Home Novel Seram/Misteri Nikmat Yang Hilang
Nikmat Yang Hilang
Ramzie AA Rosli
7/9/2017 13:13:23
7,342
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 3


Ada sesetengah orang mengatakan yang warna merah itu bermaksud sayang, kasih dan cinta, tapi bagaimana dengan merahnya darah manusia? Masihkah ia melambangkan sayang, kasih dan cinta? 


Darah merah pekat memancut keluar dengan lajunya dari mangsa. Apa dosa seorang kanak-kanak sehingga mereka sanggup diperlakukan sebegitu? Bukankah kanak-kanak itu tidak berdosa?


Separuh warna biru bajunya ditutupi warna darah merah yang tidak berdosa. Dia rebah ke tanah, hilang kemampuan untuk berdiri. Kesan disembelih jelas terlihat di lehernya. 


Aku perhatikan darah-darah pekat yang mula mengalir di atas tanah kotor. Aliran darah mula sampai ke sepasang kasut yang dipakai oleh seorang lelaki. Lelaki yang agak tinggi, berpakaian serba hitam dan menutup separuh wajahnya. 


Sebilah pisau yang berada di tangannya menyakinkan aku bahawa dialah orang yang membunuh budak itu. Pisau yang hilang kilauan dan  warna asalnya dek diselaputi darah merah. Terus berdiri seperti orang yang tidak bersalah. 


Disebabkan aku terlalu fokus dengan kejadian tu, fikiran aku tidak menyedari kekacauan kanak-kanak di sekelilingku. Aku sendiri tidak tahu apa perasaan aku ketika itu. Sedih, marah, takut semua ada. Fikiran kata lari, hati kata jangan. Adakah patut aku menentang dan selamatkan kanak-kanak yang lain? Entah, aku pun keliru.


Tiba-tiba muncul lagi beberapa orang lelaki yang entah dari mana. Dari segi pemakaian memang sama dengan lelaki pembunuh itu. Aku semakin gentar, aku takut jika mereka adalah sama. Setiap orang dari mereka menangkap kanak-kanak yang bertebaran lalu meletakkan pisau di leher dan menariknya dengan laju tanpa perasaan. Perkara sama terus berulang sehingga semua kanak-kanak yang ada rebah ke tanah. 


Aku cuba untuk bersuara tapi tak terdaya. Suara hanya bergetar di kerongkong. Tiada kata yang dapat dilafazkan. Tidak aku sangka aku akan menyaksikan perkara yang selama ini aku saksikan di kaca televisyen. Apakah ini erti kemanusiaan yang sebenar? Kemana perginya manusia-manusia lain yang dipertanggungjawabkan menjaga mereka? Apakah mereka lupa amanah yang Allah berikan?


Budak misteri yang masih di sisiku, aku lihat menangis dalam kemarahan sama juga sepertiku. 


Mereka mula pergi meninggalkan jasad-jasad yang tidak lagi bernyawa dilumuri darah. Aku mula bertanya, dimanakah hilangnya sifat manusia sebenar? Apa tujuan aku dihantar kesini kalau aku tak mampu berbuat apa-apa?


Setelah hampir satu jam berdiri tanpa rasa lenguh mungkin kerana terkejut dengan kejadian ini, air mata di pipi sudah mengering, darah di tanah juga turut mengering walaupun masih kelihatan jelas warnanya. 


Budak misteri mula memulakan langkah kedepan, menarik sekali tanganku. Aku hanya akur mengikutinya. Dia membawa aku mengelilingi 'taman' darah anak-anak yang tidak berdosa.


Menangis aku melihat kekejaman syaitan yang bertopengkan manusia. Bayangkan, tanah yang pada asalnya kotor dengan debu, kini kotor darah. Hampir setiap inci tanah ditutupi darah. Darah dari satu mangsa saling berhubung dengan mangsa yang lain. 

Setelah langkah demi langkah, dia perlahan-perlahan berhenti di hadapan sebuah pintu yang masih berdiri walaupun diding bangunannya sudah keseluruhan musnah. Aku yang tidak tahu apa-apa, hanya mengikut dan berharap perkara yang baik-baik sahaja. Tidak rela aku melihat manusia dibunuh di hadapanku lagi. 


Dia berdiri beberapa saat. Tangan aku? Dia belum lepas lagi. Pintu diketuk, hanya sekali. Walaupun ketukan hanya satu kali tapi bunyinya bergema di serata tempat. Maklumlah, tempat ni dah kembali sunyi seperti awal-awal tadi. 


"Budak ni gila ke apa, rumah dah hancur nak ketuk apa lagi. Bukannya ada orang." Aku tahu sebab rumah tu bumbung dah runtuh, tiang dah tumbang, dinding dah berkecai sujud ke bumi. Jelas apa yang ada dalam rumah tu, perabot-perabot lama yang sudah terbiar. 


Dalam lima saat kemudian, dia ketuk sekali lagi. Keadaan sama juga seperti tadi. Ketukan kali ketiga selepas lima minit, dan pintu terbuka.  Tak ubah seperti filem seram yang aku selalu tengok. Pintu terbuka perlahan-perlahan, bunyi yang mengerikan dan tiada siapa yang buka pintu. 


Disaat pintu tu terbuka, tiada apa yang aku dapat saksikan, silauan cahaya putih telah menghadkan pandangan aku. Satu cahaya dari sebalik pintu yang memaksa aku menutup mata seketika. 


Selepas aku buka mata, pintu sudah terbuka seluas-luasnya. Seperti mengalukan kedatangan kami. Jelas di mataku isiannya. Tapi jangkaan aku meleset jauh sekali. Bukan runtuhan yang aku lihat di dalamnya tapi sebaliknya. Satu pandangan yang membuatkan jiwa aku tersentuh.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ramzie AA Rosli