Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Novelet Keluarga MEMORI RAMADAN
MEMORI RAMADAN
Pena Putera
13/6/2018 00:57:32
743
Kategori: Novelet
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 2

MACAM tak percaya… Benarkah aku berada di sini? Di tempat yang banyak menyimpan memori paling indah. Tempat yang menjadi sebahagian daripada hidupku? Bagaimana semua ini semua boleh terjadi? Mataku berkaca, ingin menitiskan air mata kebahagiaan. Kakiku kaku, diriku membatu. Sudah bertahun-tahun berlalu, dan aku di sini.

“Syafiq? Dah balik rupanya. Kenapa tercegat dekat depan rumah aje itu? Masuklah.”

Aku menoleh ke belakang. Senyumanku melebar melihat wajah kakak dan ibuku yang memandangku aneh. Pedulikan pandangan itu, aku terus memeluk ibu erat. Seeratnya untuk melepaskan bebanan rindu yang sudah lama ku tanggung.

“Ini dah kenapa tiba-tiba peluk?”

Pertanyaan ibu aku tidak endahkan. Aku hanya mahu berada dalam pelukan ibu. Pelukan yang hangat dan penuh kasih sayang. Pelukan yang tidak dapat dirasai di mana-mana.

“Mesti lepas kena ceramah dengan ustaz tadi. Itu yang tiba-tiba peluk. Kononnya, wujud kesedaran itu.” Kak Jue perli aku. Aku muncungkan mulut. Salahkah aku merindui ahli keluarga sendiri?

“Dah umur tujuh belas tahun pun masih peluk mak. Budak manja!” ejek Kak Jue sambil menjelirkan lidah. Aku tarik lagi panjang muncung.

Alamak! Aku lupa satu perkara.

Aku pandang diri sendiri. Rasa lebih rendah daripada biasa. Betullah! Memandangkan aku dah kembali ke masa silam, maknanya… Aku juga dah kembali menjadi diri masa lalu. Maknanya, sekarang aku berumur tujuh belas tahun dan itu juga membawa maksud aku adalah, pelajar yang akan menduduki SPM?

Haha. Lawak abad mana pula ini? Tak akanlah dua kali aku nak ambil SPM kut.

“Ibu, Jue rasa Syafiq ini sakit kut.”

“Sakit apanya?”

Kak Jue tunjuk gaya orang sakit mental. Aku pandang dia tajam.

“Pandai-pandai aje cakap orang sakit mental. Tapi…” Bagaimana kalau aku betul-betul sakit mental? Perkara apa yang boleh menjelaskan situasi aku dengan logik selain kemungkinan aku sedang berhalusinasi? Tidak mungkin aku kembali ke masa silam?

Atau ini semua mimpi?

Aku terus menampar pipi sekuat-kuatnya. Mahu sedar dari tidur jika ini adalah mimpi.

“Dah kenapa anak aku ini tampar pipi sendiri? Ya Allah… Janganlah anak aku kena sampuk. Ini bulan puasa kut. Syaitan semua dah kena ikat.”

Tanpa mempedulikan kata ibu, aku terus menampar pipi sehingga terjaga dari tidur. Oh, come on! Bangunlah, Syafiq. Boleh pula kau tidur dan bermimpi benda macam ini?

Pap! Satu tamparan kuat hinggap di belakang tubuh.

“Aduh!” Aku mengaduh kesakitan. Lalu aku mengangkat muka dan melihat wajah bengis ayah di hadapan. Ayah? Itu ayah?

“Budak bertuah!”

“Ayah!” Kali ini, aku peluk ayah. Ayah nampak bingung, tapi tanganku masih erat memeluknya.

“Memang sah gila,” ujar Kak Jue.

“Ayah, Syafiq rindu ayah,” kataku dengan penuh senyuman. Senyuman yang bahagia pada malam yang bahagia dalam mimpi paling bahagia.

KEBISH! Kebish! Kebish!

Tiga kali aku kena rotan malam itu lepas ayah mengamuk dapat tahu aku ditangkap bermain mercun di kawasan berhampiran surau sehingga terkena salah seorang jemaah di sana. Padahal, bukannya aku yang buat. Itu diri aku pada masa lalu yang lakukan. Well, still me, right? Susah nak cakap.

Walaupun diri aku, tapi aku yang lalu dan yang sekarang tak sama. I mean… Ughhh. Susah nak terangkan, but I’m not deserved for this. Terima kasih kepada diri aku yang masa lalu telah membawa masalah kepada aku.

“Mulai esok, ayah tak benarkan kamu solat terawih dengan kawan-kawan kamu. Kamu kena ikut ayah pergi surau dan balik mesti bersama ayah juga. Kalau ayah dapat tangkap kamu jumpa mereka, siap kamu. Ayah akan biarkan rotan ini bercakap untuk kamu.”

Ayah tunjukkan rotan itu depan mata aku lalu dia pukul meja guna rotan itu. Teguk liur juga. Kegarangan ayah mengimbas kembali kisah lalu atau kisah kini? Entahlah. Aku masih bingung dan belum dapat hadam apa yang jadi.

“Syafiq minta maaf. Syafiq janji tak akan buat lagi,” ucapku meminta maaf kepada ayah. Kemudian, semuanya pandang aku pelik termasuk ayah. Kenapa? Aku ada salah cakap?

“Ibu, Jue rasa Syafiq betul-betul…” Kak Jue pusing jari, tunjuk gaya orang sakit mental. Apa pula? Sejak bila minta maaf diklafirikasikan sebagai salah satu simptom sakit mental? Seriously, Kak Jue?

“Baguslah kalau kamu minta maaf. Sekurang-kurangnya, kamu sedar kesalahan kamu.” Ayah berkata dalam nada lembut.

“Kenapa semua nampak macam pelik dengan Syafiq? Ada apa-apa?” tanyaku meminta kepastian.

“Kamu itu, mana pernah minta maaf dengan orang. Selalunya menjawab nak bela diri. Mestilah kami semua hairan.” Ibu menjawab.

Oh, betul itu. Aku lupa aku pernah menjadi seorang yang tak akan mengakui kesalahan sendiri dan lebih suka mencari alasan untuk selamatkan diri. Dan aku berubah semenjak menggalas tanggungjawab sebagai seorang doktor yang mana aku perlu bertanggungjawab atas setiap tindakan.

Angkuh juga rupanya aku pada masa lalu.

“Sudah. Pergi masuk tidur. Ingat apa yang ayah pesan tadi. Kalau perkara seperti tadi berulang kembali, kamu tahulah apa yang akan terjadi.” Ayah beredar dari ruang tamu, meninggalkan aku, Kak Jue dan ibu.

“Assalamualaikum,” ucap seseorang dari luar rumah. Pintu rumah dibuka dan seseorang masuk ke dalam rumah. Aku melihat wajah yang kukenali, tapi aku cepat-cepat membatukan diri.

“Hah, baru balik Azman? Ibu ingat esok pagi subuh baru nak balik? Alang-alang itu, terus sahur dekat luar.” Suara ibu menjadi lantang. Memarahi Abang Khairi.

Abang Khairi hanya membaut muka selambanya. Tanpa mempedulikan kami, dia terus beredar masuk ke dalam biliknya.

“Ya Allah, apalah nak jadi dengan anak aku seorang ini?” keluh ibu perlahan. Kak Jue cuba memujuk ibu sambil mengusap perlahan belakang ibu. Aku memandang penuh sayu.

Masa silam ini… Adakah ini bukan mimpi?

AKU termenung di meja kayu dalam bilik. Menilik kalendar kertas di meja sambil mengira hari. Kalau mengikut logik, tahun ini adalah tahun paling malang dalam hidup aku. Tahun aku kehilangan segalanya dan hampir kehilangan diri sendiri. Aku menghitung hari. Ada lagi dua puluh lima hari sebelum kejadian itu berlaku.

Kejadian yang mengubah seluruh hidupku. Yang mengajar aku erti berdikari. Memori itu tak akan pernah aku lupakan walaupun sesaat. Detik yang penuh penyesalan dalam hidup aku.

“Doktor pernah tak, rasa kehilangan orang yang kita sayang dalam sekelip mata hanya sebab kesalahan sendiri?”

Ya. Jawapan pernah.

Kesalahan yang terlalu besar untuk aku tanggung seumur hidup. Terlalu berat untuk aku simpan sendiri. Sehingga aku mahu mengakhiri segalanya kerana terlalu malu dengan diri sendiri.

“Ibu! Ayah! Jangan tinggalkan Syafiq!”

Jeritan itu kedengaran kembali di telinga. Seolah dekat suara itu denganku.

Aku membenamkan muka di meja. Dugaan apa pula kali ini? Apa yang sebenarnya Allah nak berikan kepada aku? Kenapa aku di sini, di masa silam? Adakah ini benar-benar masa silam atau sebaliknya?

Keliru. Benar-benar keliru.

Tak logik aku boleh kembali ke masa silam.

Bukannya aku naik mesin masa dan merentas zon masa.

Baru aku teringat sesuatu. Tentang bagaimana aku boleh berakhir di masa silam. Seingat aku, aku sedang memandu pulang dari hospital ke rumah. Sewaktu melalui terowong tadi, aku terus berada di masa silam.

Drama apa pula semua ini?

Huwaaa!

BANGUN-BANGUN saja dari tidur, aku sedar aku berada di tengah-tengah hutan. Nice… Aku dah kembali ke masa purba pula kali ini. Kalau beginilah keadaannya, aku boleh terus jadi pengembara masa. Mengembara masa tanpa aku ingini.

Aku berjalan perlahan meneroka hutan ini. Suasananya amat mendamaikan dan menenangkan. Aku tak pernah berada di hutan seperti ini. Auranya terasa lain dan seolah aku bukan di hutan biasa. Bak hutan magis ala-ala fairytale gitu kalau nak diumpamakan.

Tiba-tiba, dari jauh… Aku terlihat ada anak kancil yang kecil molek sedang memandangku. Dah kenapa? Ajak gaduh?

Bila aku menghampirinya, anak kancil itu terus berlari. Anehnya, aku cuba mengejar walaupun aku tidak peduli tapi kaki ini terus mengatur langkah berlari mengejarnya. Kenapa kecoh sangat ini? Anak kancil aje pun.

Sedar tidak sedar, aku tiba di sebatang sungai yang mengalir deras. Di seberang sana, anak kancil yang aku kejar tadi ada di sana. Pelik? Dia seberang sungai ikut jalan mana? Lagi pelik, aku cuba berjalan di atas batu-batu besar di sungai itu.

Aku pijak dengan hati-hati, namun sayangnya aku tergelincir bila sampai di pertengahan. Aku dihanyutkan arus sungai yang deras itu. Meronta-ronta aku meminta pertolongan walaupun aku tahu, tiada siapa yang akan tolong.

Dalam kelemasan, aku cuba berenang ke permukaan. Sungai ini terlalu dalam sehingga aku hampir kelemasan ke dasar. Dalam usaha cuba sampai ke permukaan, aku terdengar satu suara yang berbisik di telinga.

“Masa silam ini adalah peluang untuk segalanya.”

Hah? Mana datang suara itu? Aku cuba mencari di dalam kedalaman sungai itu.

“Cuma, ingat satu perkara. Masa silam tak akan berubah kerana kehendak manusia.”

Maksudnya?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.