Home Novel Cinta DARI KOTAK HATI
DARI KOTAK HATI
Sang Jerry
1/12/2017 19:55:26
5,101
Kategori: Novel
Genre: Cinta
CURI

-⚜-
BAB 7

Adam menunggang laju motorsikal itu ke Pekan Pendang. Dia risau jika terlambat. Lagi merunsingkan, andai Sofea telah tiba awal di gubuk itu lalu menyangkakan dia membohonginya. Sebelum ke gubuk, dia mahu membelikan sesuatu untuk Sofea. Kerana Adam tahu, selepas ini dia tidak lagi berpeluang bertemu Sofea seperti selalu. Tambahan pula, Adam akan meninggalkan Kampung Kobah demi meneruskan hasrat dan harapan ibunya.

Biarkanlah andai Sofea merasa jijik dengan pemberiannya. Namun, dia ikhlas. Jauh di dalam hati, Sofea adalah seorang sahabat karib yang paling mengerti tentang dirinya. Biarkanlah andai Sofea menolaknya sekalipun. Namun, dia berkeras. Pemberian itu adalah sebagai tanda kenangan yang terakhir darinya. Walaupun tidak terpaut dari pandangan mata, tetapi jauh di sudut hati hanya Tuhan yang mengerti.

---

Kotak itu dibungkus cantik. Berbunga kecil merah hati warnanya. Adam tersenyum puas. Walaupun tidak semahal mana untuk dibangga-banggakan, tetapi nilai sentimentalnya melebihi daripada itu. Hadiah untuk Sofea, dipeluk erat. Ada sekuntum senyuman yang manis terpancar dari raut wajahnya. Sudah tentu, hati Adam bukan kepalang seakan melompat kegembiraan tatkala melihatnya buat kali pertama. Dia mengharapkan Sofea juga begitu.

Motorsikal yang diparkir itu dihidupkan. Sekilas jam di tangan dikerlingnya. Adam sedar, dia sedikit terlewat. Dia mengharapkan Sofea masih setia menantinya di sana. Kejutan yang Adam ingin berikan sebentar lagi membuatkannya tersengih sendirian.

Adam tidak tahu bagaimana caranya untuk memberitahu Sofea yang hari ini merupakan pertemuan terakhir di antara mereka. Adam sedar, jodoh yang pernah ditentukan oleh kedua orang tua mereka sebelum ini tidak kesampaian. Dia tidak mengambil hati. Malah, dia merasakan Tuhan merancang sesuatu yang lebih baik dikemudian hari. Mungkin, ada hikmah yang tersembunyi disebalik semua pertikaian selama ini.

Adam meletakkan hadiah itu ke dalam raga. Dipecut laju motorsikalnya supaya dia lekas sampai ke gubuk. Hilang rasa sabarnya untuk bertemu Sofea. Entah kenapa, dia sedikit pun tidak pernah berasa jemu walaupun hari-hari bersua muka.

Dari kejauhan, atap gubuk berdaun nipah semakin jelas kelihatan. Adam tersengih. Dia mula membayangkan keletah Sofea. Pasti dia mula mencuka bersama cucur ikan bilis daun bawang yang dipesan semalam. Tentu nanti, Sofea membebel memarahinya. Semua itu telah sebati bagi Adam. Dia sudah lali dengan sikap Sofea itu. Terkadang, walaupun kata-kata Sofea sedikit tajam; tetapi Adam tidak pernah mengambil hati. Dia cukup memahami Sofea.

Adam memperlahankan kederasan enjinnya lalu motorsikal itu di parkir di perdu buluh yang tegak merimbun. Dia kehairanan, puas dicari tetapi tidak berjumpa. Selalunya Sofea meletakkan basikal di situ tetapi tidak pada hari itu. Dia gusar. Hatinya berterusan berteka-teki. Mahu sahaja Adam menghubungi Sofea tetapi dia bimbang sekiranya Pak Zain yang menjawab panggilan itu. Tambahan pula, Sofea tidak mempunyai telefon bimbit.

Adam melangkah lemah ke gubuk itu. Batas sawah dilewatinya perlahan. Tangan kanan pula memeluk erat hadiah itu. Hati cukup pilu kerana Sofea tidak memunculkan diri. Sungguh, perasaannya kini berbelah bahagi.

     "Jangan-jangan dia dah balik!" getusnya.

     "Adam!"

Adam cukup kenal suara itu. Biasa didengarnya sebelum ini tetapi kelibatnya entah di mana bersembunyi. Sofea yang berada di tepi gubuk itu menampakkan diri. Lalu tangannya melambai-lambai ke arah Adam yang masih terpinga-pinga. Senyuman Sofea itu seperti menamatkan sebuah penantian sejak sekian lama.

Adam yang menyedari kehadiran Sofea mula berlari ke arah gubuk itu. Dia gembira kerana Sofea telah menantinya di situ. Kejutan dari Sofea itu sungguh meruntun hati kecilnya.

Bagaikan sebuah kisah drama, Sofea juga begitu. Dia turut berlari ke arah Adam. Kini mereka berada di atas batas yang sama.

     "Adam... , kenapa lambat ni?"

     "Ada hal."

     "Ingatkan dah tak nak datang lagi."

     "Siapa cakap?"

     "Manalah tau, kau berkecil hati dengan kata-kata ayah!"

Adam tidak memberi sebarang jawapan balas. Sebaliknya, dia lantas menyerahkan hadiah itu kepada Sofea.

     "Nah, untuk kau."

     "Eh, apa ni, Adam?"

     "Entah!"

     "Dia yang bagi, jawab entah pulak. Mengadalah kau ni, kan."

Adam tertawa melihat Sofea, "Dah, jom! Kempunan aku nanti nak makan cucur kau!"

     "Aku tak bawak apa-apalah hari ni! Aku lupa. Sorry Adam... ," Sofea berbohong sambil menunjukkan isyarat maaf.

Adam mengeluh. Lalu dihujungnya terselit senyum yang agak tawar. Kecewa? Ya, sudah pasti. Bukan kerana meminta balasan tetapi cucur ikan bilis daun bawang itu menjadi idamannya sejak semalam lagi.

     "Nak hadiah ni semula tak?" acah Sofea.

     "Ambik je lah. Aku bukan berkira pun," balas Adam.

Sofea menggoncang-goncang kotak hadiah itu ke telinga. Adam tahu, Sofea teruja!

     "Suka?" tanya Adam.

     "Gila aku tak suka! Tapi, kau bagi aku apa ni?" terbeliak mata Sofea menjawab soalan Adam.

     "Bukaklah sendiri. Kalau aku cakap, dah tak seronoklah. Baik aku tak payah bungkus."

Sofea melirik tajam matanya lalu tersenyum gembira. Tidak pernah Adam melihat Sofea sebegini.

     "Terima kasih, Adam."

     "Ya, ya. Dah cepat sikit jalan. Nak berbual, nanti-nanti pun boleh."

Sofea melajukan langkah. Tiba-tiba, kakinya tersadung lopak yang sedikit dalam. Adam yang mengekorinya dari belakang cuba membantu. Tetapi malangnya, mereka terjatuh ke dalam petak sawah yang masih kosong itu. Adam dan Sofea ketawa. Mereka kini bermandikan lumpur! Kotak hadiah yang dipegang Sofea turut sama terpalit.

Adam cuba bangun, begitu juga Sofea tetapi mereka gagal. Tanpa disangka, mereka berdua saling berpandangan antara satu sama lain. Renungan mata Adam jatuh jauh ke dalam mata Sofea. Masing-masing tergamam. Tiada lagi hilai tawa seperti tadi. Suasana bertukar sepi. Tangan Sofea yang memaut bahu Adam laju dilepaskan. Pandangan matanya segera dialihkan. Adam hanya terkebil-kebil. Sofea merangkak keluar ke tebing. Adam masih kaku berada di dalam petak sawah itu.

     "Adam!" jerit Sofea.

Dia terperanjat.

     "Kau nak duduk dalam tu berapa lama?" tambahnya lagi.

Adam hanya tertawa sambil berpaut di atas batas itu. Kemudian, dia duduk.

     "Sorry, Adam... . Aku tak sengaja," rayu Sofea.

     "Tak apa lah. Bukan salah kau pun. Dah nak jadi," balas Adam ringkas.

Sofea memandang Adam kembali. Lalu mereka serentak ketawa. Lucu!

     "Tengok muka kau dah macam apa entah!" ejek Adam.

     "Cakap aku? Cuba tengok muka kau, lagi teruk!" balas Sofea.

     "Alamak, Sofea... . Habislah kalau bapak kau tau nanti," Adam gusar.

Sofea mula cemas. Degup jantungnya kian laju. Dia baru tersedar keadaan sebegini pasti bagai menempah maut dari bapanya kelak!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.