Home Cerpen Umum Minda Merdeka
Minda Merdeka
Fatim Khairani
31/8/2017 23:39:41
1,004
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Minda Merdeka


Adri merenung jauh keluar jendela. Dadanya berombak menahan marah, nafas dihembus keras. Kalau ikutkan panas hati memang dah lama perempuan itu dijerkah. Memang sudah lama dia merancang pertandingan ini. Dewan yang sepatutnya menjadi medan pertarungan antara pesilat-pesilat yang mewakili beberapa persatuan silat terpaksa ditunda.

“Adri kau ok tak?”Raziq memang faham sangat kepala angin rakan sebiliknya.

“Apa masalah perempuan tu. Dia tak boleh guna dewan lain ke untuk pameran bahan sejarah. Aku yang tempah dewan tu dulu, dia pula yang dapat,” berkerut-kerut dahi Adri meluahkan geramnya.

“Dewan tu besar jadi banyak bahan boleh dipamerkan. Pameran ni kan sempena sambutan hari Merdeka, jadi diorang nak beri kesedaran kat pelajar-pelajar universiti ni pasal perjuangan orang dulu-dulu. Kau ubahlah jadual pertandingan tu. Kesian lak aku tengok awek tu tadi. Teruk jugak kau marah dia,” Raziq cuba meredakan baran Adri.

“Kau ingat senang-senang nak tukar jadual. Nak dapatkan satu tarikh untuk pertandingan nipun macam-macam hal. Tak payahlah nak buat pameran pasal sejarah tu! Orang tak nak datang pun, tak ada faedah pun belajar sejarah ni. Benda dah lepas tak payah dikenang!” bentak Adri.

“Habis tu kau nakbuat apa?”  Raziq menahan sabar bilabercakap orang yang ego tinggi seperti Adri.

“Aku tak peduli aku nak jumpa dia. Aku tetap nakkan dewan tu jugak!” Adri menarik beg sandangnya lalu bergegas keluar. Raziq pantas menuruti langkah rakannya itu.Dia perlu pergi bersama untuk mengawal panas Adri.


“Eh Iman… mamat tadi tulah. Lain macam jer aku tengok,” Ain menjuihkan bibirnya ke arah dua orang lelaki.

Iman sekadar mengerling, “ apalagi yang dia tak puas hati.”


“Heii… aku nak kau batalkan program kau tu. Dewan tu aku yang tempah dulu, kau senang-senang jer nak batalkan program aku,” oktaf suara Adri meninggi.


“Nama saya bukan heii tapi Nurul Imani, awak boleh panggil saya Iman. Betul dewan tu awak ada buat tempahan tetapi tarikh tu belum disahkan lagi. Saya dapat tahu banyak lagi persatuan silat belum sahkan penyertaan jadi dewan itu terbuka untuk sesiapa sahaja yang nak guna,” Iman masih cuba berlembut dan melayan kerenah Adri.

“Itu urusan aku dengan persatuan silat tak ada kena mengena dengan kau. Kenapa kau nak buattarikh yang sama dengan program aku! Kau ingat pameran sejarah kau tu ada orang nak datang tengok ke? Sejarah satu perkara yang membosankan!” Adri mengharapkan sindirannya akan mengubah pendirian Iman.

“Encik Adri,tujuan pameran itu diadakan adalah sempena hari kemerdekaan kita. Kita perlu beri kesedaran pada generasi sekarang tentang pahlawan zaman dahulu kala yang dah berjuang untuk tanah air kita. Kalau bukan pengorbanan diorang kita tak akan hidup aman macam sekarang ni… faham!” Imani mengetap bibir menahan api kemarahan.

“Perjuangan apa yang nak dikenang. Masa Portugis serang Melaka orang kita setakat lawan guna keris dan tombak. Itu yang kita nak dedahkan, betapa lemahnya orang kita dulu. Satulagi Hang Tuah tu tak wujud pun itu semua cerita dongeng jer. Jadi kau tak payahlah nak mengingatkan pelajar-pelajar kat sini betapa mundurnya kita dulu,”semakin keras hujah Adri.

Iman tidak semena-mena tersenyum melihat wajah Adri yang begitu yakin dengan pendapatnya.Iman menghela nafas dalam cuba mengawal perasaan cuaknya.

“Apa yang kau senyum-senyum, aku tak buat kelakar pun,” Adri mengerutkan dahi.

“Kita dah merdeka 60 tahun tapi tak sangka ada lagi orang masih dijajah fikirannya. Itulah gunanya belajar sejarah supaya minda kita merdeka dari penjajah. Awak ni adalah contoh rakyat yang masih dikuasai minda penjajah. Adri bangsa kita ni jauh lebih hebat dari yang awak sangkakan. Melaka ketika itu bukan suatu kerajaan yang lemah dan mundur. Empayar Melaka ketika itu dah menggunakan meriam,istinggar, terakol dan pemuras.”  Bukan niat Iman hendak memandang rendah tetapi dia rasa agak kecewa dengan sikap Adri.

“Kau merepek apa ni, masa tu mana ada teknologi secanggih itu. Kalau hebat sangat takan Portugis boleh jarah Melaka!” Adri sebenarnya agak kagum mendengar jawapan Iman tetapi hendak merendahkan ego tidak sekali.

“Kalahnya Melaka disebabkan adanya pengkhianat di dalam kerajaan Melaka bukan kerana kelemahan teknologi. Satu lagi mana awak tahu Hang Tuah itu sekadar cerita dongeng. Kisah Hang Tuah ni ada tercatat dalam manuskrip Dinasti Ming. Nak belajar tentang sejarah ni kena rajin buat kajian tak boleh sekadar dengar cakap orang saja.Macam nilah Adri awak ni belajar silat, salah satu ilmu mempertahankan diri yang dah wujud beratus tahun. Awak perlu tahu asal usul wujudnya ilmu persilatan ni. Hang Tuah salah satu ikon persilatan yang cukup hebat. Saya tak nak bersyarah panjang, saya nasihatkan rajin-rajinlah baca buku sejarah yer,” Iman terus menarik tangan Ain beredar dari situ. Letih rasanya hendak bertengkar dengan Adri.

“Iman kau nakpergi mana tu… urusan kita tak selesai lagi,” laung Adri.

“Dahlah tu, ada betul jugak dia cakap. Kau nak bergaduh pasal sejarah dengan orang yang ambil jurusan sejarah silap besar tu,” pujuk Raziq.

“Berlagak betullah!” Adri bengang.

“Sebenarnya akupun baru tahu empayar Melaka tu hebat rupanya. Selama ni aku dok ingat diorang ni pakai cawat  lepas tu lawan pun guna sumpit, keris dengan tombak saja… heheh,” tersengih-sengih Raziq.

“Hissyyy… yang pakai cawat dengan menyumpit tu orang asli merepeklah kau ni!” nak tergelak Adri mendengar.


Tinggal dua minggu lagi pameran tentang sejarah penjajahan ke atas tanah melayu bakal berlansung.Adri masih menyuarakan ketidakpuasan hatinya dan kerap mengganggu Imani.

“Adri daripada marah-marah saya baiklah awak tolong kami siapkan bilik pameran ni,” Iman sudah sebati dengan kerenah Adri. Sepanjang tiga minggu ini Adri kerap datang bertemu Iman bukan untuk melepas rindu tetapi semata hendak menyakitkan hati.

“Itu potret HangTuah kan?” Adri memerhatikan Iman yang leka membersihkan bingkai potret pahlawan terulung itu.

“Awak kenal Laksamana Hang Tuah, kagum saya… heheh,” sakat Iman.

“Tak payah nak sindir akulah,” Adri menjeling tajam.

“Takkan Melayu hilang di dunia,” Iman melafazkan kata-kata laksamana tersohor itu.

“Tak payahlah nak bangga sangat dengan kata-kata tu. Hang Tuah pun hilang tah ke mana. Tu tak termasuk dia sanggup bunuh sahabat sendiri,” Adri mencebik memandang potret Hang Tuah.

“Awak ni dahlah ilmu sejarah tu kurang, lepas tu tak ada lansung sifat patriotik. Yang peliknya belajar silat ilmu bela diri yang cukup sinonim dengan Hang Tuah. Tindakan HangTuah membunuh Jebat itu ada rasionalnya. Dia sebagai pelindung kepada sultan perlu menjaga keselamatan ketua kerajaan masa itu. Jebat tu mengamuk kemudian membunuh orang yang tak bersalah,” Iman sudah mula bercekak pinggang.

“Dahlah malas saya nak bertekak dengan awak,” buntu ilham hendak menjawab terus sahaja Adri pergi meninggalkan Iman.


Akhirnya Adri mengalah juga, jadual pertandingan itu ditunda ke satu tarikh yang lain. Apa yang sebenarnya membuatkan Adri mengalah. Raziq dapat menangkap perubahan rakannya itu.

“Lain macam aku tengok kau sekarang ni. Dulu hina sangat bab sejarah sekarang dah mula bacapasal sejarah. Ni semua penangan Nurul Imani yang cantik manis tu kan… heheh,”usik Raziq.

“Aku baca ni supaya aku boleh lawan berhujah dengan Iman. Asyik dia yang menang,”tersengih-sengih Adri menahan malu. Memang dia sudah mula terpaut hati dengan gadis itu.

“Oh yer aku nak bagi tau kau. Nanti hari pembukaan pameran tu aku dengan budak-budak silat akan jadi pembuka majlis. Lepas tu Iman akan selitkan acara silat sepanjang pameran tu berlansung,” wajah Adri kemerah-merahan sebab dia tahu mesti Raziq terperanjat dan mulalah adegan menyakat.

“Cehh… marah dengan Iman konon. Rupanya  ada agenda lain. Lain kali kalau nak mengurat cakaplah awal-awal. Aku pun cam berkenan jerkat Ain tu…hahah,” makin kuat gelak tawa Raziq.

“Yang buatkan aku tertarik dengan Iman sebenarnya adalah semangat dia untuk beri kesedaran pada generasi sekarang supaya faham erti merdeka dan hargai perjuangan orang yang berkorban demi negara kita ni. Minda aku dulu percaya bangsa melayu itu lemah rupanya aku silap. Sejarahkan ditulis oleh pihak yang menang dan yang menang itu penjajah. Terletak pada kita untuk memerdekakan minda dari pengaruh penjajah.” Adri tersenyum mendengar kata-katanya sendiri.

“Aku rasa macamdengar Iman yang bercakap bukan Adri. Kagum aku dengar, apa pun kau orang berdua memang sesuai,” Raziq lega akhirnya ada gadis yang mampu membuat rakannya tersenyum bahagia.

 

 

 

 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fatim Khairani