Home Novelet Fantasi Hikayat Autharsia
Hikayat Autharsia
Pero D. Zoref
23/9/2017 12:37:02
12,669
Kategori: Novelet
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Bab 2-2

Bilah pedang besar dijunam dengan pantas oleh ketua laskar Atrun, dia menyasarkan Razhar yang sedang mara dengan pantas ke arahnya. Tiga orang laskar Atrun pula bertindak mengawasi pergerakan Razhar, mereka bersiap siaga untuk membantu ketua mereka menumpaskan Razhar.

Manakala Zaref pula bakal berdepan dengan empat lagi laskar Atrun. Mereka bertindak menyerbu Zaref sekaligus. Zaref segera menghunuskan pedangnya, tangannya menggeletar tatkala mengenggam ulu pedang itu, ini kali pertama dia berdepan dengan situasi pertempuran yang sebenar. Selama ini dia cuma mengikuti sesi latihan beladiri sahaja. Dia memperkukuhkan kekudanya, menanti serangan dari keempat-empat laskar itu.

Razhar kini bergerak lincah bak belangkas, tenaga batinnya ditumpukan pada kedua kakinya. Dia mengelak hayunan pedang besar ketua laskar, namun dia disambut pula dengan serangan dari tiga laskar atrun yang lain.

Razhar mendecet, baginya tiga laskar itu hanya menganggu keseronokannya bertarung. Mereka tidak sehebat mana, tapi cukup menjengkelkan. Dia menepis dan mengelak tiap serangan bertubi dengan begitu baik.

Hilang jejak tidak terlihat,
berlari aku sekencang pawana, 
hilang bayang tidak terkesan, 
bagai kabus menembus lalu.

Usai Razhar melafaz mantra dia bertukar menjadi kabus hitam, yang bergerak sepantas angin . Mereka melibas pedang mereka ke arah kabus hitam itu, namun segalanya sia-sia. Serangan mereka tidak mampu mencederakan Razhar. Ketiga-tiga laskar itu segera ditumpaskan oleh Razhar dengan mudah. Kesemua mereka menemui ajal ditusuk oleh mata pedang Razhar yang tajam.

Ketua laskar mengetap gigi kegeraman, hatinya bertambah berang apabila orang bawahannya dibunuh di depan matanya sendiri. Dia tidak sempat berbuat apa-apa dek kerana pergerakan Razhar yang terlalu pantas. Dia memacak pedang besarnya ke tanah. Ilmu kebatinan, tandingannya juga harus ilmu yang sama. Mulutnya terkumat-kamit, matanya tajam memerhatikan pergerakan kabus hitam itu.

Razhar tidak terus menyerang, dia membiarkan lawannya bersedia dahulu. Dia lebih seronok menumpaskan lawannya setelah mereka berhempas pulas bertarung dengannya.

Zaref masih sibuk menangkis tiap serangan dari pelbagai sudut, dia tidak sempat untuk memperhatikan pertarungan Razhar.

ZAPPP!

Bahu Zaref terkena libasan pedang lawannya, darah berhamburan keluar. Sakitnya bukan kepalang, Zaref menjerit kesakitan. Salah seorang laskar menghayun pedangnya ke arah batang leher Zaref pula. Segera dia berundur ke belakang menghindar serangan itu.

"Kau tak akan dapat melarikan diri, sama ada kau mati di hujung pedang kami, atau pun kau mati jatuh ke dalam jurang di belakang kau." Kata salah seorang laskar. Mereka terus bergerak mengasak Zaref. 

Di saat genting itu, tiba-tiba pedang Zaref bercahaya. Sinar cahaya putih itu datang dari rekahan yang terdapat pada mata pedang itu. Zaref memandang pedangnya yang bercahaya. Kelihatan seperti senjata magis, tapi apa kuasa yang ada pada pedang itu, tidak mungkinlah sekadar mengeluarkan cahaya sahaja. Akalnya berputar ligat mencari cara untuk dia lepaskan diri dari empat laskar itu.

Laskar-laskar itu menghentikan langkahan mereka dari terus mengasak Zaref. Dari riak wajah mereka Zaref dapat melihat gentar mula mengegar jiwa mereka apabila melihat pedangnya yang tiba-tiba bersinar itu.

"Nampaknya ajal kamu semua akan berakhir disini! pedangku ini adalah pedang pelahap jiwa, jika ia bercahaya bermakna semangatnya sedang kelaparan" Laung Zaref dengan penuh keyakinan untuk menakutkan laskar-laskar itu, namun di dalam hatinya tiada siapa yang tahu. 

Laskar-laskar itu mula berundur, mereka ketakutan. Nampaknya helah Zaref menjadi, sebenarnya dia sendiri tidak tahu kenapa pedangnya itu tiba-tiba bercahaya. Keringat mengalir di dahinya, mindanya ligat merencana apa yang harus dia lakukan seterusnya.

"Baiklah pedangku! aku persembahkan empat jiwa ini untuk kau telan!" Zaref melaung seraya menjulang pedangnya yang bercahaya itu menghala ke langit. Keempat-empat laskar itu semakin ketakutan, masing-masing menikus dan meringkuk tubuh ketakutan.

Zaref tidak menyiakan peluang yang ada, tanpa berlengah lagi dia terus membuka langkah melarikan diri daripada situ meninggalkan empat pengawal yang meringkuk ketakutan.

"Woi! apa kau orang buat! jangan lepaskan dia!" Jerkah ketua laskar yang masih berhempas pulas bertarung dengan Razhar. 

Keempat-empat laskar segera bangun semula, mereka bertambah berang. Ternyata mereka hanya diperbodohkan oleh budak belasan tahun. Segera mereka bergerak menitip arah Zaref melarikan diri.

"Arghh!" Ketua Laskar terjerit menahan kesakitan, kiri perutnya ditusuk mata pedang Razhar. 

Razhar segera menarik mata pedangnya, darah menyembur keluar dari kesan luka tikaman. Razhar tersenyum sinis seraya merenjis darah yang masih tersisa pada pedangnya ke tepi. "Kau tidak tumpukan perhatian, jadi itu hukuman kau."

"Tak Guna!" bentak ketua laskar itu. Dia kumpulkan kudratnya semula, pedang besarnya kembali ditaup sepenuh raga. Tidak mungkin dia akan tewas dengan budak mentah di hadapannya itu. Matanya mencerlung memandang Razhar penuh kesumat, namun Razhar hanya melirik senyuman yang membuatkan hatinya bertambah sakit.

Ketua laskar itu kembali mengorak langkah serangan ganas dan disambut dengan tenang oleh Razhar. Bunyi pedang berlaga kembali menghiasi arena pertarungan di antara Razhar dan ketua laskar. Sesekali kelihatan percikan api dari lagaan pedang kedua pahlawan yang bertarung sengit itu.  

Termengah-mengah Zaref berlari, sesekali dia berpaling melihat jikalau ada laskar yang mendekatinya. Dia berhenti di perdu sepohon pokok besar sebaik sahaja dia memastikan tiada laskar yang berdekatan. Setelah meninjau keadaan sekeliling sebetulnya, dia melabuh punggung di perdu akar banir pokok itu. Dia mengesat peluh yang mengalir di wajahnya. 

"Aku perlu berbuat sesuatu, sampai bila aku dapat menyorok di sini, lambat laun mereka jumpa juga," fikirnya sendirian. Dia meraba-raba di dalam beg galasnya dan mengeluarkan satu kotak kayu kecil. Segera dia membuka kotak kayu yang di dalamnya berisi pelbagai jenis kristal magis kecil. Dia harus memilih kristal magis untuk digunakan ketika itu. 

"Yang ini, mungkin" ujarnya sambil memegang satu kristal magis berwarna kelabu.

Tiba-tiba kedengaran bunyi derapan kaki manusia, segera Zaref menghendap di balik perdu pokok itu. Dia mengintai, benar telahannya. Laskar-laskar itu dapat mengesan jejaknya. Zaref kembali bersandar di perdu pokok itu. Dia merenung kristal magis di tapak tangannya.

"Wahai batu gemala, batu sakti, bentukkan khayalan seperti diriku yang sedang belari ke arah barat," bisik Zaref sebelum dia melemparkan kristal magis itu ke dalam rimbunan semak yang agak jauh darinya. Kristal itu merupakan kristal khayalan yang digunakan untuk melepaskan diri dari binatang buas, terpaksalah dia gunakan walau dengan berat hati. Harga kristal magis sangat mahal walaupun pada kualiti yang paling rendah.

Beberapa tika kemudian, tempat jatuhnya kristal magis itu keluar satu susuk tubuh manusia yang menyerupai Zaref.

"Itu dia!" kedengaran laskar itu menjerit.

Bayangan Zaref itu melarikan diri menghala ke barat seperti yang dimahukan oleh Zaref dan laskar-laskar itu terus mengejar bayangan itu tanpa menyedari Zaref sebenarnya bersembunyi di balik perdu pohon besar itu.

Sebaik sahaja kelibat laskar-laskar itu hilang dari pandangannya, Zaref keluar dari persembunyiannya. Dia kembali melangkah menuju ke tempat pertarungan antara Razhar dan ketua laskar.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.