Home Novel Keluarga Mahar Cinta Untuk Kirana
Mahar Cinta Untuk Kirana
Iman Zahri
13/6/2018 13:34:22
17,513
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 9

“JAUH termenung? Ingatkan buah hati di kampus?” tanya Hajah Siti Hajar. Dia duduk berhadapan Kirana. Sejak tadi dia melihat anaknya itu duduk mengelamun di beranda rumah.

Kirana tersentak. Dia pandang Hajah Siti Hajar dengan perasaan berbaur.

“Kenapa? Kirana ada nak cakap sesuatu dengan umi? Kirana nak kahwin?”

“Bukanlah, umi. Kirana baru dua puluh empat tahun. Bukan masanya Kirana fikir soal kahwin. Kirana nak kerja dulu. Nak bantu umi, abi dan adik-adik,” jawab Kirana. Tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk memikirkan soal jodoh. Perjalanan hidupnya masih panjang.

“Habis tu kenapa termenung? Fikir apa?”

Kirana mengeluh. Tidak tahu sama ada perlu bercerita kepada Hajah Siti Hajar.

“Assalamualaikum,” salam diberi. Haji Rahman menghampiri anak dan isterinya yang leka berbual.

“Waalaikumussalam,” jawab Kirana dan Hajah Siti Hajar serentak.

“Abi nak air? Kirana boleh buatkan,” dia sudah berura-ura mahu bangun dari duduknya.

“Tak payah susah-susah. Abi dah minum tadi di warung dengan Haji Yahya. Berbual apa? Serius sangat mukanya,” Haji Rahman melabuhkan punggung di kerusi. Sudah lamadia tidak berbual dengan anaknya yang seorang ini.

“Ada benda yang Kirana sembunyikan daripada umi dan abi?” Hajah Siti Hajar menyerkap jarang.

Laju Kirana geleng kepala.

“Tak boleh  bercakap dah? Tadi bukan main riuh lagi pot pet pot pet,” usik Haji Rahman.

“Okay, macam ni. Umi dan abi tahu yang abang Farhan bagi duit pada adik-adik?” Kirana menyusun ayat. Takut juga kalau-kalau ibu bapa angkatnya itu salah faham.

Dahi Haji Rahman berkerut.

“Siapa beritahu Kirana? Farhan?” tanya Hajah Siti Hajar.

“Kirana tanya umi dan abi tahu atau tak? Umi suka tak menjawab soalan,” Kirana mencebik. Hajah Siti Hajar memang begitu. Lain ditanya, lain yang dijawab.

“Tak tahu,”jawab suami isteri itu seretak.

“Jadi selama ni abang Farhan bagi duit senyap-senyap? Tak betul ni umi, abi. AbangFarhan tu kena simpan duit. Janganlah laburkan pada adik-adik. Aisyah dan Aina cakap pada Kirana, mereka sendiri tak tahu nak buat apa dengan duit tu,” cerita Kirana panjang lebar.

“Berapa Farhan bagi pada adik-adik?”

“Seratus seorang. Empat orang, jadilah empat ratus ringgit. Abang Farhan ada bagi duit pada umi dan abi?”

“Ada. Tiga ratus ringgit sebulan. Tapi duit itu Farhan suruh masukkan dalam akaun bank Kirana seratus lima puluh ringgit tiap-tiap bulan,” beritahu Haji Rahman.

“Tak bolehlah Farhan bagi duit pada anak-anak, bang. Farhan baru kerja empat bulan,” kata Hajah Siti Hajar pula. Sungguh dia terkejut dengan penjelasan Kirana.

“Kejap, kejap.” Kirana memotong perbualan suami isteri itu.

“Duit tiap-tiap bulan yang Kirana dapat tiga ratus lima puluh ringgit tu daripada abang Farhan? Dua ratus daripada umi dan abi. Seratus lima puluh lagi duit abang Farhan?”

“Yalah. Duit Farhan. Dia berkeras suruh bagi pada Kirana,” jawab Hajah Siti Hajar.

“Patutlah duit Kirana semester ni terlebih cukup daripada semester lepas. Kirana ingatkan umi dan abi naikkan belanja Kirana. Tak boleh jadi. Umi kena beritahu abang Farhan, lepas ni jangan bagi duit pada Kirana dan adik-adik. Kami tak mahu terhutang budi,” Kirana pandang Hajah Siti Hajar penuh berharap.

 “Terhutang budi? Kenapa cakap macam tu? Farhan abang kamu,” kata Haji Rahman. Dia tidak suka mendengar perkataan terhutang budi yang keluar daripada mulut Kirana.

 “Abi… Kirana dan abang Farhan bukan adik-beradik kandung. Abang Farhan kena dahulukan diri dia. Kemudian, baru fikir hal orang lain. Kirana tak mahu lagi duit daripada dia. PTPTN dan duit belanja umi dan abi bagi dah lebih daripada cukup,” tegas Kirana.

Haji Rahman terdiam. Ada benarnya juga kata-kata Kirana.

“Lagipun gaji seorang guru dah tak mewah macam dulu. Zaman sekarang, semua perlukan duit. Minta abang Farhan simpan duit. Mana tahu esok lusa nak guna. Nak kahwin ke, apa ke…” tambah Kirana lagi.

“Yalah, nanti umi cakap pada dia. Sekarang Kirana jangan susah hati fikir pasal duitFarhan. Pandai-pandailah umi cakap dengan dia nanti,” Hajah Siti Hajar sudah pening kepala.

“Kenapalah dia bagi duit pada anak-anak? Abang mampu lagi nak tanggung kita anak-beranak,” Haji Rahman geleng kepala.

“Kirana puji sikap abang Farhan sebab masih ingatkan kami di sini. Tapi cara dia tak betul. Simpanlah duit tu,” ujar Kirana. Nasiblah. Dia sendiri sudah guna duit belanja bulan ini. Kalau tidak, boleh dia pulangkan semula seratus lima puluh ringgit itu pada Farhan.

 

 

 

BUKAN niatnya ingin mencari gaduh dengan ibu sendiri. Dia sendiri rasa sesak nafas berada di rumah. Kelibat Helena di dalam rumah membuatkan dia rasa meluat. Terhegeh-hegeh wanita itu mencuba menarik perhatiannya.

Baru tiga hari lepas dia pulang ke rumah. Semalam, Datin Julia menyuruhnya pulang lagi. Semak matanya melihat Helena yang tersenyum manja sewaktu dia sampai semalam.

“Sabar jelah. Nak buat macam mana lagi? Terima jelah perangai mummy kita. Dia memang dah macam tu,” Aydan menenangkan Aysar yang masih lagi bengang dengan kejadian sewaktu makan tengah hari tadi.

“Aku meluat tengok muka perempuan tu. Dia tak ada rumah ke? Kenapa sibuk nak tidur rumah orang? Anak Tan Sri kan? Rumah dia tak cukup besar? Tak cukup bilik?” Kasar suara Aysar.

Aydan cuba tahan ketawa. Kelakar mendengar kata-kata Aysar.

“Mummy tak serik lagi ke? Sibuk nak jodohkan aku dengan perempuan tu. Haritu Liliana. Kemudian, Naili. Sekarang, Helena. Semaklah kepala Aku. Balik rumah sendiri pun tak tenang,” rungutnya. Wajahnya masih masam mencuka.

“Tunggu apa lagi? Bawa balik calon isteri dan kenalkan pada mummy. Berbuih mulut abang dan Kak Yana nasihatkan kau. Kau degil. Tak nak dengar cakap kami. Cari calon isteri dan tunjuk pada mummy. Selesai masalah,” Aydan sudah mula membebel.

“Ingat cari calon isteri macam beli maggi goreng mamak? Mummy dah senaraikan ciri-ciri calon menantu yang dia nak. Semua tu bukan ciri yang aku nak. Aku nak buat apa lagi? Bujang jelah sampai tua,” Aysar menjawab. Geram betul dengar kata-kata Aydan. Senang sahaja suruh cari calon isteri.

 “Don’t give an excuse. Kalau kau nak, kau boleh cari. Diri sendiri yang malas berusaha. Jodoh tak datang bergolek. Biarlah kalau mummy tak suka calon pilihan kau. Asalkan kami semua suka. Tak terjejas pun kalau seorang tak suka,” balas Aydan. Rasa mahu tunjal-tunjal kepala Aydan. Banyak alasan.

“Mangsanya isteri aku nanti. Mak mertua tak suka menantu. Tak fasal-fasal jadi drama petang-petang dalam TV.”

Kali ini betul-betul Aydan menunjal kepala Aysar. “Itulah kehidupan. Tak semuanya manis. Kenalah terima kenyataan.”

Bahu Aydan jadi sasaran tumbukan Aysar. Menyeringai lelaki itu dek tumbukan padu Aysar.

"Nantilah aku fikir. Malas nak cakap soal kahwin. Ada jodoh, ada. Kalau tak ada, aku rela tak kahwin daripada kahwin dengan sotong liat tu.”

“Cepat sikit cari calon. Umur tu dah nak masuk tiga puluh dua.”

“Kau pun sama. Sampai bila nak menduda? Kawan-kawan dah beranak pinak, kau still loner, ” tempelak Aysar.

“Tak guna. Sempat kau kutuk aku,” marah Aydan. Kepala Aysar ditunjal lagi. Kasar. Tetapi itulah cara mereka bergurau. Kadang-kadang sampai bertumbuk.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.