Home Novel Islamik Mencari Diriku
Mencari Diriku
Mast Ahmad
21/1/2017 00:38:12
6,708
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Senarai Bab
Bab 19

BAB 19

Ummu Adena resah. Sekejap dia mengiring ke kiri. Sekejap dia mengiring ke kanan. Namun matanya masih juga tidak mahu terpejam lagi. Jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Ummu Adena mengeluh. Dia berbaring menelentang. Ada apa ya dengan mimpinya tadi? Ummu Adena keliru. Baru saja dia bermimpi Yusuf Haris. Yusuf Haris sedang memarahinya dan meninggalkan Ummu Adena yang masih dalam kekeliruan. Berulang kali dia cuba memanggil nama Yusuf Haris dari pergi meninggalkannya namun suaranya tenggelam di tekak. Ummu Adena hanya mampu menangis dan kerana airmata itulah dia tersedar dari tidurnya. Ya, mujur cuma mimpi namun mimpi itulah membuatkan Ummu Adena semakin tertanya-tanya apakah maksud mimpi tersebut. Ataupun itu cumalah mainan tidur. Kerinduannya yang memuncak hingga terbawa-bawa di dalam mimpi. Ummu Adena mendengus. Dia membuka akaun Facebooknya dan mencari nama Yusuf Haris. Kosong! Hampir sebulan tiada status dari Yusuf Haris. Sejak profil gambar Ummu Adena di sukai Yusuf Haris, sampai sekarang Yusuf Haris terus menghilangkan diri. Beberapa status Ummu Adena semenjak itu tidak lagi disukainya walaupun Ummu Adena jarang berkongsi apa-apa status di Facebook. Malah, kelibat Yusuf Haris tidak kelihatan di mana-mana. Baik di kedai makan ibunya mahupun di masjid. Malah status Facebook Yusuf Haris semenjak itu juga tidak ada. Ke manakah menghilangnya Yusuf Haris? Ummu Adena gelisah. Jiwanya memberontak. Mahu saja dia menghantar mesej melalui peti masuk Facebook namun perasaan malu membataskannya. Ummu Adena teringatkan sesuatu. Seperti sesuatu yang harus dilakukannya tapi dia tertanya-tanya apa dia. Istikharah! Tiba-tiba ayat itu yang muncul di mindanya. Ya! Solat istikharah kerana Ummu Adena benar-benar keliru dan sangat-sangat memerlukan jawapan kepada setiap pertanyaannya sendiri. Tanpa membuang masa, Ummu Adena pantas bangun dari katil lalu membuka suis lampu biliknya. Dia menghampiri rak-rak buku. Pantas anak matanya membelek-belek beberapa buah buku yang tersusun kemas dan akhirnya dia menemukan buku yang diinginkannya. Segera dia mencapai buku solat sunat yang dibelinya tempoh hari lalu duduk di birai katil. Tanggannya ligat mencari mukasurat solat istikharah. Setelah menemukannya, Ummu Adena membaca dengan penuh tekun. Dia harus melakukan solat istikharah namun dia juga harus tahu bagaimana mengerjakannya. Sesekali dia membuka laman sosialGoogle danYoutubeuntuk mengetahui dengan lebih lanjut agar solatnya nanti lebih rapi dan betul. Apakan daya, itu saja cara alternatif yang dia punya. Hampir satu jam berlalu dan Ummu Adena benar-benar yakin dan pasti yang dia sudah tahu bagaimana mahu melakukan solat istikharah. Segera dia mengambil air wudhuk dan mengerjakan solat sunat istikharah dengan kusyuk. Selesai beristikharah, Ummu Adena menadah kedua-dua belah tangannya sambil berdoa.

“Ya Allah.. Seandainya Engkau mengetahui bahawa Yusuf Haris itu adalah baik untukku, untuk agamaku, untuk kehidupan dan kesudahan urusanku, sama ada cepat atau lambat, maka takdirkan lah dia untukku, satukanlah kami dalam ikatan yang sah, mudahkan lah urusan kami, satukan hati kami dan berkatilah aku baginya. Namun, seandainya Engkau mengetahui bahawa dia mendatangkan keburukkan untukku, bukan lah yang terbaik untukku, untuk agamaku, untuk kehidupan dan urusanku, sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku darinya, hapuskanlah perasaan ini dari terus berharap padanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar dan lebih mengetahui apa yang terbaik untukku. Berikanlah petunjukMu Ya Allah..” Menitik-nitik airmata Ummu Adena jatuh ke tangannya. Sayunya rasa hatinya saat ini sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Sesudah mengaminkan doanya, Ummu Adena membuka telekung dan menyimpan di tempat asalnya. Ummu Adena merebahkan badannya perlahan-lahan. Hatinya berasa tenang tiba-tiba. Terasa hilang gelisah dan sakit di dadanya yang menusuk-nusuk tadi. Ummu Adena memejamkan matanya. Fikirannya terasa kosong. Buat pertama kalinya tiada langsung terlintas nama Yusuf Haris dalam ingatannya. Akhirnya, Ummu Adena terlelap sendiri.



Ummu Adena meletakkan beg pakaiannya di tepi almari. Dia mengambil cuti beberapa hari kerana mengikuti Aina Zaria pulang ke kampung halaman bakal suaminya di Perlis. Baru saja dia hendak melabuhkan punggung di atas katil, Aina Zaria masuk ke dalam bilik dan mendekatinya.

“Jom ikut aku.”

“Pergi mana?” Ummu Adena mengerut hairan. Belum lama dia mahu menarik nafas untuk melepaskan kelelahan, sahabatnya pula datang mengacau.

“Temankan aku pergi ambil baju la..” Jawab Aina Zaria. Kalau tidak disebabkan baju kahwin yang dibelinya agak sedikit besar, tidak mungkin dia mahu menghantar ke rumah Habibah sebulan yang lalu, teman sekampung Wan Farhan untuk dikecilkan. Memandangkan, dua hari lagi dia bakal menjadi isteri yang sah buat Wan Farhan. Habibah juga berjaya meyakinkannya yang bajunya akan siap sebelum menjelang hari bahagia tersebut.

“Sekarang ke?” Ummu Adena cuba berdalih.

“Eh, tak lah. Aku nak ambil tahun depan. Sekarang lah..” Aina Zaria menjuih, mengejek. Ummu Adena tergelak kecil.

“Tak apa la sayang. Saya pergi dengan abang Malik je. Awak dengan Adena rehat lah dulu.” Tiba-tiba Wan Farhan datang dari arah belakang bersuara.

“Tak apa ke? Kalau baju tu tak ok, macam mana?” Aina Zaria pantas berpaling memandang tunangnya.

“Tak lah, pasti ok punya. Kalau tak ok, malam nanti kita jumpa dia lagi. Saya nak beli beberapa barang dapur untuk kenduri nanti. Masih ada yang kurang. Lagipun awak dengan Adena pasti penat kan. Rehat lah dulu, ya?” Wan Farhan tersenyum manis, cuba memujuk buah hatinya. Aina Zaria akhirnya akur dan mengangguk lemah. Setelah Wan Farhan keluar dan menutup pintu, Aina Zaria pantas merebahkan tubuhnya di atas katil.

“Penatnya...” Terdengar keluhan berat dari bibir munggil Aina Zaria.

“La.. Aku ingatkan kau tak kenal erti penat.” Ummu Adena menyindir. Terasa panas telinga Aina Zaria mendengarnya. Segera dia bangun dan mengatur posisi duduknya disebelah Aina Zaria.

“Mestilah penat, kau ni. Aku cuma bersemangat je memandangkan beberapa hari lagi aku bakal berkahwin!” Tiba-tiba Aina Zaria menjerit kecil.

“Amboi, gembiranya dia..” Ummu Adena tergelak kecil. Terserlah sinar kebahagiaan pada wajah sahabatnya.

“Kau tak gembira untuk aku, ke beb?” Aina Zaria memandang wajah Ummu Adena tidak berkelip, hairan.

“Mestilah aku gembira. Siapa tak gembira sahabat baik sendiri nak kahwin.” Ummu Adena menjentik lembut hidung Aina Zaria. Setelah mendengarkan kata-kata Ummu Adena, Aina Zaria ketawa riang lalu baring semula. Ummu Adena hanya mengekori pergerakan sahabatnya. Sambil memejam mata, Aina Zaria tersenyum-senyum gembira. Kelakuannya hanya diperhatikan oleh Ummu Adena. Sambil menggeleng perlahan, Ummu Adena membiarkan saja kelakuan Aina Zaria. Biarlah. Asalkan Aina Zaria bahagia. Dia hanya mendoakan yang terbaik buat sahabatnya. Tanpa sedar, Ummu Adena juga tertidur kelelahan.

Ketukan pintu bertalu-talu mengejutkan tidur nyeyak Ummu Adena dan Aina Zaria. Jam tangan pantas dilirik.

“Ya Allah, dah dekat pukul 1!” Aina Zaria bingkas bangun lalu membetulkan rambutnya. Ummu Adena yang masih dalam keadaan mamai turut sama bangun.

“Aku tak perasan lah yang kita boleh tertidur tadi. Dekat tiga jam pulak tu.” Aina Zaria cemas sambil memandang wajah keliru Ummu Adena.

“Tenanglah. Kenapa nak panik sangat..” Antara kedengaran atau tidak suara Ummu Adena pada pendengarannya membuatkan Aina Zaria membuntang.

“Kau gila, beb! Kalau kat rumah mama aku tak lah aku risau sangat. Ni kat rumah bakal mertua. Belum apa-apa aku dah tunjuk belang.” Aina Zaria cepat-cepat membuka pintu. Terpacak Maimunah, emak Wan Farhan bersama Sharifah Nadiatul, adik bongsu Wan Farhan di hadapan pintu. Aina Zaria panik. Wajahnya berubah pucat. Ummu Adena turut tergamam. Entah apa yang dirasa Aina Zaria saat ini, seperti dia juga turut merasainya.

“Mari la makan. Lepas tu kita sembahyang zuhur berjemaah. Mak dah masak dah. Ajak kawan kau tu sekali.” Sambil tersenyum, Maimunah dan Sharifah Nadiatul berlalu pergi. Leganya Aina Zaria dan Ummu Adena. Sambil menghembus nafas, mereka kemudian ketawa bersama-sama.

“Apalah kau... Baik je mak Farhan” Ummu Adena mengerut sedikit. Aina Zaria memberi isyarat tangan supaya nada suara Ummu Adena diperlahanksn. Risau nanti ada yang terdengar.

“Aku takut je lah. Entah apa yang dia fikir bila tengok bakal menantu dia ni sampai-sampai je rumah dia dah malas.” Aina Zaria menyikat rambutnya.

“Dia orang pasti faham punya yang kita letih. Alah.. Jangan risau sangat. Jum lah, aku dah lapar sangat ni.” Ummu Adena terus menarik lengan Aina Zaria keluar. Tanpa memperdulikan lagi tingkah sahabatnya yang masih terkial-kial dengan rambutnya.



Majlis persandingan Aina Zaria dan Wan Farhan berlangsung meriah. Anak gadis dan teruna berhias cantik. Ada yang sempat bermain mata. Anak-anak kecil berlari-lari keriangan. Kedengaran nyanyian selamat pengantin baru dimainkan. Tetamu semakin ramai yang datang untuk melihat raja sehari yang sedang duduk di atas pelamin. Aina Zaria dan Farhan berhias cantik dengan tema hijau lumut. Keserian wajah jelas terpancar. Ummu Adena yang menjadi pengapit Aina Zaria hanya menunduk malu apabila ada mata-mata asing yang memerhatikannya. Wajahnya sudah merona merah menahan malu. Senyumannya juga hambar. Apa lagi ini merupakan kali pertama dia menjadi pengapit dan sekaligus turut menjadi tontonan orang ramai. Kalau tidak kerana ingin membantu sahabatnya, tidak betah dia mahu berdiri di situ. Sambil mengipas-ngipas Aina Zaria yang sedang duduk anggun dan manis, dapat dirasakan Ummu Adena yang peluhnya juga turut membasahi dahinya akibat takut dan tidak selesa. Jauh di dalam hati Ummu Adena tidak sabar dia mahu majlis ini cepat-cepat berakhir.



Atas desakan Aina Zaria, Ummu Adena setuju menambah sehari lagi sebelum dia pulang ke Kuala Lumpur. Dia risaukan ibunya yang mengurus kedai sendirian. Pasti ibunya letih. Tapi dia juga harus akur dengan permintaan sahabatnya. Hasimah memang tidak membantah. Asalkan anaknya selamat dan bahagia. Perlahan-lahan Ummu Adena mengekori langkah Aina Zaria dan suaminya memasuki perkarangan rumah kawan sekampung Wan Farhan.

“Kita buat apa kat sini?” Ummu Adena mengerut hairan. Suasana rumah tersebut tampak sedang di kemas, seperti baru saja berlangsung sebuah majlis.

“Ni rumah kawan Farhan. Semalam dia pun kahwin juga. Sebab tarikh yang sama, jadi hari ni Farhan datang nak ucap tahniah.” Ujar Aina Zaria separuh berbisik. Ummu Adena mengangguk faham.

“Assalamualaikum Mak Kiah.” Wan Farhan memyalami wanita yang sebaya dengan emaknya. Wanita itu lantas tersenyum setelah mengetahui gerangan siapa tetamu tanpa diundang pagi-pagi itu. Setelah menyambut salam Wan Farhan, Zakiah meleret senyuman pula memandang Aina Zaria dan Ummu Adena.

“Saya nak jumpa pengantin baru. Hari ini baru berkesempatan.”

“Kamu pun sama, selamat pengantin baru. Maaf juga, mak cik tak sempat nak datang singgah. Masih sibuk kemas barang-barang ni. Kalau sempat, selepas zuhur nanti mak cik dengan pak cik nak ke rumah kamu lah.”

“Tak apa Mak Kiah. Saya faham.”

“Masuk lah dalam dulu. Nanti mak cik panggilkan kawan kamu.” Zakiah memasuki rumah. Wan Farhan hanya mengangguk sambil tersenyum. Baru sahaja langkah kaki mereka bertiga memasuki pintu, tiba-tiba muncul seorang lelaki di hadapan mereka.

“Selamat pengantin baru. Maaf tak dapat datang semalam.” Yusuf Haris bersuara lalu menyalami Farhan. Ummu Adena terundur ke belakang. Lututnya terketar-ketar. Hatinya terasa ditusuk tajam.

“Ya Allah!” Hanya itu yang sempat terkeluar dari bibirnya. Pandangannya kabur akibat sudah digenangi air mata. Dengan pantas dia berlalu pergi dan meninggalkan Aina Zaria dan Wan Farhan yang masih tidak perasan dengan kepergiaannya.



“Janganlah balik dulu, beb. Kan kau dah setuju nak balik esok hari.” Aina Zaria hairan sambil menghalangi niat sahabatnya. Ummu Adena seperti tidak menghiraukan langsung kata-kata Ummu Adena. Setelah memasukkan barang-barangnya ke dalam kereta, dia mendapati satu-persatu ahli keluarga Wan Farhan untuk mengucapkan selamat tinggal dan menyalami mereka. Walaupun jelas sedikit bingung dan hairan, namun senyuman manis tetap diberikan buat Ummu Adena. Setelah itu, Ummu Adena mendekati Aina Zaria.

“Aku minta maaf. Aku terpaksa pulang sekarang. Kau jaga diri baik-baik. Nanti aku hubungi kau, ya.” Ada nada sendu dalam kata-katanya. Air mata yang cuba untuk keluar dikawal Ummu Adena. Tapi tidak Aina Zaria. Dia sudah mula menangis sambil memeluk sahabatnya. Seakan tidak mahu melepaskannya pergi.

“Hati-hati bawa kereta. Aku tunggu kau telefon...” Hanya itu yang mampu diucap Aina Zaria. Alasan apa yang membuatkan sahabatnya itu mahu pulang segera tidak pula diketahuinya. Setelah menyedari kehilangan Ummu Adena sewaktu berada di rumah kawan Wan Farhan pagi tadi, berkali-kali dia cuba menelefon Ummu Adena namun tidak bersambut. Akibat risau, dia dan Wan Farhan tidak mahu berlama-lama di rumah tersebut. Setelah hampir setengah jam, baru mereka meminta izin untuk pulang. Sebaik sampai di rumah mertuanya, alangkah terkejutnya dia melihat Ummu Adena sedang mengemas barang-barangnya tanpa sebarang jawapan yang pasti. Ummu Adena hanya memberitahu yang dia harus pulang segera. Sudah puas dihalang namun Ummu Adena tetap berkeras hati mahu pulang. Ummu Adena menghidupkan enjin keretanya. Dia melambai-lambai ke arah keluarga baru Aina Zaria yang masih setia berdiri mengiringi perjalanannya lalu beredar. Tidak sabar dia mahu pulang dan berada jauh dari kampung tersebut. Dengan tenaga yang sedaya upaya dikumpulnya, dia melajukan pemanduannya. Namun semakin jauh dia meninggalkan kampung tersebut, semakin itu airmatanya tidak dapat dibendung lagi. Akhirnya Ummu Adena tewas dengan perasaannya. Dia berhenti di bahu jalan. Ummu Adena menangis teresak-esak. Hatinya remuk. Impiannya hancur. Sebaik melihat wajah Yusuf Haris tadi, dia hilang pertimbangan. Kehilangan lelaki idamannya sebulan lebih itu terjawab jua. Rupanya lelaki yang ingin dimilikinya itu kini sudah menjadi milik Orang lain. Ummu Adena lemah, kecewa. Tiba-tiba dia memukul-mukul stereng kereta hingga mengeluarkan bunyi hon berkali-kali. Hatinya jadi geram. Mahu rasanya dia menjerit marah tapi suaranya bagai hilang di peti suara. Ketukan bertalu-talu pada cermin kereta tempat duduknya mengejutkan Ummu Adena. Beberapa orang lelaki dan perempuan sudah berdiri di tepi keretanya. Jelas tergambar risau pada wajah-wajah tersebut. Ummu Adena menurunkan sedikit cermin keretanya.

“Adik tak apa-apa, ke?” Wanita yang usianya sebaya dengan Ummu Azana menyoal. Ummu Adena hanya mampu menggeleng. Apa yang harus dijawab pada mereka? Yang dia baru saja patah hati?

“Nak kami hantar pergi hospital, ke?” Lelaki yang usianya lebih muda dari Ummu Adena pula menyoal. Hospital? Terasa mahu ketawa tiba-tiba Ummu Adena sebaik mendengar pertanyaan lelaki tersebut. Pasti doktor dan jururawat akan mentertawakannya jika mengetahui punca dia dibawa ke situ. Silap-silap dia akan dipindahkan ke hospital gila barangkali.

“Saya baik-baik saja. Terima kasih...” Sambil mengelap air mata, Ummu Adena bersuara dengan suara yang serak akibat tangisannya, Ummu Adena lalu menaikkan semula cermin keretanya. Segera dia meninggalkan mereka yang masih kehairanan dengan seribu pertanyaan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mast Ahmad