Home Cerpen Umum Aku, Ogos Dan Jalur Gemilang
Aku, Ogos Dan Jalur Gemilang
Khalil Aiman Roazmi
15/9/2017 20:50:26
1,196
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Aku, Ogos Dan Jalur Gemilang

 

SAYA masih ingat pada bulan Ogos tahun 2009, saya ditugaskan untuk menggantikan seorang guru yang cuti bersalin. Pengalaman ini tidak dapat saya lupakan kerana banyak peristiwa lucu yang saya lalui selama saya menjadi guru ganti. Saya menjadi guru ganti di salah sebuah sekolah rendah di Malaysia.

          Saya gembira bila dapat tahu yang saya akan menggantikan guru pendidikan seni visual. Mata pelajaran pendidikan seni visual ini adalah mata pelajaran yang saya gemari sekali. Saya bersyukur kerana saya berpeluang menjadi guru ganti di dalam bulan Ogos iaitu bulan kemerdekaan bagi negara Malaysia.

          Peristiwa yang masih segar di dalam ingatan saya selama menjadi guru ganti ialah di mana saya mengadakan aktiviti mewarna bendera Malaysia bersama anak-anak murid saya. Saya paparkan contoh bendera Malaysia yang telah siap diwarnakan di hadapan mereka semua. Saya berbuat demikian supaya mereka mudah untuk mewarna bendera itu.

          Dalam keasyikan mereka mewarnakan bendera Malaysia itu, saya mengambil peluang untuk bertanyakan kepada mereka tentang bendera Malaysia yang sedang mereka warnakan itu.

          “Mail, boleh cikgu tahu, kenapa anak bulan dan bintang di dalam bendera ini berwarna kuning?” Soal saya kepada salah seorang murid di kelas itu.

          “Sebab ianya menunjukkan anak bulan dan bintang ini bersinar dan bercahaya,” jawab murid itu dengan penuh yakin.

          Saya hampir tergelak. Saya kawal perasaan saya. Saya biarkan dia menyambung kerjanya. Saya ke tempat lain pula untuk bertanyakan soalan seterusnya.

          “Samad, boleh cikgu tahu kenapa yang ini berwarna biru tua?” Jari telunjuk saya ketika itu bersentuhan dengan kertas milik murid saya yang badannya sedikit gempal itu.

          “Warna langit, cikgu. Cikgu, tengok dekat sini, ada anak bulan dan bintang. Anak bulan dan bintang itu sememangnya berada di langit, cikgu,” jawab Samad dengan mukanya sedikit tunduk.

          Geli hati saya pada waktu itu hanya tuhan saja yang tahu. Saya berjalan ke arah murid yang berada di sebelah Samad pula.

          “Husin, kenapa jalur pada bendera ini ada warna merah dan ada warna putih?”

          “Merah tanda marah dan putih ni...putihlah,” jawab Husin dengan muka yang selamba.

          Hasnah, salah seorang murid perempuan  di kelas itu datang memperbetulkan kesilapan Husin selepas mendengar jawaban Husin yang lucu itu.

          “Merah tu tanda berani dan putih tu tanda bersih,” kata Hasnah dengan nada sedikit tinggi.

          Saya hanya mampu tersenyum melihat telatah mereka. Saya kembali ke tempat saya – meja guru.

          “Kamu semua tahu apa nama bendera yang kamu warnakan itu?

          “Jalur Gemilang!” Serentak mereka semua memberitahu nama bendera itu.

          “Cikgu fikir kamu semua tidak tahu,”kata saya kepada mereka dengan sedikit senyum.

          “Baiklah, cikgu akan ceritakan serba sedikit tentang bendera kita ini iaitu bendera Jalur Gemilang kepada kamu semua. Cikgu mahu kamu semua beri perhatian sekejap. Kamu boleh sambung kerja kamu selepas ini,” kata saya.

          “Baik, cikgu!” Mereka mula memberi perhatian kepada saya.

          Saya ambil bendera Jalur Gemilang yang sudah tersedia di atas meja berdekatan saya. Saya mulakan pengajaran saya.

          “Kamu lihat pada bendera ini, ada warna kuning, biru, merah dan putih. Cikgu akan terangkan kepada kamu satu persatu tentang Jalur Gemilang ini kepada kamu semua. Jika kamu rajin, kamuboleh catat di dalam buku nota kamu sebagai panduan di masa hadapan,” kata saya.

          Mereka mula mengeluarkan buku nota dan pensil. Mereka mula memasang telinga dan semua memerhatikan ke arah saya.

          “Baiklah, saya akan mulakan penerangan saya tentang bendera Malaysia ini. Kamu semua lihat anak bulan dan bintang pada bendera ini. Ia melambangkan apa? Anak bulan dan bintang pada bendera ini melambangkan Agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Dan ianya berwarna kuning kerana melambangkan warna Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja-Raja. Jika kamu perhatikan bucu pada bintang ini, ianya mempunyai 14 bucu. Dan ianya menunjukkan perpaduan 13 buah negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

          Warna biru tua ini pula melambangkan perpaduan rakyat Malaysia. Warna merah melambangkan keberanian dan warna putih menandakan kesucian. Bukan merah itu marah dan putih itu ada maknanya,” kata saya sambil mata saya memandang ke arah Husin.

          Husin tersenyum malu.

          “Jika kamu perasan, jalur yang berwarna merah mempunyai 7 jalur dan jalur putih juga mempunyai 7 jalur. 7 jalur merah dan 7 jalur putih ini melambangkan keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan,” sambung saya.

          “Kamu semua faham atau tidak?”

          “Faham, cikgu.”

          “Kamu semua tulis apa yang cikgu terangkan?”

          “Tulis, cikgu.”

          “Baiklah, jika kamu faham dan dah catat apa yang saya terangkan fasal Jalur Gemilang ini, saya harap kamu simpan nota kamu itu dan yang paling penting kamu ingatlah makna-makna disebalik Jalur Gemilang, bendera Malaysia kita ini sampai bila-bila,” kata saya dengan harapan mereka faham dan dapat membawa ilmu ini walau berada di mana sahaja.

          Mereka semua kelihatan bersemangat selepas penerangan saya mengenai bendera Malaysia itu. Ada yang menyanyikan lagu kebangsaan dan ada yang melaungkan perkataan ‘merdeka’ beberapa kali. Saya gembira melihat mereka.

          “Kamu semua boleh sambung kerja yang cikgu bagi tadi dan bila dah siap nanti, kamu semua kumpulkan dan letakkan di atas meja saya,” arah saya kepada mereka.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Khalil Aiman Roazmi