Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Novel Keluarga Hero Hati Damia
Hero Hati Damia
Iman Zahri
13/6/2018 12:48:41
954
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 5

RIUH-rendah suasana di rumah kayu milik Hajah Zaharah malam itu.Rumah kayu dua tingkat yang bercirikan tradisional. Satu-satunya rumah kayu yang ada di Kampung Temakah. Rumah-rumah yang ada di kampung itu kesemuanya sudah dijadikan rumah batu atau rumah separuh batu dan papan.

Jam menunjukkan hampir pukul sembilan malam. Perut Damia sudah pedih menahan lapar. Damia melepaskan keluhan. Abang Aniq pun satu.Berlagak sangat macam tahu jalan nak balik ke sini. Tak fasal-fasal sesat. Pak Long pula yang kena ambil dia di stesen minyak berhampiran simpang untuk masuk ke kampung.

“Mia? Kenapa muncung tu? Meh sini dekat opah. Duk membelek telefontu sampai ke sudah tak ada faedahnya.” Panggil Hajah Zaharah apabila melihat cucunya yang duduk di atas tangga depan rumah.

“Laparlah, opah,” Damia masih tidak berganjak dari tempat duduknya.

“Nanti Mak Long cubit Abang Aniq. Tadi beria dia cakap tahu jalan. Sudahnya menyusahkan orang pula. Kita nak makan dulu dia tak bagi. Nak makan sama-sama katanya,” bebel Puan Sri Dahlia.

“Tak usahlah cubit cucu mak. Bukan salah dia tersesat. Jalan di sini banyak berubah. Kamu pun mujur Mia ikut balik ke sini. Kalau tak kamu pun sesat nak sampai rumah mak.”

“Dia bela cucu pula. Kita di sini kelaparan tau. Kesian anak saudara Lia yang comel, cantik dan solehah tu. Muncung panjang sedepa.”

Damia tersengih-sengih apabila mendengar pujian Puan Sri Dahlia. Kembang kempis hidungnya.

“Sinilah duduk sebelah opah. Mia duduk atas tangga bukan dapat apa. Abang Aniq tak muncul lagi kalau kamu nak sekeh dia,” Hajah Zaharah cuba memujuk. Dia tahu benar perangai Damia jika lapar. Tidak manis langsung wajah cucunya itu.

Belum sempat Damia bangun, dua buah kereta masuk ke perkarangan rumah. Segera dia menggamit Hajah Zaharah dan Puan Sri Dahlia.

“Cucu opah!” Hajah Zaharah menjerit kegembiraan apabila melihat Aniq keluar dari perut kereta.

“Anak ibu!” teriak Puan Sri Dahlia pula.

“Opah kesayangan Aniq! Ibu kesayangan Along!” Aniq membalas jeritan itu dengan jeritan juga.

Hairan Damia melihat gelagat tiga orang manusia dihadapannya. Dia pandang Tan Sri Idham lalu angkat bahu.

“Anak saudara Pak Long!” Suara Tan Sri Idham menghentikan acara berpelukan antara Aniq, Hajah Zaharah dan Puan Sri Dahlia.

“Pak Long kesayangan Mia!” balas Damia yang masih berdiri diatas tangga.

“Kamu ejek mak, Idham?” Hajah Zaharah mencekak pinggang.

Aniq pantas menoleh ke arah suara yang asing di pendengarannya. Matanya menangkap Damia yang berdiri tidak jauh daripada mereka.

“Siapa tu?” Aniq bertanya kepada Puan Sri Dahlia.

“Tak kenal? Haih… Waktu kecil dulu bukan main lagi Along bawa dia masuk hutan, main dalam sawah. Takkan tak ingat?”

“Damia?” tanya Aniq lagi.

“Yalah. Siapa lagi? Mia ikut ibu dan ayah balik sini.”

“Damia! Wah, dah besarlah adik Abang Aniq seorang ni.” Aniq pantas mendapatkan Damia yang berdiri memeluk tubuh.

Damia tersengih. Sungguh dia berasa janggal saat ini. Terlebih makan gula ke sepupunya ini?

Nyaris-nyaris Aniq mahu memeluk Damia tetapi terhenti apabila Hajah Zaharah dan Puan Sri Dahlia menjerit serentak.

“Kenapa?” soal Aniq hairan melihat kedua-dua wanita itu.

“Mana boleh peluk. Haram! Bukan muhrim.” Serius muka HajahZaharah.

Puan Sri Dahlia menepuk dahi. Aniq sudah mula buat perangai tidak senonoh. Dia ingat Damia itu kecil lagi? Damia sudah jadi anak dara.

Pantas Damia masuk ke dalam rumah. Malunya! Mana dia nak letak muka? Dia melabuhkan duduk di atas sofa di ruang tamu.

“Along lupa. Sorry,sorry. Selalu sangat peluk adik bila excited jumpa dia. Mia pun dulu along selalu peluk bila jumpa.” Aniq tersengih malu.

“Jangan buat hal ya?” Hajah Zaharah memberi amaran.

“Jomlah masuk. Ibu dah lapar sangat-sangat. Mia pun dari tadi muka masam mencuka tahan lapar. Angkat beg bawa masuk dalam rumah,” arah Puan Sri Dahlia apabila melihat Aniq masih tercegat di muka pintu.

“Cepat bergerak Aniq Danial,” Tan Sri Idham pula bersuara apabila Aniq melangkah malas menuju ke kereta.

Kemudian, mereka berdua berjalan beriringan masuk ke dalam rumah.

 

 

 

TIDAKmenang tangan Hajah Zaharah melayan anak menantu dan cucunya di meja makan. Seronok melihat mereka berselera menjamu selera.

Sesekali kedengaran mulut becok Aniq bersuara. Lain sungguh sikapnya di tempat kerja dan di rumah. Sangat kontra. Kalau staf di Kiara Resort tahu, pasti mereka pitam tidak percaya.

“Resort okay?” tanya Tan Sri Idham.

“Ayah… please don’t. Along tak nak cakap hal resort sekarang.”

“Hmm… Ada saja alasan along,” balas Tan Sri Idham tidak puas hati.

“Sudahlah bang. Jangan kacau mood anak,” bisik Puan Sri Dahlia.

Mangkuk nasi dicapai. Aniq sudah menambah nasi untuk kali ketiga. Terbeliak biji mata Damia memandang Aniq yang bersungguh-sungguh menjamu selera.

 “Kenapa pandang Abang Aniq kamu begitu?” tegur Hajah Zaharah.

Terpinga-pinga Damia apabila ditegur. Dia tunduk memandang pinggan menyambung suapan yang tadinya terhenti.

Aniq memandang Damia yang duduk di hadapannya. Aneh apabila Damia langsung tidak bersuara. Gadis itu cuma bercakap apabila perlu.

“Pelik opah tengok cucu opah seorang ni. Cucu yang cantik dan solehah, kenapa diam dari tadi? Mia tak sihat?” tanya Hajah Zaharah. Hairan dengan sikap Damia yang tiba-tiba mendiamkan diri.

Damia angkat kepala lalu memandang Hajah Zaharah. “Mia okaylah opah. Tak tahu nak cakap apa.”

“Haaaa! Mia segan dengan Aniq kot opah? Terpegun tengok wajah kacak Aniq,” tutur Aniq selamba.

“Eh? Tak ada maknanya. Jangan perasanlah abang Aniq,” balas Damia. Matanya tajam merenung wajah Aniq.

“Habis tu kenapa diam? Damia yang Abang Aniq kenal, banyak bercakap. Mulut mengalahkan burung murai,” kutuk Aniq pula.

“Ewah, ewah! Dia kata mulut kita macam burung murai. Abang Aniq tu mulut apa? Mulut tak ada insurans?” balas Damia lagi.

“Eh,  budak kecik ni. Dia kata kat kita pula.” Aniq menjeling Damia.

“Opah, tengok ni! Suka betul mengata Mia,” adu Damia. Geram dengan sikap Aniq. Baru sahaja sampai di kampung sudah berani mengata dia.

“Aniq Danial. Cepat habiskan makanan. Lepas ni boleh masuk rehat. Jangan kacau anak dara orang.” Puan Sri Dahlia membulatkan matanya.

“Mia nanti tolong opah kemas meja makan ya? Lia nanti tolong mak layur daun pisang. Mak nak buat lepat pisang,” pinta Hajah Zaharah.

“Dah lewat malam ni. Esoklah mak buat lepat pisang. Tak penat ke mak?” tanya Tan Sri Idham penuh prihatin. Pinggannya sudah licin. Air oren sejuk diteguk sehingga habis.

“Tak apa. Baru pukul sepuluh lebih. Kalau Mia dan Lia tolong mak, cepatlah selesai kerjanya,” Hajah Zaharah tetap mahu meneruskan agendanya.

Damia bangun dari kerusi dan mengangkat pinggan mangkuk ke sinki. Seperti biasa tugasnya mengemas meja makan.

Aniq yang melihat opah dan ibunya leka berbual turut bangun dan menghampiri sinki. Tan Sri Idham awal-awal lagi sudah meminta diri untuk ke ruang rehat.

“Mia,” panggil Aniq. Aniq bersandar di kabinet dapur menghadap Mia yang langsung tidak melayannya.

“Sombongnya anak dara ni,” Aniq bersuara lagi.

“Abang Aniq nak apa? Nak sambung tugas Mia cuci pinggan? Nah, silakan.” Mia terus mencuci tangan. Kemudian, dia memberikan senyuman paling manis kepada Aniq dan meninggalkan sinki.

“Mia !Takkan Abang Aniq kena cuci pinggan? Ini kerja orang perempuanlah.”

Kata-kata Aniq disahut dengan lambaian daripada Mia. Mia menghampiri Hajah Zaharah yang sudah duduk di atas lantai untuk membuat kuih lepat pisang.

 “Padan muka kamu. Kacau lagi Mia,” kata Puan Sri Dahlia yang sedang mengelap daun pisang.

 Aniq mencebik. Tidak fasal-fasal dia pula yang kena cuci pinggan. Dengan terpaksa dia membuka paip air dan mula mencuci pinggan. Sesekali dia menoleh ke belakang memandang Damia dengan perasaan tidak puas hati.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.