“Apa nak jadi dengan kau ni Along?
Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat
sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan aku?”, marah ibu. Along hanya
membungkam. Tidak menjawab sepatah apapun. “Kau tu dah besar Along. Masuk kali
ni dah dua kali kau ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba
la kau ikut macam Angah dengan Alang tu. Kenapa kau susah sangat nak dengar
nasihat orang hah?”, leter ibu lagi.
Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan
diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia melihat si
ibu berlalu pergi dan kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali ini darah
Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi
seperti selalu. “Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul
anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!” Jerkah ibu. Along semakin berdebar-debar
namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong.
Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu
semakin bengang. ” Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau,
suka sangat cari penyakitkan, sekarang nah, rasakan!” Si ibu merotan Along
berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along menjerit kesakitan.
“Sakit bu…sakit….maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi….Bu, jangan
pukul bu…sakit bu…” Along meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya
lagi. “Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?” Balas ibu lagi.
Kali ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang kurus itu.
“Bu…ampunkan Along bu…bukan Along yang mulakan…bukan Along….bu, sakit bu..!!”,
rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih. Along memaut kaki si
ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan tetap
mengenai tubuhnya. Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan
tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak
jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula
berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis
kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak
mata si ibu. Along memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan
ibunya menangis lagi kerananya.
Malam itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak dapat
dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah
yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu sangat memuncak.
Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah tadi menyebabkan
pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah untuk membuat aduan
kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat menjeling ibu di
sebelah. Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua
kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang. Si Malik anak pengetua itu
bebas seolah-olah sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat
sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja
tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di
tubuhnya dek rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih
tetap terasa pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali
ini Along merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu
lelap. Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika
dahulu sangat mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam
SPM, kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di
wajah tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along sedar, dia
telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam
SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu walau adakalanya
kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang pada ibu. Dialah
satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu lagi.
Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya
terlalu cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam
kelelahan melayani perasaan, Along terlelap juga.
Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya.
Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu.. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang
dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu
kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang ibu
yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian mencacap
makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan
usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum sempat dia melangkah
ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji terus meluru ke
arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil
memerhatikan mereka..
” Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?” Tanya
Atih kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai
jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang lincah menghiris
sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu. Sementara Along
disebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang telinganya. “Ibu, Atih
nak rasa ayam ni satu boleh?” ” Eh jangan, nanti dulu. Ibu tau Atih lapar, tapi
tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik
atas mandi dan tukar baju dulu ye!”, si ibu bersuara lembut. Along menarik
nafas panjang dan melepaskannya perlahan. ‘anak-anak kesayangan ibu nak balik
rupanya..’ bisik hati kecil Along. “Kak Ngah dengan Alang nak balik ke ibu?”,
soalnya lagi masih belum berganjak dari dapur. Si ibu mengangguk sambil
tersenyum. Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. “Oooo patutlah ibu masak
lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along balik, ibu
tak masak macam ni pun?”. Along terkejut mendengar soalan Atih Namun dia ingin
sekali tahu apa jawapan dari ibunya. “Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah
dengan Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan sekali ja!”,
terang si ibu. “Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni dekat Along pun..”,
soal Atih lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan. Along mula terasa
sebak. Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada
perasaan dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya.
“Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang
dekat stesen bas.” , arah ibu. Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya di
dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak senang jika Atih
terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak yang derhaka yang selalu
menyakiti hatinya.. Apa yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula
membuat hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang
perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.
Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat
Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai,
kakinya tiba-tiba berhenti melangkah Matanya terpaku pada sepasang jubah putih
berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik. ‘Cantiknya, kalau ibu
pakai mesti lawa ni….’ Dia bermonolog sendiri. Along melangkah masuk ke dalam
kedai itu. Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba disentuh
seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya. “La…kau ke,
apa kau buat kat sini?”, tanya Along ingin tahu sambil bersalaman dengan
Fariz.. “Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat sini?”,
soalnya pula. “Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku
ingat nak kasi mak aku!”, jelas Along jujur. “waa…bagus la kau ni Azam. Kalau
kau nak beli aku bagi less 50%. Macammana?” Terlopong mulut Along mendengar
tawaran Fariz itu. “Betul ke ni Riz? Nanti marah kakak kau!”, Along meminta
kepastian. “Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya!”, balas Fariz
meyakinkannya. “Tapi aku kena beli minggu depan la. Aku tak cukup duit sekarang
ni.” Cerita Along agak keseganan. Fariz hanya menepuk mahunya sambil tersenyum.
“Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-sikit..” Kata Fariz . Along hanya
menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika
ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi. “Dekat kau ada berapa
ringgit sekarang ni?”, soal Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya
itu. Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam yang
semakin lusuh itu. “Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang
beli minggu depan. Kau jangan jual dulu baju ni tau!”, pesan Along
bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum.
Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah
tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang
rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika
kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari
sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak. Syukur masih
ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas meja.
Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing kesayangan
arwah ayahnya. “Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?”,
soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya daripada
menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan. “Kenapa tak makan kat luar ja? Tau
pulak, bila lapar nak balik rumah!”, leter ibu lagi. Along hanya diam. Dia
terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka selamber seperti tidak ada
apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di meja makan.
Mereka berdiri di sisi ibu yang masih memandang ke arahnya seperti tidak
berpuas hati. “Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana Along, ibu
kena marah dengan pengetua tu.” Marah Angah, adik perempuannya yang sedang
belajar di MRSM. Along mendiamkan diri.. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab
kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil
jalan untuk membisu sahaja.. “Along! Kalau tak suka belajar, berhenti je la.
Buat je kerja lain yang berfaedah daripada menghabiskan duit ibu”, sampuk
Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah berasrama penuh. Kali ini
kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin terluka melihat sikap mereka
semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka. Along mengangkat mukanya
memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi.
Dia segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya.
Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan
memikirkan kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan
semakin membencinya. Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah.
Dia akan mencari kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu
bermula esok. Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along
terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar
daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu
menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan selama
seminggu. Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama beberapa hari justeru
dia terpaksa berbohong agar ibu tidak bimbang dengan tindakannya itu. Along
menunggang motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib
menyebelahinya, tengah hari itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai
pembantu di bengkel membaiki motorsikal dengan upah lima belas ringgit sehari,
dia sudah rasa bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat
membeli jubah untuk ibu. Hari ini hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si
ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga
berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh
setiap kali terpandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat
apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.
Seperti selalu, Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sikap
Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang
luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya menumpangkan Along di
rumahnya dengan percuma. “Azam, kalau aku tanya kau jangan marah k!”, soal
Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah hari itu.
“Macam serius jer bunyinya Abang Joe?” Along kehairanan. “Sebenarnya, kau lari
dari rumah kan ?” Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke
dalam mulut tersembur keluar Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat
keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air. “Kenapa lari dari rumah?
Bergaduh dengan parents?” Tanya Abang Joe lagi cuba menduga. Soalan Abang Joe
itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along mendiamkan diri. Dia terus
menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan. Dia cuba menundukkan
mukanya cuba menahan perasaan sedih. “Azam, kau ada cita-cita tak….ataupun
impian ker…?” Abang Joe mengubah topik setelah melihat reaksi Along yang kurang
selesa dengan soalannya tadi. ” Ada ” jawab Along pendek “Kau nak jadi apa
besar nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku….atau….”
Along menggeleng-gelengkan kepala. “semua tak…Cuma satu je, saya nak mati dalam
pangkuan ibu saya.” Jawab Along disusuli ketawanya. Abang Joe melemparkan
tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab soalannya itu. ” Ala ,
gurau ja la Abang Joe. Sebenarnya….saya nak bawa ibu saya ke Mekah
dan….saya….saya nak jadi anak yang soleh!”. Perlahan sahaja suaranya namun
masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum mendengar
jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak yang
begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum
pernah ada cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah.
Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja masing-masing.. Tidak
seperti selalu, petang itu Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan
dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi. “Abang Joe, hari ni, saya nak balik
rumah …terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni”, ucap Along
sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang mencuci tangannya
hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu pulang ke
pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu. Ini
menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak “Abang Joe, jaga diri baik-baik.
Barang-barang yang saya tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk
Abang Joe.” Kata Along lagi “Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka
ke rumah aku!?”, soal Abang Joe. Dia risau kalau-kalau Along menyalah anggap
tentang soalannya tadi. Along hanya senyum memandangnya. “Tak apa, saya bagi
kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa tak mampu nak balas
budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni semakin maju.” Balasnya
dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang abang memeluk
adiknya yang akan pergi jauh.
Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli
jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana , tanpa berlengah dia terus ke
tempat di mana baju itu disangkut. ” Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu mak kau
ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari rumah ke?”, soal Fariz setelah menyedari
kedatangan sahabatnya itu Along hanya tersengeh menampakkan giginya. “Zam, mak
kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk
si Malik tu?” “Tak pe lah, perkara dah berlalu….lagipun, aku tak nak ibu aku
terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni”, terang Along dengan tenang.
“Kau jadi mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah”,
kata Fariz lagi. “Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak
kisah.” “Zam..kau ni…..” “Aku ok, lagipun aku sayang dekat ibu aku. Aku tak nak
dia sedih dan ingat kisah lama tu.” Jelas Along memotong kata-kata si sahabat
yang masih tidak berpuas hati itu. “Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong
balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali, k!”, pinta Along sambil
menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu. “No problem…tapi, mana kau dapat
duit? Kau kerja ke?” , soal Fariz ingin tahu. “Aku kerja kat bengkel Abang
Joe.. Jadi pembantu dia”, terang Along. “Abang Joe mana ni?” “Yang buka bengkel
motor kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!”, jelas
Along dengan panjang lebar. Fariz mengangguk . “Azam, kau nak bagi hadiah ni
kat mak kau bila?” “Hari ni la…” balas Along. “Ooo hari lahir ibu kau hari ni
ek?” “Bukan, minggu depan…” “Habis?. Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?”,
soal Fariz lagi. “Aku rasa hari ni je yang yang sempat untuk aku bagi hadiah
ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi.” Jawabnya sambil
mengukir senyum.
Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak
sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil
menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima
hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang
hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang cuba mengelak
daripada melanggar seekor kucing hilang kawalan dan terus merempuh Along dari
depan yang tidak sempat mengelak. Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along
terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di kepala dan
belakangnya. Topi keledar yang dipakai mengalami retakan dan tercabut daripada
kepalanya, Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk
si ibu dan dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak
berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai
dari kotak itu. Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya
juga terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin
tersekat-sekat. Dalam keparahan itu, Along melihat kelibat orang-orang yang
sangat dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus
dirangkul seorang wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia
sekali apabila dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada
ibunya. Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil
namanya. Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu. Along
semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba menghulurkan jubah dan kad
yang masih digenggamannya itu. “Ha..hadiah….untuk…..ibu……….” ucapnya sambil
berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya.
Si ibu begitu sebak dan sedih. Si anak dipeluknya sambil dicium berkali-kali.
Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi. Pandangan Along
semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang
menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia pergi
untuk selama-lamanya.
Selesai upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama
Angah, Alang dan Atih. Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang
hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok
darah yang kering dibukanya lalu dibaca. ‘Buat ibu yang sangat dikasihi,
ampunkanlah salah silap along selama ini. Andai along melukakan hati ibu, along
pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf along bu..Along janji tak kan membuatkan
ibu marah lagi. Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu…
dan terimalah hadiah ini…..UNTUKMU IBU!’ Kad itu dilipat dan dicium. Air mata
yang bermanik mula berjurai membasahi pipi. Begitu juga perasaan yang dirasai
Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian
seorang abang yang selama ini disisihkan. Sedang melayani perasaan
masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati wanita tua itu lalu
mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini. “Makcik, ampunkan segala
kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan tu makcik.
Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat
kami Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat
lukisan Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa
Azam seorang pembunuh dan .. dia jugak cakap, ibunya seorang perempuan gila..”
cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di
ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana kesalahan menumbuk Malik.
“Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz?” Soalnya dengan sedu
sedan. “Sebab…..dia tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa dulu.
Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua
ketenangan yang makcik ada sekarang…walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi
dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula….”
Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi pihak
sahabatnya itu.
Si ibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Terasa seluruh anggota badannya
menjadi Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa
sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap
derhaka.