Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Novel Seram/Misteri TAJAU
TAJAU
Ruby Annas
27/2/2018 11:35:31
1,919
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
T:#7

Hati Mak Kiah dijentik rasa curiga.  Dia terkocoh-kocoh mendaki anak tangga untuk ke tingkat atas lalu menapak lurus ke bilik majikannya.  Pintu bilik itu terkuak lebar.  Demi menghormati privasi majikannya, Mak Kiah mengetuk pintu terlebih dahulu.  Tiada sebarang jawapan yang diterima setelah beberapa saat menunggu.

Mak Kiah menjengah ke dalam bilik. Keadaan bilik agak berselerak dengan beberapa alat solek milik Suhana yang bertaburan di lantai.  Mak Kiah menelan liur.  Tidak tahu apa yang sebenarnya telah telah terjadi?   Keadaan bilik mereka bagai dipukul ribut.

"Encik Amri?  Puan Suhana?" panggil Mak Kiah perlahan.  Masih juga tiada sebarang jawapan. 

Mak Kiah mengambil keputusan untuk memeriksa lebih lanjut.  Sebaik saja kakinya melangkah ke dalam, dia melihat jasad Amri yang terbujur kaku di katil.  Dengan terketar-ketar, Mak Kiah memeriksa pernafasan Amri.  Lega hatinya apabila Amri masih lagi bernafas walaupun agak lemah.  Tubuh Amri terasa panas apabila dahinya disentuh dengan belakang tapak tangan.

"Panasnya!"

Amri mengalami demam panas dan wajahnya amat pucat.  Mak Kiah melingas untuk mencari kelibat Suhana pula.  Diperiksa bilik air mereka tetapi Suhana tiada di situ.  Hatinya tergerak untuk mencarinya di balkoni lantaran langsir tipis berwarna putih berkibaran ditiup angin.  Malangnya tiada sesiapa juga di situ.

Mak Kiah buntu.  Masalah datang bertimpa-timpa dalam sekelip mata.  Pemergiannya ke kampung selama dua hari telah menimbulkan pelbagai dugaan kepada mereka.  Dalam kekalutan, dia menghubungi doktor peribadi majikannya terlebih dahulu.  Setengah jam kemudian, doktor tersebut tiba bersama seorang jururawat wanita.

"Assalamu'alaikum."

"Wa'alaikumussalam... jemput masuk, doktor.  Encik Amri ada di tingkat atas.  Silakan," pelawa Mak Kiah seraya mengiringi perjalanan mereka ke sana.

Amri masih belum sedarkan diri.  Keadaanya diperiksa oleh doktor muda bertag nama Rashidi.  Jururawat wanita membantu doktor tersebut selama pemeriksaan itu berlangsung.

"Suhu Encik Amri agak tinggi, tetapi saya telah berikan suntikan ubat dan tidak lama lagi demamnya akan kebah.  Ini ada Paracetamol dan vitamin.  Pastikan Encik Amri mengambil ubat dan vitamin tersebut mengikut dos yang ditetapkan.  Kalau keadaan Encik Amri masih tidak berubah, tolong hubungi saya secepat mungkin," jelas Doktor Rashidi.

"Baiklah, doktor.  Terima kasih," ucap Mak Kiah sebelum menghantar mereka ke pintu utama. 

Masih ada satu masalah lagi yang belum selesai.  Kehilangan Suhana amat membimbangkan Mak Kiah.  Dia pasti, Suhana tidak ke mana-mana kerana barangan peribadi dan keretanya juga masih ada.  Mak Kiah risau jika kehilangan Suhana ada kaitan dengan unsur jenayah.

Berderau darahnya apabila melihat tempayan yang masih lagi berada di tengah ruang tamu.  Dia memutuskan untuk memanggil kedua-dua ibu bapa Amri sebelum memikirkan jalan penyelesaian yang seterusnya.  Masa perjalanan mereka dari kampung mengambil masa kira-kira dua jam.

Sementara menunggu, Mak Kiah mengemas sudut barangan antik yang sudah kucar-kacir.  Serpihan barangan yang pecah dikutip satu persatu dan dimasukkan ke dalam guni kecil.  Manakala, barang-barang antik lain yang masih elok keadaannya disusun semula ke tempat asal.

Peluh yang mengalir di dahi diseka.  Rumah tersebut terasa berbahang walaupun alat penyaman udara sudah dihidupkan.  Mak Kiah meneruskan kerja-kerjanya dengan cepat.  Tinggal tempayan itu saja yang belum diusik.  Walaupun dia tahu kudrat tuanya tidak mampu untuk mengalih tempayan berkenaan, Mak Kiah tetap juga ingin mencuba.

Tangannya menyentuh tempayan tersebut dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Badan tempayan cuba ditolak perlahan-lahan tetapi pantas tangannya ditarik semula.  Tempayan tersebut terasa panas bagai dibakar api.

"Astaghfirullahal'adzim...."

Tepat sekali telahan Mak Kiah bahawa tempayan tersebut adalah punca berlakunya semua permasalahan ini.  Raungan dan rintihan kembali menganggu corong telinganya.  Berulang kali Mak Kiah meneruskan bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an yang diingati.  Dalam hati dia berdoa agar orang tua Amri segera tiba.  Bulu romanya merinding saat suara itu semakin nyaring dan mengacah tahap keberaniannya.

Ketika fikiran Mak Kiah sedang berkecamuk, kedengaran suara seseorang  memberi salam di luar rumah.  Mak Kiah berjalan laju-laju ke pintu utama.  Dia memulas tombol pintu sambil menjawab salam.

Di hadapannya berdiri tiga orang tetamu yang baru tiba dengan wajah muram.  Mak Kiah agak terkejut dengan kehadiran ibu dan bapa Amri yang sampai lebih awal.  Pastinya mereka terus bergegas ke sini sebaik saja tahu akan situasi anak dan menantu mereka.

Seorang tetamu lelaki yang turut bersama mereka tidak dikenali oleh Mak Piah.  Lelaki berwajah bersih dan berjubah ungu mengangkat wajahnya sambil melemparkan senyuman.

"Masuklah, Encik Amri ada di atas," beritahu Mak Kiah tanpa disoal.

"Dah jumpa Suhana?" tanya Puan Adibah.  Mereka bertiga duduk di sofa.

"Belum lagi, Puan.  Saya pun dah buntu," jawab Mak Kiah.

"Macam mana ni, bang?  Apa kata kalau kita buat report polis?" cadang Puan Adibah.  Cukup risau wanita itu setiap kali memikirkan keadaan menantunya yang mungkin diculik oleh penjahat ataupun perompak.

"Kita tunggu Amri sedarkan diri dahulu.  Mungkin dia tahu apa yang sebenarnya terjadi?" Encik Hamdan, iaitu ayah Amri berkerut dahi apabila melihat tempayan yang berada di situ. 

Oh ya, ini anak saudara saya, Luthfi.  Kata Luthfi, mungkin dia boleh membantu kami sebaik saja tahu tentang masalah ini.  Dia juga menawarkan diri untuk memandu.  Maklumlah, suami saya ni sudah tidak larat memandu seorang diri kerana penglihatan pun sudah kurang jelas," terang Puan Adibah dengan ramah.

"Kiah, kenapa tempayan tu berada di situ?"  Encik Hamdan masih tidak berpuas hati.

Itulah sebabnya saya memanggil Tuan ke mari," jelas Mak Kiah.

"Astaghfirullahal'adzim."  Luthfi beristighfar sebaik saja melihat tempayan tersebut.

"Kenapa Luthfi?"  Puan Adibah bertanya.

"Tempayan tu luar biasa, Mak Uda."  Mak Uda merupakan panggilan Luthfi kepada ibu saudaranya.

"Maksud kamu?"

Luthfi menghela nafas.  "Tempayan tu mempunyai satu semangat, bukan sekadar hiasan semata-mata." 

Encik Hamdan dan Puan Adibah saling berpandangan.  Entah barang apa yang disimpan oleh anak dan menantunya tanpa usul periksa?  Puan Adibah mengusap lengan yang beralaskan baju kurung kapas.  Romanya menegak saat anak mata Luthfi begitu tajam menikam tempayan lama itu.

"Saya naik dulu nak pergi tengok anak kita."  Puan Adibah meminta izin.  Sebenarnya dia tidak betah berada di situ lebih lama.  Aura seram begitu kuat terasa di ruang tamu berkenaan.  Mak Kiah mengiringi langkah Puan Adibah, meninggalkan Encik Hamdan dan Luthfi di ruang tamu.

Pintu bilik ditolak dari luar.  Jasad Amri masih kaku di katil.  Puan Adibah duduk di birai katil dan menatap wajah lesu anaknya.  Rambut Amri diusap beberapa kali.  Hatinya gundah  dengan kehilangan Suhana dan Amri pula masih belum sedarkan diri.  Dahi Amri yang basah kerana peluh tiba-tiba berkerut.

"Su?  Suhana?" panggil Amri dalam keadaan mata terpejam.

"Amri, mak datang ni."  Puan Adibah cuba menyedarkan Amri.  Wajah bujur sirih anaknya dielus.

"Suhana!  Jangan!"  Jeritan Amri bergema di ruang bilik itu.  Kelopak mata Amri terbuka luas.  Hampir terjatuh Puan Adibah dari katil kerana terkejut.  Mak Kiah membantu Puan Adibah untuk duduk semula.

"Terima kasih, Kiah."  Mak Kiah cuma mengangguk.  Pandangan Puan Adibah beralih kepada anaknya semula.

"Amri dah sedar.  Syukur, alhamdulillah," ucap Puan Adibah sambil tersenyum.

"Su mana, mak?"  Lengan Puan Adibah dicengkam kemas.

"Suhana?  Dia...," kata-kata Puan Adibah terhenti di situ kerana tidak sanggup mengatakan hal yang sebenar kepada Amri.  Otaknya buntu untuk mencipta alasan.

"Selamatkan isteri Amri, mak.  Suhana sedang ketakutan!"  Entah apa yang dibebelkan oleh Amri sehingga Mak Kiah dan ibunya terpinga-pinga.

Manakala, Encik Hamdan dan Luthfi masih tidak berganjak di sofa. Encik Hamdan tidak biasa dengan kejadian mistik yang menimpa keluarganya.

"Apa kita nak buat ni, Luthfi?" Encik Hamdan bertanya.  Dia tidak mahu tempayan tersebut disimpan di rumah anaknya lama-lama.  Entah apa lagi dugaan  yang akan menimpa mereka kelak?

"Saya akan cuba apa yang termampu, Pak Uda."  Luthfi bangun lalu menuju ke dapur.

Beberapa minit kemudian, dia keluar sambil menggenggam sesuatu di tapak tangan.  Mulutnya terkumat-kamit membaca beberapa potong ayat al-Qur'an lalu dihembuskan ke genggamannya.  Butiran lada hitam dan garam dicampakkan ke arah tempayan.  Serentak dengan itu, satu jeritan yang panjang dan nyaring kedengaran. 

Seisi rumah turut mendengar jeritan itu yang bertingkah dengan suara seorang wanita yang amat dikenali oleh Amri, iaitu Suhana.

"Mak, itu suara Su,"  kata Amri dengan cuak.

"Betul tu, tapi... di mana Su berada?"  Puan Adibah masih tertanya-tanya. 

"Amri, tunggu!"  Puan Adibah membuntuti langkah Amri yang tergesa-gesa ke tangga.

Encik Hamdan dan Luthfi terkejut melihat penampilan Amri yang tidak terurus.

"Selamatkan Su, ayah!"  Amri mengongoi di kaki Encik Hamdan seperti anak kecil.  Tubuh Amri dipaut dan dipeluk.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.