Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Cerpen Thriller/Aksi JIN GALAH 0.6: REKRUT
JIN GALAH 0.6: REKRUT
Amiene Rev
3/7/2015 03:27:02
1,325
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

JIN GALAH 0.6: REKRUT

Penulis: Amiene Rev

Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com

NOTA: Karya ketujuh dalam koleksi cerpen Jin Galah.

Dua bulan sebelum.

Pagi. Tidak ada bezanya dengan senjakala. Di padang, aku dan beberapa orang lelaki berusia sekitar 16 hingga 40 tahun telah dikumpulkan. Ada sekitar 20 orang. Aku tidak tahu kenapa, tetapi kami dikelilingi oleh beberapa orang pegawai berpakaian tentera. Wajah mereka kelihatan serius. Mereka meminta kami berbaris. Kami mengikut sahaja.

“Adakah selama ini, kami telah berikan kamu semua perlindungan?” Seorang pegawai berpakaian serba hijau berjalan sambil merenung kami, satu-persatu. “Ya, atau tidak?”

“Ya.” Beberapa orang menjawab.

“Kami telah berikan kamu semua, makanan, pakaian dan harapan, bukan?”

“Ya. Terima kasih.”

“Kami menghargai terima kasih kamu, tetapi kami ingin meminta kamu melakukan sesuatu.”

Diam.

“Kamu semua sanggup melakukan sesuatu untuk kami?”

“Asalkan ia bukan sesuatu yang merugikan kami?”

“Kamu akan rugi, tetapi, negara ini, bangsa kamu, akan beruntung.”

“Apa dia yang tuan mahu kami lakukan sebenarnya?”

“Sertai perjuangan kami. Kamu semua akan dilatih menjadi sepasukan tentera untuk menentang Jin Galah!”

Semua lelaki yang berada di situ saling pandang-memandang. Ada yang tersengih. Ada yang tersenyum. Ada yang kelihatan ragu-ragu.

“Kami setuju! Kami pun dah tak ada pekerjaan sekarang.” Seorang lelaki menjawab.

“Ya, apa salahnya jika kami menjadi askar?” Sokong seorang lelaki yang lain.

“Kita bakar semua Jin Galah itu!” Seorang lagi lelaki melaung. Padang itu bergema dengan suara sorakan.

Pegawai berbaju serba hijau itu memandang kesemua lelaki berani di depannya. Dia tersenyum. Begitu mudah sokongan diraih. Namun, dia tidak pasti, antara 20 orang itu, berapa ramai yang mampu hidup lama. Jin Galah bukan sebarang makhluk. Tidak alah oleh peluru biasa.

=O=

Hari ini. Pagi. Seorang gadis cantik telah dilantik untuk melatih kami semua. Aku sendiri tidak faham, kenapa mesti seorang gadis. Terdapat dua kerangka aneh, dan sebuah kotak besar yang kelihatan berat.

“Saya Srikandi.” Tenang sahaja wajah gadis berambut pendek itu.

“Hari ini saya akan mengajar kamu cara mengendalikan Zirah ES. Kamu memerlukan zirah ini untuk melompat lebih tinggi dan bergerak dengan lebih pantas.”

Semua yang hadir kagum melihat Zirah ES.

“Apa maksud ES, Cik Puan?” Aku memberanikan diri untuk bertanya.

“Soalan yang baik. ES adalah singkatan bagi Exo-Skeleton. Zirah ini bukan sekadar perisai tetapi digabungkan dengan teknologi exo-skeleton. Ia membantu memberikan kamu kekuatan luar biasa selagi kamu memakainya. Kedengarannya mudah, tetapi kamu perlu belajar mengawalnya, sebelum kamu mencederakan diri sendiri atau orang lain.”

“Berapa harga seunit Zirah ES ini?” Seorang rekrut lain, berusia sekitar 20 tahun pula mengemukakan soalan.

“Satu unit Zirah ES ini bernilai satu nyawa kamu. Zirah ini musnah, kamu juga akan mati.” Srikandi tersenyum apabila melihat wajah rekrut-rekrut di depannya berubah. Ternyata, mereka tidak senang hati dengan jawapan gadis cantik itu.

“Apa maksud Cik Puan?” Aku meminta kepastian.

“Sebaik sahaja zirah ini dipasang ke badan kamu, maka ia akan menjadi sebahagian daripada diri kamu. Zirah ini tidak mudah dimusnahkan. Logamnya sangat keras tetapi ringan. Kamu akan mampu melompat setinggi 8-10 meter, bergantung kepada kemahiran kamu. Zirah ini juga dilengkapi senjata. Siapa yang pertama mahu cuba?”

Entah bagaimana, aku tiba-tiba meluru ke depan. “Saya!”

“Siapa nama kamu, Abang Berani?” Gadis ini pandai berseloroh.

“Azim. Cuma panggil saya Azim.” Aku tersengih.

Srikandi tersenyum. Aku tersenyum kembali. Aku rasa wajahku sedang panas dengan darah. Seolah-olah aku sudah jatuh cinta dengan gadis cantik ini. Kebetulan, aku belum berpunya. Mungkin, sudah jodoh aku. Oi, kenapa kau melalut ni, Azim? Suara hatiku, menegur diriku sendiri.

Srikandi memberikan arahan kepadaku. Mula-mula aku perlu berdiri membelakangi zirah itu. Kemudian, berundur setengah langkah untuk merapatkan badan ke kerangka tersebut. Selepas itu, aku perlu memasukkan kaki dan tangan ke dalam ruang kosong yang terdapat pada Zirah ES itu. Zirah ES akan mengesan tubuh badanku secara automatik dan beberapa kerangka akan mula membelit badanku. Sarung tangan dan kaki akan mengetat mengikut saiz tangan dan kakiku.

“Zirah ES... Aktif!” Satu suara robotik kedengaran. “Penyelarasan dimulakan.”

“Sekarang, kamu cuba langkah ke depan seperti biasa. Sistem Zirah ES akan cuba mempelajari pergerakan tubuh badan kamu supaya dapat diselaraskan dengan kepantasan pergerakannya.”

Aku mematuhi arahan Srikandi. Aku melangkah ke depan. Terasa seperti ada seseorang menarik kakiku supaya bergerak ke depan. Aku hampir jatuh kerana sukar mengimbang langkah, tetapi dengan sepantas itu juga, kerangka Zirah ES itu menapak kemas supaya aku dapat berdiri teguh. Entah kenapa, langkahku terasa sangat ringan. Aku melangkah lagi. Lagi dan lagi. Aku memandang ke tanah sepanjang masa itu. Langkahku melantun-lantun.

“Cukup. Berhenti!” Laung Srikandi.

Aku berpaling ke arah suara itu. Aku tidak sedar, aku sudah jauh sekitar 90 meter daripada Srikandi dan rekrut-rekrut yang lain. Betapa pantasnya Zirah ES ini? 3 saat berlalu dan aku sudah sejauh ini? Padahal, aku cuma berjalan, bukan berlari. Aku dapat dengar suara sorakan rekrut-rekrut yang lain. Hebatnya Zirah ES ini!

“Kembali ke sini sebelum Zirah ES itu meletup!” Srikandi melaung dengan suara cemas.

Aku tersentak! Meletup? Barangkali aku sudah berbuat salah! Aku berpatah kembali. Dalam beberapa saat, aku sudah ada di depan Srikandi. Rekrut-rekrut yang lain mula bertempiaran. Aku gagal berhenti kerana langkah yang terlalu ringan.

“Berhenti!” Srikandi meluru ke arahku dan menahan dadaku dengan sebelah telapak tangannya. Walaupun dadaku dilindungi lapisan zirah logam, tetapi aku dapat rasa betapa beratnya tekanan tapak tangan Srikandi. Wow! Gadis ini bukan calang-calang orang. Kekuatannya luar biasa! Patutlah dia diminta melatih kami semua hari ini.

“Jika kamu rasa kamu terlalu laju, tekan tapak kaki kamu seperti kamu menekan brek kereta.” Tenang. Tutur kata Srikandi sangat tenang.

“Maafkan, saya, Cik Puan.” Dadaku kuat berdebar-debar.

“Saya juga perlu meminta maaf. Gurauan saya tadi tidak bertempat dan telah menyebabkan kamu panik.” Srikandi sekadar tersenyum. Tidak ada langsung perasaan pucat atau cemas di wajahnya. Gadis ini pasti sangat berani. Aku semakin tertarik dengan Srikandi.

=O=

Selepas aku berjaya membiasakan diri, seorang lagi rekrut telah diberikan peluang untuk memakai Zirah ES yang sebuah lagi. Srikandi meminta aku berkongsi pengalaman dan pendapat semasa memakai Zirah ES itu untuk meningkatkan lagi kefahaman rekrut-rekrut yang lain tentang cara zirah tersebut berfungsi.

“Sekarang, sampai masanya untuk penggunaan senjata.” Srikandi merenung kami semua dengan wajah yang tenang seperti tadi. Oh, Tuhan, gadis ini betul-betul dingin orangnya! Aku yakin, dia belum berpunya dan sudah pasti, bukan mudah untuk aku memenangi hatinya.

“Zirah ES ini dilengkapi dengan sepasang pedang gergaji yang sangat tajam. Oleh itu, kamu semua jangan bergurau dengannya.”

“Kenapa mesti pedang, dan bukan senjata api?” Pantas, seorang rekrut mengemukakan soalan.

“Peluru biasa adalah umpama gigitan nyamuk bagi Jin Galah. Walau bagaimana pun, kita masih mengkaji sejenis peluru istimewa yang boleh menghakis badan Jin Galah. Zirah ES akan dilengkapi dengan teknologi senjata tersebut pada masa akan datang. Pedang? Kenapa pedang? Sebab, secara konsepnya, Jin Galah adalah seperti tumbuhan menjalar yang membentuk tubuh seakan-akan manusia. Kamu perlukan pisau yang tajam tertentu untuk memotongnya.” Panjang lebar penerangan Srikandi kali ini.

“Azim. Kita mulakan dengan kamu.” Srikandi merenungku.

“Baik, Cik Puan.” Entah kenapa, aku rasa tidak sabar-sabar hendak mencuba senjata pedang gergaji yang disebut oleh Srikandi.

“Untuk mengaktifkan pedang tersebut, kamu perlu ingat kod isyarat pergerakan tangan. Sepanjang masa ini, kamu tentu rasa ada satu rod besi di tengah tapak tangan kamu bukan?”

“Ya, Cik Puan.”

“Untuk keselamatan kamu, luruskan tangan kanan kamu ke atas. Genggam rod besi tersebut, putarkan pergelangan tangan kamu ke kiri dua kali, dan kemudian ke kanan dua kali, dan ke kiri dua kali. Hati-hati, pedang itu sangat-sangat tajam.”

Aku melakukan seperti yang diajar. Sebilah pedang yang panjangnya sekitar satu meter meluncur laju dari lenganku dan terhunus ke langit. Pedang itu berkilauan. Rekrut-rekrut bersorak. Aku menurunkan tanganku perlahan-lahan. Mendepanya. Sekali-sekala terdetik rasa cemas dan gementar melihat pedang tersebut. Aku bimbang jika pedang tersebut mengenai sesiapa di hadapanku atau diri aku sendiri, atau Srikandi.

“Untuk menyimpannya semula, kamu lakukan seperti tadi.”

Aku melakukannya sekali lagi, dan sepantas itu juga pedang itu tersimpan. Aku dapat merasakan ada getaran pergerakan pedang itu pada lenganku. Sepanjang masa itu, aku belajar menghunuskan pedang dan menyimpannya semula sehingga mahir. Kami semua berlatih memahirkan diri kami dengan zirah-zirah tersebut sepanjang hari itu. Kami tidak pernah merasa bosan dengannya. Setelah yakin bahawa kami semua mampu mengendalikan Zirah ES, barulah kami semua dibawa ke sebuah gudang senjata.

Kami semua diminta memakai Zirah ES dan dilarang menggunakan pedang gergaji sepanjang hari itu. Beberapa orang pegawai turut mengiringi kami. Kami diminta mengikutnya mengelilingi sekitar kawasan kem. Orang awam yang lain, berasa kagum melihat kami. Budak-budak juga antara yang paling gembira melihat sekumpulan rekrut berlari-lari mengelilingi kem dengan kelajuan yang menakjubkan.

Itulah latihan kami untuk hari ini, latihan pergerakan. Kami belajar berlari, melompat, mendarat, berguling dan berhenti. Membuat balik kuang? Itu satu bonus jika kami mampu melakukannya. Pegawai-pegawai itu mampu membuat balik kuang menggunakan Zirah ES. Kami sangat kagum.

Pada petang yang gelap itu, kami dibawa menghampiri satu kawasan. Terdapat banyak lembaga hitam setinggi bangunan dua atau tiga tingkat di situ. Jin Galah! Aku rasa berdebar. Begitu cepat kami dibawa berdepan dengan Jin Galah?

“Berhenti!”

Kami semua mematuhi arahan pegawai tersebut.

“Apa yang ada di depan kamu itu adalah replika Jin Galah. Jika kamu mahir menggunakan pedang gergaji, kamu boleh memenggal anggota-anggota badan Jin Galah itu dengan mudah. Namun, perlu diingatkan, kamu tidak akan berdepan dengan Jin Galah itu seorang diri. Kamu semua perlu ada kesefahaman, supaya kamu tidak saling mencederakan antara satu sama lain. Kita ada formasi. Dan esok, kamu akan mula belajar tentang Formasi Tempur Zirah ES,” jelas pegawai pengiring tersebut.

=O=

Hari kedua. Latihan penggunaan Zirah ES diteruskan. Asas-asas penggunaan pedang gergaji bukan mudah untuk dikuasai. Kami belajar teknik menetak, memancung, membelah dan sebagainya.


“Kamu semua adalah barisan orang awam pertama yang dipilih untuk menggunakan Zirah ES. Adakah kamu semua berasa bangga sekarang?”

“Sudah tentu!” Sebenarnya, aku sendiri tidak tahu, bagaimana pemilihan ini dibuat. Aku difahamkan, ada seseorang memantau kami sepanjang masa ini. Menentukan kami layak atau tidak menyertai Pasukan Zirah ES. Tetapi siapa yang merekrut kami sebenarnya?

=O=

Suatu hari, ketika kami sedang berehat. Aku dapati Srikandi sedang merenung jauh ke langit. Aku cuba mendekatinya.

“Cik Puan.”

Srikandi berpaling. Dia tersenyum seperti selalu.

“Bagaimana kami semua dipilih?”

“Aku yang merekrut kamu semua.” Kali ini dia tidak menggunakan kata ganti diri ‘saya’. Dia menggunakan kata ganti diri ‘aku’.

“Bagaimana Cik Puan buat pemilihan ini?”

“Kamu menyesal?”

“Tidak. Bukan begitu maksud saya, Cik Puan. Saya cuma...”

“Kamu rasa kamu layak?”

Aku diam dan berfikir, sebelum mengangguk beberapa kali.

“Jadi apa masalah kamu?”

“Saya cuma ingin tahu...”

“Aku tidak pernah silap memilih. Kesihatan kamu, kecergasan kamu semua dalam keadaan baik.” Srikandi bertutur dengan begitu bersahaja. “Kamu bangga jadi rekrut?”

“Ya.” Aku tersenyum.

“Aku suka kamu.” Srikandi membalas senyumanku. Aku tahu, dia sedar wajahku sedang perlahan-lahan bertukar menjadi merah. Kata-katanya itu membuatkan aku rasa malu.

“Boleh saya tanya soalan peribadi?”

“Ya.”

“Berapa umur Cik Puan?”

“Tiga tahun.”

“Aaa?” Aku kebingungan.

“Oh. Barangkali sebaya kamu atau lebih muda daripada kamu?” Srikandi tersenyum.

Jawapan Srikandi tidak memuaskan hatiku.

“Berapa lama, Cik Puan berada dalam pasukan tentera ini?”

“Hampir tiga tahun.”

Aku tercengang. “Wah! Pengalaman Cik Puan seperti sudah tiga belas tahun dalam tentera!”

Srikandi tersenyum lagi.

“Oh, ya. Bolehkah selepas ini, kamu jangan memanggil aku Cik Puan lagi? Panggilan itu nampak terlalu tua untuk usiaku, bukan?” Srikandi tersenyum lagi. Dia murah dengan senyuman.

“Jadi, apa yang harus saya panggil?”

“Srikandi...” Ringkas. Pantas. Mudah. “Atau.. Sri.”

“Baiklah, Sri. Saya Azim.” Aku tersengih. Nampaknya aku sudah berjaya memikat Srikandi.

“Ya. Selamat berkenalan sekali lagi, Azim.”

Nampaknya, itulah permulaan kisah hubungan rapatku dengan Srikandi. Aku tidak pasti sama ada Srikandi sedar atau tidak aku menaruh hati kepadanya. Barangkali, sudah jodohku di sini. Jodoh? Itukan salah satu ketentuan Tuhan? Sepanjang masa ini, aku rasa bahagia dapat menjadi salah seorang rekrut Zirah ES. Aku berpeluang berjuang untuk bangsa manusia, dan pada masa yang sama, merapatkan diri dengan Srikandi.

=O=

Di sebuah bangunan khas, di tengah kem. Tingkat 11.

“Srikandi...”

Suatu hari, Dr. Razi memanggil Srikandi.

“Ya, Tuan.”

“Kamu tahu bukan, cinta itu hanya wujud antara manusia dengan manusia.”

“Ya, aku faham, Tuan.”

“Budak yang mendekati kamu itu, adiknya bukan lagi manusia biasa. Terus dekati dia, dan kamu akan dapat mendekati adiknya. Dapatkan sampel.” Dr. Razi tersenyum.

“Baik, Tuan.” Srikandi merenung Dr. Razi.

“Untuk menjamin kelangsungan bangsa manusia, adakalanya cinta perlu menjadi korban.” Kata-kata Dr. Razi itu cuba difahami oleh Srikandi.

“Aku faham, Tuan.” Srikandi merenung Dr. Razi sebelum mengalih pandangannya ke kaca tingkap. Wajahnya kelihatan serius. Anak matanya memancar cahaya perak. Tidak ada sesiapa pun dapat membaca perasaannya. Adakah sebuah animatronik sepertinya benar-benar memiliki perasaan? Itu mustahil. Itu barangkali mustahil.

Srikandi, bukan manusia.

BACA KARYA KEENAM JIN GALAH: Cerpen Jin Galah 0.5: MUTASI

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.