3,552
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
BAB 10

LAMPU kereta Sedan kelabu itu masih terpasang. Enjin sudah lama dimatikan. Empat orang remaja yang berada di dalam kereta itu memandang antara satu sama lain. Tidak berani bersuara.

Suasana di hadapan mereka gelap-gelita. Mereka datang di situ semata-mata hendak memenuhi cabaran kawan-kawan kolej mereka. Hendak buktikan yang mereka berani menghadapi apa sahaja rintangan.

Kebetulan kelab sukan kolej mereka membuat lawatan sambil belajar ke kawasan berdekatan hutan ini. Inilah peluang yang ditunggu-tunggu. Bila lagi nak berasa bebas. Asyik dikongkong pensyarah saja.

“Kita nak keluar kereta ke tak?” tanya Vincent yang bercermin mata.

Renik-renik peluh sudah mula memercik di dahi Vincent. Perasaan gugup mula terasa.

“Huh, gelapnya kat luar tu,” jawab Rajan.

Rajan tidak berani keluar. Terasa kepala lututnya menggeletar. Karim yang duduk di sebelah hanya senyap tanpa sebarang reaksi.

Suasana di dalam kereta itu kembali sunyi. Tidak seorang pun bersuara. Hanya kedengaran dengusan nafas masing-masing.

“Wei! Kita nak buat apa kat sini? Berapa lama kita nak tunggu?” Saiful mula bersuara.

Karim yang memandu kereta itu hanya membisu. Matanya tidak berkelip memandang sesuatu di hadapan. Dia nampak cahaya hijau melayang dalam kegelapan itu. Renungannya menjadi tajam. Cuba fokus apakah cahaya hijau itu? Antara nampak dan tak nampak.

Cahaya hijau itu seperti menari-nari di celah daun-daun pokok hutan itu. Rajan yang duduk di sebelah Karim menyiku lengannya tiba-tiba. Karim terkejut. Hilang sekejap semangat jantannya.

“Kau ni kenapa? Ada jugak yang kena humban keluar kereta ni kang,” marah Karim.

Konsentrasinya hilang. Dia berpaling ke arah depan semula sambil menjeling Rajan yang sedang tersengih.

“Sorrylah, kau terkejut ke? Aku bukan apa, tiba-tiba kau tu tegak macam batu. Langsung tak bergerak-gerak. Risaulah aku. Suspenkan orang ajelah kau ni. Ingatkan dah mati keras tadi,” jelas Rajan, turut mengalihkan pandangan ke arah depan.

“Kau nampak apa kat depan tu, Rim. Khusyuk nampak?”

Rajan cuba meninjau apakah ‘benda’ yang telah membuatkan kawannya itu begitu leka sekali. Karim masih diam. Dia tidak mengendahkan langsung soalan Rajan.

“Cent, kau jangan terkucil dalam kereta bapak aku ni pulak,” ujar Karim memberi amaran.

“Eh, Rim, mana ada aku nak terkucil? Cuma aku rasa tak sedap hatilah!” ucap Vincent tiba-tiba.

“Alah, jangan cakap macam tu, Cent! Kita lelaki. Mesti berani tau,” celah Saiful.

“Habis kita nak buat apa ni? Hari semakin larut malam,” sampuk Rajan pula.

“Kita patah balik ajelah,” cadang Vincent, perasaan takutnya sudah mula menguasai diri.

Tanpa sedar, Vincent sudah mula menggoyangkan sebelah kakinya. Cermin matanya pula dibetulkan kedudukannya yang sudah mula meluncur dari batang hidungnya yang tak berapa mancung itu.

“Kau memang takkan mengaku tetapi ‘ketakutan’ kau tak dapat nak sorok lagi. Tengok tu, kaki kau dah bergoyang laju. Mahu sampai Kuala Lumpur kalau kau lepaskan kaki kau tu pergi,” perli Karim di dalam keadaan samar-samar gelap itu.

Saiful melemparkan pandangan ke luar tingkap. Hanya kegelapan saja yang jelas kelihatan.

“Kau nampak tak apa yang aku nampak, Rajan?” tanya Karim cuba menguji penglihatan Rajan yang duduk di sebelahnya.

Dia hendak kepastian. Atau dia yang tersalah pandang. Betul ke ada cahaya hijau di pucuk daun-daun pokok sekarang ni? Kadang-kadang penglihatan mata boleh menipu, lebih-lebih lagi dalam keadaan gelap begini.

Soalan Karim itu tidak dijawab segera. Rajan mengarahkan pandangannya ke hadapan. Mencari apa yang dimaksudkan Karim.

“Apa yang kau nampak?” tanya Rajan.

Di kepala Rajan hanya andaian yang buruk-buruk saja mengaburi fikirannya. Terbayang kemunculan ‘hantu’ atau makhluk yang aneh-aneh macam dalam cerita ‘Alien’ yang pernah ditonton di panggung wayang dulu. Memang dahsyat dan mengerikan. Hatinya berdebar kencang.

Kalaulah ‘Alien Predator’ tiba-tiba muncul di hadapan kereta mereka, apa patut dia buat? Imaginasi Rajan mula menerawang jauh dan membayangkan sesuatu yang tidak mungkin ada kewarasannya.

“Haah, apa yang kau nampak?” sampuk Saiful.

“Betul kau tak nampak apa-apa, Rajan?”

“Betul aku tak nampak apa-apa pun. Gelap adalah!”

“Apa yang kau nampak, Rim?” tanya Saiful ingin kepastian.

“Tak ada apa-apalah. Mungkin imaginasi aku aje,” beritahu Karim, tidak mahu kawan-kawannya berasa takut.

Rajan, Saiful dan Vincent berasa lega mendengar pengakuan Karim. Enjin kereta dihidupkan kembali. Mereka bercadang berpatah balik.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.