Home Novel Thriller/Aksi HIKAYAT PERANG FIRUSIA
HIKAYAT PERANG FIRUSIA
Faris Jamalludin
19/1/2017 04:08:36
25,565
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab CHAPTER 19 – TEMUAN TAKDIR

CHAPTER 19 – TEMUAN TAKDIR

Lebuhraya E2
Pinggiran Luar Kota Melawati
Pangkalan Hadapan Sementara Sierra

14 Mei 2014

“Aku nak tanya sejak dari hari kita sampai sini lagi, siapa yang bawak semua A1-Skyraider ni” Eza mengomel sambil berjalan disisi Zara sedang mereka berjalan menuju kearah deretan pesawat A1-Skyraider. Kawasan apron pesawat yang baru dibina oleh kalangan askar jurutera dan anggota-anggota dari 11 Briged Para beberapa hari lepas kini dilitupi jaring penyamaran, sebagai langkah melindungi segala pesawat tempur yang ada dari mata-mata jahat musuh yang senantiasa berkeliaran diudara.

“Dengarnya ada juruterbang dari Kota Raja. Satu-satunya yang terselamat.” Zara membalas.

“Satu-satunya tapi ini ada dekat 5 bijik ni. Takkan dia seorang yang hangkut Lagipun setahu aku Kota Raja tak ada skuadron CAS.”

“Tak tahu Eza. Tapi bukan adik kau ada dekat Nasiruddin Salim ke?”
Zara kemudian menyoal.

“Emm…ya. Dia dengan Skuadron Pemintas. Tapi semua yang ada dekat Nasiruddin Salim tewas dari apa yang aku dengar. Tak ada satu orang atau satu pesawat pun yang selamat. Aku dah redha Zara. Aku tau adik aku dah tak ada.” Eza sugul bila menyebut tentang perihal adiknya.
“Kau jarang cerita pasal adik kau kan Eza?”

“Adik tiri aku sebenarnya. Mak kami lain-lain. Sebab tu nama binti ayah sama, walhal kami berlainan mak.” Eza membuka cerita.

“Mak meninggal masa aku 2 tahun. Aku ingat lagi. Hospital mak aku kerja kena bom. Tapi bukan aku pernah cerita dekat kau ke Zara. Masa sekolah dulu?”

“Ya kau pernah cerita. Tapi sekali je. Tu pun masa sekolah dulu lah. Kau kira sendiri umur kita dah berapa dan zaman sekolah kita tu zaman bila. Zaman sebelum kita masuk angkatan laut lagi wei..maksud aku kau tak pernah cerita pasal dia lepas sekolah. Kita dah lama tak jumpa Julia lepas tu kan...!!”

Zara membalas sambil menangkap leher Eza lalu menggosok kepala sahabatnya itu seperti budak kecil.

Eza cuba melawan, sambil kedua-duanya berdekah dengan kuat hingga kalangan petugas teknikal pesawat yang ada berhampiran saling memandang.

Kemudian satu suara yang sangat dikenali Eza muncul.

“Kak Eza…!!!!???”

Eza memoleh, begitu juga Zara – dengan mulut separuh terngaga seakan tidak percaya.

“JULIAAAA..!!!!!??”

Ketiga-tiga mereka berlari kearah satu sama lain, saling berpelukan seakan tidak percaya apa yang mereka lihat dihadapan mata. Tiga sahabat lama, adik beradik – terpisah akibat perang tanpa tahu khabar berita antara satu sama lain, bertemu di tempat yang tidak dijangka dan disangka oleh mereka.

“Syukur Julia, Tuhan sahaja tahu betapa Kak Eza gembira jumpa adik kesayangan akak ni..!!”Getus Eza tanpa melepaskan pelukan erat keatas Julia yang disangka tewas. Matanya terbit linangan air mata.

“Saya pun kak. Kami dengar November kena bantai sama teruk dengan Nasimuddin. Lepas tu tak ada berita. Tak tahu apa jadi.” Julia kemudian membalas.

Kalangan krew teknikal pesawat memandang gelagat 3 gadis tersebut, kelihatan ada sedikit senyuman di bibir mereka. Masdan dan Sundaran yang turut bersama mereka saling berpandangan antara satu sama lain, masih cuba memahami apa yang sedang terjadi sebenarnya. Leftenan Hafizi mulai mengatur langkah menuju kearah mereka untuk memperkenalkan diri.

“Leftenan Hafizi. Kor Marin Diraja.” dia menghulurkan tangan untuk bersalaman. Kemudian Julia mencelah.

“Wei senior kita wei.” sambil Julia menyiku Hafizi. Hafizi seakan terkejut lalu mukanya berubah serius sambil member tabik hormat. Gelagat jejaka itu menyebabkan Eza dan Zara seakan tersipu sambil cuba menahan gelak.

“Leftenan Komandar Eza Abdul Rahman, Leftenan Zara Johnson. Dua-dua ni kakak saya dan senior kita. Juruterbang paling hebat pernah saya jumpa.”Julia yang bingkas menyelit diantara kedua mereka sambil memperkenalkan keduanya kepada Hafizi yang masih segan-segan.

“Dan kakak-kakak sekelian, kalau tak jumpa abang marin kita ni, saya tak tau la apa nasib saya kak. Sejak dari hari pertama konflik sampai hari ni saya ikut je kemana Hafizi, Sundaran dan Masdan pergi. Hasilnya tu. 5 unit A1-Skyraider.” Julia kemudian menyambung. Hafizi masih lagi terpinga-pinga tidak berkata sepatah. Seolah mulutnya terkunci. Sundaran dan Masdan serta kalangan krew teknikal yang lain hanya melihat gelagat kalangan pegawai mereka.

“Tuan Hafizi tu macam kena pukau je.” Sundaran berbisik kepada Masdan yang hanya tersengih. Kemudian mereka semua bingkas bangun dan berdiri member tabik hormat sekali lagi.

“Mereka kutip burung besi ni dekat Adrujawijaya. Setakat ni yang boleh terbang satu ni je. Yang lain kita tengah cuba nak hidupkan enjin, cuba nak baiki mana yang boleh.” Kolonel Fariq mencelah perbualan mereka dan tiba-tiba muncul dari belakang Eza dan Zara. Kedua anak gadis itu berpaling lalu memberikan tabik hormat kepada ketua mereka.

Kolonel Fariq berjalan kearah pesawat Skyraider yang sedang diselenggara oleh krew teknikal, dengan bahagian-bahagian panel pesawat terbuka dan wayar berjuraian dan titisan cecair hidraulik berjejeran ditakung dengan baldi plastik. Seakan ada nostalgia pada pesawat tersebut, tangannya rapat pada panel pesawat klasik tersebut lalu matanya terpejam.

“Jom makan..!!!” Julia memecah kesunyian.

Lalu seraya kedengaran ngauman enjin kenderaan tempur sedang memasuki pintu masuk pangkalan sementara itu. Ngaumannya tidak lancar dan kasar, seakan harimau yang sedang sakit.

“Wangsa Praaq ke tu?” Julia melontarkan soalan dengan nada perlahan.

Eza dan Zara mengangguk tidak bersuara mengiyakan pertanyaan Julia.

Deretan kenderaan tempur Rooikat masing-masing menyerlahkan tanda-tanda luka perang. Kesan peluru dan robekan pada perisai akibat hentaman roket anti armor, dan wajah-wajah perajurit yang lesu, masih tersisa kesan debu konkrit dan tanah pada tubuh dan uniform mereka.

Seluruh konvoi seakan menyerlahkan aura lelah dan penat – ditambah dengan ngauman enjin kenderaan-kenderaan tempur tersebut yang seakan melolong minta untuk berhenti, seaakan tidak terdaya lagi.

Satu demi satu Rooikat yang menjadi saki baki battalion armor Wangsa Praaq melepasi sekatan di pintu masuk hadapan, bergerak kearah kawasan lapang mengikut arahan petugas trafik tentera yang memandu pergerakan konvoi tersebut.

“Nampak macam teruk mereka kana.” Julia kembali bersuara.

“Firasat bagi tahu asalnya Wangsa Praaq ada lebih 200 kenderaan tempur tapi yang ada di Selabak semalam tak sampai separauh pun. Tak tahu berapa ramai yang tewas.” Zara membalas.

“Wangsa Praaq tu dah kira veteran, pun teruk kena hambat dek SPEKTRUM.”

Kelibat anggota kenderaan tempur mulai kelihatan, masing-masing keluar dari kenderaan dan terpancar wajah lesu mereka. Kalangan anggota 11 Briged yang tersisa masih ada di landasan udara sementara bergegas kearah mereka, membawa air dan ada yang mengusung kit perubatan kalau-kalau ada yang cedera dan perlukan rawatan cemas.

Senyuman terukir di wajah Leftenan Hafizi bilamana dua pasukan paling veteran dalam Angkatan Bersenjata Firusia bertemu bertentang mata, saling berpelukan seolah mereka adalah saudara-mara dekat walhal diketahui keduanya berbeza pegangan ugama dan kepercayaan. Wangsa Praaq dengan majoriti warga Orang Asli yang teguh pada kepercayaan animism sejak dahulu kala dan kalangan anggota dan pegawai 11 Briged Para yang majoritinya Muslim.

Disatukan dibawah satu naungan kenegaraan dan kesetiaan kepada negara dan sultan yang menjadi raja seisi negeri. Tiba-tiba salah seoaran dari perajurit Orang Asli yang ada bertanyakan soalan.

“Siapa juruterbang yang bantu kami semalam?”

“Garang!”
Sahut salah seorang warga 11 Briged
“Itu mereka ada disana.” dia menyambung lagi.

Pandangan Leftenan Wok Anak Jugha dialihkan kearah Eza dan Zara serta yang lain-lain. Seraya beliau member arahan kepada anak-anak buahnya untuk mengikutnya keseberang landasan terbang.
Melihat mereka berbuat demikian, kalangan perajurit dari 11 Briged turut mengikut mereka.

Kolonel Fariq mencuit bahu Eza dan Zara dan menunjukkan kearah gerombolan askar yang sedang berjalan kearah mereka. Seakan faham mereka juga menuju kearahnya.

Keduanya bertemu ditengah landasan terbang sementara yang asalnya sebahagian lebuhraya yang menjadi saksi bisu pertempuran sengit konflik.

Dari sorak sorai yang menggamatkan suasana tiba-tiba menjadi sunyi. Semua dari mereka berdiri tegak melihat kelibat Eza, Zara dan Kolonel Fariq. Renyai hujan mulai turun dan membasahi mereka semua.

Seakan-akan tahu siapa dihadapan mereka, kalangan warga Wangsa Praaq berdiri sedia, memberi tabik hormat. Tabik hormat dibalas kembali.

“Terima kasih kepada puan sebab membantu kami semalam masa di Selabak. Saya Leftenan Wok Anak Jugha, Battalion ke-5 Armor, 3 Divisyen, Wangsa Praaq. Kami semua terhutang budi dengan kalian. Kamu bagi peluang kepada Wangsa Praaq untuk bertempur satu hari lagi untuk Firusia…!!!” seraya kedengaran laungan sorak sorai menggamatkan suasana.

Eza dan Zara hanya tersenyum. Mereka cuba melakukan apa yang terdaya. Sedikit yang dapat diselamatkan sudah cukup besar makna, dan sekurang-kurangnya memberikan harapan untuk hari esok.

“Boleh kami belanja puan dan semua ahli skuadron puan makan. Tak mewah tapi adala sikit MRE yang berbaki untuk jadi tanda kami balas jasa.” Leftenan Wok kembali menyambung.

“Kalau tak cukup ambil yang bahagian kami pun tak apa.” Seloroh satu suara dari kalangan anggota 11 Briged lalu disambut sorakan.



************************


Angin malam yang bertiup lembut membawa perasaan tenang kepada sesiapapun, kecuali kepada Hermann Adler. Hatinya gusar. Senjata super yang dinantikan sejak dari awal konflik masih belum menampakkan kelibat. SPEKTRUM masih gagal menguasai Darulaman sepenuhnya seperti yang dijadualkan manakala Kota Melawati memberikan tentangan yang hebat walaupun mereka serba serbi kekurangan. Walaupun dibantainya dengan FIRESTORM dan N5 yang ada dalam pegangannya, Kota Melawati tetap utuh tidak menyerah.

Adler memerlukan kuasa pemukul yang lebih berbisa untuk menundukkan lawan dan senjata super yang dibangunkannya sendiri.

Tetapi rencana lain tetap diteruskan. Sebelum menundukkan Kota Melawati, Darulaman mesti disenyapkan. Ia mesti ditakluk sepenuhnya.

Pengunduran kekuatan SPEKTRUM dari Kota Melawati tidak bermaksud memberikan peluang kepada Firusia untuk bangkit semula, ia hanya sementara, hanya pelan sementara. Mata Hermann Adler tertumpu kepada Darulaman, kota pesisiran pantai di barat laut Firusia yang merupakan nadi ekonomi petroleum. Ia terlalu berharga untuk dimusnahkan dengan ledakan N5 ataupun dengan hujan besi dari FIRESTORM sepertimana yang dikenakan dengan dahsyat keatas Kota Melawati. Darulaman adalah sasaran ekonomi yang mesti ditakluk tanpa ada sebarang kerosakan. Setiap satu loji penapisan, tangki-tangki minyak, pelabuhan dan pelantar-pelantar minyak yang ada mesti ditawan satu persatu tanpa sedikit calar sekalipun.

“Herr Adler, ada panggilan dari Westfall.” seorang lelaki muda datang menghulurkan telefon satelit kepadanya.

Dari pembida tuan” dia menyambung.

Hermann Adler mencapai telefon tersebut dan memulakan perbualan.

“Ya.”

“Bagaimana dengan bidaan kami keatas semua lembangan minyak luar pantai Darulaman. Adakah kamu sedia menerima tawaran kami..?”

“13 billion Ringgit terlalu kecil untuk aku. Aku mahu tawaran lebih tinggi, 25 billion untuk semua lembangan termasuk kompleks petroleum yang ada. Mahukan ia, berikan aku wang yang aku minta atau aku berikan kepada pembida lain yang lebih sanggup.”

“25 billion terlalu mahal.”

“Dan aku memerlukan tentera upahan aku untuk mendapatkan habuan yang kau minta. Mereka dibayar. Bukan sebarangan askar yang makan gaji dengan kerajaan. Jadi aku mahu lebih..!!!”

“20 billion Ringgit. Tawaran akhir.”

“Aku tak janjikan semua kompleks dan lembangan minyak yang ada akan kekal berada dalam keadaan baik. Jangan lupa firma kamu tenat dan ini satu-satunya peluang untuk kamu semua kapitalis bangsat untuk kembali membuat keuntungan. MAHU ATAU TIDAK..!!!!?”

“Baiklah. Kami akan majukan bayaran deposit sebanyak 30 peratus ke akaun di Austral dan selebihnya bila setiap satu lembangan, pelantar dan kompleks yang ada di Darulaman berjaya ditawan.”

Hermann Adler mematikan telefon.

25 billion Ringgit. Lebih dari mencukupi untuk menjana jentera-jentera perangnya. Dia memalingkan muka dari pesisiran pantai dan melihat kearah Pangkalan Udara Nasimuddin yang masih sibuk dengan aktiviti logistik. Deretan armor tempur REX yang baharu sudah tiba dan sedia untuk diatur gerak ke Darulaman untuk langkah seterusnya. UCAV yang sangat diperlukan Adler juga telah tiba, tersusun rapi dalam deretan panjang sambil ia diselenggara dan diperiksa kalangan krew teknikal.

Penaklukan Darulaman memerlukan kesemua UCAV tersebut untuk melancarkan serangan udara keatas Kota Melawati, agar apa sahaja bala tentera Firusia yang ada disana tidak dapat berbuat apa-apa bila melihat Darulaman jatuh ketangannya.


*********************

Leftenan Alwi memacu kenderaan tempur Sherpa melalui jalan pantai yang berliku dengan cermat dalam renyai hujan yang masih belum menunjukkan tanda untuk reda. Dibelakangnya, anak-anak buah beliau yang sedang khayal menikmati angin malam dan dingin hujan.

Konvoi yang dikepalai Alwi terdiri dari 7 buah kenderaan, semuanya terdiri dari sukarelawan awam atau bekas tentera dan polis yang kini menjadi sebahagian dari pasukan gerila. Mereka dikutip dari pekan-pekan dan kawasan kampung yang berjujukan sepanjang jalan persekutuan A19 menghala ke Darulaman. Lebih ramai lagi akan mereka ketemu sementara sebelum sampai ke Darulaman nanti. Anak-anak muda dan dewasa yang sedia menggalas senjata sebagai sebahagian dari elemen gerilyawan

Rokok dicucuh oleh Alwi sudah kehabisan, lalu puntungnya dicampak keluar tingkap dengan tangan masih kejap memegang stereng memandu jalan pesisiran pantai yang terletak ditebing terjal yang tinggi.

Dia teringat akan arahan yang disampaikan oleh Laksamana Zuhdi.

“ dapatkan seramai tenaga muda dan maju ke Darulaman. Kemudian bertahan disana.”

Satu tugas sukar buat kumpulan gerilyawan yang terdiri dari orang awam tapi masih cuba digalas dan dilaksana. Kerja gila memang sesuai untuk operator pasukan khusus sepertinya.

Papan tanda yang terletak di kanan jalan bersinar bila disuluh lampu kenderaan. Padanya tertulis 12 kilometer ke Pekan Ayer Tawar, 23 kilometer ke Pekan Pasir Panjang, 33 kilometer ke Kuala Sepetang. Perjalanan ke Darulaman masih lagi jauh.

“Tuan ada rokok tak?”

“Pek kiri nombor dua. Ambil la satu kotak. Aku belanja”


Keadaan kembali sunyi. Semua yang ada didalam kenderaan tempur Sherpa kembali membisu melayan perasaan atau cuba melelapkan mata setelah berminggu-minggu bersengkang mata dalam keadaan dibedil dan dihentam artileri musuh sewaktu di Kota Melawati. Ketiadaan siaran radio menambahkan lagi sunyi malam.

*********************

Laksamana Zuhdi dan Pangiran Ali Saifuddin menemani baginda Sultan Nazrin Sulaiman Shah yang masih tekun mencerap carta-carta yang bertaburan diatas meja di pusat kawalan dan perintah KDF Mahameru. Baginda yang duduk dikerusi menekup muka, tanda keletihan setelah seharian cuba mengatur gerak taktik dan strategi yang terbaik untuk mempertahankan tanah air tercinta.

“Pasukan yang ada hanya cukup untuk bertahan di Kota Melawati, tidak lebih dari itu.” Baginda mulai bersuara.

Laksamana Zuhdi dan Pangiran Ali Saifuddin hanya diam tidak membalas. Mereka berdua juga buntu. Kemana lagi harus pasukan-pasukan yang ada akan diaturgerak. Kota Melawati hanya satu-satunya benteng yang diketahui masih utuh walau sudah ranap dibedil musuh dan nasib kotaraya lain selain Setiawangsa masih kabur. Tidak tahu nasib samada masih bertahan, atau sudah hangus dibakar musuh.

“Beta nampak hanya satu sahaja jalan, dan ini yang paling merbahaya namun paling pantas mengakhiri konflik ini.”

Seraya pena yang dipegang oleh baginda melukis pada carta yang tertulis Kota Raja, di warnakan lalu digariskan dengan satu garisan panjang.

“Potong kepala ular, badan yang lain akan mati. Kepalanya di Kota Raja. Kalangan orang-orang SPEKTRUM adalah tentera upahan. Bilamana ketuanya mati, orang yang menggaji mereka mati, mereka akan berhenti bertempur.” baginda bersuara.

“Tapi ia memerlukan semua kekuatan kita yang ada. Dan untuk kesana Tuanku, pastinya sukar. Setiap pekan yang berjujukan sepanjang lebuhraya mesti dibebaskan dan patik tak sebutkan lagi tentang asakan artileri mereka.” Laksamana Zuhdi kemudian melontar pendapat.

“Dengan apa cara sekalipun wahai Laksamana. Tidak semestinya kita datang dari arah darat.”

“Pendaratan amfibia bakal memakan masa, dan kita tidak tahu samada SPEKTRUM menguasai lautan ketika ini kerana mungkin mereka hanya tertumpu di pantai barat. Lintasan udara tampak lebih meyakinkan namun jumlah pasukan kita yang bakal tewas sebelum mereka dapat bertempur di daratan pasti lebih tinggi.”
Laksamana Zuhdi menyambung lagi.

“Apapun kita tunggu berita dari Leftenan Alwi berkenaan Darulaman, Tuanku. Pasti beritanya baik dengan izin. Kalau tidak pun, hamba yakin ada jalan yang boleh kita gunakan untuk mengakhiri konflik ini.”


“Patik juga berharap begitu. Jika Darulaman sudah jatuh ketangan musuh, dan Leftenan Alwi serta anak-anak gerilyawan yang lain berjaya menyusup masuk maka patik fikir adalah lebih baik jika kita mengasak musuh secara tidak konvensional.”Pangiran Ali Saifuddin turut menambah lontaran buah fikiran kepada Raja yang dikasihinya.

“Yang paling utama jangan ada kecelakaan keatas rakyat awam. Itu yang paling penting dan keutamaan yang mesti kita letakkan dihadapan tuan-tuan sekelian. Beta tidak sanggup melihat lagi mata anak kecil yang hilang ayah dan ibunya. Cukup. Itu satu penderitaan yang pada beta sangat tidak adil untuk rakyat. Hermann Adler sepatutnya membunuh beta dan bukan rakyat-rakyat beta. Dendamnya pada beta.”sabda Baginda lagi.

Semua yang berada didalam pusat perintah dan kawalan tersebut membisu seribu bahasa, seolah faham akan luahan rasa yang dilontarkan oleh Raja yang mereka kasihi. Ramai dari kalangan anak kapal KDF Mahameru juga tidak ketahuan akan nasib keluarga masing-masing. Setiap satu dari mereka terputus hubungan terus sejak ledakan pertama gelombang elektromagnetik diawal konflik mematikan segala talian komunikasi. Sangka mereka ada gangguan atmosferik yang dibadai rebut suria membejatkan semua komunikasi satelit namun realitinya, perang menjejakkan kaki ke tanah air mereka.

Semuanya gara-gara seorang konglomerat dari negeri atas angin bernama Westfall dan namanya Hermann Adler yang dahulu pernah cuba berbuat perkara sama dengan melaga-lagakan dua tetangga serantau yakni Firusia dan Antareas. Di pertengahan konflik, tipu dayanya dapat dihidu dan akhirnya tertangkap petualang bangsa yang menjadi dalang pertelingkahan yang meragut ribuan nyawa tidak berdosa.

“Segalanya sudah ditetapkan takdir Tuanku. Patik yakin dengan iltizam kita dan keyakinan kita kepada Rabb pasti semua dugaan ini akan kita hadapi dengan tenang.” Laksamana Zuhdi kembali bersuara.

Kemudian satu suara garau kedengaran sedang ketiga-tiga orang penting tersebut berbicara.

“Izinkan hamba mencadangkan wahai sang Raja yang dikasihi” Kepten Muizuddin yang memerhati sekian lama mulai melontarkan pendapat.

“Patik sarankan kita solat tahajjud berjemaah malam ini. Mohon petunjuk dan hidayah darinya untuk kita keluar dari kemelut yang menduga kita ini. Sesekali memohon dari Rabb, pasti akan ada kebaikan dan sesungguhnya orang yang sabar itu pasti akan mendapat ganjaran yang besar.”
beliau meneruskan bicara.

Baginda tersenyum dan memandang kearah Laksamaan Zuhdi dan Pangiran Ali Saifuddin. Mereka mengangguk tanda setuju.

“Sebar luaskan hasrat itu kepada semua wahai sang Nakhoda. Beta perkenankan. Maklumkan kepada semua pasukan, segala hamba rakyat yang ada. Yang Muslim disarankan bertahajjud memohon petunjuk dan diberikan jalan keluar dari dugaan besar ini.” Sultan Nazrin Sulaiman Shah bersabda.

“Menjunjung titah tuanku.” lantas ganggang telefon diangkat oleh Kepten Muizudddin, pegawai memerintah KDF Mahameru untuk menyampaikan hasrat baginda.

“Takdir semesti sudah ditetapkan olehNYA, namun tidak salah kita berusaha untuk mengubah.”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Faris Jamalludin