Home Novel Cinta Soulmate Hingga ke Syurga
Soulmate Hingga ke Syurga
putreekiwi
3/11/2017 23:35:39
14,762
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
12

 

Rancangan untuk makan bebola daging hanya dapat kami penuhi dua minggu selepas itu. Kebetulan pula Abang Adi berkerja di luar daerah selama tiga hari dan anak-anak kak Nija tidur di rumah nenek mereka. 


Kami memilih untuk ke Ikea Cheras kerana kak Nija sibuk hendak memborong bunga dan pasu di Kaison Mytown. Aku ikutkan sahaja kerana dia yang mahu membelanja.

                

“Ramainyalah umat manusia.” Komen kak Nija setelah kami berjaya mendapat tempat di kafe. Bebola daging punya pasal, hampir empat puluh minit kami beratur. “Rasanya dah ada tiga Ikea kat Malaysia ni, tapi ramainya macam dulu jugak.”

                

Aku senyum sahaja mendengarkan rungutannya kerana makanan di depanku sekarang ini lebih menarik perhatian. Aku sanggup tidak bersarapan pagi tadi kerana menuntut janji kak Nija. Sambil menjamu selera, aku dan kak Nija berbual kosong, melompat dari satu topik ke satu topik.

                

“Ada Harith call?” Topik kami sampai juga ke isu itu. Aku mati selera.

                

“Tak.” Ringkas jawapanku. Sejak meninggalkan aku terkontang-kanting di hentian rehat dulu, Harith kembali hilang dari radar. Baguspun! Aku tidak berminat untuk melihat muka dia.

                

“Bertuah betul jantan tu. Kalaulah akak, memang sampai masuk dalam akak kerjakan.” Bebelan kak Nija sama laju dengan suapannya.

                

“Dalam mana kak? Dalam hospital ke, dalam penjara?”

                

“Dalam tanah, tujuh kaki ke bawah!” Selamba sahaja kak Nija menuturkan ayat itu, membuatkan aku tergelak. Dia hanya menyungging senyum.

                

“Tapi...kalau dia masuk dalam tu, akak pun masuk dalam jugak. Janganlah kak…takde tempat Ara nak mengadu nanti. Boleh gila Ara.”

                

“Hah, bolehlah Ara masuk dalam lepas tu  –“

                

“Dalam mana pulak?”

                

“Dalam Tanjung Rambutan!” Kami bersahut tawa. Buat seketika terasa hilang beban di kepalaku. Hilang cerita ibu, Harith dan Abang Jampi.

                

“Eh,” tiba-tiba suapan kak Nija terhenti. Dia mengecilkan mata seperti sedang cuba mengecam sesuatu. “Jangan pandang belakang.” Bisiknya sambil menyeluk beg tangan, mengeluarkan cermin mata hitam dan memakainya.

                

“Kenapa? Ni nak geng dengan Abang Jampi ke?” Aku bertanya dengan suara juga separuh berbisik.


Kak Nija meletak telunjuk ke atas bibirnya, dalam masa yang sama bersungguh merendahkan kedudukan badannya untuk berlindung di balik tubuhku. Aku semakin cuak dengan kelakuannya.


“Akak nampak siapa, kak?” Soalku lagi, dalam diam menahan diri daripada menoleh ke belakang tetapi kelakuan kak Nija betul-betul memancing sifat ingin tahuku.


“Shhhhh…” belum sempat aku berpaling, kak Nija mencapai tanganku. “Harith!”


Darah panasku naik ke muka. Punyalah besar Kuala Lumpur, kenapa perlu dia datang ketempat yang sama?


“Biar betul kak?” Dalam debar aku mempersoalkan pandangan kak Nija. Mungkin dia tersalah orang.


“Betul!!” Tegasnya dengan suara sedikit tinggi, mungkin geram kerana aku tidak mempercayai kata-katanya. “Dengan perempuan –“ dan pemberitahuan itu tidak lagi boleh menahan aku. Aku cepat sahaja menoleh dan kebetulan yang sangat cantik kerana ketika itu, Harith sedang menyuap makanan ke mulut – LALA!


Aku kembali memandang kak Nija yang sedang merenungku dengan emosi bercampur-baur. Rasa marah dan geram seakan tidak tertanggung. Harith menuduh aku menduakan dia sedangkan dia yang sedang sedap-sedap menyuap makan anak orang. Dan yang paling membuat hatiku semakin mendidih, orang itu ialah Rafila, sepupuku sendiri!


“Nak buat apa ni?” Tanya kak Nija sambil menggenggam tanganku. Aku tahu, dia takut kalau aku tiba-tiba meroyan di situ. Aku tarik nafas dalam-dalam. Tarik-hela,tarik-hela beberapa kali dan beristighfar. Aku pujuk-pujuk hati, mungkin Istiqarah’ku telah terjawab.


“Ara nak jumpa diorang.” Buntang mata kak Nija mendengarkan kata-kataku.


“Biar betul Ara. Tak payahlah…” pujuknya dengan wajah risau.


“Ramai orang ni kak. Takkan dia berani nak buat benda gila. Lagipun akak kan ada.” Aku bingkas. Kak Nija juga. Bebola daging di dalam pinggan yang berbaki lagi tujuh biji sudah tidak lalu aku telan. Mujurlah pinggan kak Nija sudah kosong.


Aku melangkah peralahan-lahan ke arah Harith yang masih belum sedar. Manakan mungkin dia sedar, perhatiannya ketika itu seratus-peratus tertumpu kepada Rafila.


“Assalamualaikum,” lembut aku memberi salam. Romeo dan Juliet di depanku ini betul-betul terkejut. Harith sepantas itu juga menarik tangannya yang sebelum ini melingkar di bahu Rafila dan berdiri. Aku paksa diri untuk senyum, paksa diri untuk nampak kuat. “Dating?” Soalku, masih dalam nada yang sama.


“Eh, buat apa kat sini?” Dia menjawab soalanku dengan soalan. Cara lazim untuk orang yang sedang membuat kesalahan.


“Makan,dengan kak Nija. Korang dating ke?” Aku asak dia lagi.


“I rasa you dah salah faham ni.” You? Sejak bila pula dia ber’I-you’ dengan aku? Ah, ikutkan sahajalah rentaknya kerana aku terasa seperti ingin mendera.


“Oooohhh…I salah faham? You yang sibuk bersuap-suap, I pulak yang salah faham? Dengan I pun you tak suap-suap macam tu.” Sengaja aku meleret-leretkan suara, buat-buat manja. “And you Lala, tak malu ke? Dah tak ada lelaki lain ke sampai boyfriend sepupu you pun you nak rampas?” Aku bagi pula sedas kepada Rafila yang sibuk memintal hujung rambut, seperti tidak ada rasa bersalah di sisi Harith.


“Eh,jaga sikit ye mulut kau. Harith kata korang dah takde apa-apa!” Dan aku terpukul dengan kenyataan itu. Beraninya dia! Dasar perempuan tidak tahu malu!


“Shut up, Lala!” Sejuring senyum sinis di bibir Rafila hilang. Mungkin dia tidak sangka yang Harith akan menegurnya dengan nada sebegitu. Aku bersorak dalam hati. “We need to talk.” Harith ketika itu cuba memegang tanganku.


“Eh, kita dah takde apa-apa lagi, kan?” Aku ambil peluang itu untuk menyindir Harith. Senangnya manusia di depanku ini. Dia fikir aku apa? Dia lupa agaknya apa yang telah dia lakukan kepadaku? Cerita hari itu belum habis, hari ini sudah ada cerita baru. Nampak sangat yang aku memang harus tamatkan segala cerita antara kami berdua.


“Ara.” Nadanya sudah berubah. Aku tahu barannya sudah naik, tetapi ditahan kerana banyak mata sudah mula memerhati. “I dengan Lala takde apa-apa ok. Kitorang keluar minum aje.”


“Tapi, abang janji nak kahwin dengan Lala!” Tiba-tiba watak utama drama sudah bertukar. Aku bukan lagi heroin di sini. Ketika ini aku semakin pasti dengan keputusanku. Segala yang aku risaukan selama ini, sudah terjadi.


“Shut up Lala! Aku suruh diam, kan!” Jerkah Harith tiba-tiba. 


Aku terasa jari-jari kak Nija mencangkup lenganku. Nampaknya Harith menyalurkan barannya kepada Rafila. Aku tidak terkejut. Aku sudah selalu kena dan sekarang giliran Rafila pula untuk mengenali bahagian Harith yang satu lagi. Rafila mula teresak. Ah,dia kan memang Ratu Drama!


Situasi kami semakin menarik perhatian orang ramai. Kak Nija menarik hujung bajuku, memberi isyarat untuk menamatkan segalanya dan pergi.


“Sorry, I takde benda nak cakap dah dengan you.” Aku cabut tanda risik dari jari manisku dan letak cincin belah rotan itu ke atas meja. Ketika itu terasa seperti ada satu beban turut sama aku lepaskan dari bahuku. Aku rasa bebas. Harith buat muka tidak percaya. “i dengan you, habis kat sini.”


“Ara, please.” Aku tepis tangannya. Aku tidak akan bagi peluang untuk tangan itu jatuh ke atas badan aku lagi.


“Assalamualaikum.” 


Aku tidak tunggu salamku bersahut. Aku tarik kak Nija meninggalkan tempat yang semakin dikerumuni. Masuk ke dalam kereta, aku menangis semahu-mahunya, melepaskan segala rasa yang kupendam sejak tadi. Walaupun aku telah membenci Harith, dia tetap pernah meninggalkan banyak kenangan manis di dalam hidupku.


Begitulah berakhirnya cerita cinta pertamaku! 



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.