Kesesakan pengunjung di dalam pusat Cyber Café D.R
itu seakan tiada bezanya dengan kesesakan di luar. Pusat itu juga adalah tempat
kedua paling ramai dikunjungi manusia selepas pelabuhan Dunia Remaja.
Bangunan itu mempunyai 5 tingkat kesemuanya dan di
setiap tingkat dilengkapi dengan set-set komputer yang canggih. Meskipun
bilangan komputer di dalam pusat itu mencecah 1000 buah, namun masih tidak
dapat menampung jumlah pengunjung yang semakin hari semakin meningkat. Sehinggakan
ada beberapa pengunjung yang sanggup bermalam di situ semata-mata kerana tidak
mahu melepaskan komputer yang kosong.
Bukannya mereka tidak mahu bermain komputer di
rumah sendiri, tetapi disebabkan kemudahan fasiliti di dalam pusat itu yang
tersenarai di dalam antara pusat komputer tercanggih dan termewah di dunia,
telah membuatkan pengunjung berebut-rebut mahu menggunakan komputer di situ. Ianya
telah dilengkapi dengan WiFi 802.11ac dengan
anggaran kelajuan dari 433 megabit sesaat iaitu merupakan kelajuan WiFi
terpantas pada abad ini. Selain itu, semua komputer di situ menggunakan gaming
pc termoden di dunia iaitu The Aventum yang berharga dalam lingkungan 400$!
Jadi tidak mustahillah mengapa orang ramai tergila-gilakan pusat itu sehingga
ada yang sanggup menetap terus di situ.
“Friends
di FB aku dah cecah 5k, kau ado?” jelas Ema dengan nada bangga kepada Amy
di sebelahnya.
“Friends
di FB memang aku tak adolah. Tapi aku ada followersdekat Twitter nak
cecah 10k! Oh my god, kenapa ramai sangat followersaku ni, rasa nak
bagi sikit kat kau pun ada. Sampai aku terfikir untuk lantik seorang admin
untuk handle akaun twitter aku ni. Dah tak laratlah nak layan semua feedback
followers-followers aku yang 10K tu,”
Ema
hanya menjeling tajam perempuan disebelahnya itu tanpa sebarang kata. Menyampah
pula dia mendengar kata-kata perempuan itu yang penuh dengan riak, walaupun dia
tahu yang sepupunya itu memang suka berloya buruk.
MIKA berjalan sambil menghabiskan sisa-sisa
minuman isotonik yang telah dibelinya tadi di sebuah kedai runcit tepi jalan.
Cuaca terik ditambah pula dengan kesesakan yang tidak pernah putus di kota
metropolitan itu telah memaksa dirinya untuk menggunakan sedikit duit pemberian
Kak Jue demi memenuhi kehendak tekaknya yang kekeringan.
Tidak dapat dinafikan bahawa keadaan cuaca di Dunia
Remaja memang jauh berbeza dengan di Happy Family. Di situ, cuacanya cukup
panas dan terik berbanding cuaca di Happy Family yang sejuk dan dingin.
Setelah puas berjalan mencuci mata mengelilingi
kota Dunia Remaja, Mika akhirnya terhenti di hadapan sebuah bangunan berwarna
putih bersih. Seni binanya yang cukup asing dan berbeza berbanding
bangunan-bangunan lain telah berjaya menarik perhatiannya. Bangunan itu cukup
besar dan berdiri di tapaknya sendiri tanpa berkongsi dengan mana-mana bangunan
lain. Di ruangan hadapan bangunan itu pula, kelihatan beberapa tiang gergasi
seakan menampung ‘entry roof’bangunan itu yang juga cukup besar. Seni
binanya yang klasik di tambah pula dengan tiang-tiang gergasi telah membuatkan
sesiapa sahaja yang berada di situ berasa seakan berada di Eropah.
Apa yang telah menambahkan lagi keterujaan Mika
terhadap bangunan itu adalah kerana bangunan itu merupakan PERPUSTAKAAN AWAM!
“Library!! Inilah yang aku cari!” ya, perpustakaan
adalah tempat yang paling diminati lelaki itu. Telah banyak pusat-pusat menarik
dan canggih dia lalui sepanjang perjalanannya tadi namun tiada satu pun yang
berjaya membuatkan dirinya begitu teruja selain bangunan di hadapannya itu.
Tanpa berlengah, dia terus berlari menaiki
anak-anak tangga yang tersedia sebelum memasuki pintu utama. Suasana di dalam
perpustakaan itu sungguh nyaman dan menenangkan. Alunan soft music yang
bermain di pendengarannya menambahkan lagi mood tenang ke dalam dirinya. Di hadapannya
berdiri rak-rak buku yang sangat besar sehinggakan pengunjung perlu menaiki
tangga bergerak yang disediakan sebagai kemudahan untuk pengunjung mendapatkan
buku yang terletak di bahagian atas.
Bangunan itu mempunyai 5 tingkat kesemuanya dan di
setiap tingkat mempunyai seksyen genre buku yang berbeza-beza. Perpustakaan itu
turut tersenarai antara perpustakaan yang menyediakan bahan rujukan paling
lengkap di dunia. Namun sayang, perpustakaan itu kelihatan sedikit lengang.
Tidak mustahillah mengapa perpustakaan itu adalah pusat yang paling sedikit
dikunjungi berbanding dengan pusat hiburan lain di kota itu.
Seperti biasa apabila
melawati mana-mana perpustakaan, seksyen yang wajib dan pasti akan dikunjungi
Mika adalah seksyen Sains dan Fiksyen. Dia masih ingat lagi kali pertama dia
meminati genre itu adalah semasa dia berumur 4 tahun di mana ayahnya sering
memasang filem-filem Star Warssekiranya ada kelapangan. Ayahnya juga turut
memiliki satu set lengkap buku dan CD filem yang sememangnya hebat dan terkenal
di seluruh dunia itu. Bermula dari situlah minatnya terhadap sains fiksyen
berputik.
Setelah melihat direktori yang disediakan di
ruangan lobby perpustakaan, dia bingkas menuju ke tingkat 3 di mana seksyen
kegemarannya itu ditempatkan. Berbeza dengan di tingkat yang lain, seksyen itu
kelihatan ‘kosong’ tanpa pengunjung. Meskipun bingung dengan situasi itu, ia
tidak sedikitpun mematahkan niatnya untuk meluangkan masanya lebih lama di
seksyen tersebut. Walaupun sebenarnya ada sedikit perasaan cuak untuk bersendirian
di tingkat yang serba luas dan dikelilingi dengan rak-rak gergasi yang lama.
Sedang dia
membelek-belek buku yang menarik untuk dihadam, matanya tiba-tiba tertumpu pada
seorang lelaki berkaca mata tebal dan berambut kemas sedang membawa timbunan buku
yang tebal-tebal belaka. Dia berasa lega kerana sangkanya dia seorang sahaja
yang berada di seksyen itu, namun pada masa yang sama dia berasa kasihan
melihat lelaki itu yang kelihatan seakan memerlukan bantuan.
Dia terus meletakkan semula buku ke dalam rak dan
bingkas berjalan mendapatkan lelaki itu. Tiba-tiba matanya dapat menangkap satu
tali wayar seakan tergantung sedikit tinggi dari lantai betul-betul di hadapan lelaki
si ‘kaca mata tebal’ itu. Oleh kerana timbunan buku yang dibawa lelaki itu agak
tinggi, dia tidak dapat melihat apa yang berada di hadapannya. Jika tersilap
langkah, lelaki itu boleh terjatuh!
“Berhenti!” jerit Mika sekuat hati sambil berlari
ke arah lelaki itu untuk menghalang. Terpinga-pinga si “kaca mata tebal”
setelah mendengar jeritan yang nyaring dari Mika. Dia terus mematikan
langkahnya lalu terus meletakkan timbunan buku ke atas meja berdekatan untuk
melihat gerangan yang menjerit tadi.
Akibat langkah yang ‘terlajak’ laju, akhirnya Mika
yang telah tersadung pada tali wayar itu lalu jatuh menyembah lantai
betul-betul di kaki si ‘kaca mata tebal’.
“Aduh!” rengeknya perlahan.
SESEKALI kedengaran suara helai tawa dari
pengunjung di tingkat bawah. Suara mereka jelas kedengaran memandangkan seksyen
Sains dan Fiksyen itu sungguh lengang dan sunyi tanpa seorang pengunjung selain
mereka berdua.
Setelah memberikan sedikit rawatan pada kaki Mika
yang terseliuh, mereka telah berborak-borak di sebuah meja kayu yang sangat
panjang. Pelbagai topik telah mereka bualkan dari topik ‘hobi’ sehinggalah
kepada ‘peribadi’.
“Jadi, kau memang tak pernah ada kawanlah sebelum
ni?”
“Tak. Sebenarnya masa aku berumur 13 tahun lagi aku
telah dihantar ke sini selepas parentsaku meninggal sebab kemalangan,”
suasana tiba-tiba bertukar menjadi sayu.
“I’m so sorry, aku tak bermaksud nak...”
“Takpe, itu semua dah takdir,” jawab Dani tenang
sambil memperbetulkan kaca mata tebalnya.
“Semenjak itulah, tempat ni aku jadikan sebagai
rumah aku. Di seksyen inilah aku menetap dan menghabiskan seluruh masa aku
seorang diri. Tingkat ni tak pernah dikunjungi orang sebab majoriti pengunjung
di sini lebih gemar dengan seksyen “Novel Cinta” di tingkat 2. Sehinggalah hari
ini, kau muncul dan kau adalah kawan aku yang pertama,”
Kata-kata lelaki itu telah membuatkan Mika berasa
begitu terharu. Walaupun sukar untuk dipercayai namun apa yang diperkatakan
lelaki itu memang ada betulnya. Seksyen yang serba luas itu senantiasa kosong,
semenjak dia menjejakkan kakinya ke situ satu jam yang lalu hingga ke saat itu,
memang tiada seorang pun yang singgah. Mungkin benar, majoriti orang lebih
menggemari novel cinta yang klise daripada novel sains fiksyen yang agak
kompleks dan sukar untuk dihadam.
Suasana di meja itu kembali bertukar sunyi.
Masing-masing kehabisan idea untuk berborak. Dani kelihatannya sedang
menyambung kembali penulisannya yang tertunggak. Di sampingnya terdapat
timbunan buku-buku yang serba tebal yang telah dibawanya tadi. Di hadapannya
pula terdapat kertas-kertas berupa lukisan lakaran berselerakkan di atas meja.
Mika yang tertarik dengan lakaran-lakaran tersebut terus mengambil sehelai.
Ianya merupakan lakaran sebuah bangunan dengan
reka bentuk yang cukup unik berbentuk bulat dan dibawahnya terdapat 2 lagi
bangunan berbentuk segi empat seakan bercantum membentuk sebuah pintu gerbang
yang besar.
“Kau yang lukis ke bangunan ni?”
“Ya, ini adalah lakaran bangunan impian aku. Satu
hari nanti aku akan mempunyai bangunan sendiri dan merekacipta robot-robot
pintar untuk bekerja bersama dengan aku demi mencapai misi utama iaitu untuk
menakluk Dunia Remaja!” jelas Dani dengan bersungguh-sungguh sambil berdiri di
atas kerusi ibarat seorang wakil rakyat memberi ucapan di dalam perhimpunan.
Dia sempat memperbetulkan kaca mata tebalnya yang sedikit lari dari kedudukan akibat
begitu rancak bercakap.
“Wah!” Mika bersorak sambil memberikan tepukan
yang gemuruh. Dia terpegun dengan semangat dan matlamat lelaki di hadapannya
itu yang penuh dengan wawasan.
“Aku juga telah mereka cipta satu kad bisnes untuk
syarikat aku sendiri nanti,” dia terus kembali duduk dan mengambil kad bisnes
rekaannya yang terselit di celah-celah timbunan buku rujukannya lalu diberikan
kepada Mika.
Sekali lagi Mika terpegun. Kad itu bukannya
seperti kad bisnes yang biasa kerana ianya lut sinar namun masih jelas isi
kandungannya yang tertera nama DANI HOLDINGS berserta alamat dan nombor
telefon.
“Mungkin kad ini dapat membantu kau untuk
berhubung dengan aku di masa hadapan nanti. Pada masa itu, aku akan pastikan
segala matlamat aku tercapai dan tentunya segala pertolongan yang kau perlukan,
aku dapat selesaikan!”
“Thanks, bro,”
“Nope, thanks to YOU,”
“Sebab apa pulak?” Mika hairan.
“Seba kau sudi dengar semua matlamat aku. Tak
pernah lagi sebelum ni ada orang yang sudi luangkan masa untuk dengar cerita
aku. Mungkin orang akan ingat aku ni gila sebab suka berangan-angan,”
“No hal lah, bro. Lagipun, itulah tugas seorang
KAWAN,”
KAK Jue termenung di balkoni sambil melihat
pemandangan laut yang luas terbentang di hadapannya. Jelas kedengaran bunyi
ombak memukul pantai kerana hostel yang didiaminya itu terletak berhadapan
sahaja dengan laut Tanjung Undang. Sesekali dia menggosok-gosok lengannya
kerana angin malam yang sejuk datang menyapa tubuh.
Malam itu baru dia dapat berehat setelah seharian penat
berjalan sekitar pekan mencari Yusof Ahmad. Habis satu pekan itu mereka merayau
akhirnya berjaya juga mereka menjumpai rumah penulis itu namun, dia tiada di
rumah. Jiran-jiran ada memberitahu yang penulis itu telah berangkat ke rumah
anaknya di Dunia Remaja semenjak 2 hari yang lepas. Mendengar sahaja kata-kata
jiran itu, mereka telah membuat rumusan bahawa Ema dan yang lain pasti telah
menemui lelaki itu di sana.
Sekarang, mereka hanya perlu berehat sebelum
berangkat semula ke jeti Dunia Remaja pada esok pagi untuk berjumpa semula
dengan yang lain seperti yang telah dijanjikan bersama-sama dengan BUKU AJAIB
itu, dan kemudian keadaan akan kembali seperti asal.
Sementara menunggu hari esok, Kak Jue dan Farid
telah bermalam di sebuah hostel berdekatan dengan jeti Tanjung Undang. Hostel
itu kebiasaannya akan didiami oleh pedagang-pedagang yang ingin berehat sebelum
menyambung pelayaran ke destinasi lain.
“Ehem!” tiba-tiba kedengaran suara seseorang
berdehem. Kak Jue sedikit tersentak dari lamunannya dan terus mencari punca
suara itu.
“Termenung jauh nampak?” rupa-rupanya suara itu
datang dari Farid yang juga sedang bertenggek di balkoni biliknya bersebelahan
sahaja dengan bilik perempuan itu.
“Ish, awak rupanya. Ingatkan siapalah tadi,”
perempuan itu terus berganjak ke tepi balkoni supaya dapat berada lebih dekat lagi
dengan lelaki itu untuk memudahkan mereka berkomunikasi.
“Cantik kan bulan malam ni?” soal Farid sambil
mendongak melihat bulan penuh pada malam itu. Sengaja dia memilih ‘bulan’
sebagai topik pembuka bicara untuk dia berborak lebih panjang lagi dengan
perempuan itu.
Kak Jue sekadar membalas dengan anggukan. Seakan
tidak berapa menyukai dengan topik itu. Keadaan kemudian kembali sunyi. Hanya
bunyi pukulan ombak dari pantai jelas kedengaran. Farid mulai berasa buntu,
tidak tahu mencari topik apa yang sesuai untuk berborak bersama dengan
perempuan di sebelahnya itu yang asyik termenung sambil menongkat dagu.
“Farid,” belum sempat dia membuka mulut, Kak Jue telah
terlebih dahulu menegurnya.
“Ya, saya,”
“Saya dah banyak menyusahkan awak,”
“Menyusahkan?”
“Yela, awak tak ada kena mengena langsung dalam
hal ni pada mulanya tapi disebabkan salah kitorang, awak pun terlibat sekali.
Awak hanya seorang penghantar pizza yang tengah menjalankan tugas awak dengan
baik kemudian tersekat dekat dalam mimpi ngeri ni dan sekarang awak terpaksa
pulak bersungguh-sungguh membantu kitorang untuk keluar dari buku ni. Bukan ke
itu dah menyusahkan awak, Farid?” luah perempuan itu panjang lebar. Jelas
terpancar kekesalan melalui wajah polosnya.
“Jue, awak tak boleh cakap macam tu. Ini semua dah
takdir. Saya rasa kalau orang lain yang berada dekat tempat saya pun mesti akan
buat perkara yang sama sebab semua ini dah berlaku dan kita kena lalui walau
susah sekalipun,”
“Tak, saya tak rasa kalau orang lain berada dekat
tempat awak, orang itu akan
tolong saya bersungguh-sungguh macam awak. Semua orang tak sama, Farid.
Mungkin orang itu akan marahkan saya sebab saya dah bawa mereka ke situasi yang
pelik macam ni. Tapi awak tak, bukan macam Eddy,” air mukanya terus berubah
saat menyebut nama lelaki tidak guna itu.
“Eddy?” soal Farid sambil
memandang Kak Jue dengan wajah yang berkerut.
“Ya, my ex-boyfriend.
He such a useless. Suka mainkan hati perempuan. What a womanaizer
lah dia tu!” Jelas Kak Jue sambil mengetap bibirnya tanda geram.
“Oh, aku dah agak dari
awal yang dia mesti dah berpunya. Perempuan secantik dia takkan masih single.
Mujur cuma ‘ex’”bisik hati Farid.
Keadaan kembali sunyi
sekali lagi untuk beberapa minit. Masing-masing hanya melayan fikiran sendiri.
Sesekali kedengaran bunyi hon dari kapal menandakan kapal hendak berangkat.
Dari balkoni itu mereka boleh melihat orang-orang kapal sedang mengangkut
keluar barang-barang dari perut kapal oleh kerana jarak jeti dan hostel itu yang
dekat.
“Tak sangkakan. Daripada
kita tak kenal tiba-tiba bila dah tersekat dekat situasi macam ini, kita terus
jadi rapat,” celah Kak Jue memecah kesunyian.
“Siap dapat jadi ‘suami
isteri’ lagi,” balas Farid sambil tersenyum nakal.
Kak Jue terus ketawa mendengar kata-kata lelaki
itu. Hilang terus segala kegusaran yang bersarang di dalam hatinya.
“Farid…” perempuan itu terus memandang tepat ke
mata Farid.
“Thanks a lot…”
Farid hanya membalas dengan senyuman.
Dari bawah, kelihatan sepasang mata sedang asyik
memerhatikan gelagat mereka berdua secara bersembunyi. Rezo, lelaki berupa
paras Bront Palarae yang telah mengganggu Kak Jue di atas kapal tempoh hari,
telah mendengar kesemua rahsia mereka berdua.
“Berita panas ni!” dia terus beredar dan hilang di
balik kabus malam.
EMA menghirup air sebelum kembali mengunyah Double
Cheese Burger kegemarannya. Amy disebelahnya kelihatan berselera menikmati ayam
goreng Mcd yang masih panas. Mia dan Adit pula kelihatan begitu comot sekali
menikmati aiskrim Oreo Mcflurry, manakala Mika yang duduk berhadapan dengan
mereka sedang menghirup bubur ayam Mcd.
Setelah puas seharian bergembira sakan di kota
metropolitan Dunia Remaja, mereka telah mengambil keputusan untuk mengisi perut
yang lapar di restoran makanan segera, McDonald yang terletak betul-betul di
pusat bandar. Tempat duduk mereka yang hanya bersebelahan sahaja dengan cermin
jernih yang lutsinar telah menampakkan kemeriahan kota metropolitan itu pada
waktu malam. Dengan lampu-lampu yang berwarna warni dari setiap bangunan di
tambah pula dengan skrin gergasi yang memaparkan iklan pakaian-pakaian
berjenama menambahkan lagi kemeriahan.
Keadaan di dalam restoran itu tidak kurang
hebatnya seperti di luar dengan helai tawa dari remaja-remaja yang meluangkan
masa bersama rakan masing-masing. Tiada satu meja kosong pun yang tinggal,
kesemuanya penuh dengan pengunjung. Mujur mereka hadir sedikit awal tadi dan
terus berlari mendapatkan meja yang paling eksklusif di tepi tingkap.
“Kalau kita dapat duduk dekat Dunia Remaja ni buat
selama-lamanya mesti best, kan?” celah Ema memecah kesunyian di meja mereka.
“Tau takpa. Tak payah pening kepala pasal homework
sekolah, setiap hari boleh enjoy!” kata-kata Amy disambut dengan helai tawa.
Mika yang sedang asyik menghirup bubur tiba-tiba
terlihat seseorang yang amat dikenalinya di meja belakang. Setelah dilihat
dengan teliti baru dia dapat mengecam perempuan itu.
Seyra
Gadis penjaga kaunter di pusat nursery yang telah
berjaya menarik perhatiannya. Perempuan itu kelihatan sedang menjamu selera
bersama rakan-rakan staf kerjanya yang lain. Seyra yang juga seperti perasan
dengan kehadirannya terus melemparkan senyuman yang manis sambil melambaikan
tangannya.
“Betul tak, Mika?” tiba-tiba Ema menyoalnya. Namun
lelaki itu langsung tidak mengendahkan soalan yang entah datang dari mana
pucuknya kerana sibuk membalas pandangan dengan Seyra.
“Mika?” giliran Amy pula menegur sambil
melambai-lambaikan tangannya untuk menarik perhatian lelaki itu namun masih
lagi gagal. Mereka semakin buntu melihat gelagat lelaki itu yang kaku.
“Mohd Shazrul Esmika Bin Mohd Nazar! Kau dengar
tak soalan aku?” Ema semakin hilang sabar sehingga menyebut nama penuh Mika.
“Tak boleh jadi ni,”
“Pangggg!” dengan selambanya Amy melempang muka
lelaki itu sekuat hati sehingga terdengar bunyi efek tamparan dengan jelas.
“Adoi!!” Mika menggosok-gosok pipinya yang sakit. Seyra
yang perasan terus menutup mulutnya dengan tangan menahan ketawa. Sekumpulan
remaja di meja belakang mereka juga turut ketawa dengan kejadian itu.
“Kenapa kau lempang aku?”
“Aku ingat kau dah pekak tadi, sebab itulah aku
lempang biar pendengaran kau elok balik,” jawab Amy dengan muka tidak
bersalahnya.
Ema yang perasan gelagat Mika seakan sedang
memerhatikan seseorang di belakangnya terus menoleh, mencari gerangan yang
telah membuatkan lelaki itu termenung tadi. Dia kemudian terlihat Seyra yang
masih memerhatikan meja mereka. Kini baru dia tahu mengapa Mika berkelakuan
sedikit lain malam itu.
“Patutlah dari tadi asyik tersengih-sengih macam
kerang busuk. Rupanya ada awek cun dekat belakang,”
“Wah! Mika dah ada awek? Sejak kau duduk sini dah
pandai nak ber’awek’ ya. Nampaknya kita kenalah duduk dekat Dunia Remaja ni
lama sikit sebab mestilah Mika sayang nak tinggalkan ‘awek’ dia tu,” sambung
Amy lalu mereka ketawa terbahak-bahak. Merah padam muka lelaki itu dibuatnya
menahan malu.
“Apa korang ni? Kita mana boleh tinggal dekat sini
lama-lama. Pagi tadi kan kita dah berjanji untuk berjumpa balik dengan Kak Jue
dan Abang Farid dekat jeti,” pandai lelaki itu mengubah topik, tidak mahu
disakat lagi oleh mereka.
“…dan kena pulangkan balik buku Dunia Remaja dekat
Kak Jue...” Ema menyambung secara basi-basi sambil membuat muka bosan. Dah
berpuluh kali Mika mengingatkan mereka tentang perkara yang sama sehingga dia
sudah boleh hafal kata-kata lelaki itu.
“Tapi sebelum kita pulangkan buku tu, kita kena
tanya dulu samada diorang dah berjumpa atau tidak dengan Yusof Ahmad. Kalau
belum, kita boleh terus pulangkan buku tu kepada Kak Jue, tapi kalau dah, kita
kena buat-buat tak tahu dan buku tu kena disorok dari pengetahuan Kak Jue buat
selama-lamanya.
Mana
taknya, kalau Yusof Ahmad dah ada dekat sana, macam mana pula kita boleh
dapatkan buku ni sedangkan dia tak ada dekat sini? Nanti Kak Jue mesti syak
sesuatu dari kita,” jelas Mika panjang lebar.
Memang benar kata-kata lelaki itu, tujuan sebenar
mereka berada di situ adalah mencari penulis Yusof Ahmad untuk mendapatkan
kembali buku Dunia Remaja di dalam misi untuk keluar daripada buku itu. Namun,
buku itu telahpun sedia ada sejak awal lagi di dalam genggaman Ema, jadi mereka
tidak perlu risau langsung kerana dengan adanya buku itu, mereka pasti akan
dapat keluar dengan selamat. Hanya perlu menyerahkan semula buku itu ke tangan
Kak Jue pada esok pagi, tetapi sekiranya Kak Jue dan Abang Farid telah berjaya
berjumpa dengan penulis dan mendapatkan buku Dunia Remaja di Tanjung Undang,
mereka tidak perlulah menyerahkan buku itu lagi.
“Betul tu, Mika. Tapi mesti kau tak sampai hati
nak tinggalkan Dunia Remaja ni esok sebab dah tak boleh nak berjumpa dengan
‘awek’ tu lagi,” sengaja Ema menyakat.
“Bukan setakat 'awek' dia tu, Ashraf kau tu macam
mana pulak?” giliran Amy pula menyakat Ema sambil ketawa terbahak-bahak. Mika
turut ketawa bersamanya setelah melihat perubahan pada wajah perempuan itu. Ema
yang bengang terus membaling kentang goreng ke muka Amy. Dia tidak mahu lagi
mengenangkan kejadian ‘tragis’ bersama lelaki bernama Asyraf sewaktu berada di
FunFair Happy Family dulu.