Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
17,715
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 17


Sejak Alex dan Atuk pulang dari surau tadi tak berani dia nak angkat wajah berbalas pandang dengan lelaki itu. Usai solat Subuh, dia duduk termenung di birai katil. Peristiwa malam tadi terlayar di minda. Malu bertandang sebaik mengingati dengan jelas akan tindakan di luar fikirannya itu. Apalah yang merasuk dirinya malam tadi. Alih-alih, tak juga dapat penjelasan seperti yang dimahukan walaupun bukan main mesra lagi perbuatannya terhadap lelaki itu.

Bosan duduk bersendirian di dalam rumah, Uzma menuju ke dalam kebun. Atuk sudah ke kandang dan Alex juga mengikuti. Lega. Andai ditinggalkan berdua-duaan mau dia mereput dalam bilik tak keluar-keluar. Malu punya pasal!

Di dalam kebun itu, dia terus menjenguk ke dalam reban. Ibu ayam yang berbulu putih sudah tetas telurnya. Tiga ekor anak ayam riuh berkecip mengelilingi ibunya yang sedang menguis tanah. Dibawa diri ke belakang reban pula di mana sebuah perigi lama terletak. Meskipun sudah menggunakan kemudahan paip air, air dari perigi itu tetap menjadi pilihan Atuk sebagai air mandian dan minuman.

Niat di hati mahu menimba air. Mengisi bekas minuman Abu dan juga haiwan ternak lain yang sudah kosong. Walaupun sebatang paip air berada berdekatan dengan pintu masuk kebun, air minuman haiwan itu tetap diambil dari perigi seperti yang diamalkan oleh Atuk semenjak dahulu.

Uzma memijak lantai simen sekangkang kera yang mengelilingi perigi. Timba kuning yang berada di atas penutup perigi itu diambil lalu disangkutkan pada sebatang kayu yang sengaja dipacak oleh Atuk yang digunakan sebagai tempat menyangkut tuala. Penutup kayu yang berbentuk bulat pula dialihkan. Ringan sahaja beratnya kerana diperbuat daripada papan lapis.

Dia mencapai timba dengan tali sepanjang lima meter. Timba yang siap diterbalikkan dijatuhkan. Ah, tidak menjadi seperti kebiasaan. Kedudukan timba itu kembali terbalik sebelum sempat mengena air. Selalunya jikalau timba itu dijatuhkan dengan kaedah begitu terus sahaja timba itu melorot masuk ke dalam air. Digagau tali yang dipegang. Mengiringkan timba itu kiri dan kanan. Eh, tiber... Susah pulak timba ni nak senget ke tepi. Sikit pun jadilah kerana apabila telah senget sedikit timba itu ke dalam air, maka mencurahlah air masuk dan mulailah timba itu tenggelam dan penuh.

Hampir beberapa detik bergelut dengan timba itu, dia mendengus kuat. Puas didayung tali itu. Tangan kanan dan kiri bersilat membuai tali. Bengang betul dia melihat. Dia tu bukan tak biasa menimba. Apesal susah sangat nak jadi ni? Hisy!!

"Sini, saya buat."

Terus terlepas tali yang dipegang sebelum lelaki itu sempat menahan lebihan tali yang meleret di atas simen menggunakan kakinya. Uzma menelan liur melihat aksi itu. Fuh! Mujurlah. Jikalau tidak, bertambahlah kerja untuk mengait tali yang terjatuh dalam perigi pula.

"Err, abang tahu buat ke?" soal Uzma sedikit ragu.

Tanpa menjawab sepatah, Alex terus melilitkan tali tersebut pada telapak tangannya lalu menarik atas dan bawah sebelum tangan lagi satu menjangkau ke bawah. Setimba penuh air berada dihulurkan oleh lelaki itu.

Kelat senyuman Uzma ukirkan buat sang suami. Tanpa berlengah, dia menyisih untuk mengambil bekas minuman lalu kembali menghampiri lelaki itu. Dia menadah dan Alex menuang. Baki air yang masih banyak digunakan oleh suaminya untuk mencuci tangan dan disiram ke batas ketola yang dibina olehnya sebelum ini. Belum berbuah tetapi sedang berbunga. Sedikit masa lagi dia mahu kembali ke rumah Atuk untuk menuai hasilnya.

"Nak ke rumah Wan Cu pagi ni?"

Uzma terpana. Ditoleh sang suami yang sedang menutup perigi.

"Erm. Ha'ah." sahutnya ringkas lalu membuka langkah untuk kembali ke dalam rumah. Tak sangka lelaki itu mengingati permintaannya pada malam tadi. Sebentar sahaja, dia sudah bersiap kerana hanya perlu menukar baju berlengan panjang. Sebelum keluar, dia ke dapur dahulu. Sebekas pulut kuning dan kari ayam dimasukkan ke dalam plastik merah. Juadah itu baru sahaja disiapkan tadi.

Usai urusan di dapur itu dia menarik pintu dapur dan pintu hadapan. Kemudian, mengunci pintu serambi sementara Alex menanti di laman.

Mereka berdua berjalan beriringan menuju ke arah bahagian belakang rumah Atuk melewati lorong bertar yang sempit itu. Untuk sampai ke rumah Wan Cu, mereka perlu mendaki sedikit kerana kedudukan rumah orang tua itu terletak sedikit meninggi daripada kawasan rumah Atuk yang landai.

Kawasan yang tidak berpagar itu dijelajahi. Riuh-rendah bunyi ayam dan itik. Berkokok dan berkuek. Binatang peliharaan Wan Cu agak banyak hinggakan Wan Cu terpaksa meminta bantuan daripada Atuk untuk mengepung sebahagian laman yang dijadikan sebagai kandang haiwan tersebut. Kelihatan Wan Cu bersama Firdaus sedang berdiri di tepi kandang. Memerhati ayam belaan yang sedang mematuk makanan.

"Assalamualaikum. Wan..," ucap Uzma terlebih dahulu.

Wan Cu menoleh. Menjawab salam dengan mulut tersengih gembira. Uzma menerpa. Menyalami tangan orang tua yang turut mempunyai saham dalam membesarkan dirinya.

"Nah. Ju masak pulut kegemaran Wan." katanya lagi sambil menunjuk buah tangan yang dibawa. Wan Cu senyum manjang.

"Ahmad... Mari masuk." panggil Wan Cu kepada Alex yang tercegat tepi kandang sedang memerhati haiwan ternakan itu.

"Mari. Ju, Adik..." seru Wan Cu lagi sebelum melangkah ke pintu dapur. Segayung air di dalam tempayan dicurahkan ke kaki. Tanpa perlu disuruh Firdaus mendekati. Menadah kakinya untuk dicuci.

Kemudian, barulah Uzma dan Alex masuk ke rumah Wan Cu yang tinggal bersama-sama dengan cucu menantu itu. Lebih dari setengah jam duduk berbual, mereka berdua mengundurkan diri.

Tak terbetik kata oleh Uzma sepanjang mereka kembali ke rumah Atuk. Perasaan malu bersisa terkumpul. Sesampai di rumah, Uzma mencapai senaskhah surat khabar lama di serambi lalu membawa ia ke dapur. Sebekas besar ikan sembilang yang dikeluarkan dari bahagian sejuk beku pada awal pagi tadi telah mencair. Ikan itu telah disiang oleh Atuk. Uzma ingin mengelar kemudian menyalai sebagai stok simpanan untuk Atuk kesayangan. Lazimnya apabila Atuk membawa balik ikan sembilang, begitulah menu yang gemar dimakan oleh Atuk. Disalai kemudian dimasak lemak cili api.

Uzma mula membentangkan surat khabar di atas lantai. Bekas ikan, papan pemotong dan pisau dibawa turun. Duduknya bersila. Ada lebih kurang lima belas ekor. Sebahagian akan digunakan sebagai juadah pada tengah hari nanti manakala lebihan yang telah disalai bakal disimpan di dalam peti sejuk.

"Buat apa?"

Kepalanya mendongak. Melihat Alex sedang tercegat di muka pintu memerhati dia mengelar ikan-ikan tersebut.

"Nak salai ikan. Nanti boleh masak untuk tengah hari."

"Nak saya tolong?"

Sekali lagi dia mendongak. Angguk.

"Abang pandai buat bara api?" soalnya.

Lelaki itu sekadar mengangguk lalu menghilang. Ah, apa yang tak boleh dilakukan oleh suaminya itu? Semuanya boleh, bukan? Uzma tersenyum tipis sambil membuat kerja.

Dua puluh minit kemudian, dia bangkit dengan membawa ikan yang sudah siap dikelar ke sinki. Kedua tangan dicuci lalu dia beredar ke serambi sebelum sehelai tudung sarung yang berada di atas kerusi dicapai dan disarungkan ke kepala.

Beberapa biji buah limau purut yang ditanam berdekatan dengan pintu masuk ke kebun dipetik. Ia akan digunakan untuk mencuci ikan-ikan tersebut. Petua yang diberikan oleh Atuk buat menghilangkan bau hanyir ikan. Sebelum beredar dengan lima biji limau di tangan, lirikan jatuh ke arah Alex yang berada di dalam kebun. Sedang duduk bercangkung menghidupkan kayu api. Diubah haluan. Tidak jadi masuk ke rumah sebaliknya, melangkah mendekati lelaki itu.

Lirikannya bertembung dengan suaminya tatkala dia menghampiri. Longgokan kayu api, senaskah surat khabar, pemetik api, sabut kelapa berada di situ. Lelaki itu sedang mencucuh sabut kelapa ke arah api yang masih kecil itu. Pantas sabut kering itu disambar oleh api lalu merayap memakan sebahagian daripada urat sabut tersebut.

Uzma melangkah ke arah pintu kebun lalu kembali dengan kekuda kayu pelbagai guna yang sering digunakan oleh Atuk ketika bertukang.

"Abang, duduklah." katanya seraya meletakkan kekuda itu di sebelah Alex.

Lelaki itu mengerling sebentar kemudian berlabuh di atas kekuda yang agak rendah itu.

"Dah nak bakar ke?" tanya Alex kepadanya.

Uzma menggeleng.

"Belum. Ikan belum siap dicuci lagi. Lagipun kayu belum jadi bara lagi."

Sepi.

"Abang nak makan apa-apa tak? Tadi sarapan awal sangat. Ju ada buatkan pulut kuning dengan kari ayam. Sambil tunggu api tu boleh makan-makan."

Suaminya menggeleng. Sedikit terasa hatinya. Bukan apa... Sarapan lelaki itu sudahlah awal berbanding biasa kerana menemani Atuk, sedikit pula tu dijamahnya nasi goreng yang disediakan. Marahkah lelaki itu terhadap dirinya di atas perlakuannya pada malam tadi? Dia tidak pasti. Untuk mengungkitkan perkara itu kembali dia segan. Tanpa berlengah, dia beredar untuk menyiapkan kerjanya di dapur. Rasa terkilan itu dipendamkan dengan kesibukan yang sedang dilewati.

Hampir setengah jam kemudian, Uzma kembali ke dalam kebun. Bara api sudah tersedia. Bekas berisi ikan dan besi pemanggang turut dibawa keluar. Dua ketul batu bersaiz sederhana menjadi penongkat pemanggang. Sambil tercegat berdiri, dia memerhati sahaja gelagat lelaki itu mengipas bara menggunakan naskhah surat khabar yang dilipat dua. Bunyi berdesir kedengaran tatkala air ikan itu jatuh menitik ke atas bara merah tersebut. Alex melakukan kerja dalam senyap. Begitu juga dengannya. Diam memerhati. Hanya cicipan unggas menjadi pemecah kesunyian.

Makin lama, renungannya tidak lagi memerhati ikan yang sedang disalai tetapi gerak geri suaminya yang tidak kekok melakukan sebarang pekerjaan. Jari jemari lelaki itu panjang namun terlihat kasar. Berkerja dengan kayukah yang menjadikan jemari itu begitu? Wajahnya sentiasa tenang tetapi mempunyai sepasang mata yang sering membuat Uzma tertanya-tanya. Mengapa mata itu sering kelihatan bersedih?

Sepuluh hari tinggal bersama, norma harian lelaki itu mula diikuti olehnya. Rutin yang menyendiri daripada dunia sekeliling. Bertemankan lagu-lagu berbahasa Inggeris yang Uzma pasti datang dari penyanyi yang sama, lelaki itu hanyut dalam dunianya seorang. Berkerja dan terus berkerja. Berhenti apabila mahu memenuhi kebutuhan dirinya. Seandainya dia tidak wujud di sisi lelaki itu adakah lelaki itu akan terus tenggelam dalam rutin itu tanpa mempedulikan apa-apa? Boleh jadi.

Fikiran Uzma, jauh merenung.

Beruntungkah dirinya?

Walaupun berkahwin melalui jalan yang menjatuhkan maruah bukan sahaja diri sendiri malahan keluarga, namun, suami yang diperoleh bukan sebarang suami. Bukan jenis tangkap muat. Bukan jenis biawak hidup. Beruntungkah dirinya kerana mendapat layanan yang berlawanan sekali dengan fikiran yang meracuni diri sebelum ini. Lelaki itu terlalu baik pada pandangannya. Terlalu penyabar dengan karenahnya. Terlalu bertanggungjawab.

Masih berniat lagikah dirinya untuk memutuskan perhubungan itu setelah merasai sendiri sentuhan kebaikan yang terus terpanah ke dasar hati dari suaminya sendiri.

Alangkah rugi andai jalan itu yang disandarkan sebagai tiket kebebasan sedangkan bersama lelaki itu dia langsung diberi pilihan. Bukan satu. Pelbagai. Hanya meminta keizinan dan lelaki itu terbuka memberikan.

"Juma..."

Uzma tersentak. Terasa satu renjatan menyambar ke sudut kalbu. Mata melirik ke bawah. Melihat hujung jemari lelaki itu menyentuh hujung jarinya. Jauh dia mengelamun hinggakan tak tersedar Alex sedang memanggil.

"Kenapa?" soalnya. Cepat-cepat ditarik tangannya kembali lantas duduk bercangkung di sisi lelaki itu. Kekok dengan sentuhan itu padahal malam tadi lebih dari itu berlaku.

"Ikan ni dah boleh dibalikkan?" tanya Alex.

Tidak lagi memerhatikan dirinya.

"Oh."

Terus tangannya dihulurkan ke depan namun bukan di bahagian pemegang.

"Ahh!!!"

Dia terjerit kecil. Baru tersedar telah tersilap pegang. Terkena pada besi panas segi empat itu. Fikiran masih melayang agaknya. Baru separuh masuk ke alam realiti.

Spontan, lengannya terasa dipaut. Buru-buru Alex membawanya ke batang paip. Dibukakan air lalu jemari yang sakit diletakkan di bawah pancuran air. Sejuk dan lega. Hampir lima minit dia mula memuncungkan mulut. Sakit melecur sudah tiada tetapi tangannya tetap disuluh di bawah air. Uzma menarik namun, tangan lelaki yang masih memegang tangannya itu enggan membenarkan.

"Abang, dahlah. Ju dah tak rasa sakit dah," sungutnya.

Dipandang riak cemas itu dengan perasaan tidak puas hati. Alex melarikan tangannya dari bawah air sebaik paip ditutup. Ditilik jari jemari halus itu kemudian mengangguk. Berkerut-kerut dahi Uzma melihat tingkah pelik suaminya. Bimbang lain macam! Seperti dia budak kecil sampai begitu sekali dilayani.

"Ju nak tengok ikan. Nanti hangit pulak." Dia memberi alasan lantas menarik tangannya dan berlari anak ke tempat memanggang. Perbuatan yang makin hari makin mengganggu perasaan mentahnya itu disimpan ke dasar. Mahu memikirkan ia pada lain hari.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.