Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 035

Cerita Riduan semakin menarik. Akmal berpindah lokasi daripada tempat yang dipenuhi orang ke tempat yang lebih sunyi. Telefon bimbitnya masih melekap di pipi dan telinganya. Setelah melihatkan Riduan berhenti seketika untuk mengambil nafas, barulah Akmal mencelah.

            “Habis tu, apa keputusan kau sekarang? Masih nak menunggu bulan jatuh ke riba atau berpijak sahaja di bumi yang nyata”, Akmal berkias yang sudah pasti Riduan faham akan maksudnya.

            “Cerita tu tak habis kat situ je, Akmal.”

            “Cepatlah sambung, Wang. Bateri aku nak ‘kong’ ni!”, bentak Akmal sedikit.

 

Riduan masih terkejut dengan luahan Raihana itu. Seraya ilmu yang telah dipelajari pada hari itu hilang seperti ditiup angin yang kencang. Apa yang tinggal hanyalah memori di ketika dan saat ini sahaja. Riduan terpinga-pinga untuk mencari jawapan ke atas luahan hati Raihana. Sudah pasti dia akan kembali untuk mengambil barang-barang yang masih terletak di atas meja ini. Tiba-tiba datang sekujur tubuh menyapanya dari belakang. Apabila dipaling, ianya bukanlah Raihana tetapi seorang wanita yang tidak pernah dilihat di fakultinya.

            “Abang, boleh saya tanya? Ini meja Kak Ana ke?”, tanya seorang gadis yang membahasakan diri Riduan sebagai ‘Abang’. 

            “Ana? Raihana ke?”, duga Riduan.

            “A’ah, dia tiba-tiba sakit perut. Biasalah, perempuan”, balas gadis itu dengan nada menyindir ke arah tuan punya buku yang tiada di situ. Sakit perut di sini adalah merujuk kepada penyakit senggugut.

            Riduan memahami maksud gadis itu. Sama ada Raihana berpura-pura senggugut kerana malu untuk berjumpa dengannya atau tidak, itulah tidak dapat dipastikan oleh Riduan. Riduan masih tidak berganjak daripada mejanya. Sekadar melihat gadis itu mengemaskan buku-buku Raihana ke dalam beg Raihana yang terletak di atas kerusi.

            “Awak ni adik Raihana ke? Tak pernah nampak pun”, soal Riduan kepada gadis itu. Ada iras-iras persamaan di wajah antara kedua-dua gadis itu dari sudut pandangan Riduan.

            “A’ah. Saya belajar kat Fakulti Ekonomi. Minggu study saya memang belajar dengan Kak Ana kat sini. Kadang-kadang perpustakaan dekat dengan fakulti saya pula. Bergilir-gilir”,j elas gadis itu panjang lebar.

            “Emm... Nak panggil apa, ya?”

            “Saya Hanani. Panggil saya Ani.”

            “Abang nak minta tolong kat adik, boleh? Tolong bagi kertas ni kat Kak Ana”, pinta Riduan yang sedang menulis sesuatu di atas kertas dengan sepantas kilat lalu melipat kepada empat bahagian.

            “Baiklah. Lagi?”, soal Hanani lagi jika terdapat permintaan yang lain.

            “Tak ada apa-apa. Tolong yang ini sahaja. Terima kasih.”

            Hanani berlalu bersama-sama sekeping kertas yang dipegang di sisi. Hajatnya pada kertas itu sudah terlewat untuk ditarik kembali. Riduan yang sedang di dalam dilema kembali memerhatikan Ekin dan Nisa pula. Bermain di benak Riduan. Manusia ini adakalanya sangat aneh. Adakalanya yang mengejar tidak sampai pada sasaran, sedang yang di belakang tahu-tahu sahaja sudah tiba di kesamping. Misterinya permainan dunia diibaratkan seperti pepatah ‘untung sabut timbul, untung batu tenggelam’. Nasib manusia tiada siapa pun yang mengetahui samada ini atau itu yang lebih menguntungkan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree