4,917
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab 2

Bab Dua

Tangan kanannya terasa kebas. Lalu diletakkan baldi yang sudah berisi air itu di sisi kakinya. Kemudian, dia merenung telapak tangan.

“Merah?” bisiknya sambil meniup lembut. Kemudian, diusap perlahan tangan lembut yang sudah memerah itu. Terasa pedih. Dia meniup beberapa kali telapak tangannya yang sudah bertukar warna merah itu.

“Aduh, sakit juga bawa air sebaldi ni...” gerutunya antara dengar dan tidak. Matanya asyik benar merenung telapak tangannya itu. Keluhan terdengar lagi. Bukan sekali tapi berkali-kali. Wajahnya pula sudah berkerut berkali-kali.

“Nasib badan...” tapi dia sempat tersengih lebar. “Nak cari makan? Atau nak cari rezeki ni?”

Dia mengusap telapak tangannya lagi. Begitu asyik gayanya. Seolahnya hanya dia saja yang sedang menanggung kesakitan itu. Orang kelilingnya seperti tidak wujud dalam ruangnya saat itu. Sakitnya! Pedihnya!

“Susah jugak nak dapatkan duit ni...” bisik hatinya lagi. Telapak tangannya terus direnungi dan usap sambil ditiup berkali.

Bedebuk...!

Tiba-tiba saja matanya membulat. Mulutnya melopong.

“Haa? Encik? Tuan?” dia sudah benar-benar tersentak. Lebih terkejut daripada terkejutnya king kong yang besar itu. Dahinya berkerut-kerut.

Bagaikan nangka jatuh, seorang anak muda terjepuk di atas lantai. Dia terkial-kial mahu bangkit.

“Dija...” jerit suatu suara. “Cepatlah angkat encik tu...”

“Haa?” mulutnya semakin melopong. Mujur tak ada lalat yang lalu. Kalau tak, diserbunya mulut yang sedang melopong itu. Parahlah jadinya.

“Cepatlah!” suara itu mendesak lagi.

“Kena angkat ke Kak Sal?” soalnya serba salah. Dia mengerutkan muka.

“Iyalah! Cepatlah, Dija...” desak Kak Sal.

“Baik, kak!” suara Dija kendur.

Gadis itu, terus menerkam ke arah ‘encik, tuan’ yang dimaksudkan. Tergesa-gesa nampaknya. Dihulurkan tangannya dengan segera ke arah anak muda yang sedang terbungkam jatuh itu. Tapi, dalam masa yang sama, dia kelihatan takut-takut. Serbasalah sebenarnya. Malupun ada. Maklum, dia anak gadis. Insan yang tersemban jatuh tu pula seorang jejaka.

“Kenapa ni, encik?” soal Dija. Dia terus menghulurkan tangan ke arah anak muda itu.

Tapi...

“Bodoh!” suara anak muda itu meninggi marah dan menjerkah. Dia cuba bangkit sendiri. Baju dan seluarnya habis basah. Dia menyapu seluarnya berkali-kali. Air menitis di hujungnya.

“Siapa punya kerja ni?” soal anak muda yang baru bangkit itu.

“Errr, saya..saya, encik..” Dija tergagap-gagap. Nampak takut-takut.

“Kamu lagi?” jerkah anak muda itu. “Memang bodooohhhh!”

“Maaf, Encik Faheem...” tiba-tiba kakak yang memanggil Dija tadi mendekati. Dia menundukkan kepala ke arah lelaki muda yang disebut Encik Faheem itu. Kelihatan wajahnya takut-takut saat dia mendekati anak muda itu. Kegugupannya jelas di mata Dija.

“Encik Faheem?” bisik Dija yang baru tahu nama lelaki muda itu.

“Kenapa encik lalu sini? Lantai ni masih basah lagi.” Soal Kak Sal, berhati-hati menanyakan soalan itu. Silap cakap, parah jadinya.

“Kak Sal, kenapa biarkan lantai ni basah?” marah Faheem dengan muka berkerut.

“Tapi, Dija tengah bersihkan lantai yang basah ni. Memang tugas kami pagi-pagi macam ni kena bersihkan lantai. Kenapa encik lalu kat sini...?” petah pula suara Kak Sal di pagi-pagi hari tu.

“Eh, Kak Sal, cakap tu elok-elok sikit. Takkan saya tak boleh nak lalu kat sini?” marah Faheem. Wajahnya sudah memerah. Udang bakarpun tak semerah itu.

“lnikan pejabat papa! Suka hati saya nak lalu atau tak! Kak Sal tu siapa nak soal saya?”

Kak Sal diam. Apa yang harus dijawabnya lagi? Faheem memang betul. Dia anak bos. Takkan tak boleh dia nak lalu di situ.

“Ya tak ya jugak! Bodohlah aku ni. tanyakan soalan yang tak ada kualiti macam tu....!”

“Maksud Kak Sal, encik tak patut lalu kat sini sebab lantai ni masih basah. Takuk-takut perkara macam ni yang berlaku terhadap encik.” tiba-tiba Dija memberanikan diri. Cuba membela Kak Sal yang sudah semakin menundukkan wajah.

“Kau pun satu!” suara Faheem semakin meninggi bila dilihat wajah Dija.

Bergegar dada Dija bila suara Faheem mulai menerjah ke cuping telinganya. Panasnya pagi yang dingin! Garang menyinga mamat ni! Keturunan apa agaknya dia? Singa atau harimau beranak kecil.

“Dah tau lantai ni licin, kenapa awak tak letakkan tanda?”

“Eh, tanda amaran dah diletakkan kat depan tu encik...” Dija makin berani membela diri sebab dia tahu, dia memang but kerja dengan betul.

Faheem menjenguk ke arah papan amaran yang berada tidak jauh dari situ. Sign board berwarna kuning dan bertulisan merah sudahpun terpacak di situ.

“Ha, tu...” Dija menunjukkan ke arah benda Allah yang dimaksudkannya. Matanya melirik ke arah papan tanda tersebut.

“Nanti saya ambil dan tunjukkan bukti tu kepada encik ya...”

‘Awas, lantai licin!

Kerja-kerja mencuci sedang dijalankan’.

Dija sempat pula membaca arahan yang ada pada papan tanda tersebut.

“Habis, tak boleh ke awak mop cepat-cepat sikit. Biar cepat kering. Sekarang, tengok! Semua pakaian saya basah dan kotor!” bentak anak muda itu dengan wajah terus menerus menyinga dan membahang marah.

“Minta maaf anak bos...” Dija bersuara, selamba sahaja suaranya. Sedikit perli.

Mahu rasanya diucapkan ungkapan ini...

”Padan muka kau, anak bos yang sombong dan bongkak! Mintak-mintak kau jatuh berkali-kali!”

Tapi, takkan mungkin! Melenting nanti si Faheem itu. Kalau malang nasibnya, kena pelempang kelak. Tak ke sakit? Tak ke malu? Ohhh, tidak! Jangan membodohkan diri wahai Dija. Jangan cari pasal di ofis papa mamat ni. Kena berhati-hati bila bersuara agar badan tidak binasa. Dia kena sentiasa ingat pesan ibu di desa sana. Cakap mesti sopan dan berhati-hati bila mahu meluahkan kata-kata. Jangan sampai hati orang lain terguris kerana ucapan kita!

Dija terasa ingin ketawa. Tapi ditahankan. Terasa membengkak dalam dada bila menahan tawa begitu. Sabarlah wahai Dija. Jangan cari pasal. Jangan sesekali kau ketawa!

“Memang kerja bodoh ni! Kerja orang yang tak pro!

Dija mengangkat wajah. Merenung ke mata Faheem. Dia mula buat muka.

“Eh, jadi tukang cuci kena pro juga ke, Encik Faheem?” dengan mimik muka yang masih aneh, Dija bersuara. Mungkin juga dia sekadar ingin bersuara sinis. Perli!

“Yalah!” jerkah Faheem. “Akibat kerja bodoh kau ni, saya dah terbungkam jatuh kat lantai licin ni. Kalaulah kau tu pro, tentu perkara macam ni, takkan berlaku.”

Dija menggeleng. Matanya masih melekat ke wajah Faheem.

“Baru hari ni saya dengar kerja tukang cucipun mesti pro, encik.”

“Diamlah!” jerkah Faheem. “Karang ada orang makan mop ni!”

Dija diam. Dia menunduk. Faheem angkat kaki. Berlalu dari situ dengan wajah membengis. Suaranya terus mendengus.

“Hey, kau...!” tiba-tiba Faheem memalingkan wajah dan bersuara garang ke arah Dija. Wajahnya tetap mengalahkan udang harimau masak merah bercili pedas.

“Nama saya Dija, Encik Faheem.” Lembut suara Dija agar Faheem tidak lagi menjerkah dengan marah. Namun dia silap...

“Ah, peduli apa dengan nama kamu! Harapkan nama je cantik! Kerja macam orang bodoh.” Lantang suara Faheem menjerkah.

Dija hampir tersenyum bila mendengar Faheem memuji namanya yang cantik.

Cantik ke? Eh, ‘terperasan’ pula aku dengan pujian mamat ni. Dija tersengih lagi. Walaupun dia tidak pasti, Faheem lihat atau tidak senyumannya itu, Dija tetap tersenyum puas. Entah kenapa, terasa geli hati pula saat itu.

“Kau ingat ya! Ini kali terakhir saya nak tengok perkara-perkara bodoh yang berlaku dalam pejabat ni! Kalau tak...” Faheem mengangkat telunjuknya dengan wajah yang tak kurang marah dari tadi.

Dija hanya melekatkan pandangannya ke wajah Faheem. Tiada sepatah kata. Mata mereka bertaut. Tapi, Dija terasa ingin ketawa bila melihat keadaan anak bosnya itu. Sudahlah basah kuyup. Wajahnya membengis pula. Nampak buruk benar!

Dia tak tahu ke macamana nak senyum? Kan handsome kalau tersenyum? Ini tak, mengalahkan tempoyak ditenyeh mentimun pula gayanya. Isyh...! Dija bersuara di dalam hati.

“Semalam kau dah kotorkan baju saya dengan kopi panas kau tu...”

“Bukan salah saya, encik. Lagipu semalam tu bukan kopi saya...kopi Cik Rita...” Dija cuba membela diri. Mungkin dah naik angin dengan suara Faheem yang meninggi sejak tadi.

“Diam! Jangan nak menyampuk...” marah Faheem. “Ohh, nak bela diri? Memang kau yang salah. Dah dua kali kau buat saya saya sakit jiwa!”

“Memang bukan salah saya, encik...” Dija cuba juga memberanikan diri. Dia tahu dia tidak bersalah. Faheem yang datang melanggarnya dengan tiba-tiba. Padahal masa tu dia sedang bawa kopi panas. Walaupun dia agak tergesa-gesa, namun dia yakin saat itu dia dalam keadaan berhati-hati. Faheem yang bersalah. Dia nampak keadaan Faheem yang tidak berhati-hati ketika itu. Dija sangat yakin.

“Diamlah!” jerkah Faheem lagi. “Saya tak nak tengok ada lagi perkara buruk yang akan berlaku. Faham?”

“Semalam kopi panas tumpah atas baju aku! Hari ni, lantai licin yang buat aku terjatuh. Esok....?” bengisnya wajah Faheem. Mengalahkan penjahat dalam Filem Tamil atau Hindi. Seriau juga kiranya saat Dija merenung wajah itu.

Marahnya semakin memuncak. Tak boleh kendur dengan mudah lagaknya.

“Insya Allah, semuanya akan selamat nanti Encik Faheem...” Kak Sal cuba menenangkan keadaan yang begitu genting itu.

“Entahlah, Kak Sal. Sejak budak hitam ni datang macam-macam hal dah jadi dalam pejabat ni!” suara Faheem benar-benar lantang. “Dah dua kali dia buat saya hilang sabar, Kak Sal! Padahal dia kerja baru dua minggu.”

Dija meraba wajah. “Budak hitam?”

Dia terdiam. Matanya terpejam rapat. Kemudian, menggeleng perlahan.

“Sukanya dia ni menghina orang! Mentang-mentang wajah dia kacak lawa!” gerutu hati Dija. Sekali lagi wajahnya diusap perlahan.

“Hitam-hitam buah manggis, encik. Luar hitam, di dalam sangat manis!” celah Dija walaupun hatinya terguris dengan ungkapan kurang ajar itu. Seolahnya Faheem sedang menghina hasil karya Allah. Bukankah dia yang hitam itu diciptakan oleh Allah dengan kebijaksanaanNya? Sampai hati Faheem mengutuk karya Yang Maha Kuasa.

“Putihnya kelapa parut, diperah santan, dibuang juga hampasnya...” sempat lagi Dija menambah falsafahnya. Sinis suaranya menyindir Faheem yang berkulit cerah itu.

Faheem tidak pedulikan ucapan bermadah daripada Dija.

“Ahhh..!” Dia terus mengatur langkah dengan berhati-hati agar tidak terjatuh lagi. Ditinggalkan kedua orang tukang cuci pejabat papanya itu.

Faheem berlalu dalam debur nafas yang hangat membara. Geram dan sakit hatinya bukan kepalang. Mahu rasanya dia melepaskan pelempang ke wajah gadis berwajah gelap itu.

“lkutkan hati...!” dengusnya geram. “Merah juga pipinya kulempang!”

Faheem berlalu. Kak Sal mendekati Dija.

“Dija...” lembut suara Kak Sal. “Jangan ambil hati dengan kata-katanya tu.”

“Memang Dija ni berkulit hitam, Kak Sal. Tapi, hati Dija taklah hitam.” Kendur suara Dija. Dia sudah mempamerkan rasa kesal dengan ungkapan Faheem seketika tadi. Sungguh kurang asam!

“Kak Sal tahu. Dija memang seorang gadis yang sangat mulia hatinya.” Balas Kak Sal.

“Maafkan Dija, Kak Sal....” Dija meletakkan telapak tangan di atas bahu Kak Sal. Matanya merenung wajah perempuan itu dengan rasa bersalah.

Kak Sal tersenyum. “Kenapa pulak Dija mintak maaf? Dija bukannya buat salah pun dengan Kak Sal...”

“Pasal Dija, Kak Sal turut kena marah oleh mamat muka masam tu...”

Kak Sal tersengih mendengarkan ucapan Dija. “Mamat muka masam?”

“Yalah, sejak semalam, dia tak tahu langsung nak senyum. Masam je yang dia pandai.”

“Hisy, jangan dicakapkan kata-kata tu lagi. Dengar dek Encik Faheem, kena buang kerja nanti.” Pesan Kak Sal.

“Dija geramlah dengan dia tu, kak.” Sungut Dija. Dia mula buat muka.

“Dia memang macam tu.” Akui Kak Sal.

“Dahlah suka cakap perkataan buruk, suka pula menghina orang. Mentang-mentanglah Dija ni...” Dija tidak sanggup menghabiskan kata-katanya. Sedih di wajahnya terpamer bersama sebak meruntum.

“Ah, sudahlah...” Kak Sal mematikan bicara Dija. Dia tahu, Dija pasti berkecil hati dengan ungkapan Faheem seketika tadi.

“Menghina namanya tu, kak!” ulas Dija.

“Sudahlah...” Kak Sal menepuk bahu Dija. Kemudian, dipeluk mesra. “Lupa ajelah semua kata-katanya tu. Makin diingat, makin sedih nantinya hati Dija.”

“Dija tahu, dia tu cerah kulitnya. Tapi tak patut sangat dia menghina Dija, kan? Sebab kulit putih atau hitam tu semuanya pemberian Allah.” Kendur suara Dija.

“Kak Sal mengangguk. “Hitam-hitam si tampuk manggis, dik.”

“Dija nak berdoa kepada Allah, moga-moga dia dapat isteri yang hitam kulitnya lebih daripada kulit Dija ni...”wajah Dija pula dibaluti rasa geram.

“Dija nak doakan dia untuk siapa?” soal Kak Sal.

“Mudah-mudahan dia dijodohkan dengan Minah Negro, kak!”

“Kenapa tak doakan untuk Dija aje...?” gurau Kak Sal.

“Doa untuk Dija?” terbeliak mata Dija. “Dia tu? Mamat muka masam tu?”

Kak Sal tersenyum lebar. Kemudian ketawa mengekeh.

“Alaaaah, sudahlah tu. Tak usah kita ingatkan buruk orang ya. Lupakan semuanya. Nanti hati kita tak sakit. Wajah kita jadi tenang. Kan, kan?”

“Dia tu mulut jahat, kak.” Gerutu Dija.

“Kalau ikutkan rasa marah, syaitan tentu akan bertepuk tangan!” balas Kak Sal.

Dija mengangguk.

“Tahu...” kendur suara Dija. Kak Sal terus mengusap bahu Dija agar lembut hati anak gadis itu. Tenang wajah dan suara Kak Sal semakin mengendurkan rasa yang berlegar di ruang dada Dija.

“Kalau orang buat jahat dengan kita, takkan kita nak buat jahat juga, Dija. Mana ada beza antara Dija dengan dia, kalau Dija juga buat macam tu?” soal Kak Sal.

Dija mengangguk. Bersetuju dengan pujukan Kak Sal.

“Betul tu, kak. Mak Dija kat kampung sana pun selalu peasn macam tu. Jangan balas kejahatan orang dengan kejahatan juga. Sebaliknya berilah bunga kalau orang melemparkan kita dengan najis. Insya Allah orang itu akan insaf nanti, kak.” Akui Dija.

Kak Sal pula mengangguk. “ltu akan membeza antara baik dan buruk. Biarlah kita menjadi orang yang lain daripada yang lain, Dija. Ingat nasihat Kak Sal ni.”

Dija terus mengangguk.

“Kalau kita buat apa yang dia buat pada kita, maknanya antara dia dan kita tu sama. Tak ada bezanya, Dija.”

Semakin laju anggukan Dija.

“Kamu tu yang tak berhati-hati...!” dari kejauhan, terdengar suara Datuk Nik Rasyid. Agak kuat suaranya. Tersentak kedua orang tukang cuci itu.

“Tu, tukang cuci baru yang papa bawa masuk tu! Memang tak guna langsung!” tiba-tiba suara Faheem melawan. “Orang macam tu pun papa terima?”

“Faheem!” kedengaran suara Datuk Nik Rasyid meninggi.

“Memang tak guna, papa!” bentak Faheem.

“Kamu yang salah! Selalu tak berhati-hati, jangan nak salahkan orang lain!” suara Datuk Nik Rasyid semakin marah.

“Dia yang salah! Dah dua kali, Faheem terkena dengan dia tu. Memang dia pembawa masalah! Pembawa sial tu papa!” Faheem tetap melawan kata-kata papanya. Dia tetap menegak kebenaran kata-kata marahnya.

“Jaga mulut kamu Faheem!” marah Datuk Nik Rasyid. “Papa tak suka!”

“Eh, yang papa bela sangat tukang cuci papa tu, kenapa?” soal Faheem, kurang senang.

“Sebab dia jugak manusia macam kita. Ada hati ada perasaan. Tak macam kamu, tak ada hati dan perasaan. Cakap tak tahu nak jaga hati orang langsung!” jawab Datuk Nik Rasyid.

Wajah Faheem berkerut. “Papa ni kenapa?”

“Dari dulu, papa memang tak suka dengan sikap kamu. Selalu nak tunjuk lagak. Kamu ingat papa berkenan dengan sikap sombong kamu tu. Tak tahu nak hargai orang lain.” Suara Datuk Nik Rasyid meninggi lagi.

“Papa tu, kena jaga tukang cuci papa...”

Dija menjenguk. Tidak jauh dari situ, dia ternampak dua orang insan sedang bertengkar. Jelas kedengaran butir bicara yang dibahaskan. Dija menoleh ke arah Kak Sal. Keruh wajah Dija. Ada kesal yang terpahat. Kak Sal mengerti perasaan Dija.

“Sabar ajelah, Dija. Tabahkan hatimu, dik.” Pujuk Kak Sal lembut.

“Orang selalu sangat memandang paras rupa, Kak Sal...” kendur suara Dija. Matanya merenung wajah Kak Sal yang nampak bersimpati.

“Kalau disiatkan kulit Dija yang hitam ni, rasanya sama jugak dengan kulit dia tu, kak.” Kendur lagi suara Dija. “Kalau ditoreh kulit hitam ni, darah Dija tetap merah, kan?”

“Dija...” tangan Kak Sal di atas bahu Dija.

Kedengaran suara Dija mengeluh sebak. “Orang tak pernah nak pandang hati budi insan. Hanya rupa juga yang mereka pilih, kak.”

“Dahlah tu...” Kak Sal melangkah. “Kita buat kerja kita sekarang. Nanti ada lagi orang yang jatuh. Riuh pulak seluruh pejabat ni. Apa lagi kalau Cik Rita...”

“Rita?” soal Dija.

Dengan pantas, Dija mencapai mop lalu mengelap lantai yang sudah separuh kering kerana terbiar itu. Kalau Cik Rita yang terjatuh nanti, tentu Faheem lagi marah. Dia sangat sayangkan Cik Rita!

Dija tidak mahu terjadi lagi perkara yang sama terhadap Cik Rita. Semakin riuh sepejabat nanti. Sudah tersumbat telinganya mendengarkan leteran kemarahan Faheem. Sudah tidak sanggup lagi untuk terus mendengarnya.

Oh, tidakkkk!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh