Home Cerpen Umum Makna Kemerdekaan Buat Aminah
Makna Kemerdekaan Buat Aminah
Aida Farzana
31/8/2017 23:44:42
1,340
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Tajuk: Makna Kemerdekaan Buat Aminah

Penulis: Aida Farzana binti Mohamad Taib

 

Setiap tahun pada hari ini keputusan biasiswa dari Akademi Yayasan Siti Aminah akan keluar. Lapan puluh bakal pelajar Akademi Yayasan Siti Aminah kelihatan gemuruh. Ada yang memejamkan mata. Ada juga yang menutup mulut dengan tangan mereka sendiri. Masing-masing cuba untuk menahan kegelisahan mereka seolah-olah masih tidak percaya dengan anugerah dan biasiswa yang bakal diterima.

Pelajar-pelajar yang hadir di situ ialah pelajar yang sudah ditapis berdasarkan kesungguhan dan pendapatan keluarga. Pengasas Akademi Yayasan Siti Aminah sendiri yang menemu-duga pelajar-pelajar tersebut. Skrin putih memaparkan nama-nama pelajar yang berjaya. Ada yang mula bersorak kegembiraan. Ada juga ibu-ibu tunggal menangis teruja. Mereka kelihatan sungguh gembira. Senyuman terukir dibibir dengan penuh kesyukuran.

Saliza meraup muka dengan kedua-dua belah tangannya. Langsung tidak pernah disangka anaknya yang sederhana pencapaian diberi peluang untuk melanjutkan pengajian selepas SPM di Akademi Yayasan Siti Aminah. 

“Alhamdullillah, syukur kepada Allah yang maha besar yang telah menghantar seorang wanita mulia untuk menemuduga dan memilih Ana.” Salizamenepuk-nepuk belakang bahu anaknya. 

“Janganlah menangis mak. Ana dah berjaya.”

Suliza menggangguk. Air matanya tetap tumpah penuh di pipi.

“Tahniah kepada semua calon yang berjaya menerima biasiswa dariYayasan Siti Aminah. Seterusnya marilah kita mendengar ucapan dari Puan Siti Aminah binti Awang, pengasas Akademi Yayasan Siti Aminah.” Gelombang suara pengacara di atas pentas membuat semua para hadirin mula diam. Semua mata tertumpu ke arah seorang wanita yang bertubuh kecil yang duduk di tengah-tengah pentas.

Wanita yang dimaksudkan itu berdiri dan berjalan dengan langkah sederhana menuju ke arah pembesar suara. Beliau memulakan bicara dengan kata-kata aluan dan ucapan tahniah kepada penerima biasiswa Akademi Yayasan Siti Aminah.

“Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya dan diharap semua penerima biasiswa akan terus berusaha dengan bersungguh-sungguh demi mencapaikecermelangan duni dan akhirat. Walasam.” Tepukan gemuruh mengiringi langkah Puan Aminah yang berjalan semula ke tempat duduk.

Itulah Puan Siti Aminah binti Awang. Seorang ibu tunggal dan juga usahawan antaraangsa yang disegani ramai.

65 tahun dahulu.

“Usia anak saya baru sahaja 12 tahun tuan.  Dia masih budak lagi. Saya rasa dia belum mampu untuk uruskan dirinya sendiri lagi apatah lagi uruskan suami.” Pak Awang bercakap sambil tunduk seolah-olah merayu di hadapan lelaki Inggeris yang menjadi majikannya sejak lima tahun lalu.

“Macam ini pak cik. Andai kata pak cik bersetuju, rumah ini dan ladang getah baru di hujung kampung ini akan jadi milik pak cik.” Lelaki bermata biru itu berkata-kata lagi.

“Tak boleh tuan.” Pak Awang membantah dengan matanya memandang tepat ke arah lelaki Inggeris itu.

“Pak cik pilih. Pak cik nak hilang kesemuanya termasuk anak pak cik atau pak cik beri saya Aminah secara baik-baik dan pak cik mendapat rumah dan kebun getah baru? Saya ingin menghormati pak cik sebagai bapa mertua saya. Keputusan ditangan pak cik.” Suara lelaki Inggeris itu semakin tegas.

“Tidak abang. Leha tak setuju.” Mak Leha muncul tiba-tiba dari balik langsir bilik.  Sebaik sahaja Mak Leha berdiri di hadapan lelaki Inggeris itu, dia terjelepuk di atas lantai. 

Pak Awang cuba menggangkat isterinya. Namun Mak Leha terus terlembik dan tidak berdaya untuk berdiri. Pak Awang dan Mak Leha hanya mampu mendoakan keselamatan Aminah dari jauh sahaja. Mereka tidak mempunyai apa-apa kuasa bagi menghalang lelaki Inggeris itu membawa Aminah entah ke mana.

Satu kawasan di Britain.

Dari jauh kelihatan rumah agam yang bertiang tinggi. Dinding batuyang berukiran itu membuat sesiapa sahaja terpesona. Kereta beroda empat memasuki halaman rumah yang kehijauan. Seorang wanita yang berpakaian hitam dan putih membuka pintu tinggi seakan pintu gerbang. Sebaik sahaja kereta berhenti wanita itu membantunya menggangkat barang-barang dari dalam kereta masuk ke rumah. Di satu sudut lain kelihatan wanita yang berpakaian sama membawa sedulang makanan naik ke tingkat atas.

Lelaki Inggeris yang datang bersama Aminah mengajaknya menaiki tangga batu yang bertiang besi. Di situ kelihatan banyak pintu-pintu bilik.Pasti ini rumah orang yang sangat kaya ini. Terdetik dalam hati Aminah. Di satu sudut kelihatan satu pintu kayu berukiran yang sangat cantik berbanding pintu di bilik-bilik lain. Lelaki Inggeris di hadapannya meminta izin untuk masuk ke dalam.

“Ini suami kamu, Aminah.” Terang lelaki Inggeris tadi.

“Suami?”

“Betul. Ini suami kamu. Dia ayah saya, Sir Smith. Sekarang dia sakit dan saya ingin kamu menjaganya sebagai mana orang Melayu menjaga suamimereka.”

“Tapi, bukankah hari itu saya dinikahkan dengan awak?”

“Ooo, saya silap. Hari ini saya ceraikan kamu dan kamu akan dinikahkan dengan ayah saya.” Selamba sahaja lelaki itu menjawab. Dia membiarkan sahaja Aminah terkial-kial keliru bersendirian. Kolam mata Aminah yang sentiasa bergenang tiba-tiba pecah tanpa dikawal. Apa ini?

“Maafkan kami Aminah. Ayah saya perlukan seorang isteri untuk menjaganya. Kami akan berpindah jauh dari sini. Harap kamu menjaganya dengan baik.” Lelaki Inggeris itu keluar dari bilik dan meninggalkan Aminah terpinga-pinga seorang diri.

Sejak itu Aminah tidak pernah lagi melihat lelaki Inggeris yang membawanya tinggal di rumah agam itu. Dua minggu dia menangis hingga akhirnya dia sedar tiada apa yang boleh membantunya. Dia bersendirian dan mungkin dia akan mati tanpa sesiapa pun yang bakal menguruskan kematiannya.

Sejak itu siang dan malam Aminah berdiri dan tidur berdekatan dengan lelaki tua itu. Lelah dan terasa bosan, hanya Allah yang mengetahui.Tiada lorong atau ruang untuk dia keluar atau pulang ke Tanah Melayu lagi. Selagi bernyawa dia harus teruskan hidup. Jangan buat kerja bodoh. Allah ada dan sentiasa melindungi hambanya yang bersabar dan reda.

“Bunuh sahaja aku Aminah. Aku menyusahkan kamu.” Aminah tidak membalas kata-kata orang tua itu.

Tangan Aminah lincah membersihkan sisa-sisa kotoran di atas katil. Kemudian Aminah mengelap punggung lelaki tua itu dengan kain bersih. Aminah berasa bertanggungjawab dan di atas kebersihan lelaki tua yang perlu dianggap sebagai bapa itu. Selepas badannya dilap dengan tuala kering akan dipastikan krim disapu untuk menggelakkan bahagian belakang badan melecet. Setiap satu jam Aminah memastikan badan Sir Smith dialihkan ke kiri dan ke kanan. Kadang-kadang Sir Smith menjerit kesakitan akibat kekejangan otot. Tahan sahajalah telinganya.

Di malam hari pula, Aminah memastikan Sir Smith makan ubat yang telah di arahkan oleh doktor. Aminah juga memastikan Sir Smith minum susu suam kerana dia tidak mampu makan makanan yang berat. Itu juga adalah arahan dari doktor.Ada sesetengah masa di waktu tengah malam Sir Smith akan membuang air kecil. Pada waktu itu Aminah akan kurang tidur kerana melayan Sir Smith berbicara. Sir Smith susah tidur setiap kali terjaga di tengah malam. Keesokan harinya pasti Aminah akan mengantuk sepanjang akibat berjaga di malam hari.

Tiga tahun selepas itu, Aminah mendapat berita bahawa lelaki Inggeris yang telah membawanya ke bumi Britain ini meninggal dunia dalam sebuah kemalangan.  Dia meninggal dunia bersama isteri dan seorang anak lelaki. Dua minggu selepas berita kematiannya, timbul dua orang anak kembar perempuan di rumah agam ini. Mereka adalah anak kepada lelaki Inggeris yang pernah menjadi suaminya dulu.

“Emma, tenggok Lisa ini dia ambil alat permainan Berth!” Berth mengadu dan mengangis kepada Aminah.

“Lisa pulangkan semula alat permainan Berth itu. Mana alat permainan Lisa itu? Bukankah ada dua. Satu Lisa dan satu Berth.” Aminah bertanya kepada Lisa dan pada masa yang sama Aminah sedang memberi Sir Smith minuman.

“Lisa punya dah hilang. Lisa pinjam sahaja dari Berth. Kedekutlah Berth ini.” Lisa membalas sambil memegang erat alat permainan itu.

“Kalau Lisa tidak mahu bagi malam ini Berth tidak mahu tidur dengan Lisa. Berth nak tidur di sini dengan Emma.” Berth pula menyampuk sambil memeluk kaki Aminah.

Begitulah kehidupan Aminah sejak kedatangan kedua-dua anak kembar perempuan itu. Tanggungjawabnya semakin bertambah. Aminah melayan kerenah mereka seperti anak sendiri selain daripada menjaga Sir Smith yang sakit terbaring di ataskatil. Mungkin memang sudah ditakdirkan oleh-Nya bahawa Aminah tidak dikurniakan anak sendiri tetapi dia masih lagi dapat mencurahkan kasih sayang kepada cucu-cucu angkatnya. Alhamdullilah sekurang-kurangnya dapatlah juga Aminah berasa menjadi seorang ibu.

Pada suatu hari, dua bulan sebelum Sir Smith meninggal dunia diatelah mewasiatkan sejumlah besar hartanya kepada Aminah dan mewariskan hak penjagaan kedua-dua cucunya kepada Aminah.

Hari berganti hari. Bulan berganti tahun akhirnya Aminah menjadi biasa menguruskan harta dan perniagaan keluarga Sir Smith. Semenjak kakinya menjejaki dunia asing ini, dia bukan lagi warga Persekutuan Tanah Melayu. Dia adalah wanita berwarganegara Britain. Mengikut dokumen formal dia sekarang ini ialah isteri yang sah kepada Sir Smith walaupun mereka tidak pernah bernikah. Di situ juga tercatat bahawa Sir Smith sebagai suaminya yang kedua. Kedua-dua anak kembar perempuan itu juga sudah pun menggangapnya sebagai nenek tiri mereka.

Pada 31 Ogos, 50 tahun selepas itu.

Aminah menjejakkan kakinya semula di Tanah Melayu.  Negara yang sama tetapi telah bertukar wajah seiring dengan pertukaran namanya kepada Malaysia. Di sini dia membangunkan sebuah yayasan dan akademi demi anak-anak bangsa yang senasib dengannya dahulu. Aminah ingin memerdekakan hidup anak-anak bangsa yang terbelengu akibat kemiskinan. Aminah ingin memberi peluang kepada individu yang tertindas maju kehadapan. Mungkin mereka ini akan jadi lebih hebat dari sekarang.

‘Alhamdullilah, kini tanah airku sudah ada LRT di celah-celah KLCC dan KL Tower sebagai kemegahan maruah bangsa Malaysia. Kemerdekaan yang aku terima hari ini akan aku kongsikan kepada generasi yang akan datang. Selamat Hari Merdeka, Malaysia.’

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aida Farzana