Bab 8

SUBUH berganti siang. Ayat-ayat suci al-quran masih bergema di rumah Saihah tanpa henti. Dua orang adik lelakinya sudah pun ke sekolah. Encik Haidi pula sudah ke pejabat. Ayahnya bekerja di sebuah badan kerajaan dan berjawatan rendah. Tinggal Saihah dan juga ibunya di rumah.

Sementara Puan Syifa berada di dalam dapur, Saihah duduk di ruang tamu seorang diri. Dia cuba melelapkan matanya kerana semalam dia tidak cukup tidur akibat gangguan-gangguan tersebut. Walaupun ada alunan ayat-ayat suci al-quran dirumahnya, namun, perasaan Saihah tetap tidak tenang. Seperti dia sedang diperhatikan dan rumah itu dirasakan berat sekali. Suasana rumahnya juga tidak seperti sebelum ini. Keadaan rumahnya agak suram.

“Saihah!” Puan Syifa muncul dengan wajah risau.

“Kenapa ibu?” Matanya segar semula apabila mendengar suara ibunya.

“Tak ada apa-apa. Ibu ingatkan Saihah menangis tadi.”

Berkerut dahi Saihah mendengarnya. “Saihah okey saja ibu. Saihah tak nangis pun.” Dia tersenyum nipis.

“Tak apalah. Ibu pergi dapur dulu. Kalau Saihah nak apa-apa, panggil saja ibu.” Ujar Puan Syifa sebelum berlalu ke dapur semula.

Kalau bukan Saihah, siapa pula yang aku dengar nangis di rumah ni? Tanya Puan Syifa di dalam hati.

 

SAAT matanya ingin lelap, gerakan pada kulit belakang tulang belikatnya mengejutkan Saihah. Dia jadi panik dan mula rasa rimas dengan keadaan tersebut. Dia mahu memukul bahagian tulang belikatnya namun tangannya tidak mencapai sasaran tersebut.

“Ibu. Ibu!” Panggil Saihah. Puan Syifa yang mendengar namanya dipanggil itu terus ke ruang tamu. Dahinya berkerut melihat wajah anak perempuannya.

“Kenapa ni Saihah?” Puan Syifa di pagut risau.

“Ibu, belakang Saihah ni. Saihah rimas. Benda tu bergerak-gerak lagi di belakang Saihah ni.” Saat itu, perasaannya hendak menangis.

“Ibu, tolong Saihah pukul belakang Saihah ni. Saihah rimaslah dengan benda tu.” Rungut Saihah. Puan Syifa yang kebingungan itu laju sahaja membuat apa yang disuruh oleh anaknya. Segala ayat-ayat al-quran dari surah-surah pendek dibaca, ditiup di telapak tangan lalu dipukul di belakang tubuh anak perempuannya. Beberapa kali juga Puan Syifa berbuat begitu sehingga Saihah merasakan benda itu tidak bergerak lagi.

 

WAKTU zohor telah pun masuk. Ibu menyuruh anak perempuannya solat terlebih dahulu. Walaupun perasaan Saihah takut, tetapi dia tetap melakukan tugas wajib itu. Selesai menunaikan solat, dia terus melipat sejadah dan telekungnya lalu diletakkan di birai katil.

Dia melangkah keluar dari bilik dan ketika itu dia terdengar ibunya sedang bercakap dengan seseorang. Saihah menghampiri ibunya yang berada di depan bilik air.

“Ibu cakap dengan siapa?” Tanya Saihah. Matanya meliar di ruangan bilik air tersebut.

“Tadi, ibu dengar suara perempuan menangis di dalam bilik air ni. Ibu halau benda tu. Ibu tak nak benda tu ganggu kita.” Kata Puan Syifa. Saihah menunjukkan reaksi takutnya. Puan Syifa mengusap lembut bahu Saihah. Dia tidak mahu anaknya berasa takut dengan benda itu.

Bunyi deringan telefon milik Puan Syifa membuatkan dia dan juga anak perempuannya terkejut. Lantas Puan Syifa ke biliknya. Saihah mengikuti ibunya dari belakang. Panggilan daripada abangnya di kampung itu segera dijawab.

“Ifa, macam mana keadaan Saihah? Okey?” Tanya Pak Am di hujung talian.

“Dia masih lagi macam tu. Tapi, buat masa ni dia okey. Ada apa-apa yang abang Am nak beritahu Ifa ke?”

Pak Am terdiam seketika. Helaan nafas berat dilepaskan.

“Abang Am, kenapa? Beritahulah Ifa.” Puan Syifa mula cemas. Saihah hanya menjadi pemerhati dan pendengar sahaja. Tidak ada niat untuk menganggu perbualan ibu dan pak ciknya.

“Kemungkinan besar...” Pak Am terdiam lagi. Berat sungguh dia ingin mangatakan hal tersebut.

“Abang Am cakap sajalah. Ifa dengar ni.”

“Ifa, abang ada tanya dengan guru perubatan islam abang ni. Dia kata, Saihah mungkin terkena perbuatan orang.”

Terbeliak mata Puan Syifa bila mendengar ayat tersebut. “Abang biar betul?”

“Itu apa yang guru perubatan abang yang cakap, Ifa. Abang cadangkan kamu bawa Saihah pergi jumpa ustaz yang pandai dalam hal ni atau pun pergi ke pusat perubatan islam. Kalau nak minta pertolongan abang pun boleh. Tapi, masalahnya kita jauh.”

Hati Puan Syifa tidak tenang. Dia mengurut dada perlahan-lahan.

“Ibu, kenapa?” Saihah mencelah apabila melihat ibunya sedang mengurut dada. Puan Syifa membalas dengan senyuman tawar lalu berdiri dan menjauh sedikit daripada anak perempuannya.

“Sekiranya ini perbuatan orang, abang tahu ke siapa orangnya? Abang ada tanya dengan guru perubatan abang?” Tanya Puan Syifa.

“Abang tak tanya pula tentang hal itu. Tapi, abang ada tahu seorang yang pandai dalam hal ni. Nanti, abang cuba tanya orang tu tentang Saihah.” Kata-kata Pak Am sedikit sebanyak membuatkan Puan Syifa tenang.

“Ifa dengan yang lain banyakkan bersabar. Minta pada Allah supaya Saihah cepat sembuh. Minta pertolongan yang Maha Esa. Solat Hajat. Mudah-mudahan Dia beri petunjuk dengan apa yang sedang berlaku pada keluarga Ifa.” Nasihat Pak Am pada adiknya.

Insyaa-Allah, abang Am.” Ucap Puan Syifa sebelum menamatkan panggilan mereka.

 

SAIHAH selesai menunaikan solat asarnya. Sewaktu dia melipat sejadah dan telekungnya, tidak semena-mena dia terdengar suara tangisan sedang menangis dekat dengannya. Bulu roma naik meremang. Dia laju keluar daripada bilik tersebut. Langkahnya terhenti apabila melihat seekor belalang besar yang hanya berkaki tiga di tepi dinding pintu dapur. Hatinya lain. Dia rasa seram sejuk.

“Ibu! Ibu!” Jerit Saihah. Dia tidak tahu ke mana ibunya pergi. Dua orang adiknya yang sudah balik dari sekolah sejak tengah hari tadi tidak ada pula di rumah. Mereka berdua keluar bermain.

“Ibu!” Sekali lagi dia memanggil ibunya. Pada masa yang sama, dia terdengar bunyi lain. Bunyi seekor cengkerik dari arah dapur. Bertambah takut Saihah ketika itu. Ibunya dipanggil lagi.

“Ya.Ya, Saihah. Kenapa?” Puan Syifa laju keluar daripada biliknya. Rupanya, ibunya itu terlelap.

“Ibu, Saihah rasa lain. Belalang tu... Bunyi cengkerik....” Dia berhenti bercakap. Tiba-tiba jantungnya berdegup kencang.

“Ibu, Saihah takut dengan belalang tu. Saihah takut dengan bunyi cengkerik.”

“Sabar. Sabar Saihah. Tenangkan perasaan. Baca ayat-ayat 3 Qul.” Kata Puan Syifa lalu meninggalkan anaknya. Dia ke dapur dan mengambil penyapu. Puan Syifa memukul belalang tersebut lalu dibuang ke luar tingkap. Kemudian bunyi cengkerik dicari di bahagian dapur itu. Hasilnya gagal. Dia tidak tahu di mana serangga itu sedang bersembunyi.

“Ibu...” Saihah merasakan tubuhnya sejuk. Puan Syifa meletakkan penyapu di tepi pintu lalu menghampiri Saihah. Bunyi cengkerik sudah tidak dipedulikan olehnya.

Puan Syifa membawa Saihah ke ruang tamu. Ibunya menenangkan dia sehingga suaminya pulang dari tempat kerja.

 

MALAM menjelma. Bunyi cicak yang tidak henti-henti itu menganggu emosi Saihah. Sudahlah tadi dia diganggu dengan suara tangisan dan rintihan di biliknya. Hatinya tidak tenang dengan apa yang berlaku terhadap dirinya sekarang.

Puan Syifa sudah menceritakan tentang apa yang diberitahu oleh abangnya di kampung pada suaminya itu ketika mereka makan malam tadi. Encik Haidi beristighfar panjang. Dia memberitahu isteri dan anaknya yang dia juga akan cuba mencari seseorang yang tahu tentang hal ini.

“Saihah, kalau tidur jangan lupa baca doa tidur. Baca surah 3 Qul, ayat Kursi. Kalau tak dapat tidur, berzikir.” Pesan ayahnya sebelum masuk tidur. Malam ini dia tidur bersama-sama dengan dua orang adiknya ditemani oleh ibunya.

Saihah tidur di antara adik lelaki bongsunya dan juga ibunya. Manakala, Hazri tidur disebelah adik bongsunya. Lampu ruang tamu dibiarkan berpasang. Saihah membaca doa tidur dan membaca ayat-ayat pendek sebelum tidur. Benda yang bergerak-gerak di belakang tubuhnya itu tidak dipedulikan lagi olehnya. Dia harus lawan. Dia tidak mahu kalah dengan benda tersebut.

Ibunya tidur-tidur ayam. Ayat-ayat al-quran masih lagi dipasang dan dibiarkan sahaja berkumandang di rumah itu. Saihah mengiring ke sebelah kiri. Selimut ditarik hingga ke paras bahu. Telinganya pula ditutup dengan bantal. Baru sahaja dia hendak lena, tiba-tiba selimutnya ditarik kuat dari arah depan. Saihah amat terkejut. Dia jadi tidak keruan.

“Ibu, Saihah takut. Saihah tak dapat tidur.” Saihah menyentuh lengan ibunya. Terbuka luas pandangan Puan Syifa. Dia mengerling ke arah anak perempuannya.

“Tidur Saihah. Ibu ada. Ibu tunggu Saihah tidur dulu, barulah ibu tidur, ya.” Pujuk Puan Syifa.

“Saihah berdoa dan minta petunjuk daripada Allah. Mudah-mudahan Allah akan bantu keluarga kita.” Pesan Puan Syifa sebelum anaknya melelapkan matanya kembali.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh