Ujian bulan Febuari yang dijalankan oleh Aina baru sahaja berakhir.
Keputusannya hampir sama teruk seperti ujian yang lepas. Hanya ada sedikit
perkembangan yang kurang memberangsangkan dalam kalangan beberapa orang
pelajar. Setakat meningkat satu dua markah apalah sangat.
Aina rasa dia sudah cuba memberi pemahaman kepada pelajarnya
dengan sebaik mungkin. Hubungannya dengan pelajar Kelas 6 Delta itu juga kini semakin baik. Jadi
apa lagi masalah mereka sehingga tidak dapat menunjukkan sebarang peningkatan?
Aina benar-benar kecewa dengan kelas 6 Delta.
Berhari-hari dia memerah otak mencari idea untuk meningkatkan prestasi mereka.
Otaknya kalau mesin dah sampai kena cari alat ganti untuk tukar part,
dah haus digunakan secara ekstrem. Tak ekstrem namanya berfikir tak sudah siang
dan malam? Sehinggakan mandi tak basah asyik termenung memerah otak, alih-alih
keluar dari bilik mandi Aina pun tak ingat dia dah mandi atau belum. Makan pun
tak kenyang sebab menyuap tapi tak sempat hitung dah berapa suap masuk ke mulut.
Sekarang barulah Aina faham maksud peribahasa itu.
Aina masuk ke kelas
dengan wajah sugul. Macam rupa orang berkabung kematian kucing pun ada. Sebaik
sahaja mengembalikan kertas jawapan peperiksaan kepada para pelajar, Aina tidak
dapat menahan diri dari meleteri mereka. Sudah berhari-hari dia memendam rasa
kecewa di dalam hati. Penat menghimpun sendiri perasaan kecewa, tak lama lagi
dah boleh dapat penyakit kemurungan.
“Keputusan kamu tak jauh
beza dari keputusan ujian yang lepas. Ada sedikit peningkatan bagi beberapa
orang, contohnya Marliana, Hawa dan Razali. Tapi peningkatan tu pun kurang
memberangsangkan. Sikit sangat. Hanya berubah satu gred aje. Cuma Cam yang
berjaya membuatkan saya berbangga. Daripada gagal, Cam melonjak ke gred B.
Tahniah, Cam. Nanti kongsi petua awak tu dengan kawan-kawan. Jangan lokek ilmu
pulak. Kalau kelak awak terlupa, orang yang awak pernah ajarkan tu boleh
ajarkan semula kepada awak nanti,” kata Aina sambil memfokuskan perhatian
kepada Cam.
Cam tersengih bangga.
Sengaja dia mengerling Danial untuk membuatkan Danial iri hati, namun Danial
kelihatan tidak menumpukan perhatian langsung. Penat saja Cam menjeling sampai
nak juling. Danial pula sedang tersengguk-sengguk menahan ngantuk. Sesekali dia
meletakkan kepalanya di meja beralaskan tangan, namun beberapa saat kemudian
Danial mengangkat semula mukanya. Matanya dipejam celik berulang kali, senaman
mata agaknya. Aina nampak semua itu dari ekor matanya, sebal hatinya melihat
Danial boleh pula tersengguk-sengguk mengantuk kala dia sudah berbuih mulut
berleter. Tiada keinsafan langsung!
“Ada sesetengah dari kamu yang semakin
merosot pula. Lee Ann contohnya, dulu awak lulus tapi sekarang dah gagal. Ada
pulak yang dah sedia teruk jadi bertambah-tambah teruk. Apa masalah kamu
sebenarnya? Ada sesiapa sanggup cerita? Tolonglah bagitahu saya, sebab saya
betul-betul tak ada idea kenapa prestasi kamu jadi sebegini rupa. Saya rasa,
saya dah ajar kamu sehabis baik dan sehabis daya. Saya dah bagi ringkasan nota
yang lengkap lagi padat. Saya bagi latihan setiap kali habis satu bab. Saya
buat ulang kaji, memudahkan kamu. Saya tak faham apa lagi silap saya. Apa yang
tak kena, kelas?” Aina menyambung leterannya.
Ahli kelas itu hanya diam, ada yang tertunduk
diselubungi rasa bersalah apabila mendengar nada Aina yang agak beremosi. Marah
bercampur sedih dan kecewa. Namun, ada juga beberapa orang yang masih mampu
mempamerkan raut tenang, seolah-olah ia hanyalah perkara remeh.
Lee Ann mengangkat tangan. “Saya rasa salah
satu masalah yang kami hadapi adalah kami tak sempat nak tangkap apa yang Cik
Aina ajar, sebab kami nak kena faham dan salin nota sekali gus. Cik Aina ajar
agak cepat. Kami ni bukanlah kelas pandai, kira slow sikitlah nak ikut.”
“Oh, begitu. Baik, saya akan fikirkan jalan
penyelesaian untuk masalah itu. Terima kasih Lee Ann, atas maklum balas yang
awak berikan. Kamu pun dah sedia maklum, saya baru saja mula mengajar, jadi
mungkin ada sesetengah cara saya yang masih boleh diperbaiki lagi.Tapi
saya takkan tahu masalah kamu jika kamu tak maklumkan kepada saya.Lain kali, kalau ada sebarang
masalah, cepat beritahu saya. Jangan simpan sampai expired. Kita akan
selesaikan bersama.”
Aina
menarik nafas sebelum menyambung leterannya. Dah terlanjur bersemangat. “Selagi
STPM belum
tiba, selagi itu kita ada ruang dan peluang untuk mengubahnya. Saya mahu kamu
semua berjaya. Jangan rasa rendah diri dan anggap diri kamu tak pandai hanya
kerana pencapaian kelas lain lebih bagus. Saya percaya setiap individu lahir
dalam keadaan yang sama. Terpulang bagaimana kamu memaksimumkan kemampuan diri
masing-masing. Semuanya bergantung pada usaha. Jadi jangan putus asa, kamu
jugak ada peluang untuk berjaya sama seperti orang lain.”
Sedang Aina bersungguh-sungguh memberikan
ceramah motivasi percuma, matanya menangkap suatu pemandangan yang benar-benar
mencabar kesabarannya. Danial dan Mazlan sudah terlentok di atas meja! Kalau
tadi tersengguk-sengguk, kali ini memang dah tersembam sepenuhnya.
Nampaknya Aina buat
kerja sia-sia sahaja, bagai mencurah air ke daun keladi. Bertong air liur Aina
curahkan, daun keladi masih begitu juga, tak akan ada yang tiba-tiba pandai
menadah. Macam manalah nak berjaya jika hanya Aina sahaja yang bermati-matian
berusaha, manakala mereka pula boleh buat tidak tahu saja setiap usahanya.
Darahnya menyirap naik ke kepala. Tekanan darah naik ke 200/160. Hampir
diserang strok.
“Danial, Mazlan! Sedap
tidur, nampak?Saya tengah bercakap kat depan, kamu boleh tidur lena kat
belakang!” Jerkahan Aina menyebabkan mereka segera mengangkat kepala.
Mazlan terpisat-pisat menggosok mata, sebelah
tangannya mengelap air liur yang meleleh di tepi mulutnya. Wajah Danial berubah
menjadi merah padam.
Aina yang masih tidak berpuas hati menyambung
marahnya. “Mazlan,
sudah-sudahlah lap mulut awak tu, kat meja tu dah bertompok pun peta dunia
awak! Kenapa awak mengantuk sangat ni? Awak ingat saya tak tahu aktiviti rempit
awak tiap malam? Hal itu yang jadi perbualan guru-guru kat bilik guru, saya
terpaksa tebalkan telinga ni tahu tak? Saya diamkan sebab saya tak mahu masuk
campur hal awak di luar, tapi bila aktiviti awak tu sampai bawa masalah kat
kelas, takkan saya nak berdiam diri jugak? Awak
pulak Danial, saya tak tahulah apa masalah awak! Agaknya awak memang menyampah
dengar saya bercakap kot? Awak rasa lebih bagus tidur dari dengar saya
bercakap, kan?”
Mazlan terkulat-kulat.
Hairan dihentam berdas-das tidak semena-mena. Danial dah macam cacing
kepanasan, malu dimarah macam budak-budak. Perempuan ini memang berani nak
mencabarnya. Masih belum cukup, Aina menyambung lagi. Kali ini dengan sedikit
getaran pada suaranya. Sebak. Aina sebenarnya tak suka hendak marah-marah, tapi
kali ini dia memang dah tak boleh bersabar.
“Kamu
buat saya macam orang bodoh! Apa kamu ingat saya tunggul, bercakap seorang diri
sedangkan kamu langsung tak hormat saya sebagai guru kamu. Tak payah hormat
saya sebagai guru pun tak apa, tapi hormatlah saya sebagai seorang manusia
seperti kamu, bukan tunggul kayu, batu atau dinding! Apa masalah awak Danial?
Awak kan anak orang kaya, saya tak percaya awak pun macam Mazlan, pergi
merempit malam-malam buta demi merebut hadiah wang ringgit yang dipertaruhkan!
Takkan ayah awak tak bagi duit secukupnya!”
Asyik-asyik Danial lagi yang diserang.
Habislah Aina kali ini. Yang lain sudah senyap sunyi. Bagai menanti bom atom
meletus.
Wajah Danial berubah warna, sekejap merah
padam seperti udang terbakar, sekejap pula pucat lesi seperti kertas putih.
Danial sudah tidak mampu menahan sabar lagi, sudahlah Aina tanpa mengetahui
akar umbi sesedap mulut sahaja menuduhnya macam-macam. Cubalah tanya dulu, ini
terus nak menyerang.
Nampak sangat kemarahan Aina tertumpu kepada
Danial. Apa masalah Aina dengan dia sebenarnya? Danial semakin berang apabila
Aina menyentuh hal keluarga dan peribadinya. Terutama sekali apabila ayahnya
turut disebut! Aina sekecil kuman pun tak tahu apa-apa tentang keluarganya,
siapa yang memberikan Aina hak untuk bercakap sedemikian? Aina boleh kata apa
saja tentang Danial tapi jangan sesekali berani menyentuh soal keluarganya.
Aina benar-benar telah mendesaknya melepasi batas kesabaran yang ada. Sudahlah
Danial sendiri pun tak penyabar mana, dia sudah cukup belajar bersabar kerana
gadis ini, tapi hari ini memang Danial dah tak boleh tahan lagi.
“Cik Aina boleh cakap
apa aje pasal saya, tapi jangan sesekali sebut tentang ayah mahupun keluarga
saya! Lagi satu, Cik Aina jangan nak tuduh melulu kalau tak tahu pokok pangkal
cerita!Cakap ikut sedap mulut aje, fikirlah perasaan orang lain
sama! Kami ni bukan budak-budak lagi nak main jerkah-jerkah, saya sendiri dah
21 tahun! Takkan tak pernah belajar cara approach pelajar? Mana perginya
nilai kompromi dan diplomasi yang kononnya Cik Aina pegang sangat-sangat tu?”
Seisi kelas kecut perut menyaksikan
pergaduhan antara Aina dan Danial. Sesaat kepala mereka mengadah menatap Aina,
seketika kemudian kepala mereka beralih pula kepada Danial. Macam menonton
perlawanan bola sepak. Aina sendiri tergamam dengan tindakan Danial yang
seperti telah lupus segala rasa hormatnya terhadap Aina. Seolah-olah Aina bukan
lagi seorang guru di mata Danial.
Aina benar-benar tidak
menjangkakan reaksi sedemikian. Aina menganggap pelajar kelas itu akan lebih
menghormatinya jika dia berlaku tegas. Sangka Aina mereka akan sedar bahawa
Aina tidak dapat menerima perlakuan sedemikian di dalam kelasnya. Bukankah
begitu saranan Cikgu Hasnah supaya lebih tegas terhadap pelajarnya? Aina
terlalu kecewa dengan keputusan ujian mereka. Namun, Aina sama sekali tidak
menjangkakan tentangan sebegini yang akan diterimanya. Danial benar-benar sudah
melampaui batas. Aina gurunya, bukan orang gaji yang boleh dimaki hamunsesuka
hati!
“Oh, jadi mentang-mentang awak rasa awak dah
cukup dewasa, awak pun naik kepalalah? Kalau awak rasa awak tu dah dewasa,
cubalah berperangai macam orang dewasa. Awak jangan nak mengkritik saya pulak,
Danial! Saya ada hak nak menasihati kamu dengan apa cara sekalipun yang saya
rasakan sesuai! Untuk pelajar yang memang keterlaluan macam awak ni, saya rasa
tak salah apa yang saya katakan. Kalau awak tak bersalah, kenapa awak tak
terangkan aje kepada saya apa masalah awak?Sebaliknya awak melawan
saya pulak!”
“Bila masanya saya ada peluang untuk terangkan? Saya tak sempat pun lagi
nak bagi penjelasan, Cik Aina dah naik gila, kata saya macam-macam. Tak boleh
tanya dengan cara baik? Cik Aina tahu tak, dah dua hari dua malam saya langsung
tak tidur? Saya jadi urusetia perkhemahan, malam kena berjaga masa budak-budak
tidur, siang kena buat aktiviti. Ikutkan hati, saya dah tak datang ke sekolah
hari ini. Tapi kalau saya ponteng, entah nanti Cik Aina tuduh saya pergi
merambu hisap ganja pulak agaknya! Saya dah cuba bertahan sedaya-upaya, tapi
ada masanyadah tak tahan, itu yang terlentok sebentar. Cik Aina
bukannya nak tanya saya sakit ke apa, sebaliknya terus menuduh. Kalau apa-apa
perkara buruk menimpa kami, semuanya disebabkan oleh guru yang berprasangka dan
tak prihatin macam Cik Aina ni!”
Mazlan menarik-narik tangan Danial cuba
mengajaknya duduk, sebelah tangannya lagi menepuk-nepuk belakang Danial untuk
meredakan kemarahannya. Danial menepis tangan Mazlan dengan kasar. Ikutkan
hati, dengan si Mazlan sekali Danial rasa nak hentam.
“Saya tak peduli! Awak memang dah melampaui
batas! Awak sedar taksaya ni cikgu awak, hah? Kenapa awak langsung tak
boleh tunjuk rasa hormat terhadap saya? Saya tak tahulah sama ada mak bapak
awak yang tak ajar awak dengan baik atau awak yang tak makan saman!”
Mendidih darah Danial di tahap 100 darjah
celsius. Sepantas kilat Danial sudah melompat ke depan Aina. Itu pun nasib baik
sempat tekan brek, Aina ingatkan tadi Danial hendak merempuhnya terus. Sungguh
mengerikan! Kini jarak antara mereka hanya beberapa inci sahaja.
Di luar sedar, tangan
kiri Danial sudah mencengkam bahu Aina kejap sehingga Aina dapat merasakan
sekujur tubuh Danial yang bergetar dengan api kemarahan yang bertali arus dalam
dirinya. Disebabkan ketinggian Danial yang berukuran 6”2 itu, kepala Aina harus
mengadah untuk mencuri pandang ke wajah Danial yang sedang merah padam. Aina
mahu berpura-pura berani menentangnya. Danial mengangkat tangannya, tubuh Aina
tiba-tiba semakin mengecil, lututnya sudah lembik. Aina menyangka Danial mahu
menamparnya. Rupanya hanya jari telunjuk Danial yang menuding tepat wajah Aina.
“Berapa kali saya nak bagi amaran, jangan
sesekali sebut tentang mak bapak saya! Tak faham-faham bahasa! Atau nak kena
dengan saya baru nak faham? Saya boleh buat apa saja yang saya nak terhadap
awak!” Nadanya berbisik keras. Suaranya tersekat-sekat menahan marah sehingga
timbul segala urat di lehernya.
Garangnya lelaki ini bila marah, menakutkan!
Sumpah Aina takut dengan Danial ketika itu. Danial kelihatan seperti singa yang
telah bersedia untuk menerkam mangsanya pada bila-bila masa. Air mata Aina
tidak dapat ditahan-tahan lagi dari merembes keluar. Aina menarik bahunya kasar
dari cengkaman Danial. Rasa macam dah lebam bahunya akibat dicengkam begitu
kuat oleh tangan jerangkung Danial. Apa kelas membuli insan yang lemah!
“You are way too much!”Hanya itu yang mampu
dibalas Aina, itu pun dengan suara yang lemah. Seolah-olah seluruh tenaganya
telah habis diperas. Umpama baru balik dari membanting tulang di ladang. Rasa
letih, jantungnya pun turut sama letih, macam nak pengsan saja di situ. Sebelum
betul-betul pengsan, ada baiknya Aina pergi dulu.
Aina baru sahaja mahu
melangkah meninggalkan Danial ketika tangannya ditarik oleh Danial. Beraninya
dia! Aina merentap semula tangannya dan serentak dengan itu telapak tangannya
melayang hinggap di pipi Danial. Entah dari mana datangnya kekuatan Aina, wajah
Danial terpaling ke tepi disebabkan tamparan Aina itu. Matilah Aina kali ini,
kenapa tindakannya selalu saja tanpa dirancang begini? Habislah, mesti tambah
mengamuk singa di depan Aina. Ah, pasrah sajalah, hendak bagi balik penampar
pun bagilah. Aina dah tak kisah. Apa nak jadi pun jadilah.
Danial terpaku tidak percaya bahawa dia baru
sahaja ditampar oleh seorang perempuan yang jauh lebih kecil fizikalnya
berbanding dirinya. Tikus tampar singa? Kejadian begini julung kali berlaku.
Belum pernah ada sesiapa pun berani menyentuhnya selama ini, biasanya semua dah
mencicit lari sebelum Danial sempat angkat tangan. Tapi hari ini pipinya yang
mulus sampai rasa pedas akibat ditampar, oleh seorang perempuan pula tu? Aduh,
memalukan!
Seisi kelas tergamam. Aina dan Danial
sama-sama berpandangan, kedua-duanya terkesima. Aina yang tersedar dahulu. Dia
menggeleng sebelum berlari keluar meninggalkan tempat itu. Separuh tidak
percaya akan tindakan drastiknya sendiri. Separuh lagi datang dari rasa kecewa
kerana terpaksa bertindak sedemikian terhadap pelajar.
Entah apa yang meragut kesabarannya sedangkan
Aina bukanlah seorang yang baran. Aina sendiri tidak pernah menjangka perkara
seumpama itu akan berlaku. Tambahan pula, pelajar tersebut adalah Danial, ketua
gengster di sekolah itu. Rasanya seperti bom atom baru sahaja digugurkan di
Hiroshima. Perang dengan rasminya telah dilancarkan!
Danial yang terpaku di situ masih tidak dapat
menerima hakikat bahawa telapak tangan Aina yang halus itu baru sahaja mendarat di pipinya. Danial sendiri bingung
dengan perasaannya. Tak tahu mahu berasa marah atau teruja. Marah kerana
berani-beraninya gadis bersaiz mini itu menentangnya sebegitu, ini benar-benar mencabar
kelelakiannya. Teruja keranabuat pertama kalinya
seorang wanita telah berjaya melunturkan keegoannya. Ini sungguh rare.
Gadis ini memang lain dari yang lain, selalu membuatnya semakin penasaran.
Ah, tapi Danial juga keterlaluan tadi. Salah
tempat dia melepaskan tekanan yang dialami ke atas Aina. Tidak patut sama
sekali dia berkasar terhadap gadis manis itu. Danial tidak berupaya menghalang
Aina pergi, matanya hanya mampu mengekori bayangan Aina dengan penuh kesalan.
Seketika kemudian barulah Danial menyedari
yang dia masih terpaku di situ bagaikan tiang elektrik. Seisi kelas
memandangnya seperti sedang menonton wayang di pawagam. Ada mulut yang
terjuih-juih mencemuh tindakannya, ada pula mata yang memerhatinya tanpa
berkelip. Tiada siapa berani mengkritik Danial secara terang-terangan. Danial
dihimpit rasa bersalah, namun dalam masa yang sama dia juga berang dengan
pandangan mereka.
“Apa tengok-tengok? Tak puas hati dengan aku?
Siapa yang ada masalah dengan aku, mengaku kalau berani!” Jerkahannya bagai
halilintar membelah bumi. Kesemuanya menikus, ada yang cepat-cepat membuang
pandangan ke luar jendela, ada pula yang berpura-pura membelek buku.
Danial kembali ke tempat duduknya dan semakin
bengang apabila melihat Cam yang sedang berdiri masih tidak henti-henti
merenungnya dengan tajam.
“Kau ni apa hal, hah?Nak kena dengan aku
jugak?” sergah Danial.
Cam cepat-cepat berlagak selamba. Cam
berpeluk tubuh dan bersiul sambil mengetuk-ngetuk kasutnya di lantai. Aksinya
ketara benar cuma lakonan semata-mata, tapi Danial hampir tergelak juga dengan
gaya berpura-pura cool itu. Perlahan-lahan marahnya surut.
Ingatannya singgah semula kepada Aina. Ah,
pasti Aina akan membencinya seumur hidup. Salahnya juga kerana terlalu
mengikutkan perasaan marah. Danial mengeluh lagi. Kedua-dua telapak tangan
menekup wajahnya kesal. Serabut!