 100 peratus. Kena bayar dalam 40 hari. Kali pertama pinjam bukan boleh dapat pinjam sampai RM100 ribu. Paling banyak ah long boleh bagi untuk pelanggan baru tak lebih RM5 ribu. RM5 ribu hendak buat apa? Baju pengantin Zeti pun harganya belasan ribu! Kalau hendak pinjam RM100 ribu boleh tapi kena sandar geran tanah.

Bila ah long sebut geran tanah, dia segera teringatkan tanah emak dan abahnya. Ah long cepat-cepat dia tolak tepi. Dia nekad hendak minta tolong pada emak dan abahnya pula. Sanggup tebalkan muka demi cintanya pada Zeti. Tinggal 10 bulan lagi!

Hati Azwar berdebar-debar. Tidak senang duduk di ruang tamu. Dia bangun dari kerusi. Berjalan ke dapur. Melihat emaknya yang sedang sibuk menggoreng ikan. Dia teragak-agak hendak turun dan menyatakan hasratnya. Sudah dua tiga kali dia patah balik semula ke ruang tamu tadi. Nekadnya hampir tewas dengan perasaan malu.

Dia tidak sanggup. Dia mahu berpatah balik semula ke ruang tamu.

“Kenapa?” tanya Mak Jah yang perasan kelibat Azwar. Dia baru sahaja menoleh setelah terasa ada seseorang yang memerhati dari belakang.

Azwar tidak jadi melangkah terus. “Err…”

“Kau ada masalah?” tanya Mak Jah.

Azwar turun ke dapur.

“Kau ada masalah ke?” tanya Mak Jah lagi.

Azwar yang sudah duduk di meja makan tersengih. Apa yang mahu dikatakannya masih terkulum di dalam mulut. Malunya masih tebal.

Melihat Azwar hanya tersengih, Mak Jah melihat gulai ikan yang sudah mendidih. Dia ambil daun kari dan mencampakkannya ke dalam gulai ikan itu. Lalu menterbalikkan ikan goreng pula.

“Semalam mak sembang dengan mak ngah. Si Zahari tu dah serahkan semua duit belanja kahwin dia pada mak ngah kau. Duit hantaran, duit kenduri, duit Butik Ailing… semualah. Untung mak ngah kau. Dia orang kaya tetapi anak-anaknya bila kahwin semua kumpul duit sendiri…” kata Mak Jah, sekadar memberitahu.

Azwar yang baru hendak menyuarakan hasrat untuk meminta Mak Jah dan abahnya menjual tanah mereka, menelan air liur. Kata-kata Mak Jah itu menyebabkan nekadnya cair.

“Kau ada apa-apa nak cakap dengan mak ke?” tanya Mak Jah.

Azwar tersengih dan menggeleng. “Saya naik atas dululah mak.”

Mak Jah mengangguk dan kembali melihat masakan di atas dapur.

Azwar beredar dari dapur. Hatinya semakin rungsing. Terasa sempit sangat. Sampai di tingkat atas, dilihatnya abahnya menggamit. Entah mengapa darahnya berderau. Setahunya abahnya itu sudah tidak larat hendak mengangkat tangan. Berak, kencing semua dalam lampin pakai buang. Makan minum pun bersuap. Sudah macam mayat hidup. Dia sudah sihat kah? tanya hatinya.

Abahnya terus menggamitnya. Azwar mendekati juga orang tua itu.

“Kenapa abah?” tanya Azwar.

Abahnya menepuk-nepuk lantai. Azwar yang faham maksud isyarat abahnya itu duduk di sisi abahnya.

“Aku…”

Hanya perkataan ‘aku’ sahaja yang dapat ditangkap telinga Azwar. Perkataan-perkataan lain dia tidak dengar. Jadi apa yang baru dikatakan oleh abahnya tadi tidak diketahuinya.

“Apa abah cakap?” tanya Azwar.

“Aku…”

Perkara serupa terjadi.

“Tak dengar juga…” kata Azwar.

Azwar mendekatkan telinganya ke mulut abahnya. Abahnya berkata sekali lagi.

“Abah boleh tolong saya?” tanya Azwar.

Abahnya mengangguk.

“Abah ada duit?” tanya Azwar.

Abahnya menggeleng.

“Abah nak jual kebun getah tu?” tanya Azwar.

Abahnya menggeleng juga.

“Habis tu?” tanya Azwar, berkerut dahi.

“Mim…”

“Mim apa abah?” tanya Azwar.

Abahnya mengisyaratkan supaya Azwar meletakkan telinga dekat dengan bibirnya seperti tadi. Azwar mengikut kemahuan abahnya.

“Mim…”

“Mimpi?!” tanya Azwar, semakin hairan.

Abahnya mengangguk, tersenyum dan terus memejamkan mata.

“Macam mana tu abah?” tanya Azwar.

Abahnya tidak memberi sebarang reaksi. Terpejam kejap.

Azwar menggaru kepala.

Telefon bimbit berbunyi. Azwar menjawab panggilan telefon itu.

“Bila encik boleh buat bayaran deposit untuk malis resepsi itu?” tanya seseorang di talian.

“Awak dari mana?” tanya Azwar, mengeluh di dalam hati.

“Hotel The Light,” jawab seorang di talian itu. “Encik sudah lewat tiga hari daripada tarikh yang dipersetujui. Jika encik tidak bayar kami terpaksa…”

Azwar mematikan talian telefon. Malas hendak mendengar kata-kata lelaki di talian itu.

Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Daripada nombor telefon yang lain pula. Azwar menawab panggilan telefon itu.

“Encik Azwar?”

“Ya, saya. Siapa ni?” tanya Azwar.

“Saya dari Butik Sutera. Bila encik boleh buat bayaran penuh? Sudah lewat seminggu. Kalau encik tak buat bayaran penuh kami tak…”

Azwar mematikan talian telefon. Malas hendak mendengar peringatan kakitangan Butik Sutera itu. Dia menekup muka. Resah sampai tertidur. Satu tangan yang pucat memanjang menyentuh bahunya. Azwar terkejut merasakan satu tangan dingin memegang bahunya. Dia meleraikan tekupan. Bermuka hairan.

“Aku boleh tolong kau,” kata budak berkulit pucat dan bermata galak.

Azwar hairan.

“Aku boleh beri duit pada kau,” sambung budak itu.

Mata Azwar bersinar-sinar. “Betul?”

Budak itu mengangguk sambil tersenyum. “Tapi kau mesti ambik aku. Beri aku minum susu dan telur.”

Azwar yang tidak berfikir panjang mengangguk setuju. Syarat itu senang, fikirnya. Hanya mengingati syarat yang kedua.

“Setuju?” tanya budak itu.

Azwar mengangguk pantas. “Mana duit tu?”

“Nah,” kata budak itu sambil menghulurkan sekeping kertas.

Azwar mengambil kertas itu. Melihat apa yang tertulis di atasnya. “Nombor ekor ke ni?”

Budak itu mengangguk. “Nombor tu untuk esok. Jangan lebih daripada dua ringgit.”

Azwar mengangguk.

Budak itu ketawa riang, menyeramkan.

Azwar terjaga dari tidur. Nombor ekor yang masih tergantung di ingatannya itu cepat-cepat dicatatnya di atas kertas. Segera teringatkan pula kata-kata abahnya semalam. Inikah maksud abahnya itu? Hatinya berasa khuatir pula. Bermacam perkara menerjah fikirannya. Siapa budak itu?

Jam yang membalut pergelangan tangannya sudah menunjukkan pukul 6.30 petang. Dari dalam kereta dia melihat kedai telekomunikasi yang mengambil taruhan haram nombor ekor semakin penuh dengan orang yang mahu membuat taruhan di saat-saat akhir.

Azwar masih teragak-agak. Fikirannya masih memikirkan siapakah budak itu? Hantu ke atau apa? Memberi susu dan telur?

Kata-kata budak di dalam mimpi itu terngiang-ngiang di telinganya. “Nombor tu untuk esok…”

Azwar menelan air liur. Dia menarik dan menghembus nafas keras dan terus menampar stereng. “Lantaklah apa nak jadi. Kalau hantu pun, bagi makan diamlah benda tu. Yang penting aku dapat duit!” Dia keluar kereta dan berjalan laju ke kedai telekomunikasi itu. Sempat membuat taruhan sebanyak RM 2 untuk taruhan enam digit nombor, 6D Toto ketika lima minit sebelum waktu taruhan ditutup.

Pukul 7.30 malam, dia pun memeriksa keputusan nombor ekor pada hari itu. Dia menjerit kegembiraan bila nombor yang diambilnya kena. Dia macam tidak percaya dalam sekelip mata dia sudah ada RM250 ribu ringgit esok!

Telefon bimbitnya berbunyi. Panggilan telefon daripada Mak Jah itu diangkat.

“Mak, minggu ni saya bagi semua perbelanjaan untuk malis kahwin saya tu. Mak tolong simpan ya? Saya balik…” kata Azwar sebaik menjawab panggilan telefon.

“Azwar…” kata Mak Jah menghentikan kata-kata Azwar.

“Kenapa mak?” tanya Azwar yang mula perasan ada sesuatu yang tidak kena.

Mak Jah menangis di talian.

“Kenapa mak?” tanya Azwar lagi.

“Abah kau baru meninggal,” kata Mak Jah.

Azwar tergamam.

Azwar masuk ke dalam bilik untuk bersiap pulang ke kampung. Terkejut mendapati satu tabung buluh tegak di atas katil. Dia cam tabung buluh itu. Tabung buluh itu tabung buluh milik abahnya yang ada di dalam bilik tidurnya sejak dia kecil lagi. Soalnya sekarang bagaimana ia boleh ada di sini sekarang?

Dia mendekati katil. Tabung buluh yang tadi diam tegak kini bergetar-getar sepertiia diketuk-ketuk dari dalam. Bulu romanya menegak dan dia terundur beberapa langkah.

“Aku sudah tunaikan kehendak kau. Kau sudah beranji. Sekarang kau tuan aku. Lunaskan apa yang kau janji padaku,” ka ta satu suara dari tabung buluh itu. Ketawa kecil budak lelaki bergema di bilik itu.

“Apa benda kau ni?” tanya Azwar, memberanikan diri.

“Aku apa yang kau mimpi,” jawab suara itu.

“Kau… kau budak tu?” tanya Azwar.

“Ya. Beri aku susu dan telur seperti yang kau janji,” kata suara itu.

“Apa kau sebenarnya?’ tanya Azwar.

“Aku bajang. Bajang moyang, datuk dan abah kau,” beritahu suara itu.

“Apa?” tanya Azwar.

“Aku belaan mereka,” kata suara itu.

“Aku tak nak bela hantu!” kata Azwar.Takut pula.

Suara itu ketawa. “Kau telah membuat perjanjian dengan aku. kau telah terima aku. Sebab itu abah kau mati tadi. Selagi tiada siapa yang sanggup ambik aku selagi itulah abah kau akan jadi mayat hidup. Jika dia mati pun, mayatnya akan bangkit dari kubur dan pulang ke rumah.”

Azwar menelan air liur.

“Jika kau mungkiri janji, kau akan terima nasib seperti abah kau,” kata suara itu lagi.

Azlan terus menelan air liur. Mukanya pucat pasi.

“Kau tidak akan apa-apa selagi kau jaga dan bagi aku susu dan telur. Aku boleh tolong kau jadi kaya,” sambung suara itu.

“Bagi susu dan telur saja?” tanya Azwar.

“Ya,” jawab suara itu.

“Baiklah,” kata Azwar.

“Aku mahu susu dan telur sekarang,” kata suara itu.

“Baiklah,” jawab Azwar.

Selepas beberapa bulan, majlis perkahwinan Azwar dan Zeti pun berlangsung dengan meriahnya.

Beberapa tahun berlalu…

Azwar meradang. Dia teringatkan kata-kata sepupu Zeti ketika makan malam di rumah mentuanya tadi.

“Kita tak boleh kaya kalau terus kerja dengan orang, Azwar. Kita perlu berani jadi bos! Yang mana lebih baik, ikut telunjuk atau sebaliknya? Kalau tak, sampai kerepot pun kau tak kan jadi kaya macam aku!”

Kata-kata Aqasha itu entah bagaimana menyebabkan ketawa pecah di meja makan itu. Termasuk yang ketawa ialah mentuanya dan beberapa sepupu Zeti yang lain. Dia hanya mampu tersengih.

“Aku boleh balas dendam untuk kau…” Suara bajang bergema.

Azwar mengambil tabung buluh, menarik daun khas yang menjadi penyumbat lubang dan membuka ikatan tangkal yang melilit. Hantu bajang menjelma di hadapannya.

“Betul?” tanya Azwar.

“Aku bukan sahaja pandai mencuri dan beri kau duit. Tapi aku juga boleh bunuh sesiapa yang kau nak. Berikan aku nama,” jawab bajang itu.

“Pergi kerjakan Aqashah Bin Anwar,” kata Azwar.

“Mati?” tanya bajang itu.

Azwar mengangguk pantas.

Keadaan diri Aqasha begitu mengerikan. Dia tak ubah seperti mayat hidup.Badannya kurus kering. Mukanya cekung. Tubuhnya berbau busuk. Bila malam dia akan meracau-racau entah apa. Doktor-doktor pakar dari beberapa hospital swasta sendiri kebingungan dan tidak tahu apa sebenarnya penyakit yang dialami Aqasha. Misteri.

Bila keadaannya bertambah teruk, doktor pakar dari Hospital Pantai itu menasihatkan isterinya untuk membawanya pulang ke rumah.

“Puan, saya nasihatkan puan cari pakar perubatan Islam. Mungkin boleh jumpa mana-mana ustaz yang da kepakaran tu.”

Kata-kata doktor pakar Hospital Pantai itu terngiang-ngiang di telinga Delaila, isteri Aqasha. Dia sukar hendak percaya penyakit Aqasha ada kena mengena dengan sihir atau makhluk halus. Seumur hidupnya, jikalau papa, mama atau adik beradiknya sakit semuanya dirujuk ke hospital. Selepas doktor memberi rawatan maka baiklah. Keluarganya itu tidak pernah kenal air jampi dan sebagainya.

Tetapi kerana sayangkan Aqasha, dia melangkah juga mencari ustaz yang mahir dalam ilmu perubatan islam. Selepas bertanya kepada beberapa kenalan, dia berjaya mendapatkan nombor telefon Ustaz Idris. Dia segera bertemu Ustaz Idris di Madrasah Darul Quran wal Hadis.

“Saya bukanlah seperti yang puan sangka,” kata Ustaz Idris.

“Tolonglah saya ustaz. Suami saya sakit teruk. Kami dah pergi macam-macam hospital. Kami dah jumpa macam-macam pakar terbaik. Tetapi semua tak tahu apa penyakit dia,” rayu Delaila.

“Insya-Allah, saya akan tolong. Tetapi saya bukan pakar seperti yang diberitahu orang. Semua dengan izin Allah SWT juga,” jawab Ustaz Idris. “Malam ni saya datang.”

“Terima kasih ustaz,” kata Delaila, berulang-ulang.

“Semoga Allah SWT memudahkan urusan kita,” kata Ustaz Idris.

Seperti yang dianjikan malam itu Ustaz Idris ke banglo Aqasha dan Delaila. Dia datang bersama beberapa orang anak muridnya. Menanti mereka ialah Delaila dan dua orang tuanya dan kedua-dua mentuanya. Ikut ada di dalam rumah itu adalah adik-adik lelaki Delaila dan dua orang iparnya.

Ustaz Idris merapati Aqasha yang terbaring di atas katil di dalam bilik tidur utama. Yang berada di dalam bilik itu ialah, Ustaz Idris dan anak-anak muridnya, Delaila, bapa Delaila, bapa Aqasha, dua orang adik lelaki Delaila dan seorang adik lelaki Aqasha.

Sebaik Ustaz Idris berdiri di hadapan Aqasha, Aqasha yang diam tadi terus menggeliat-geliat seperti kepanasan. Kemudian terdengarlah suaranya meraung dan menjerit.

“Sakit!!! Pergi jauh dari aku!” jerit Aqasha.

Ustaz Idris belum memulakan apa-apa rawatan. Dia sekadar baru berdoa di dalam hati kepada Allah SWT supaya dipermudahkan urusannya.

“Siapa pun kau keluarlah dari tubuh lelaki ini. Janganlah kau sakiti dia lagi,” kata Ustaz Idris.

Aqasha tidak bersuara. Hanya badannya yang menggeliat disertairaungan sakit dan rengusan marah. Dia seoerti dalam kesakitan.

“Siapa pun kau keluarlah. Jangan kau sakiti dia lagi,” kata Ustaz Idris. Mengulang apa yang dikatakannya tadi.

“Kau diam!” marah Aqasha sambil mencerlung Ustaz Idris.

“Pulanglah kepada tuan kau,” kata Ustaz Idris. Sudah diberi pandangan batin berkenaan makhluk halus apa dan siapa tuannya yang menunggang badan Aqasha itu. Dia membaca ayat kursi di dalam hati.

Nafas Aqasha yang turun naik laju semakin kuat kedengaran. Dia merengus lebih kasar dan mencerlung Ustaz Idris dengan penuh kebencian. Sepantas kilat dia menerkam Ustaz Idris. Tetapi Ustaz Idris yang masak dengan permainan syaitan pantas meniup ayat kursi yang dibacanya ke arah Aqasha.

Aqasha terhempas ke katil. Terlentang dengan mulut yang tercungap-cungap. Sejurus selepas itu dia mula meraung dan meraba-raba seluruh badannya kerana kesakitan dan kepanasan.

Delaila, mama Delaila dan mama Aqasha menangis melihat keadaan Aqasha. Selepas beberapa ketika bergelut akhirnya Aqasha pengsan.

“Alhamdullillah. Benda tu dah keluar dari tubuh suami puan. Maaf terpaksa berkasar sedikit. Benda tu kena dikeluarkan secara paksa,” kata Ustaz Idris.

“Apa benda tu ustaz?” tanya Delaila.

“Bajang,” jawab Ustaz Idris.

Delaila yang tidak tahu hanya mengangguk. “Siapa yang buat suami saya ni ustaz?”

“Saya tak dapat hendak beritahu. Maaf,” jawab Ustaz Idris.

“Terima kasih ustaz,” ucap Delaila dan ahli keluarganya dan Aqasha.

“Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah,” jawab Ustaz Idris.

Azwar jatuh sakit beberapa hari selepas Aqasha berjaya dirawat Ustaz Idris dengan izin Allah SWT. Penyakitnya persis yang dialami oleh Aqasha. Bajang belaannya yang berasa dirinya tidak lagi mampu membelanya mula menyakitinya.

Semakin hari keadaannya semakin teruk. Sampailah ketikanya ketika dia seperti mayat hidup. Bau badannya sangat busuk.

Azwar menggamit Zeti. Zeti yang baru menangis selepas berasa kasihan dengan keadaan dirinya datang menghampiri. Zeti melekapkan telinganya ke mulut Azwar.

Inak bagi sesuatu, nak tak?” tanya Azwar, bisiknya perlahan.

Younak bagi apa?” tanya Zeti.

“Adalah. Cakap je younak. Angguk pun tak apa,” kata Azwar.

Zeti berfikir sejenak. Macam-macam perkara yang menyerbu fikirannya. Akhirnya kerana berasakan tiada apa-apa, dia pun mengangguk dan kemudian berkata, “Ya, Inak.”

Youjanji ambik ya?” tanya Azwar lagi.

“Ya,” jawab Zeti.

Azwar tersenyum mendengar pengakuan Zeti itu. Tiba-tiba badannya melentik-lentik dan kemudian terhempas sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Zeti tergamam dengan apa yang berlaku. Dia meraung menangis memeluk Azwar. Dan dia pula dipeluk oleh bajang tanpa disedari…

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.