Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,168,081
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab Bonus & Akhir...=)

31

MATA Putri Ariyana tidak berkedip apabila melihat beberapa keping foto dimuat naik oleh rakan-rakannya di facebook. Dia menekan perkataan komen dan melihat begitu banyak komen yang ditulis oleh pemilik-pemilik akaun di facebook. Satu persatu komen dibacanya.

"Ops..jejaka kacak Malaya ni dah kahwin?"

"Wow, siapa wanita bertuah tu? Anyway, congrats to Izzul Haq and his lovely wife. Hopefully, you will live happily until Jannah."

"Congrats to my dream hero. Uwaaaaa. Dah kahwin lah pulak!!!"

"Tahniah buat Izzul Haq dan suami. Wife you cantiklah. I ingatkan you kahwin dengan Putri Ariyana? Retis kan? Susah nak jaga. Anyway semoga anak-anak you nanti comel macam mak ayahnya. Boleh kita berbesan. Hahahhaha."

"Putri Ariyana? I tengok dia tu over lah. Tergedik-gedik keluar statement kat media. Yang aku hairannya, Izzul Haq say nothing about it. Mesti dia yang saja-saja buat cerita, kan? To Izzul Haq and wifi, ops wifeee...moga bahagia till Jannah."

"Hidup Izzul Haq! Aku dah agak. Takkan dia nak kahwin dengan retis. Sama-sama busy, bila nak dapat anaknya? Wakakakka."

"Cantik sangat ke Putri Ariyana tu? Togel je tak bertudung? Tengok wifi@wife Izzul Haq tu. Kan lawa bertudung. Suspect sama lu lah bro!

"Macam lawa sangat Putri Ariyana tu."

"Lawalah beb..Lawa tepek bedak.wakakakkaka."

"Apalah korang ni. Yang korang nak marah sangat dengan Putri Ariyana tu kenapa? Izzul Haq tak kata apa, korang pulak yang lebih."

"Hah. mamat nilah aku jumpa dalam flight ari tu. Satu line aje dengan aku. Dia duduk sebelah perempuan yang i guess de same person that he married to. Tahniah Izzul Haq!"

Putri Ariyana tidak dapat menahan perasaan lagi membaca komen-komen tentang Izzul Haq dan pasangannya. Bukan mereka berdua sahaja, malah dia yang lebih teruk dihentam oleh mereka. Putri Ariyana mengesat air mata yang tumpah lalu mendaftar keluar dari akaun facebook miliknya.

Jika hari ini dia telah dihentam, esok dia pasti akan menerima lebih banyak tekanan dari hari ini. Dia pasti para wartawan akan mencarinya, tambahan pula, sudah beberapa kali dia mengeluarkan kenyataan tentang hubungannya dengan Izzul Haq yang sering disebut kepada media sebagai "kami sedang mengenali hati budi masing-masing".

Dalam masa yang sama dia sengaja juga memberi teka teki kepada media yang dia bakal menerima sebuah kereta Porsche seperti yang dipandunya pada majlis pelancaran Porsche 911 Targa 4s tempoh hari. Tidak cukup dengan itu, dia memuat naik pula fotonya bersama Izzul Haq. Semua itu dibuat dengan tujuan untuk merapatkan lagi hubungannya dengan Izzul Haq tetapi sayang Izzul Haq bukan sebarang lelaki yang mudah jatuh cinta rupanya.

IRIS Suhayla masuk ke pejabat dengan perasaan berbunga. Perasaan itu kian berkembang dari hari ke hari. Alangkah bahagianya jika Izzul Haq selalu membuat kejutan seperti itu. Tiba-tiba menelefon dan memberitahu yang dirinya sudah berada di lapangan terbang seperti yang dilakukan awal pagi tadi. Pukul tiga pagi pun dia sanggup bangun asalkan yang mengejutkan tidur itu adalah Izzul Haq.

"Hai, senyum aje pengantin baru."

Cikgu Fatimah yang berdiri di sebelah menegurnya. Iris Suhayla terus menoleh ke arah Cikgu Fatimah. Tak disangka perasaan itu ketara pada wajahnya. Dia ingatkan perasaan itu hanya dirasai dirinya sahaja. Rupa-rupanya ada yang memerhati.

"Selalunya senyum Iris tu taklah sampai ke telinga."

Tambah Cikgu Fatimah lagi, mengusik. Dia pernah melalui pengalaman seperti Iris Suhayla dan dia mengerti akan perasaan itu. Segala-galanya manis diawal usia perkahwinan. Iris Suhayla senyum lagi.

"Tak adalah, kak."

"Hai, semua. Selamat pagi!"

Sapa Cikgu Khadijah pula. Dia menepuk belakang Iris Suhayla, lembut. Iris Suhayla senyum sahaja.

"Pengantin baru ni dah datang sekolah. Eh, akak tengok awak ni baru teringat nak tanya."

"Pasal apa tu, kak?"

Iris Suhayla bertanya sambil berjalan perlahan, beriringan dengan Cikgu Khadijah dan Cikgu Fatimah. Mereka berdiri di tepi pintu masuk ke pejabat. Beberapa orang guru yang baru tiba, mengangkat tangan pada mereka, tak kurang juga yang memberi salam.

"Suami awak CEO kereta mewah tu, ya?"

Cikgu Khadijah hampir berbisik. Iris Suhayla tersipu-sipu. Dia tidak menyangka soalan itu yang bakal ditanya sedangkan dia langsung tidak bersedia untuk menghadapinya. Persoalan tentang kerjaya si suami.

"Err...saya tak tanyalah pulak. Dia pun tak cerita."

Jawab Iris Suhayla, berterus-terang. Dia mendengar cerita tentang kerjaya si suami pun dari Siti Hajar tetapi dia tidak pula bertanya tentang hal itu kepada Izzul Haq sendiri. Bahkan Izzul Haq sendiri tidak pernah bercerita tentang kerjayanya.

"Aik? Biar betul awak ni, Iris! Kerja suami pun tak tahu." Cikgu Fatimah pula menambah.

"Tapi akak rasa dah memang betul si Iris ni kahwin dengan CEO kereta tu. Kalau tak, takkan berani dia bawa staf sekolah ke majlis perkahwinan dia. Bawa dengan kapal terbang pulak tu."

"Nama dia pun sama. Izzul Haq bin Dato' Izhar."

Tokok Cikgu Fatimah lagi. Kebetulan Zakwan melintasi mereka. Iris Suhayla sempat mengecam wajah itu namun Zakwan berjalan tanpa menoleh ke arah mereka.

Kringgggggggg! Loceng sekolah telah berbunyi. Iris Suhayla menarik nafas lega kerana dia boleh menyelamatkan diri dari banyak lagi soalan-soalan peribadi tentang keluarga barunya.

"Saya ke kelas dulu, ya. Tertanya-tanya pulak Kak Nisa nanti."

"Okay. Eh, mana si Siti Hajar. Biasa kan datang bersama?"

"Oh, Siti Hajar cuti sakit. Dia tak datang hari ni."'

Jawab Iris Suhayla, terkenang akan panggilan telefon yang dibuatnya pagi tadi. Dia bercadang hendak menjemput Siti Hajar di rumah memandangkan dia bersama Izzul Haq di lapangan terbang namun Siti Hajar memberitahu yang dia tidak sihat, lalu dia terus dihantar ke sekolah.

IZZUL Haq tiba di pejabat hampir sebelas pagi. Dia menaiki pesawat paling awal dari Labuan ke Kuala Lumpur selepas menghantar Iris Suhayla ke sekolah. Kemudian, dia kembali ke lapangan terbang dengan menaiki teksi.

"Selamat pagi, bos a.k.a pengantin baru."

Ucap Aina sebelum dia memulas tombol pintu. Izzul Haq tidak jadi masuk ke dalam biliknya. Dia memusing badan menghadap Aina. Aina senyum mengusik. Dia seakan dapat menjangka soalan cepu emas dari Izzul Haq.

"Mana awak tahu?"

"Tu. Tiga inai dijari. Lagipun gambar majlis bos dah banyak saya jumpa kat facebook."

Beritahu Aina, berterus-terang. Semenjak hari Rabu minggu lepas gambar-gambar di majlis perkahwinan Izzul Haq tersebar di internet dan facebook. Biarpun majlis itu dijalankan secara senyap dan tanpa kehadiran wartawan namun ianya tetap tersebar juga dengan meluas. Barangkali ia dimuat naik oleh saudara mara atau rakan taulan yang menghadiri majlis tersebut. Izzul Haq melihat tiga jarinya yang dicalit inai sehari sebelum majlis perkahwinan mereka.

"Saya mungkin boleh sekat media, tapi mana saya mampu sekat kalau gambar-gambar tu diupload ke facebook."

Keluhnya perlahan. Dia hanya ingin membuat pengumuman tentang majlis perkahwinan mereka pada bulan enam nanti, apabila tetamu luar dijemput ke majlis mereka yang ketiga namun barangkali sudah ramai yang menagih jawapan darinya.

"Jom sembang di dalam."

Pelawa Izzul Haq kepada Aina. Aina tidak membantah. Seperti biasa, dia akan membawa jadual harian Izzul Haq serta buku catatan untuk mencatit segala arahan Izzul Haq. Aina menolak pintu bilik Izzul Haq dengan cermat.

"Jadual bos untuk dua ke tiga minggu akan datang sangat padat sebab saya dah rombak semula jadual bos minggu lepas. Hari ni bos ada meeting dengan syarikat kargo May Wah di company mereka pukul dua setengah petang. Kemudian, bos ada jemputan ke Makan Malam bersama Anak Yatim Seri Setia. Acara bermula pukul lapan malam."

Terang Aina sambil mengamati jadual kerja Izzul Haq. Selesai memberi penerangan, dia duduk apabila diminta.

"I got it. Siapa ikut saya ke majlis makan malam tu?"

"Unit Kebajikan."

Jawab Aina, ringkas. Dia memerhati gaya Izzul Haq namun lelaki itu tidak berubah sedikit pun selepas perkahwinannya. Barangkali tiada siapa yang tahu Izzul Haq sudah beristeri jika tidak kerana gambar-gambar yang tersebar itu. Agaknya siapa wanita yang bertuah dapat menjadi permaisuri hidup lelaki yang menjadi dambaan wanita itu? Pasti ramai yang mencemburui isterinya kelak, termasuklah dirinya sendiri.

"Bos, siapa wanita bertuah tu?"

Tanya Aina, tidak sabar ingin tahu. Izzul Haq tidak menjawab, sekadar menghadiahkan senyuman. Perlukah dia mendedahkan Iris Suhayla?

"Isteri sayalah." Dalih Izzul Haq kemudian. Aina menarik muka masam.

"Iyalah. Siapa namanya? Apa kerjanya? Di mana bos jumpa dia? Berapa umurnya? Kenapa bos pilih dia?"

"Huh, banyak soalannya. Yang mana satu nak jawab pun tak tahulah."

Izzul Haq mengusik. Dia cuba sebaik mungkin untuk mengelak segala pertanyaan tentang Iris Suhayla. Nama Iris Suhayla sekalipun kalau boleh, dia tidak mahu mereka mengetahuinya. Biar dia sahaja yang tahu segala sesuatu tentang Iris Suhayla.

"Jawablah satu-satu. Alah, bos ni macam tak percaya aje dengan saya."

Balas Aina, berjauh hati. Dia tahu Izzul Haq tidak mahu bercerita tentang isterinya. Jika tidak, pasti sudah lama Izzul Haq memberitahu yang dia akan berkahwin. Tindakannya berkahwin secara rahsia itu pun cukup memberi gambaran tentang lelaki itu.

"Bukan tak percaya tapi-"

"Memang saya tak percaya pun."

Tambah Izzul Haq lambat-lambat. Dia ketawa apabila Aina menarik muka sekali lagi.

"Don't worry. When the time comes, I will introduce her personally to you."

Beritahu Izzul Haq lagi. Aina mencebik sebelum mengangkat punggung. Dia berjalan menuju ke muka pintu namun berpaling semula menghadap Izzul Haq.

"Bos tak nak beritahu tak apa. Nanti saya korek rahsia bos. Jagalah bos!"

"Saya mogok hari ni. Bos jangan minta kopi dari saya."

Tambah Aina lagi. Izzul Haq terus ketawa. Sesekali gelagat Aina mencuit hati juga.

"Saya tak nak kopi hari ni. Tolong buatkan saya teh, ya. Cepat sikit!"

Arahnya sebelum Aina meloloskan diri di sebalik daun pintu.

IRIS Suhayla berhenti menanda buku tulis anak-anak muridnya. Satu persatu bentuk huruf diperbetulkan. Walaupun bulan keempat bakal bermula esok namun banyak lagi kelemahan yang dapat dikesan pada tulisan anak-anak muridnya. Paling membuatkan dia pening bila melihat tulisan Sofea. Sudah banyak kali dia memegang tangan Sofea, membimbing Sofea untuk menulis di atas garisan biru namun Sofea masih juga belum dapat menyerap ajaran itu. Tulisan Sofea lebih layak digelar sebagai tulisan cakar ayam. Murid itu main tulis dan main hentam asalkan kerjanya siap. Dia menyemak pula buku tulis Awang Putih.

"Astaghfirullah hal azim. Dia tak buat pun kerja yang aku bagi."

Omelnya sambil mengetuk kepala sendiri. Kak Nisa mendekati sambil melihat buku tulis Awang Putih. Kemudian, dia ketawa gelihati. Iris Suhayla mengangkat muka.

"Ops. Iris ni stress sangat. Relax saja. Budak-budak memang macam ni."

"Tak bolehlah, kak. Macam mana saya nak senyum? Tengok buku Sofea, tulisan cakar ayam! Tengok pulak buku Awang, kosong! Dia tak buat langsung kerja yang saya beri, padahal saya guide dan beri jawapan lagi. Baru dua buku saya semak. Belum lagi buku-buku lain ni. Aduhhh."

Komen Iris Suhayla sambil menolak dua buku itu ke arah Kak Nisa. Kak Nisa mengambil kedua-dua buku itu lantas menyelaknya. Kemudian, dia ketawa lagi tapi Iris Suhayla sakit hati. Kepalanya terasa sakit dek perangai anak-anak muridnya itu. Dia memicit-micit kening. Urat-urat itu terasa sakit apabila dipicit.

"Kalau hari-hari stressmacam ni, mahu gila umur empat puluh ni."

Seloroh Iris Suhayla. Kak Nisa ketawa juga. Kemudian dia meninggalkan Iris Suhayla, meneruskan tugasnya mengemas dan menyapu lantai.

"Pergilah ambil angin di luar. Jalan-jalan pusing sekolah."

Kata Kak Nisa lagi, memberi cadangan. Iris Suhayla tidak menjawab. Hanya mata sahaja yang berkedip-kedip. Cadangan Kak Nisa itu bernas juga. Dia tidak sepatutnya berkurung sahaja di dalam kelas apatah lagi menghadap rutin harian yang selalu mendatangkan tekanan itu.

"Betul jugak, kan? Jom ke kantin nak? Saya belanja makan. Gaji saya dah masuk."

Dia pula memberi cadangan kepada Kak Nisa. Kak Nisa berhenti menyapu kemudian meletakkan penyapu itu di sudut kelas. Dia tergopoh-gopoh memakai selipar di luar.

"Cepatlah. Tak sabar sia mo makan."

Panggil Kak Nisa, berdiri tegak di luar. Iris Suhayla mengemas mejanya sambil ketawa mengekek.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.