77,620
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
BAB 42

               

               Selepas makan tengahari di Teluk Bahang, Zaqhwan ke Toy Museum dan kemudian menghabiskan masa bersiar-siar di sekitar Feringghi Sidewalk Bazaar. Bayang Arya yang diharap akan muncul di mana-mana langsung tidak kelihatan.

               Bayu petang berpuput lembut, membuai-buai mesra dedaun pepohon angsana dan akasia yang tumbuh di tepi pantai. Matahari semakin condong ke barat namun masih memancar terang. Zaqhwan melepaskan lelah di sebuah tempat duduk di persiaran kaki lima yang menghadap ke arah laut yang terbentang luas. Sambil duduk-duduk berehat menanti Syeikh Ziyad, persoalan tentang Arya timbul semula dibenaknya. Persoalan yang masih belum terjawab.

               Otaknya masih ligat mencari jawapan. Bagaimana Arya tiba-tiba sahaja ghaib, menghilangkan diri semula. Meninggalkan dirinya sendirian terkapai-kapai dihempas perasaan rindu.

               Selepas dia diberikan cuti sakit dan terlantar di rumah akibat diserang dan dipukul, dia bertugas semula tapi cuma beberapa minit sahaja sebelum dia menerima panggilan bahawa Aqilah telah dimasukkan ke wad Hospital KPJ Petaling Jaya. Dia langsung tidak berpeluang berjumpa dengan Arya.

               Beberapa hari kemudian dia menyambung tugas semula dan Arya dikhabarkan telah meletak jawatan 24 jam. Arya dikhabarkan tidak memberikan sebarang alasan kukuh malah tergesa-gesa pula meninggalkan pejabat.

              Dia begitu kecewa. Arya langsung tidak memberitahunya malah Arya tidak dapat dihubungi. Talian telefonnya juga sudah tidak aktif. Kali terakhir mereka berhubung ialah ketika dia mempelawa Arya melawat Aqilah. Itu pun melalui aplikasi whatsapp. Dia tidak menyangka itu adalah kali terakhir mereka berhubung. Tindakan Arya membuatkan jiwanya tertekan. Luka lamanya berdarah dan bernanah kembali.

               Fikirannya menjadi kusut. Berminggu-minggu dia berkeadaan sugul tak ubah seperti ayam berak kapur. Dia bertengkar dengan Siti Aqilah bila Siti Aqilah dapat menghidu tembelangnya. Kali ini bertambah geruh. Dia merasakan ada beberapa orang rakan sepejabat yang dengki dan iri hati telah menghasut isterinya, membongkar rahsia hubungannya dengan Arya.

               Siti Aqilah bertindak memeriksa handphonenya dan menemui bukti hubungan mesranya dengan Arya melalui rekod foto dan perbualan aplikasi whatsApp. Siti Aqilah berang.  Mereka bergaduh besar. Aqilah telah merujuk masalah mereka ke mahkamah syariah.

               Kadang kala dia sendiri tidak tahu, apakah wajar dia bertindak sedemikian semata-mata kerana Arya. Namun kini ia mula sedar semuanya sudah terlambat. Langkah sudah pun diatur. Tidak perlu dipersoalkan lagi. Semuanya telah terjadi. Gelombang cinta Arya membadai jiwanya.  Kerana kehadiran Arya begitu istimewa buatnya.  

               Dia masih tidak mengerti mengapa dahulu mereka diserang oleh kumpulan samseng ketika dalam perjalanan pulang dari Bukit Jugra. Seingatnya dia tidak mempunyai musuh.  Malah tidak pernah memusuhi sesiapa pun.

               Adakah Arya menjadi buruan sendiket pelacuran?, penyeludupan manusia seperti telahannya dulu?. Atau ada komplot diantara kumpulan samseng itu dengan Arya?. Sebab itu Arya sedikit pun tidak cedera sedangkan dia hampir tewas, longlai dan jatuh pengsan. Tanggapan jahatnya terhadap Arya datang menghantuinya semula.

               Adakah Arya masih mahu berlakon di hadapannya lagi, dan sebab itu dia melarikan diri kerana takut rahsianya terbongkar.  Kenapa pelawaannya agar datang melawat Siti Aqilah di hospital tidak ditunaikan sedangkan Arya berjanji mahu melawat isterinya itu? Fikiran Zaqhwan bertambah kusut. Gadis yang semakin dicintai, semakin mengucar-ngacirkan hidupnya pula.

     “Ah, Arya, sekali lagi kau telah mengecewakanku. Tapi aku akan tetap menjejakimu!. Aku tidak akan mengalah.”

               Telefon Zaqhwan berbunyi. Dia tersenyum gembira sambil lekas-lekas menjawabnya. 

     “Hei Bro, hang ada kat mana?”, tanya Ziyad.

     “Haaa, Ziyad lama betul aku tunggu. Sehari suntuk kau tau. Aku ada kat Batu Feringghi ni.”

     “Maaf la, selagi belum cukup time mana boleh keluaq.”

     “Tak pa aih…aku faham”, ujar Zaqhwan.

     “Tunggu situ noo. Sat lagi aku sampai. Hang ada kat mana tu?”

     “Alah, aku ada atas bangku tepi pantai ni je. Bawah pokok sena besaq ni. Pakai baju t shirt warna oren. Dari jauh pun boleh nampak. Kalau tak jumpa, hang call la . Aku tunggu kat sini.”

     “Okey, dalam dua puluh minit aku sampai.” Ziyad menutup telefonnya.

               Pelawat yang datang semakin ramai. Suasana semakin bising. Ada yang berada di pantai untuk mandi manda dan ada juga yang hanya bermain-main di gigi ombak. Tidak kurang juga yang sudah sibuk meninjau-ninjau gerai-gerai di tepi jalan. Suasana bertambah meriah bila malam menjelang tiba, apabila pasar malam akan mula beroperasi.

               Zaqhwan yang leka merenung laut dan seronok memerhati gelagat manusia terkejut bila bahunya ditepuk oleh seseorang. Di belakangnya, Syeikh Ziyad tersenyum mesra.

     “Hah, sampai jugak hang kat pineng ni no?”, gurau Ziyad sambil menyalami Zaqhwan.

     “Ha ha…aku ingat kalau lima minit lagi hang tak mai, aku balik la.”

     “Eh, hang ni nak merajuk pulak dah.”

     “Hi hi hi. Bukan apa, naik lenguh lutut aku tunggu hang. Hang la ni nampak makin tembun noo.

     “Ha ha...biasalah hati senang. Masalah kurang.  Tapi awat aku tengok hang nampak serabai semacam je ni? Tak macam dulu?”

     “Eh okeylah ni, serabai apanya. Cepat hang sampai? Hang dari W.I.G Georgetown ka dari W.I.G Seberang Jaya?”, Zaqhwan mahu mengubah tajuk perbualan.

     “Pukui 3.30 petang tadi aku dah bertolak dari Seberang Jaya. Aku volunteer hantaq barang dan dokumen company ke W.I.G Georgetown.”

     “Oh, patut cepat sampai.”

     “Aku nak jumpa hang tu yang aku ambik kesempatan nak ke sini tu.”

     “Oh, hang masih bijak macam dulu noo”, gurau Zaqhwan.

    “Ha..ha..ha..hang pun pandai bergurau macam dulu jugak noo. Eh, hang mai sorang ja ka? Mana anak isteri hang?”

     “Depa ada kat rumah. La ni aku ada problem, Yard. Sebab tu aku cari hang.”

     “Problem?…ah berat ni Zaqh.” Ziyad sedikit terkejut. Dia menganggap Zaqhwan sedang menghadapi masalah rumahtangga. Sebab itu Zaqhwan datang seorang diri.

     “Bukan masalah aku dengan isteri, Yard. Ada masalah lain lagi”, ujar Zaqhwan seperti dapat meneka apa yang sedang difikirkan oleh Ziyad. Ziyad tambah terkejut.

     “Lagu ni la, kita pi minum kat kedai hujung sana nu. Baru sedap nak ceghita. Aku pun belum minum ayaq lagi ni. Dah pedih tekak dah ni” ajak Ziyad. Zaqhwan bingkas bangun dan menuruti saja langkah Ziyad.

     “Ha, apa masalah hang? Mana tau aku boleh bantu”, pinta Ziyad selepas mereka berdua memesan makanan dan minuman.

               Zaqhwan menceritakan dari A hingga Z, bagaimana Arya tiba-tiba muncul di hadapannya, menjalin hubungan cinta dan kemudian hilang dalam radar hidupnya. Zaqhwan mengakui bahawa dia benar-benar sudah jatuh cinta dengan Arya. Sebab itu dia sanggup berkelana untuk mencari Arya.

               Ziyad terasa ingin ketawa mendengarnya tapi melihatkan keadaan Zaqhwan yang benar-benar mahukan pertolongannya, dia tidak sampai hati malah bersimpati pula. Benarlah telahannya dulu ketika Zaqhwan meminta nombor telefon Arya darinya. Mula-mulatanya khabar, kemudian tak sabar dan lepas tu menyambar. 

               Sungguh, Zaqhwan sudah benar-benar terkena rasukan dan panahan arjuna cinta Arya sehingga tidak mampu menolaknya lagi, sehingga sanggup pula mengabaikan rumahtangganya. Masalah yang sememangnya rumit dan sukar dimengertikan.

     “Aku faham masalah hang ni. Tak usah nak heran, memang ada ceghita lagu ni di seluruh dunia. Memang ramai yang dah terkena bahana cinta ni. Hang tau dak, Arya tu memang ramai orang suka. Maklumlah cantik, putih, berkebolehan dan pandai ambil hati. Lagi-lagi renungan matanya. Hisssh…aku pun tak berani bertentang mata dengannya. Bukan calang-calang orang boleh tackle dia. Pendek kata untunglah siapa yang dapat dia tu. Hang nak tau, bos W.I.G tempat lama dia kerja pun dok syok kat dia, tau? Lepaih tu aku dengaq dia dah pindah ke company hang. Rupa-rupanya hang pulak ‘sangkut’ kat dia”, ujar Ziyad panjang lebar. Sambil mahu mengambil hati sahabatnya itu, sempat juga dia mengenakan Zaqhwan. Zaqhwan hanya diam membisu, hanya memasang telinga.

    “Entah-entah dia dah ikut jantan lain kut?”

     “Aku tak fikir dia sanggup buat macam tu.”

     “Maaf la no, aku takut tersalah cakap”, pinta Ziyad bila menyedari dia terlepas cakap dan mungkin telah menyakiti hati sahabatnya itu.

     “Tak pa. Aku tau kau suka bergurau. Mana nak cari dia? Hang boleh tolong aku tak?”

     “Memang dia dulu duduk di pulau ni tapi tak taulah alamatnya yang sebenaqnya kat mana. Tunggu sat no. Aku tau macam mana nak cari alamatnya”, ujar Ziyad. Hati Zaqhwan mula berbunga. Harapannya tinggi menggunung.

               Ziyad mengeluarkan telefonnya dan mencari senarai nama kenalan.  Kemudian dia mula berbual rancak. Perbualan terakhirnya ialah bertanyakan tentang alamat Arya. Kemudian dia mengeluarkan sebatang pen dan mencatitkan sesuatu di atas sekeping kertas. Zaqhwan memandang dengan penuh harapan.

     “Lagu ni Zaqh, aku baru telefon member dia, Rinna. Dia ni bekas homemate Arya masa kerja kat sini dulu. Rinna pernah pergi ke rumah pak cik dan mak cik Arya di Balik Pulau. Kalau hang memang betoi-betoi nak caghi dia, jom aku bawak hang pi sana. Ni ada alamat dia”, Ziyad mengusulkan. Mata Zaqhwan mula bercahaya.

     "Eh, hang tak tanya dia ke?", Soal Zaqhwan ketika mereka mahu beredar.

     "Tanya? Tanya apa?"

     "Iyalah, pasal ada tak Arya contact dia baru-baru ni atau ternampak dia kat pulau ni."

     "Rinna habaq dah lama depa dua tak contact."

     "Ohhh...", Zaqhwan mengeluh perlahan.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh