Home Novel Cinta Cinta Dari Tuhan
Cinta Dari Tuhan
Sang Jerry
4/11/2017 17:34:09
2,573
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
1
2
2
ISTIKHARAH CINTA II


Hari ini genap sebulan dua hari Sofea meninggalkan aku dan Ayub. Dia telah pergi buat selama-lamanya jauh ke alam baqa, satu alam yang dijanjikan Tuhan, menuju ke alam kekal yang dinamakan akhirat.

Hari-hari yang berlalu tanpa Sofea, sangatlah berat bagi aku. Dialah sahabat sejati yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mengembirakan hati aku. Apatah lagi Ayub, sang mantan kekasihnya yang dipinjamkan sementara di dunia. Kasihan aku melihatnya. Walaupun dia pernah berkata bahawa jodoh itu terletak di tangan Tuhan dan dia reda jika ditentukan bahawa tulang rusuk yang dicarinya itu milik orang lain, namun hati dan naluri Ayub tiada siapa dapat menjangka.

Surah yaasin itu ditutup kembali setelah usai aku membacanya hingga ke akhir ayat. Ayub dan rakannya turut menziarahi makam Sofea pada petang itu. Suasana di tanah perkuburan ketika itu sungguh sunyi, hanya sesekali terdengar desiran angin yang berhembus. Pohon renek pula melambai-lambai sekali sekala. Suasana hening sebegini lantas membuatkan aku merasa rindu pada Sofea. Ayub juga begitu. Tetapi apakan daya, kita kini telah terpisahkan oleh dunia yang sungguh berbeza.

Ayub memegang batu nisan itu. Dia tertunduk. Rakannya yang menemani kami berdua cuba menenangkannya. Aku faham Ayub. Aku tidak tersinggung dengan setiap perbuatan kau. Kerana aku mengerti, amanah Ayub yang paling besar ialah menerima dan menjaga aku sehingga ke akhir hayat.

-------X-------

Sang matahari bakal melabuhkan siangnya, menyimpan cahaya terangnya di balik ufuk barat. Manakala sang rembulan pula mengambil tugas seterusnya menerangi suasana kegelapan malam dengan samar-samar cahayanya.

"Selamat tinggal wahai sahabatku, Sofea."

"Ayub pulang dulu, Sofea. Assalamualaikum."

Kami bertiga melangkah meninggalkan tanah perkuburan itu. Terbayang-bayang dipeluput mata aku, hari-hari terakhir kita luangkan masa bersama. Jika diputarkan kembali, akan aku pastikan kaulah manusia yang paling bahagia ketika itu. Bukan bermakna aku tidak menghargai tetapi aku mahu menghabiskan kenangan manis itu bersama.

"Mawaddah... ." tegur Ayub.

"Ya Ayub, ada apa?" balasku.

"Awak tak terlukakan dengan kelakuan saya tadi?"

"Oh tidak Ayub, saya mengerti perasaan kamu. Saya bersyukur, awak boleh menerima saya bagi memenuhi permintaan terakhir arwah."

"Sofea baru sahaja pergi, dan bukan juga dalam sekelip mata hati saya boleh berubah begitu sahaja."

"Apa maksud sebenar awak, Ayub?"

"Jangan salah sangka, Mawaddah. Saya sedia menerima awak seperti diamanahkan. Tetapi berilah saya peluang dan sedikit waktu."

Aku tahu dalam waktu sesingkat ini, mana mungkin hati Ayub mampu berubah sekelip mata. Aku tidak salahkan Ayub, apatah lagi memaksa takdir untuk berpihak kepada diriku.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Hubungan aku dan Ayub sedikit dingin. Selepas peristiwa tempoh hari, aku dan Ayub mendiamkan diri. Masing-masing membawa haluan sendiri. Ditambahkan pula minggu peperiksaan semester akhir akan bermula. Sudah tentu, setiap ruang waktu yang ada dimanfaatkan sebaiknya untuk mengulangkaji.

Aku malu untuk menghubungi Ayub. Kelak dikata orang perigi mencari timba pula. Terkadang aku berpatah arang untuk meneruskan amanah ini. Perasaan yang sering bercampur baur menyelinap ke segenap naluri wanitaku. Kerana amanah Sofea, sahabat sejati yang telah pergi, aku turuti juga.

Sayup-sayup kedengaran azan subuh memecah keheningan pagi itu. Tanpa membuang masa, aku bingkas bangun dari sejadah yang sudah kubentang sejak dari awal. Selepas menunaikan solat istikharah sebentar tadi, aku mengambil peluang untuk bertasbih memuji kebesaran-Nya. Sementara menunggu masuknya waktu subuh itu, aku mengambil peluang berdoa kepada Tuhan agar jodohku bersama Ayub berpanjangan.

Walaupun Ayub di sana diam seribu bahasa, tetapi aku yakin bahawa Ayub tidak pernah sesekali melupakan aku.

Usai memberikan salam yang terakhir, aku kembali duduk di antara dua sujud. Kupanjatkan doa kepada-Nya supaya diperpanjangkan usia kedua orangtuaku, diperkayakan rezeki dan mempermudahkan segala urusan dalam peperiksaan kelak. Dalam setiap iringan doa, aku juga memohon mahabbah cinta manusia dari Ayub berkekalan. Dan semoga, dialah Adam yang akan membimbing aku ke jalan Allah dengan sempurna.

Sejadah merah hati hadiah pemberian Sofea, kulipat. Sesekali aku menciumnya. Masih melekat bau Sofea, pewangi coconut vanilla yang pernah menjadi kesukaannya satu masa dahulu.

"Rindunya pada Sofea, semoga kau tenang dan aman di sana wahai sahabatku... ."

Aku ke meja belajar pula. Sekeping gambar yang diletakkan di dalam 'frame' aku tenung dalam-dalam. Kenangan bersamanya sewaktu mengikuti Program Kembara Siswa Muslimah 2016 di Endau, Johor. Waktu itu, kami ditugaskan untuk menjadi mentor kepada mentee masing-masing. Seronoknya! Tanpa tersedar, aku tertawa sendirian mengenangkan peristiwa itu yang mencuit hati.

Aku dikejutkan dengan mesej yang bertali arus memasuki kotak mesej whatsapp. Aku baca satu persatu. Bukan kepalang gembiranya aku, seseorang yang aku nantikan  telah memunculkan diri.

"Assalamualaikum, Mawaddah. Awak apa khabar? Maafkan saya sebab terlalu lama menyepi. Mendiamkan diri tidak semestinya melupakan. Tetapi seperti saya perkatakan tempoh hari, beri saya masa dan ruang. 
Pagi ni kita sama-sama akan melangkah ke dewan peperiksaan. Buat yang terbaik tau."

"Saya nak kita sama-sama menggenggam segulung ijazah kelak dan selepas itu jika diizinkan Allah SWT, saya akan masuk meminang awak untuk menjadi kekasih halal saya dunia akhirat"

Hati aku berbunga-bunga tatkala membaca ayat-ayat terakhir itu. Tidak aku menyangka, sebegitu romantik Ayub.

Butang 'reply' segera ditekan. Tetapi hati masih berteka-teki sama ada untuk membalasnya atau tidak.

"Waalaikumussalam, Ayub. Terima kasih sebab masih mengingati Mawaddah. Dan terima kasih juga atas doa itu. Ya... Kita sama lakukan yang terbaik untuk keluarga dan orang yang tersayang. 
Saya sentiasa menunggu awak, Ayub... untuk menjadi kekasih halal saya itu. Selepas tamat pengajian nanti, jumpalah kedua orangtua saya di Raub. Saya senang dengan kamu, Ayub"

Jariku menekan butang 'send' di whatsapp itu lalu dua tanda biru kelihatan. Ayub telah membacanya. Cepat-cepat aku keluar daripada aplikasi whatsapp, aku malu jika Ayub melihat aku 'online' seakan menanti balasan darinya pula.

Ayub seindah namanya. Setampan orangnya. Semolek budi pekertinya. Seorang bilal di surau kolejku. Jika terasa rindu, setiap kali masuknya waktu solat, pasti suara merdunya berkumandang itu akan kutunggu.

Walaupun kami jarang berhubung, namun itu tidak bermakna hubungan kami menjauh. Bagiku dia tetap dekat dihati. Buktinya, alunan suara azan itu pengubat segalanya.

---------

Kakiku melangkah laju ketika memasuki dewan peperiksaan itu. Semangat Ayub kubawa bersama untuk menjadi peneman dan perangsang semasa menjawab dalam peperiksaan itu nanti.

Aku mencuri pandang ke arah Ayub. Mejanya tidak jauh dari mejaku. Cuma selang sepuluh buah ke hadapan. Dia perasan aku memandangnya lantas menghadiahkan aku seukir senyuman. Aku membalas senyuman manis Ayub itu.

"Amboi Mawaddah, senyum panjang nampak," tegur Aisya, rakan sekuliah aku yang duduk di meja sebelah kanan.

"Mampu senyum je, Aisya." Balasku pula.

"Kenapa ni, kau dengan Ayub ada masalah ke?"

"Eh tak lah... Kami sebenarnya menjaga batas-batas hubungan ini,"

"Kau berdua memang tak pernah keluar sama ke? Aku tak pernah nampak pun."

"Iya Aisya, biarlah dia menjadi kekasih halal untukku kelak baru boleh keluar sama-sama."

Aku sebenarnya bersyukur dipertemukan dengan Ayub. Seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku dan mampu membimbing aku ke jalan yang diredai-Nya.

Minggu peperiksaan tiba kepenghujungnya. Hari terakhir di kolej, sebelum cuti semester yang agak panjang, Ayub menyatakan hasratnya untuk berjumpa aku di tempat biasa.

-----------

Seperti yang dijanjikan, Ayub telah tiba awal bersama rakan baiknya. Aku pula masih terkial-kial menjinjing beg dan buku-buku ke arahnya.

"Masya-Allah, berpeluh saya. Dah lama ke awak tunggu?" aku bersuara sambil mengelap pipi dengan tisu.

"Hahaha kelakarlah awak ni, Mawaddah. Baru je lima minit saya dengan Hafidz kat sini. It's okay, takder masalah. Awak sampai on time actually," balas Ayub. 

Suasana petang itu cukup redup. Sang matahari menyembunyikan dirinya disebalik awan. Angin sepoi-sepoi bahasa pula menerbangkan dedaunan yang telah gugur. Sesekali kelihatan rumput seakan menari mengikut rentak alunan angin yang berhembus. Sungguh menenangkan. Dan disaat itu juga, Ayub telah menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan orangtuaku. Bukan kepalang gembiranya aku. Tidak tergambar dengan sepotong ayat sekalipun bahawa dia akan membawa orangtuanya juga. Aku dan Ayub bakal disatukan menjadi tunangan yang sah.

"Alhamdulillah... terima kasih Ayub kerana akhirnya menerima Mawaddah dalam hidup Ayub... ," aku bersuara.

"Maafkan saya kalau selama ni pernah mengecewakan hati Mawaddah. Bukan niat saya," balas Ayub.

Airmata jernihku tertumpah juga akhirnya. Aku tidak dapat menahan sebak. Rasa yang kupertahankan tidak terbendung sejak pertama kali dia mula melamar aku tadi.

Ayub menghulurkan sapu tangan miliknya kepadaku. Lalu aku ambil pemberiannya itu.

"Nah... ambil ni, lap airmata awak tu. Malulah kalau Hafidz nampak nanti,"

"Terima kasih awak,"

"Simpanlah sapu tangan buruk saya tu. Kalau rindukan saya nanti, anggaplah itu adalah diri saya,"

"Ayub...!" aku tertawa malu. Tidak aku menyangka, Ayub kecindan juga orangnya.

Sebelum berpisah, Ayub bersungguh-sungguh mengingatkan aku tarikh merisik dan seterusnya majlis pertunangan itu nanti. Aku juga berulangkali mengiyakan setiap pertanyaannya. Lain benar tingkah Ayub. Seperti tidak sabar untuk menjadi tunangan aku.

------------

Telah dua minggu cuti semester berlalu. Aku hanya menghabiskan sisa cuti yang berbaki di kampung halamanku, Raub, Pahang. Suasana di sini sangat menenangkan, tambahan lagi rumahku terletak paling hujung jalan. Sunyi dari deruman kenderaan dan mereka yang lalu lalang. Hanya bertemankan bunyian unggas yang melagukan melodi rimba yang mengasyikkan. 

Sepasang jubah biru pemberian Ayub satu masa dahulu tergantung di sebalik pintu. Sudah kuseterika kemas. Niqab berwarna sedondon juga telah aku persiapkan. Hanya tinggal menunggu masanya sahaja untuk aku sarungkan satu-persatu.

Lamunan aku terhenti seketika saat pintu bilik diketuk. Ibuku datang menjenguk.

"Along... pukul berapa rombongan keluarga Ayub akan sampai?"

"Ayub kata selepas Zohor, bu... ," balasku.

"Hantaran 7 dulang yang Along tempah tu, dah sampai. Ada di bawah," beritahu ibuku.

Aku dan ibu beriringan turun ke ruangtamu di tingkat bawah. Tidak sabar rasanya untuk melihat hantaran yang ditempah itu. Salah satu hantaran yang ingin kulihat ialah gubahan sapu tangan untuk Ayub. Jika dahulu dia pernah menghadiahkan aku sapu tangannya, tetapi pada kali ini giliran aku pula.

Aku dan ibu membelek-belek setiap hantaran itu. Sungguh aku sangat berkenan dengan hasil gubahannya. Terutama sekali gubahan sapu tangan berbentuk burung di dalam sangkar. Unik.

Telefon bimbitku di bilik, berdering berulangkali. Ketika itu aku masih di ruangtamu. Bunyi yang sederhana perlahan tidak dapat menangkap pendengaranku. Deringan yang bertali arus itu akhirnya tidak kedengaran lagi. Dan itulah kali terakhir, Ayub cuba menghubungiku.

"Nombor yang anda dail, tidak dapat dihubungi," suara operator itu menjawab. Hampir beratus kali aku cuba menghubungi Ayub. Tetapi masih gagal.

Mungkin Ayub sesat barangkali. Terlupa jalan atau terlupa alamat rumah ini. Dan mungkin juga talian tak berapa bagus. Aku bersangka baik walaupun dalam hati berdebar sekiranya pihak keluarga Ayub tidak jadi untuk datang meminangku.

Jam semakin hampir menunjukkan ke pukul 3.30 petang. Kelibat mereka juga masih belum kelihatan. Begitu juga talian telefon bimbit Ayub, masih gagal untuk aku hubungi. Aku bertambah gelisah kini.

Jubah dan niqab telah kusarungkan. Sambil duduk di samping meja solek, aku tidak keruan menanti kabar mereka. Saudara mara dan jiran tetangga telah mula bertanya. Aku buntu.

Telefon aku berdering. Gugup! Dengan terketar-ketar aku menjawab panggilan yang tidak dikenali itu.

"Waalaikumussalam... iya, saya Mawaddah,"

"Iya, saya ada called Ayub juga tadi tapi tak berjawab," balasku lagi.

Setelah hampir lima minit, perbualan itu aku tamatkan. Niqab dan jubah biru aku tanggalkan kembali. Rakan-rakan yang menemani aku di bilik kehairanan. Ada yang bertanya tetapi aku tidak mampu menjawab walaupun sepotong ayat.

Aku memakai jubah dan niqab hitam lalu mendapatkan ibuku yang berada di tengah orang ramai.

"Ibu... temankan Along ke Hospital Raub sekarang, bu," pintaku dalam keadaan luluh.

"Kenapa ni, Along?!" ibuku agak kaget.

"Nanti Along cerita... Kita dah tak banyak masa lagi ni bu,"

Sepanjang perjalanan ke hospital, aku menceritakan apa yang telah berlaku. Ayub sekeluarga telah kemalangan. Van yang mereka naiki telah bertembung dengan sebuah lori yang tiba-tiba memasuki ke lorong bertentangan. Ibubapanya telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Ayub kini kritikal dan masih dirawat di ICU.

Semasa kejadian itu, Ayub sempat menghubungi aku. Tetapi sewaktu itu, aku tidak mendengar panggilan darinya kerana berada di ruang tamu.

"Ya Allah, sungguh besar dugaan-Mu,"

Aku mula sebak sebaik sahaja tiba di wad kecewasan itu.

"Kau kena kuat Mawaddah... ," aku cuba memujuk diriku sendiri berulang-ulang kali. 

Ayub masih lagi kritikal. Kami tidak dibenarkan menjenguknya walaupun seketika. Puasku merayu kepada pegawai yang bertugas untuk bertemu Ayub dan akhirnya aku terpaksa juga mengalah. 

Aku mengajak ibu menunggu di kerusi yang telah disediakan. Ibu cuba menenangkan aku yang masih bercucuran airmata.  Tanpa membuang masa, aku keluarkan Surah Yaasin yang kubawa lalu kubaca, perlahan. Tiada apa yang tergambar dibenak fikiran pada waktu itu, melainkan memohon keajaiban dari-Nya. Aku juga tidak putus-putus memanjatkan doa agar Ayub diberi kesejahteraan seperti sediakala.

"Awak Mawaddah ke?" tegur seorang wanita yang agak sebaya ibuku. Dilabuhkan punggungnya di sebelah kerusi aku duduk itu. Matanya kelihatan sembab. 

"Err, ya saya Mawaddah. Makcik siapa?" soalku sambil memegang kedua-dua bahunya. 

"Nama makcik, Maisarah. Makcik ibu saudara Ayub," balasnya.

Aku mencium kedua tangannya. Dia membuka beg tangannya itu. Dua buah kotak kecil berwarna merah berbentuk hati dihulurkannya kepada aku. Katanya ini amanah dari Ayub. Sebelum Ayub pengsan, dia telah berpesan kepada makciknya supaya menyerahkan dua bentuk cincin itu kepada aku. Aku serba salah untuk menerimanya. Apatah lagi apabila mengenangkan Ayub yang masih kritikal di dalam sana dan kedua ibubapanya pula telah tiada. 

"Ambillah Mawaddah... ini amanah dari Ayub. Makcik hanya menyampaikannya sahaja. Ayub kata, dia dah berjanji dengan Mawaddah untuk datang merisik dan bertunang pada hari ini, jadi dia tak mahu memungkiri janji," matanya bergenang seakan menahan sebuah rasa yang dipendamkan. 

Mahu atau tidak, walaupun penuh dengan perasaan yang bercampur-baur, aku menerima pemberian itu. Amanah dari seseorang yang aku cintai untuk kujadikan peneman dalam hidup dunia akhiratku. Kotak kecil itu kubuka perlahan-lahan. Dua bentuk cincin yang sangat cantik dipandang mata. Aku menutup kembali kotak kecil itu lalu kuberikan kepada ibuku untuk disimpan. 

"Siapa disini waris pesakit kepada Ayub Bin Haji Khalid?" tanya doktor itu sebaik sahaja keluar dari wad kecemasan.

"Saya... ," jawab Makcik Maisarah sambil bingkas bangun menuju kearah doktor tersebut.

"Maaf puan... , kami sudah sedaya upaya menyelamatkan nyawanya. Ajal maut ditangan Tuhan Yang Maha Kuasa, Ayub telah pergi buat selama-lamanya. Maaf sekali lagi... ," balas doktor itu dengan nada yang perlahan. 

"Ayub... Innalillahirrajiun," hatiku luluh.

--TAMAT--


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.