Home Novel Seram/Misteri JANGAN BIAR DIA MASUK 2 - A.DARWISY
JANGAN BIAR DIA MASUK 2 - A.DARWISY
A. Darwisy
29/8/2016 16:23:10
15,350
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 3

1930, Kampung Deru Angin, Bachok, Kelantan...

AMBARWATI asyik sekali mendengar bunyi deburan ombak yang malu-malu memikat pantainya. Tenteram perasaannya di kampung halaman suami tercinta. Meskipun suasananya mirip seperti di tanah tumpah darahnya nun jauh di Kabupaten Cilacap, berkongsi hidup dengan laut tetapi di sini lebih istimewa. Barangkali kerana adanya Nik Hazran di sisi. Masya-ALLAH, dia berasa dirinya wanita paling bertuah di dalam dunia.

Hampir setahun hidup bersama, lelaki itu meladeninya dengan penuh kasih sayang, disirami cinta dan takwa kepada ALLAH. Nik Hazran tidak pernah sekalipun meninggikan suara kepadanya. Jauh sekali menjentik. Syukurnya tidak pernah putus dipanjatkan kepada ya Rabbul Izzati.

Sungguh, Ambarwati terasa dirinya seperti bayi kecil yang ditatang dan dimanjai. Nik Hazran baginya cukup sempurna hinggakan dia merasakan dirinya tidak layak untuk lelaki sebaik dan sewarak itu. Hari demi hari, Ambarwati menanam tekad untuk sentiasa memperbaiki diri, istiqamah menjadi seorang isteri solehah dan ibu misali kepada zuriat dalam kandungannya yang tinggal membilang hari celik melihat dunia.

“Assalamualaikum...” Suara Nik Hazran berbisik manja di cuping telinga Ambarwati, membawa kembali isterinya ke alam sedar. “Terlarut jauh hingga ke dasar, rindukan siapa?” usik Nik Hazran.

Dia sudah tahu tempat kegemaran isterinya itu saban petang. Bergeguritan di bangku kayu beralas batik berisi kekabu, menghadap laut yang mendamaikan. Bangku kayu itu kerja seni pertukangan Nik Hazran sendiri.

Segaris senyuman bahagia mekar pada wajah Ambarwati. Macamlah dia tidak boleh menghidu kehadiran suaminya itu dari belakang. Bau badan suaminya itu sudah menjadi sebahagian raksi jiwanya. Aroma yang meresap masuk ke tubuhnya, pesona yang sering dirindu-rindu dan didambanya setiap detik dan ketika. Haruman kasturi yang sentiasa dioles di kulit lelaki itu, bagaikan jebat-jebatan yang menerbangkannya membelah gemawan nikmat dunia.

Nik Hazran mengucup ubun-ubun Ambarwati lalu duduk di sebelah. Mereka berbalas senyuman dan saling menyelam ke dalam telaga mata.

“Waalaikumussalam. Wati terkenangkan Tenung Bulan... Tenung Bulan dan Deru Angin tidak sama,” jawab Ambarwati lembut lalu membiarkan tubuhnya ditarik ke dalam rangkulan sasa suami tercinta.

Lidah Ambarwati kini sudah terbiasa berbicara dalam bahasa setempat. Meskipun patah sebutannya masih tebal bercengkok Jawa.

Mereka suami isteri kemudiannya melontar pandang ke lautan semula. Sepi mengisi kebuk masa.

“Maafkan abang...” Suara Nik Hazran lirih.

Pantas Ambarwati kembali ke posisi duduknya dan berkalih memandang suami yang dicintai dunia dan akhirat itu.

“Kenapa abang tiba-tiba kata begitu?”

“Kerana tidak mampu memberi kebahagiaan selayaknya kepada Wati...” ucap Nik Hazran, ikhlas dari hati.

Dia tahu Ambarwati sewaktu hidup anak daranya, datang daripada keluarga yang berharta. Rumah pusaka atas bukit di Tenung Bulan peninggalan Anje dan Adika antara buktinya. Andai hendak dibandingkan dengan rumah tiang dua belas yang mereka suami isteri diami sekarang ini, ada sedikit kurangnya.

Namun, rumah tiang dua belas inilah lambang cinta Nik Hazran kepada Ambarwati. Dia yang menukangi rumah itu sendiri, dari tanah rata hingga terpasak enam tiang serambi dan enam tiang panjang. Punya tiga bahagian di dalamnya, iaitu rumah ibu yang mengandungi ruang selasar, rumah tengah dan rumah dapur. Kamarnya juga besar dan selesa.

Mengalir air mata Ambarwati mendengarnya. Tembus ke sukma.

“ALLAH, abang cakap apa ni? Demi ALLAH, bang...bukan itu yang Wati maksudkan. Wati sangat-sangat bahagia dengan abang. Bahagia bukan letaknya pada kemewahan juga harta benda. Kekayaan yang hakiki adalah kekayaan iman dan dicerminkan dalam sifat qanaah. Bukankah itu yang nabi pesan?”

Nik Hazran yang lembut hatinya, memanjatkan rasa syukur. Dikucupnya dahi si isteri. Lama.

“Terima kasih, sayang.”

Angin terus lembut menderu. Mendinginkan dua jiwa yang saling mengasihi lillahi Taala.

“Apa yang Wati maksudkan tadi...Tenung Bulan, penduduknya tidak seperti di sini. Di kampung abang ini, majlis ilmu subur sekali. Agama ALLAH diimarahkan di mana-mana. Tetapi alhamdulilah, usaha Tok Bariman akhirnya dipermudahkan. Tiada lagi amalan syirik sepeninggalan kita setahun yang lepas.”

Dalam rasa syukur itu, terselit rasa terkilan mengenangkan gemulah Ambarningsih, kakak kandungnya yang pergi tanpa sempat bertaubat. Mengenangkan dosa yang dilakukan Ambarningsih, menggerunkan Ambarwati apalah balasan dan azab yang diterima kakaknya di dar al-baqa.

Perhatian sepasang suami isteri itu beralih dari memandang hamparan lautan ke kelibat sosok lelaki yang sedang berlari ke arah mereka. Bangkit Ambarwati dan Nik Hazran dari bangku kayu itu menyambut kedatangan Nik Hafiz yang kelihatan begitu cemas sekali.

“Kenapa, bang?” soal si adik, tidak bertitip salam seperti kelazimannya saban bertemu.

“Sari, Hazran...”

“Kenapa dengan Sari?” soal Ambarwati sudah berderau darahnya. Kenapa dengan kakaknya?

“Sari hilang!”

“Apa? Hilang???”

Perkhabaran yang dibawa merenggut separuh kekuatan Ambarwati. Dan pada waktu itu jugalah, perutnya tiba-tiba terasa sakit yang amat sangat. Ambarwati pecah ketuban airnya tanpa disangka-sangka. Sudah sampai masanya Nik Hazran bergelar seorang ayah.

BAYIperempuan comelbermata galak itu diberi nama Sirih. Sempena mengambil nama pokok sirih yang merimbun segar ditanam bersebelahan bangku kayu yang menjadi tempat Nik Hazran menyambut kelahiran cahaya matanya sendiri. Begitulah orang dulu-dulu. Nama anak diberi mengikut persekitarannya. Meskipun itu pengalamannya yang pertama, tetapi dalam keadaan kalut dan bidan kampung pula lambat sampainya, tawakal sajalah dia kepada ALLAH. Dan alhamdulilah, segala-galanya dipermudahkan.

Ambarwati melafazkan tahmid. Namun, separuh hatinya berantakan selagi dia tidak mendapat perkhabaran tentang ke mana perginya Ambarsari. Kalaulah dia punya kekuatan, tentu sekali dia akan mengikut pencarian kakaknya yang diketuai Nik Hafiz sendiri.

“Wati khuatirkan Mbakyu Sari, abang...” luah Ambarwati kepada suaminya yang setia menemani di sisi.

“Insya-ALLAH, kita harap yang baik-baik saja ya sayang. Hafiz dengan kumpulan penduduk kampung yang lain sedang menjejak keberadaan Sari,” pujuk Nik Hazran seadanya.

“Bagaimana Sari boleh tiba-tiba saja hilang? Ada Hafiz beritahu abang?” soal Ambarwati, cuba merisik cerita daripada suaminya.

Nik Hazran tidak terus menjawab. Sebaliknya lelaki itu menarik nafas dalam-dalam dan menyebut nama ALLAH di hujung lidah.

“Ada orang nampak kelibat Sari kali terakhir di jambatan lama di hujung kampung.”

“Jambatan lama? Abang pernah beritahu Wati, jambatan itu tidak lagi dilalui orang kampung. Apa Sari buat di sana?”

Nik Hazran diam lagi. Ambarwati benar-benar risau.

“Menurut Hafiz, sekitar lepas Asar tadi Sari minta izinnya untuk keluar mencari bunga raya.”

Mendengar bunga raya yang dicari kakaknya, tercetus sesuatu dalam fikiran Ambarwati. Ya, Ambarsari memang menggemari bunga itu. Pernah suatu ketika dahulu, bunga raya yang pokoknya banyak ditanam di laman rumah pusaka atas bukit mereka itu mahu dimakannya. Ambarwati masih ingat lagi. Dan bunga itu jugalah yang tidak pernah tinggal untuk dijadikan seri sanggul rambutnya. Ya ALLAH, mudah-mudahan Ambarsari tidak apa-apa. Doa Ambarwati sungguh-sungguh.

“Lalu kemudian?”

“Satu-satunya dalam kawasan kampung ini yang merimbun pokok bunga rayanya adalah di sepanjang tebing sungai, berhampiran jambatan lama itu.”

“ALLAH, bang! Wati takut sekali kalau-kalau terjadi petaka ke atas Sari, bang.”

Sudah terbayang-bayang dalam benaknya, kemungkinan yang bukan-bukan. Dibuatnya Ambarsari merentasi jambatan usang yang menunggu masa untuk roboh itu lalu terjatuh dan dibawa arus sungai deras, nescaya kakaknya itu tidak mampu menyelamatkan diri.

“Usah kalut berfikir sejauh itu. Kita tunggu perkhabaran Hafiz, sudah lama juga dia dengan orang kampung pergi mencari.”

Nik Hazran bergantung harap kepada abangnya saja sementelahan dia punya tanggungjawab menjaga Ambarwati yang baru selamat melahirkan cahaya mata. Sirih yang sudah dibersihkan daripada kekotoran darah dan berbalut dengan kain batik oleh bidan kampung yang menguruskannya tadi, elok saja diletakkan di sebelah si isteri.

Dari petang membawa ke malam, Ambarsari masih lagi tidak ditemui. Kawasan pencarian diluaskan lagi dari tertumpu di sekitar jambatan lama hujung kampung itu sehinggalah ke pesisir pantai. Namun, bayang kelibat perempuan itu tetap tidak kelihatan di mana-mana. Jejaknya pun tidak berjaya dikesan.

Kira-kira selepas masuknya waktu Isyak, beberapa kumpulan kecil orang kampung yang mencari sejak lewat petang tadi, berkumpul di depan rumah Nik Hazran. Salah seorang daripada mereka melaungkan salam. Nik Hazran yang sengaja membiarkan pintu rumahnya terbuka, bergegas keluar. Lelaki itu mencari wajah si abang, tetapi Nik Hafiz tiada dalam kumpulan itu.

“Waalaikumussalam. Hafiz tidak bersama kalian?” Terus saja Nik Hazran menyoal.

“Inilah yang kami hendak beritahu ni, Hazran. Abang kamu nekad hendak menyeberang jambatan lama tu,” jawab seorang lelaki sebaya usianya dengan Nik Hazran. Mansur namanya.

Tertelan air liur Nik Hazran mendengarnya. Zikrullah dilazimi dalam hati. Ambarwati yang berpupuk pilis di dahi, memasang telinga dari dalam rumah.

“Subhanallah. Tidak kamu melarangnya?”

“Kami ada menegahnya, tetapi dia seolah-olah sudah tetap pendirian. Sebab itu kami datang ke sini bertemu dengan kamu, Hazran. Puas di lautan kami mencari, tidak juga jumpa. Berat hati Hafiz mengatakan yang isterinya barangkali hilang di muara.”

“Dia berseorangan di sana?” soal Nik Hazran mulai bimbang.

“Tidak. Long Yunus dan Mahmood ada menemankannya. Kami risau satu perkara saja, Hazran...” ujar Mansur, menangguhkan bicaranya buat sementara.

Lelaki itu memandang kawan-kawan lain yang ada dalam kumpulan kecil itu. Kemudian, barulah memandang ke arah Nik Hazran semula.

“Takut-takut Sari, isterinya Hafiz terlanjur langkah ke perkampungan ummar.”

Nik Hazran tersentak. Dia berpusing badannya, menenung wajah Ambarwati yang mempamer riak keliru.

“Wati, abang rasa abang perlu berjumpa dengan Hafiz. Kata Mansur, dia ada di jambatan lama di hujung kampung kerana mahu mencari Sari. Tapi, tidak apakah abang tinggalkan Wati dan Sirih untuk seketika?” soal Nik Hazran, dalam dilema.

“Pergilah, bang. Wati tahu jaga diri,”

“Abang panggil Kak Min tengok-tengokkan Wati dan Sirih ya?”

Ambarwati mengangguk. Mak Cik Ruminah, tetangga yang paling hampir dengan rumah mereka. Selepas mendapat persetujuan si isteri, Nik Hazran bergegas ke rumah Mak Cik Ruminah menyampaikan hajatnya dan kemudian barulah lelaki itu mengikut Mansur dan lain-lain menuju ke hujung kampung. Tiga batang api jamung mengiringi perjalanan mereka meredah malam yang masih muda.

Selang beberapa ketika, sampailah Nik Hazran ke kawasan yang dimaksudkan. Tidak mengambil masa yang lama untuk mereka sampai di sana. Kelihatan kelibat Long Yunus dan Mahmood di hujung jambatan lama. Tetapi Nik Hafiz tidak bersama mereka.

“Hafiz sudah menyeberang jambatan, Hazran. Mencari Ambarsari. Kami tidak berani hendak mengikut. Lagi pula, hari sudah malam. Dan kita tidak tahu apa petaka yang ada di sebelah sana.”

Long Yunus memaklumkan sebaik saja melihat Nik Hazran menghampirinya. Lelaki itu beristighfar dan menggeleng.

“Aku faham,” ujar Nik Hazran, berat hati hendak membuat keputusan.

Namun, dia perlu bertindak dan membuat keputusannya sekarang.

“Aku mahu menjejak abang aku. Antara kalian, siapa yang mahu mengikut aku?”

Mansur, orang yang pertama menawarkan diri lalu diikuti seorang lagi pemuda kampung bernama Talib. Sementara Long Yunus dan Mahmood berjanji untuk berkawal di situ sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan. Selebihnya, Nik Hazran menasihatkan mereka semua untuk pulang ke rumah masing-masing terlebih dulu.

“Hazran, hati-hati! Aku akan tunggu di sini sampai kalian semua balik,” janji Long Yunus sebaik saja Nik Hazran sudah memulakan langkah penuh waspada mahu merentasi jambatan lama itu.

Nik Hazran mengangguk. Dengan isyarat mata, dia menyuruh Mansur dan Talib untuk tidak mengekorinya terlalu rapat. Biarlah dirinya yang lebih awal memastikan sama ada selamat atau tidak jambatan yang lantai kayunya barangkali sudah mereput dimakan cuaca, untuk diseberangi hingga ke hujung sebelah sana.

Malam itu, bulan mengambang penuh di dada langit. Namun, pandangan mereka jadi terbatas dek keadaan sekeliling yang berkabus tebal. Dinginnya mencengkam hingga ke tulang hitam. Cahaya api jamung di tangan tidak membantu mereka bertiga untuk melihat dengan jelas apa yang berada di hadapan. Jambatan lama yang perlu mereka tempuh itu memang panjang lantaran lebar muara sungai itu sendiri.

“Sampai ke hari ini aku tidak faham, kenapa orang kampung kita dulu-dulu membina jambatan ini. Bukan ada gunanya pun,” bebel Talib sambil memandang Mansur.

Jarak mereka berdua dengan Nik Hazran di depan, beberapa langkah jauhnya.

“Kamu budak lagi, Talib. Tidak semuanya kamu tahu,” tukas Mansur yang hakikatnya tidak gemar apabila Talib membangkitkan perihal itu lebih-lebih lagi ketika mereka sekarang sedang berada di atas jambatan itu. Dia masih berlembut, lazimnya berkau-aku saja.

“Permulaannya di hujung kampung kita, pengakhirannya entah membawa kita ke mana,” bebel Talib lagi.

Mansur tidak mahu melayan. Ada baiknya dia berdiam diri sebelum perbualan itu meleret panjang tidak berkesudahan. Kelibat Nik Hazran semakin ke depan dan mereka bertiga sekarang sudah melepasi dua pertiga jambatan lama itu. Talib yang paling belakang sekali, meliar pandangannya melihat sekeliling. Sempat dia mengintai ke bawah, arus sungai tenang-tenang saja mengalir. Leka sekejap pemuda itu melihat permukaan sungai yang berkemilauan memantulkan cahaya bulan.

“Talib!”

Suara kasar Mansur menegur. Tersentak semangat pemuda itu dibuatnya. Lekas tangan kanannya memaut bahu jambatan. Dia melontar pandang ke depan, mencari wajah Mansur. Batang api jamung di tangan digawang-gawangkan ke depan, ke kiri juga ke kanan. Lantaran embun asap yang semakin menebal di hujung-hujung jambatan, menenggelamkan sosok tubuh Mansur dan Nik Hazran. Tergopoh-gapah Talib mengejar, takut ditinggalkan.

“Lain kali, mata itu jangan melilau. Kalau kau mahu ditelan masa, teruskan berbuat demikian!” Keras Mansur membisik sebaik saja Talib berada di sebelahnya semula.

Tertelan air liur pemuda itu meskipun dia tidak faham apa sebenarnya yang dimaksudkan. Permainan kata Mansur buat dia terpinga-pinga.

“Alhamdulillah. Perjalanan kita dipemudahkan,” ucap Nik Hazran bersuara tiba-tiba membuatkan Mansur dan Talib beralih perhatian.

Tiga lelaki itu sudah selamat menyeberangi jambatan lama itu tanpa sebarang masalah. Mereka berdiri dan saling menghadap antara satu sama lain.

“Kita sudah sampai? Tapi sebelum itu, kita di mana sebenarnya ini?” Talib tetap tidak berpuas hati selagi persoalan dalam benaknya tidak terjawab.

“Di sini, waktu deras berlalu. Jadi, simpan kemusykilan kau terlebih dulu sehingga kita jumpa saudaranya kandung Hazran. Faham?” celah Mansur yang semakin naik angin dengan lancangnya mulut pemuda itu yang asyik bertanya.

Nik Hazran mengingatkan supaya ketiga-tiga mereka untuk tidak sekali-kali berpisah biar apa pun yang berlaku. Jumpa saja Nik Hafiz dan Ambarsari, bawa kedua-duanya balik dan bersegeralah mereka keluar dari situ. Perancangan yang dengarnya seperti mudah tetapi hakikatnya, bagaikan mencari jarum dalam jerami.

“Bismillahirrahmanirrahim. Demi langit dan ‘At-Taariq’...” Nik Hazran menitip perlahan di hujung lidah sepotong Surah at-Taariq bermula dari ayat 1 hingga 17.

Selesai bacaan, disambungnya dengan sebaris doa supaya Nik Hafiz dan Ambarsari pulang ke pangkuan mereka semula.

Allahumma kama radadta yusufa ‘ala abihi rudda ‘alayya dhallatiyy. Ya ALLAH, sebagaimana KAU kembalikan Yusuf kepada bapanya, KAU kembalikan Nik Hafiz dan Ambarsari kepada kami. Amin ya rabbal alamin.”

Pencarian pun bermula. Nik Hazran memandu perjalanan. Mansur dan Talib mengekori rapat di belakang. Mereka bergerak dalam suasana malam yang berkabus dan dingin mencengkam. Talib sudah mengusap-usap kedua-dua belah tangannya. Tidak pernah dia merasa sesejuk begini. Seolah-olah berada di kawasan perbukitan pula layaknya. Dia menghembus hela nafas mulut ke telapak tangan lalu dikeseknya sampai berhaba. Bahang panas dari api jamung langsung tidak membantu menurunkan hawa sejuk yang meliputi mereka bertiga.

“Sejuk senyek seperti berendam dalam air batu aku rasa sekarang ini. Serupa tempat orang mati!” kompelin Talib lagi.

Memang mencari nahas betul pemuda ini. Getus hati Mansur menahan sabar. Mahu saja dia meluku kepala pemuda itu.

“Terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik. Apa kau mahu aku jahit mulut kau itu baru boleh diam?” ancam Mansur yang kian menipis kesabarannya.

Nik Hazran berpusing lehernya ke belakang lalu meletakkan jari telunjuknya lurus ke mulut. Isyarat supaya kedua-duanya berhenti berkelahi dan menumpukan pada tujuan keberadaan mereka di situ.

Nik Hazran meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada ALLAH dalam setiap gerak langkahnya. Ini kali pertama dia menjejakkan kaki di tanah seberang itu. Tanah yang dilarang untuk dimasuki, tanpa diketahui asbabnya. Selama dia dibesarkan di Kampung Deru Angin, banyak kali jugalah dia mendengar khabar selentingan, meniti daripada mulut ke mulut tentang tanah tidak bertuan berkenaan. Nik Hazran menerimanya sekadar masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri. Sementelahan, dia dan Nik Hafiz bermula mengaji agama ketika di usia empat tahun. Zaman remaja mereka pula tidak seperti pemuda lain. Mereka keluar merantau dan bertabligh.

Manakan mereka punya masa untuk menceroboh ke tanah itu sedangkan peringatan sudah diberi. Tidak ada sesiapa pun dibenarkan untuk ke sana. Dalam hidup ini, peraturan yang dibuat adalah untuk dipatuhi selagi tidak melanggar rukun syarak. Dan Nik Hazran berserta abangnya berpegang pada itu. Pembinaan jambatan oleh mereka yang lebih awal menduduki Kampung Deru Angin itu, meskipun mengundang banyak persoalan dan cetus misterinya yang tersendiri, tetapi mereka memilih untuk tidak mengendahkannya.

Tetapi pada malam ini, Nik Hafiz melanggar pantang dek cintanya terhadap Ambarsari. Nik Hazran memahami. Kalau dia berada di tempat abangnya, perkara yang sama dilakukannya. Mustahil dia akan duduk diam berpeluk tubuh. Suami mana yang tidak menyayangi isteri?

“Hazran...sebetulnya, kau yakin ke mana hala tuju kita? Tanah ini sunyi sepi sekali. Cuping telinga aku langsung tidak menangkap sebarang bunyi. Bahkan siliran angin pun tidak dengar kesuk-kesiknya.”

Mansur bersuara perlahan. Bukan saja bunyi jejak atau suara Nik Hafiz tidak mereka dengari, malah pergerakan binatang-binatang di dalam hutan pun tidak kedengaran. Kosong!

Nik Hazran tidak menjawab, sebaliknya dia terus memerhati keadaan persekitaran. Hutan pantai yang tidak banyak bezanya dengan hutan-hutan pantai yang lain. Cuma mungkin bezanya, suhu di situ sejuknya menggigit. Dan sepi. Memang tidak berpenghunikah tanah ini? Getus hati Nik Hazran bersependapat dengan buah fikiran Mansur.

Talib sebaliknya tidak menghiraukan apa yang dibisikkan Mansur kepada Nik Hazran kerana perhatiannya tertumpu pada lantai hutan yang seperti ada kelibat panjang yang menjalar laju ke arah mereka bertiga.

“Ular!!!” teriak Talib membuatkan Nik Hazran dan Mansur tersentak.

Tidak sempat mereka menghalang, Talib terlebih dulu menggunakan batang api jamung itu lalu dipalunya ke atas badan ular itu sekuat-kuat hati. Berkali-kali hingga binatang itu tidak bergerak lagi.

“Sudah, berhenti! Berhenti!”

Mansur menempeleng pipi Talib hingga terteleng kepala pemuda itu. Talib menghentikan tindakannya itu serta-merta. Tujuannya hanya mahu menyelamatkan mereka bertiga daripada dibelit ular itu, tetapi tidak semena-mena dirinya pula yang ditampar. Darah panas anak muda dalam tubuhnya, naik sampai ke pundak.

“Siapa suruh kau bunuh ular itu?”

Terjegil mata Mansur serupa mahu menelan Talib di hadapannya itu. Bertindak melulu tanpa berfikir kesan dan akibat di sebalik perbuatannya.

“Ular itu mahu mengancam kita! Salahkah aku menamatkan riwayatnya?” persoal Talib semula.

Pertikaman lidah mereka berdua terhenti tiba-tiba apabila ular besar yang dipalu Talib tadi, beransur-ansur bertukar sifat. Dari lahiriahnya seekor ular, berubah menjadi manusia, mengerekot kedua-dua belah lututnya ke dada, terbaring lesu dengan mulut mengalir darah. Talib terbeliak. Mansur pula sudah pucat lesi mukanya. Nahaslah mereka!

“Benarlah kita sekarang ini di perkampungan ummar,” ucap Nik Hazran, beristighfar.


<center><img src="https://3.bp.blogspot.com/-7J46oOPhqAQ/V2rd_h1bGwI/AAAAAAAABqE/r3bbEgi1kg4IpwzPQUxgxwtJMmK4HswUgCLcB/s1600/Presentation1.png">

<p><iframe width="420" height="315" src="https://www.youtube.com/embed/eXVufR857cw" frameborder="0" allowfullscreen></iframe>

<p><img src="https://2.bp.blogspot.com/-SD_h3SwRiPA/V3OhtAGU5tI/AAAAAAAABqU/PfnqVdI_-TML43bBsyOsC3S0VEMx2zN7ACLcB/s1600/datin%2Balyah.png">

<p><iframe width="420" height="315" src="https://www.youtube.com/embed/jSOfZY4q3-c" frameborder="0" allowfullscreen></iframe>

</center>

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.