Home Novel Seram/Misteri KALA SENJA DIA DATANG - A.DARWISY
KALA SENJA DIA DATANG - A.DARWISY
A. Darwisy
19/3/2016 09:23:08
8,950
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 3

Kuala Lumpur, Sekarang

Azman meneruskan rutinnya sebagai seorang pensyarah di sebuah kolej swasta seperti hari-hari biasa. Lelaki itu merupakan pensyarah sosio-budaya yang berkepakaran dalam bidang antropologi kebudayaan, arkeologi, sejarah budaya Melayu dan sosio-budaya Melayu. Dia mencintai disiplin ilmu itu sepenuh hatinya. Mendalami sejarah bangsa sendiri baginya satu kepuasan melebihi segala-galanya. Meminjam kata-kata seorang ahli falsafah dan sejarawan Inggeris, R. G. Collingwood, ‘History is for human self-knowledge, the only clue to what man can do is what man has done. The value of history, then, is that it teaches us what man has done and thus what man is.’ Dan itulah tujuannya mempelajari dan mengkaji rumpun nusantara dan suku Melayu yang mempunyai kelompok ras yang pelbagai, supaya dia dapat memahami asal-usul dan susur-galur darah yang mengalir dalam tubuhnya sendiri.

“Azman, mari minum petang dulu!” ajak Razak yang melihat lelaki itu melintasi kafeteria yang terletak di tingkat bawah kolej itu. Dia melambai ke arah Azman bagi menarik perhatian pensyarah yang sudah berkeluarga itu. Azman mengerling jam yang melingkar di pergelangan tangan, sudah pukul 5.00 petang. Kalau dia berlama-lama di situ, barangkali dia akan lewat sampai ke rumah. Lagi-lagi pada waktu puncak orang balik kerja sekarang ini. Dia tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang saban hari membuatkannya tertekan.

“Aku nak balik, ada hal yang hendak disegerakan. Maaf, mungkin lain kali aje...” Azman menolak dengan baik pelawaan teman pensyarah yang sama-sama mengajar di kolej swasta itu. Razak hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala melihat tingkah aneh Azman yang seringkali nampak tergesa-gesa dan kelam-kabut menjelang lewat petang.

Azman melepasi kafeteria menuju ke kawasan parkir kenderaan yang terletak di bahagian bawah bangunan. Beg yang dibimbit terlepas dari pegangan apabila tubuhnya secara tidak sengaja melanggar susuk kecil yang datang dari arah bertentangan. Seorang gadis terburu-buru berlari, tidak memandang kiri dan kanan seperti sedang mengejar masa, sama sepertinya. Tag pengenalan yang tergantung di leher gadis itu, sekilas diperhati Azman. Marina, pelajar perempuan di kolej itu juga. Ya, dia kenal dengan pelajar itu.

“Maaf tuan, saya nak cepat...” Gadis itu tertunduk-tunduk kepalanya memohon maaf dan kemudian berlari tanpa menunggu sebarang respon dari si pensyarah. Gemerencing gelang kaki yang dipakai pelajar perempuan itu melantun-lantun gemanya di segenap ruang lot parkir yang lengang itu. Azman tidaklah marah, perkara kecil saja baginya. Dia mengaut semula beg bimbit miliknya yang terjatuh ke lantai simen tadi. Langkahnya lebar-lebar menuju ke kereta. Sebaik duduk di kerusi pemandu, enjin kereta segera dihidupkan. Menerusi cermin pandang belakang, dia melihat pelajar tadi menoleh memandangnya yang berada di dalam kereta. Apa masalah gadis itu?

“Ah, sudah!! Apa hal yang tak kena pulak ni?” Azman merengus. Stereng kereta jadi mangsa hentakan apabila Azman mendapati keretanya tiba-tiba saja meragam. Puaslah berkali-kali dia cuba menghidupkan enjin tetapi masih tidak berjaya. “Tak masuk akal!” Azman tidak mahu membuang masa. Esok-esok saja dia memeriksa keretanya itu. Hendak kata tidak ada minyak, mustahil sekali. Baru pagi tadi dia mengisi penuh. Bahkan, lima hari lepas, keretanya dihantar ke pusat servis. Mengada-ngadalah kalau masih ada kerosakan di mana-mana.

Azman mencampak beg bimbit berisi bahan bantu mengajarnya ke tempat duduk depan. Kemudian, lelaki itu mengunci pintu kereta. Dia tidak risau meninggalkan keretanya di lot parkir bangunan kolej itu kerana tidak pernah ada lagi kes kecurian atau pecah masuk yang berlaku sebelum-sebelum ini. Azman berlari keluar menuju ke jalan utama. Sampai di perhentian mengambil penumpang, dia menahan sebuah teksi yang kebetulan sedang melalui jalan itu.

“Kondominium Cempaka Sari...”

Azman menyebut destinasi yang mahu ditujui. Pemandu teksi di hadapannya itu sekadar mengangguk. Di tempat duduk belakang, Azman menyandar. Dia mengerling ke luar. Langit masih cerah. Sedikit-sebanyak, hatinya terpujuk lega. Tetapi melihatkan trafik di hadapan yang bergerak seperti semut, Azman mendesah. Setiap saat sangat berharga baginya.

“Kenapa trafik teruk sangat ni?” Azman tidak dapat menahan sabar. Menyumpah seranah dia di dalam hati.

“Ajal kalau sudah sampai masanya, cepat atau lambat, tak dapat kita mengelaknya...” tiba-tiba pemandu teksi itu bersuara. Azman berkerut dahi. Lain yang ditanya, lain pula yang dijawabnya. Azman mengintai data pengenalan diri pemandu yang tertampal di papan pemuka. Majid, nama pemandu itu. Sebaik saja Azman memandang cermin pandang belakang, berlaga matanya dengan mata pemandu itu yang mengerlingnya tajam. Azman jadi bingung. Kenapa pelik-pelik saja perangai orang yang dia jumpa hari ini? Tadi, Marina dan sekarang, pemandu teksi ini pula.

“Encik cakap apa ni?” Azman rasa seperti disindir pula. Terbakar hatinya tidak semena-mena.

“Ada kemalangan di depan. Tadi, saya bawak teksi guna jalan bertentangan, nampak sebuah kereta bertembung dengan bas sekolah. Mungkin pihak ambulans masih belum selesai buat kerja mereka. Tu sebab trafik teruk sekarang ni.”

Berdegup laju jantung Azman tiba-tiba. Fikirannya terus teringat pada Akil, satu-satunya anak lelaki yang dia ada. Azman lekas menghubungi nombor telefon bimbit Samrah.

“Akil dah balik rumah?” Tanpa salam, Azman terus menembak tanya. Samrah di hujung talian, terkedu.

“Mestilah belum, bang. Akil kan ada latihan bola sepak, kejap lagi dalam pukul 6.00 lebih macam tu, saya ambil Akil di padang. Janganlah abang risau. Abang dekat mana pulak tu? Apa pasal saya dengar bunyi hon tak henti-henti dari tadi?” Samrah tidak sedap hati pula apabila cuping telinganya menangkap bunyi riuh-rendah di sebelah sana.

“Abang dalam perjalanan ke rumah, naik teksi. Kereta abang tak boleh hidup tiba-tiba. Trafik pulak tak bergerak-gerak sejak tadi. Ada kemalangan maut. Hmm... ingat pesan abang, pastikan Akil ada dalam rumah sebelum pukul 7.00!”

Samrah sudah lali dengan pesanan suaminya itu. Balik-balik, itu sajalah skripnya diulang-ulang selama hampir 20 tahun mereka bergelar suami isteri. Kalau dulu, sewaktu Akil masih bayi, Azman melarang keras dia membawa anaknya itu berjalan-jalan di waktu petang. Bahkan pernah dirinya dimarahi sehingga mengalirkan airmata. Samrah tidak faham kenapa setiap kali menjelang lewat petang, karakter suaminya bertukar keras dan pemarah. Sifat pelindung lelaki itu terkadang menakutkan.

“Kuatkan sikit radio tu...” suruh Azman sebaik talian telefon dimatikan. Dia tertarik hendak mendengar satu laporan berita yang sedang disiarkan itu.

“Pihak polis menemui mayat kanak-kanak berusia 12 tahun yang dipercayai mangsa penculikan dalam kes baru-baru ini. Mayat kanak-kanak malang itu dijumpai dalam keadaan mengerikan apabila dilaporkan oleh beberapa orang saksi, bahagian perutnya dirobek dengan benda tajam. Mangsa yang merupakan seorang pelajar darjah enam dari sebuah sekolah rendah ini dilaporkan diculik sewaktu mahu menghadiri kelas malam yang diadakan di sekolahnya.”

Azman tergamam. Merinding bulu romanya. Berputar semula ingatannya pada wajah ibu malang yang meraung-raung kepada pihak polis supaya menyelamatkan anaknya. Wanita itu cukup yakin anaknya dilarikan orang tetapi Azman tahu, bukan itu punca sebenar.

“Encik boleh guna jalan yang lagi satu tak? Kalau kita masih di line ni, sampai ke senja kita terperangkap kat sini,” Si pemandu mengangguk lalu mengubah laluan menggunakan jalan alternatif yang lain untuk sampai ke Kondominium Cempaka Sari. Biarpun jalan itu sedikit jauh, tetapi itu sajalah pilihan terbaik yang dia ada buat masa ini.

Petang terus larut. Langit beransur-ansur bertukar warna. Jingga.

Lega hatinya apabila melihat Akil berada di depan mata. Susuk kecil itu dipeluk erat. Azman memandang ke mata anak kecil berusia 12 tahun itu. Ada kilasan sedih di dalamnya. Mungkinkah Akil sudah tahu akan nasib malang yang menimpa kawan sekolahnya itu?

“Lepas ni mesti giliran Akil pula. Benda tu memang nak Akil, kan bah? Malam tu sepatutnya Akil yang mati!” Sahih, Akil sudah tahu! Jika tidak, mana mungkin anak kesayangannya itu bercakap perkara yang bukan-bukan dengan penuh emosi sekali. Tugasnya sebagai seorang ayah, dia perlu memujuk anaknya itu untuk tidak mudah mengalah. Jangan menyerah kalah terlalu awal.

“Selagi Akil dengar dan patuh dengan apa yang abah cakap, insyaAllah benda tu takkan mampu sentuh Akil. Hmm... lebam hari tu dah hilang? Meh abah tengok,” Azman membelek kesan lebam yang terdapat di pinggang anaknya itu. Alhamdulilah, sudah elok nampaknya. Saban malam, sewaktu Akil lena tidur, Azmanlah yang menuam bahagian lebam itu dengan air suam dan daun kari yang dihancur lumat.

“Benda tu, apa sebenarnya bah? Kenapa benda tu buru Akil?”

Azman tergemap. Apakah sudah tiba masanya untuk dia memberitahu anaknya itu cerita sebenar? Nyata sekali Akil walaupun usianya baru 12 tahun tetapi akalnya terang.

“Akil, anak abah. Sebab tu...”

Pintu bilik diketuk dari luar. Azman terberhenti cakapnya. Akil pula lekas-lekas menjatuhkan bajunya supaya kesan lebam yang hampir sembuh dan sudah memudar kebiru-biruan itu tidak dapat dilihat oleh ibunya. Azman membuka pintu dan melayangkan senyum di wajah.

“Makanan dah siap saya hidang atas meja. Kita makan...” ajak Samrah yang sedang mendukung Suri dan di sebelahnya, berdiri Fatin yang manja. Azman mencium kedua-dua anak perempuannya itu. Merekalah penyeri dalam hidupnya. Sama-sama mereka satu keluarga menjamu selera di ruang makan. Sudah kekenyangan tidak lama selepas itu, Azman ringan tulang hendak membantu si isteri mencuci pinggan mangkuk yang kotor.

“Kita tukarkan ajelah Akil ke sekolah lain, bang. Takut pula saya bila dapat tahu ada budak kena culik kemudian dibunuh kejam pulak tu. Manusia jenis apa tak berhati perut tu?” bisik Samrah perlahan di telinga Azman. Samrah mengetahui kejadian menakutkan itu menerusi laporan berita terkini di televisyen petang tadi. Terperanjat besar dia apabila mendengar pembaca berita itu menyebut nama sekolah dimana anaknya Akil disekolahkan.

“Pihak polis 24 jam mengawal sekolah tu, siang dan malam. InsyaAllah, tak ada benda yang buruk-buruk akan berlaku. Lagipun, UPSR Akil dah nak dekat. Bukan senang-senang boleh tukar sekolah ke sana ke mari.”

“Tapi hati saya tetap risaulah, bang. Dibuatnya penculik kanak-kanak tu datang lagi senyap-senyap, nyawa anak kita boleh terancam tau.” Lumrah seorang ibu, kebimbangannya terlalu. Azman memegang lembut bahu Samrah lalu dibawanya badan isteri itu menghadap ke arahnya.

“Abang faham perasaan sayang malah abang pun risaukan keselamatan Akil. Tapi pihak sekolah dah beri jaminan, untuk memantau lebih ketat sebarang kelibat orang yang bukan terdiri daripada ibu bapa pelajar, tidak dibenarkan sama sekali masuk ke kawasan sekolah. Abang dapat tahu, orang yang berlegar-legar di luar pagar utama pun, diusir pegawai-pegawai polis yang bertugas di situ. Mustahillah mereka tak ambil langkah berjaga-jaga sebab ini membabitkan nama dan maruah sekolah. Lagipun sekolah anak kita tu, sekolah nombor satu pencapaian akademiknya. Sayang kalau kita pindahkan Akil ke sekolah lain sedangkan masa depannya cemerlang di sini.” Bijak Azman menyakinkan si isteri.

Hakikatnya, bukan sebab sekolah yang dirisaukannya. Hantarlah ke sekolah mana-manapun, benda itu tetap akan mengekori. Azman sekarang ini lebih memikirkan bagaimana mahu menjaga keselamatan ahli keluarganya dari terus menjadi buruan.

“Anak kita tu dah akil baligh awak rasa?” Muncul satu soalan dari mulut Azman. Samrah berkerut dahi dan kemudian wanita itu menyeringai.

“Manalah saya tahu. Kenapa awak bertanya? Akil tu dah ada makwe kat sekolah ke?” Samrah tergelak halus. Soalan apa sajalah suaminya ini? Azman tergaru-garu kepala. Dia menayangkan muka tersengih-sengih sedangkan otaknya sedang bekerja keras berfikir. Ya, benda itu tidak akan mengganggu apabila Akil sudah mengalami mimpi basahnya yang pertama. Kerana itulah bermulanya kedewasaan. Kanak-kanak lelaki biasanya lambat mencapai akil baligh berbanding kanak-kanak perempuan, ada yang menginjak usia 15 tahun barulah tahap kematangan itu terjadi. Ini bermakna, kalau Akil belum lagi mencapai balighnya, dia terpaksa menanggung semua kegilaan ini selama tiga tahun lagi. Azman meraup mukanya. Sungguh dia benar-benar takut kalau Akil melakukan sedikit kesilapan. Natijahnya tidak sanggup Azman membayangkan.

“Abah...abah...kita kan tadi kan...ada orang nak bagi kita gula-gula lolipop.” Fatin yang berusia 5 tahun itu memang petah bercakap meski sedikit pelat. Di taska, dialah yang paling celoteh sekali. Azman mendukung anak perempuannya itu selepas selesai kerja mencucinya di dapur.

“Ini mesti cikgu Fatin yang bagi gula-gula lolipop kan?” Azman melayan sembang dengan Fatin yang becok mulutnya itu.

“Eh...bukan-bukan. Bukan cikgu tapi ada orang kat luar pagar tadika kita yang nak kasi...” Budak-budak mana pandai menipu. Setiap kata-katanya lahir dari hati.

“Orang kat luar pagar?”

“Haah, abah. Dia pakai baju hitam, tangannya pegang lolipop... Tapi kita tak pergi pun, muka dia hitam legam. Kita takut.” Untuk sekalian kali, Azman meremang bulu romanya. Fatin dipeluknya erat-erat. Ya ALLAH, Kau lindungi keluarga aku ya ALLAH. Hanya kekuatanMu dapat menghalang semua kegilaan ini ya ALLAH.

“Samrah, sini sekejap!!” laung Azman melengking suaranya. Terhegeh-hegeh wanita itu mendapatkan suaminya yang berada di ruang tamu.

“Ya, bang?”

“Saya mahu esok juga awak berhenti kerja!” putus Azman menggunakan kuasa vetonya sebagai suami. Samrah terpinga-pinga. Dia baru enam bulan bekerja sebagai pegawai farmasi di sebuah farmasi perubatan, yang terletak sedikit jauh jaraknya dari taska, tempat dimana dia menghantar Fatin dan Suri sementara dia bekerja. Lagipun dia memang sudah mengenali pengetua pusat asuhan kanak-kanak itu sendiri.

“Eh, tapi kenapa bang? Saya baru kerja kat sana, setengah tahun pun tak sampai lagi.” Samrah cuba mempertahankan haknya.

“Pukul berapa awak habis kerja dan pukul berapa pulak awak jemput Akil dan ambil Fatin dengan Suri dari taska?” Azman memasang tampang serius. Samrah sudah dapat mengagak, angin suaminya tidak baik.

“Saya habis kerja pukul 5.00 petang. Saya balik mandi, kemudian berehat kejap. Saya tertidur dan waktu abang telefon saya pukul 6.00 petang tu, saya sebenarnya baru tersedar. Pukul 6.15 saya jemput Akil di padang latihan bola sepaknya tu. Trafik tak lancar sangat waktu tu, dah nak dekat pukul 6.50, 6.55 petang macam tu, saya sampai taska, ambil Fatin dengan Suri kat sana.” Perinci Samrah akan rutinnya tadi. Bergelar isteri kepada lelaki bernama Azman, membuatkan dia peka pada masa. Kalau boleh suaminya itu mahu tahu minit dan saat sekali.

“Sudah hampir senja, patutlah...” gumam Azman sendiri. Ah, dia tidak mahu menanggung risiko. Sebarang peluang untuk melakukan kesilapan akan menjerumuskan mereka satu keluarga ke kancah masalah. Samrah perlu berhenti kerja supaya isterinya itu dapat menjaga anak-anak mereka. Keputusannya muktamad.

“Sayang berhenti kerja ya?” pujuk Azman melirih suaranya. Samrah benar-benar bingung dengan permintaan suaminya. Dia boleh berhenti tetapi sekurang-kurangnya dia perlu tahu atas sebab apa.

“Kenapa saya perlu berhenti kerja? Boleh tak abang jangan sembunyikan apa-apa. Sejak kebelakangan ni, abang makin aneh, abang tahu tak?”

“Sebab anak-anak kita dalam bahaya! Mereka dalam bahaya!” Azman akhirnya terlepas bicara. Samrah terkejut bukan kepalang. Apa maksud suaminya itu?

“Bahaya? Abang... tolonglah jangan berahsia dengan saya lagi. Apa yang abang cuba sorokkan dari saya? Saya ni isteri abang, emak kepada anak-anak kita... saya berhak untuk tahu. Bahaya apa yang abang maksudkan?” Samrah mengalirkan airmata. Tidak semena-mena dia berasa takut yang amat sangat.

“Benda tu datang hanya pada waktu senja. Biarpun waktu senja tu singkat, tapi kita mesti sentiasa berjaga-jaga.” Azman seperti berbisik nadanya. Pandangan lelaki tu meliar ke kiri dan ke kanan. Samrah terasa belakang lehernya kembang tiba-tiba.

“Benda apa yang datang waktu senja?”

“Setan.”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.