Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
Bab TEASER 3

“RILEKS,Am. Jangan gelabah tak tentu hala. Kita doakan yang terbaik untuk Maira,” tegur Erika dengan nada suara lembut. Pening kepalanya melihat tingkah laku Iqram. Dari tadi, lelaki itu asyik mundar-mandir. Nak tawaf satu hospital agaknya. Dia tahu, adiknya itu risaukan situasi Maira di waktu sekarang, dia pun berasa risau juga.

Langkah Iqram serta-merta mati tatkala mendengar teguran Erika. Serentak itu, dia melabuhkan duduk di sebelah kakaknya itu. Dia menoleh memandang wajah kakaknya itu. Raut wajahnya kelihatan resah. “Macam mana Am nak bertenang, kak? Isteri Am kat dalam tu!” balasnya, sambil menuding jari ke arah bilik kecemasan. Spontan, sebuah keluhan berat terhembus keluar dari bibirnya. Selagi dia belum menerima berita mengenai diri Maira, selagi itulah hatinya terus dihambat kerisauan.

“Akak tahu, Am risaukan Maira. Kalau akak kat tempat Am, akak pun akan rasa perkara yang sama jugak,” balas Erika. “Tapi…” Dia menyentuh tangan Iqram, lalu menggenggam erat tangan adiknya itu. “Am kena kuatkan mental dan emosi diri Am. Maira perlukan kekuatan dan sokongan moral daripada Am. Dia sedang bertarung melawan kesakitan sekarang ni. Jadi, Am tak boleh lemah di hadapan Maira!” sambungnya bersungguh-sungguh.

Iqram membuang keluhan untuk kesekian kalinya. Tangannya yang sedang digenggam erat oleh Erika, perlahan-lahan ditarik. Serentak itu, dia meraupkan wajahnya yang kelihatan resah itu. “Am bukannya apa, kak. Am takut kalau-kalau sesuatu yang buruk menimpa diri Maira. Am tak sanggup kehilangan dia.” Dia menyuarakan kebimbangan yang sedang bersarang di benaknya kala ini.

Erika tersenyum. “Insya-ALLAH, Maira akan selamat. Jangan fikir yang bukan-bukan, okey? Nanti lain pula jadinya,” balasnya dengan suara tegas. Tidak mahu adiknya itu terus beranggapan negatif.

Iqram hanya mampu tersenyum hambar.

Sementara dari arah pintu Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur, kelihatan lima individu tergesa-gesa menyusun langkah menuju ke arah kaunter jururawat. Seusai tiba di hadapan kaunter jururawat, langkah mereka serta-merta mati.

Bola mata Iqram teralih ke arah kaunter jururawat. Tatkala melihat wajah keluarga dan keluarga mentuanya itu, serta-merta lelaki itu bangun lalu menerpa ke arah mereka.

“Papa, mama, abah, mak, mak uda?” tegurnya dengan nada suara lemah.

Spontan, lima pasang mata itu menoleh memandang Iqram.

“Am?” tegur Puan Fadilah. “Macam mana keadaan Maira, Am?” soalnya dengan nada risau. Terpamer riak kerisauan di wajah wanita itu.

Iqram melepas keluhan berat. Entah untuk kali keberapa dia mengeluh, tidak terkira rasanya. “Am mintak maaf, abah, mak, mak uda. Am dah janji untuk jaga Maira sebaik yang mungkin, tapi…” Ayatnya terhenti sejenak. Wajahnya berubah riak serba salah. “Am lalai dalam tanggungjawab untuk menjaga Maira,” luahnya dengan nada serba salah.

“Apa sebenarnya yang dah berlaku, Am?” soal Mak Uda Harlina ingin tahu.

Iqram menggeleng lemah. “Am tak tahu, mak uda. Am tengah bermesyuarat dengan ahli lembaga pengarah tadi. Tahu-tahu aje, Dayah bagitahu yang Maira jatuh. Am betul-betul rasa terkejut masa tu. Rasa macam nyawa Am terbang bila dapat tahu berita tragis tu,” balasnya dengan nada sebak.

Tiba-tiba, kedengaran suara Datuk Hakim melepaskan keluhan berat. “Kalaulah papa tahu perkara macam ni akan berlaku, papa takkan adakan mesyuarat ahli lembaga tu hari ni, Am. Patutlah papa rasa macam tak sedap hati aje. Rupa-rupanya… ya ALLAH!” celah Datuk Hakim mula berasa sebak dengan peristiwa yang menimpa menantunya itu.

Encik Azmil mengukir senyuman. “Sudahlah tu, Am, Abang Hakim. Tak perlulah kita saling menyalahi diri sendiri. Nasi dah jadi bubur. Perkara dah pun berlaku. Nak menyesal pun, dah tak ada guna lagi,” celahnya dengan nada tenang. Wajahnya kelihatan begitu tenang sekali. Langsung tidak melatah dengan apa yang sudah berlaku itu. “Yang penting sekarang ni, kita kena panjatkan doa pada Yang Maha Esa agar Maira selamat.”

Puan Fadillah mengangguk. “Betul tu.”

Datin Marina menyentuh tangan besannya. Terpancar riak serba salah di segenap wajah jelita itu. Dia tersenyum payah “Kak Ina mintak maaf, Illa. Kamu sekeluarga serahkan Maira sebagai menantu dalam keadaan baik. Tapi, kami alpa dalam menjaga dia. Kami gagal,” ucapnya dengan nada sebak.

Puan Fadillah tersenyum. “Kun Faya Kun! ALLAH kata jadi, maka jadilah ia. Apa yang berlaku pada Maira adalah kehendak-NYA. Semuanya sudah tertulis dalam qada dan qadar. Kami redha dengan apa yang dah berlaku,” balasnya lembut.

“Tapi…” Datuk Hakim ingin mencelah.

Namun Encik Azmil segera menghalang. “Kita doakan yang terbaik untuk Maira, ya?” celahnya.

Mereka hanya mampu mengangguk dan berserah pada takdir. Dalam doa dan harapan supaya Maira berada dalam keadaan selamat.

Baru sahaja Iqram hendak mencelah, tiba-tiba muncul seorang wanita lengkap berpakaian pakaian seragam doktor keluar dari bilik kecemasan. Serta-merta Iqram menerpa ke arah doktor itu.

“Macam mana keadaan isteri dan anak saya, doktor?” soal Iqram tidak sabar.

Doktor wanita itu tersenyum. Di sudut bahu kanan wanita itu tersemat tag nama yang tertulis Dr. Rohaya. “Alhamdulillah, Puan Maira selamat. Bayi dalam kandungannya juga berada dalam keadaan selamat,” beritahunya.

Iqram menarik nafas lega mendengar jawapan itu. “Syukurlah.” Dia menyapu wajahnya sebagai tanda syukur.

Seisi keluarganya juga berasa lega apabila menerima berita baik itu. Syukurlah, nyawa Maira masih panjang lagi. Bayi dalam kandungannya juga turut diberikan kesempatan untuk melihat dunia. Alhamdulillah!

DAUN pintu bilik terkuak ke luar, memanggil Maira untuk melihat si empunya tangan yang membuka daun pintu itu. Tersembul wajah Iqram di muka pintu. Mengundang segaris senyuman manis di bibir Maira.

“Sayang?” tegur Iqram lembut. Dia menyusun langkah menuju ke arah katil, lalu melabuhkan duduk di sebelah Maira. “Sayang okey ke?” Hiba hatinya tatkala melihat wajah isteri tercinta yang sedang terbaring lemah di atas katil.

Maira tersenyum lemah. “Alhamdulillah, bang. Maira dah okey.” Dia menjawab dengan suara lembut.

Iqram meramas tangan Maira. “Abang rasa lega bila doktor kata Maira selamat. Jantung abang ni macam nak tercabut aje bila Dayah bagitahu Maira jatuh. Abang takut kalau abang kehilangan Maira. Abang tak boleh hidup tanpa Maira. Maira separuh daripada nyawa abang. Abang terlalu sayangkan Maira. Dan abang juga rasa bersyukur sangat.” Iqram mengusap lembut perut Maira. “Anak kita selamat,” tambahnya.

Terharu hatinya tatkala mendengar kata-kata Iqram. Terasa dirinya begitu disayangi dan dihargai oleh insan yang bergelar suami itu. “Selagi ALLAH beri kesempatan untuk Maira terus bernafas, selagi itulah Maira akan ada di sisi abang. Abang juga dah jadi separuh daripada nyawa Maira. Maira sayangkan abang.” Maira membalas. “Dan Maira juga berjanji agar menjaga anak kita, bang.”

Iqram tersenyum. “Abang tahu, Maira takkan tinggalkan abang.”

“Tiada apapun yang boleh pisahkan kita kecuali mati, bang,” jawab Maira bersungguh-sungguh.

Iqram mengangguk. “Betul tu, sayang,” balasnya.

Tiba-tiba daun pintu terkuak dari luar. Muncul Datuk Hakim, Datin Marina, Encik Azmil, Puan Fadilah dan Mak Uda Harlina di muka pintu. Mereka mengatur langkah seiringan menuju ke katil Maira.

“Papa rasa lega sangat, Maira. Syukur alhamdulillah, Maira dan cucu kami berada dalam keadaan selamat. Risau kami jadinya bila Dayah bagitahu Maira jatuh,” celah Datuk Hakim.

Maira tersenyum. “Ni semua kuasa ALLAH, papa. Maira dan bayi dalam kandungan Maira selamat atas izin-NYA. ALLAH masih berikan kami peluang untuk terus bernafas di muka bumi ni,” balasnya.

Datin Marina menyentuh tangan Maira. “Betul cakap Maira. Semua ni atas izin-NYA,” celahnya.

Maira hanya mengangguk.

“Iqram?” Tiba-tiba kedengaran suara Puan Fadilah menegur.

Iqram spontan menoleh memandang ibu mentuanya. “Ya, ibu?”

“Janji dengan ibu, Am akan jaga anak dan cucu ibu dengan baik. Ibu tak nak perkara buruk menimpa anak dan cucu ibu,” pinta Puan Fadillah penuh mengharap.

Iqram tersenyum lalu mengangguk. “Insya-ALLAH, ibu. Selagi ALLAH beri kesempatan untuk Am terus bernafas, selagi tulah Am akan jaga isteri dan anak kami dengan sebaiknya. Ibu jangan risau ya,” janjinya bersungguh-sungguh.

“Awak ni, Illa.” Tiba-tiba Encik Azmil bersuara. “Kita doakan yang terbaik untuk anak dan cucu kita. Insya-ALLAH, takkan ada perkara buruk menimpa mereka,” tambahnya beria-ia.

“Amin, abah,” celah Iqram.

“Mak uda rasa tak sedap hatilah, Am, Maira.” Tiba-tiba Mak Uda Harlina menyuarakan rasa tidak enak yang mula bermukim di hatinya.

Seisi mata menyorot memandang Mak Uda Harlina.

“Kenapa, mak uda?” soal Maira ingin tahu.

Mak Uda Harlina merenung tajam Iqram. “Macam mana Mai boleh terjatuh kat pantri? Ada benda licin ke kat situ? Takkan cleaner kat ofis kamu tu biarkan lantai kat pantri tu terdedah dengan bahan basah?” Dia mula membuat andaian sendiri. Terdetik sesuatu di benak fikirannya. Ada orang cuba menganiayai Mairakah?

Iqram terdiam. Dia mula menyedari sesuatu. Serta-merta rasa tidak enak menyelinap masuk ke hati. Betul cakap mak uda. Takkanlah cleaner boleh biarkan lantai katpantri tu terdedah dengan bahan basah? Mesti ada sesuatu yang sedang berlaku. Aku kena siasat! Tekadnya di dalam hati.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.