Home Novel Seram/Misteri Hantu Jepun
Hantu Jepun
fiona izy
9/6/2018 07:48:15
11,566
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 5

“Haaaaa!!”

Marissa yang sedang leka menonton televisyen menjerit sekuat hati. Terkejut apabila Kahariah menyergah dari belakang.

“Eh, teruklah Yaya ni. Terkejut akak!” Marissa mengurut dada. Tangan kanannya memeluk bantal petak besar yang memang diletakkan di ruang tamu rumah.

Kahariah ketawa. Mendengar nafas Marissa yang turun naik dengan pantas itu membuatkan Kahariah berhenti ketawa. Kasihan pula melihat kakaknya yang sudah pucat lesi kerana terkejut.

“Aik, takut sangat ke akak? Yaya baru setakat terkejutkan macam ni. Ni tak teruk tau, kalau dapat lagi teruk… pengsan akak.” kata Kahariah.

Marissa buat muka apabila adiknya berkata begitu. “Yaya jangan buat macam tu. Kawan akak dekat kolej tu, asal dia suka menyakat orang, sudahnya dia yang kena histeria. Lepas tu berjangkit dekat orang lain,”

“Kawan yang akak cerita petang tadi tu ke?” soal Kahariah. Yalah, cerita petang tadi tak habis lagi. Dia sendiri tidak tahu apa kesudahannnya dengan rakan kak Marissa itu.

“Iya, dekat sebelah bilik aje. Tak tahulah macam mana boleh histeria. Tapi perangai dia sebelum ni memang suka menyakat orang. Kadang-kadang macam Yaya buat tadi la, siapa budak floor yang lalu dekat depan bilik dia, dia sergah. Akak pun pernah kena tahu. Waktu akak balik dari program fakulti, jam dah nak pukul 12 waktu tu. Nak pulak waktu tu ramai yang pulang bermalam, agaknya dia dengar bunyi orang tengah berjalan dekat aras 4 tu, dia sergah akak macam ni. Warggghhhhh!!!”

Kahariah yang khusyuk mendengar cerita Marissa hanya mencebirkan bibir. Ada hati hendak takutkan dirinya.

Marissa menepuk paha adiknya yang tidak menunjukkan riak takut. Sudahnya, dia membetulkan kedudukannya hingga mereka duduk bersila lutut bertemu lutut.

“Lepas tu?” soal Kahariah. Di dalam hatinya, dia mahu mendengar cerita kakaknya sehingga tamat.

“Lepas tu, akak terkejutlah Yaya oi! Agaknya, hantu di kolej tu tak suka tengok kawan akak ni jadi hantu, hantu tu pun kacau dia. Akak rasa dalam dua minggu selepas dia ganggu akak, dia kena histeria.”

Kahariah mengetap bibir. Dia terfikir sesuatu.

“Kak, macam mana orang boleh histeria ya?” tanya Kahariah sambil matanya memandang siaran berita yang bersiaran selepas waktu Maghrib itu.

“Entah, kawan akak yang kena histeria tu, dia pernah mengadu pada akak dengan roomate akak, dia kata dia dengar bunyi tapak kasut tinggi naik dengan turun dari tingkat atas sampai tingkat bawah. Bila dia mengadu macam tu, akak rasa dia bergurau sebab dia kan pernah sergah akak waktu akak naik ke floor.

…Tapi dia kata, dah dua tiga malam juga dia dengar. Pertama kali dia dengar waktu tengah gosok gigi dekat bilik air.”

“Bilik air floor akak tu la?” Kahariah tahu kedudukan bilik air tingkat 4 yang dimaksudkan itu, jadi dia dapat membayangkan secara jelas cerita Marissa.

“Iya, waktu tu kebetulan dah pukul tiga pagi. Dia pula baru habis studi dengan kawan-kawan dia dekat blok sebelah. Jadi, dia ingat bunyi tapak kasut tumit tinggi tu  student nak naik ke atas. Rupanya, tak ada. Tapi, dia kata dia dengar beberapa kali orang pakai kasut tumit tu naik turun, naik turun tangga cepat-cepat, lepas tu hilang.”

Kahariah khusyuk mendengar cerita Marissa. Kali ini dia hanya mengangguk sahaja tanpa menyampuk.

Marissa pula menyambung ceritanya setelah melihat Kahariah berminat mendengar cerita hantu yang dialami rakan sebelah bilik penginapannya di kolej. Jarang Kahariah khusyuk mendengar cerita hantu begini. Lalu, Marissa bercerita lagi.

“Hari yang kedua pun macam tu juga. Akak dengan roomate akak ada juga pertikaikan, akak kata entah-entah betul bunyi tu orang, sebab minggu tu ada pelajar India tengah sibuk siapkan persiapan untuk Festival India. Tapi kawan akak yang kena histeria tu nafikan. Dia cakap dekat blok ni, kalau tengah malam buta, orang buka pintu bilik pun boleh dengar. Akak pun fikir, betul juga apa yang dia cakap.

… Sampailah esoknya, dia mengadu dia dengar lagi. Akak dengan kak Kin, roomate akak tu geram betul! Kenapa dia seorang aje yang dengar. Malam esoknya, akak dengan kak Kin pergi duduk di dalam bilik TV dekat ground floor yang bertentang dengan tangga tengah blok tu. Kita orang masuk bilik TV tu sejak pukul dua pagi, gelapkan lampu, duduk dalam gelap tu.

… Akak dengan kak Kin duduk dalam bilik TV tu sampai bosan yang amat. Tak sedar kita orang tertidur dalam bilik dengan tak pasang kipas, tak pasang lampu, dengan tak pasang TV. Sampailah tiba-tiba akak tersedar sebab akak dengar sendiri bunyi tapak kasut tumit tinggi tu berjalan naik ke tingkat atas, lepas tu turun balik, naik tingkat atas, turun balik. Bayangkan, akak dengar tu sampai akak takut nak kejutkan Kak Kin yang tidur rapat sebelah akak ni. Meremang bulu roma akak, Yaya.

… Akak dengan kak Kin terjaga tu pun sebab azan Subuh. Barulah kita orang naik ke bilik, lepas Subuh pergi kuliah,”

“Kak Kin tak dengar ke bunyi benda tu?” soal Kahariah. Dia sudah berpeluk tubuh. Seram pula mendengar cerita kak Marissa.

“Kak Kin rupanya dia dengar, tapi dia tak nak buka mata. Esok masing-masing balik dari kuliah, baru kita orang buka cerita. Kita orang tak cerita pun dekat kawan akak yang mula-mula dengar bunyi tapak kasut tu yang kita orang pun dengar juga. Tak sampai sebulan, kawan sebelah bilik akak tu pun kena histeria.

Tapi memang….” belum sempat Marissa menghabiskan cerita, Fatihah datang menyergah dua anaknya.

Bukan sahaja Marissa, Kahariah juga turut menjerit sebelum masing-masing mengurut dada. Mahunya tak terkejut, emaknya datang dengan memakai telekung berwarna putih.

“Mama ni, kenapa sergah macam tu, takut akak!” kata Marissa. Sudahlah dia asyik bercerita hantu, datang pula mama menyergah mereka. Memang boleh pengsan kalau tidak kuat.  

“Mama dari dalam bilik, baru lepas maghrib. Mama dah boleh dengar cerita akak tu. Panjang betul ceritanya. Mama pula seram sejuk duduk bilik seorang-seorang. Tu yang mama keluar. Dah, Yaya pergi kunci pintu. Tengok sekali pintu pagar tu. Dah hujan dah pun. Macam nak ribut aje mama dengar guruh tu.” Arah Fatihah.

“Ala, kenapa mama tak suruh kak Marissa?” Kahariah tidak puas hati dengan arahan yang diberi.

Marissa membulatkan mata kepada Kahariah. Nampak sangat adiknya cemburu kerana mama tidak menyuruhnya mengunci pintu pagar.

“”Yaya, bagilah kakak tu rehat kejap. Dari kakak sampai tadi, Yaya asyik nak berbual aje dengan kakak. Yaya kan selalu tolong mama kunci pintu. Nanti kalau suruh akak mana akak tahu kunci pagar, kunci depan ni ha,” Fatihah menengakkan alasan yang logik supaya Kahariah tidak membantah arahannya lagi.

“Iyalah, kerana kakak, Yaya sanggup meredah hujan nak kunci pagar. Kalau Yaya demam, padan muka kakak kena jaga Yaya nanti. Nanti Yaya muntah akak tolong lap, tau.” kata Kahariah sambil menuju ke arah pintu utama.

Fatihah hanya menggeleng melihat Yaya keluar dari rumah. Walaupun anak bongsunya ini keras kepala, Kahariah banyak membantunya melakukan kerja rumah.

 

Kahariah berlari-lari anak untuk menuju ke pintu pagar yang lebih kurang 8 meter dari pintu masuk rumahnya. Sah! Memang betul cakap mama, pintu pagar tidak berkunci. Maklumlah, mama sibuk sejak pulang bekerja tadi tambahan pula kak Marissa baru sahaja pulang, mana nak ingat semua benda.

Sesekali Kahariah mengelak dari tangannya memegang pagar besi itu kerana risau kilat menyambar pintu pagar tersebut. Selesai sahaja mengunci pagar, Kahariah melihat sekali imbas ke arah jalan besar di hadapan rumahnya apabila terdengar seakan-akan bunyi loceng yang datang dari sebelah kanan jalan.

Hujan yang mula turun lebat ditambah langit malam membataskan Kahariah untuk melihat dengan lebih jelas ke arah sekumpulan lelaki yang berpakaian seragam sedang menaiki basikal melintas di hadapan rumahnya. Laju sahaja kumpulan itu mengayuh basikal.

Kahariah mula berlari anak menuju ke pintu depan rumahnya. Baju tidur jenis kain satin yang disarungnya sudah basah terkena hujan. Sampai sahaja di hadapan pintu masuk rumah, dia menoleh ke arah jalan untuk melihat sekumpulan lelaki berbasikal yang melintas tadi. Sayangnya, dia tidak nampak apa-apa kerana suasana gelap di sepanjang jalan utama.

 Dalam hatinya terdetik, tidak pernah pula dia melihat orang berpakaian uniform sebegitu di kawasan perumahannya.

 “Humm, macam tentera Jepun.” kata Kahariah seorang diri. Apa nak hairan, hujan-hujan macam ni, semua orang nak cepat cari tempat berteduh. Iya tak?

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh fiona izy