Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Cerpen Seram/Misteri ANAK KECIL DI TENGAH MALAM
ANAK KECIL DI TENGAH MALAM
Amiene Rev
28/6/2015 06:53:02
2,885
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

ANAK KECIL DI TENGAH MALAM

Penulis: Amiene Rev

Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com


Malam itu sangat gelap. Bunyi daun-daun dan ranting menggesek sesama sendiri, jelas kedengaran. Angin sedang bertiup kencang. Cahaya kilat memancar menerangi bilik tidur Fahmi. Seketika kemudian, guruh berdentum. Tap! Tap! Tap! Bunyi titisan hujan semakin lama semakin pantas. Suhu bilik bertukar semakin sejuk. Air hujan menempiasi ke dalam bilik, melalui jendela yang masih terbuka itu. Fahmi yang sedang terlena kerana kepenatan bermain bola pada siang tadi, mula terjaga.

“Oh, hujan!” Fahmi berkerut kening.

Dia bergegas bangkit dari katilnya, lalu menutup tingkap bilik tidurnya. Rupanya bilik tidurnya di tingkat satu.

Tunggu! Fahmi rasa dia ada melihat sesuatu di luar tadi. Dia membuka balik tingkap biliknya. Dia menjenguk ke luar. Ya. Satu figura kecil manusia sedang berdiri sambil menundukkan kepalanya. Berseluar pendek berwarna biru gelap atau hitam. Baju t-shirt putih tidak berkolarnya kuyup dibasahi hujan. Rambutnya terjurai menutupi dahi dan matanya. Itu budak kecil! Apa yang dibuatnya di luar rumah pada waktu malam begini!

“Oi! Balik tidur, jangan main-main. Dah malam sangat dah ni!” Fahmi melaung dengan nada suara yang agak tegas tetapi lembut kepada budak itu.

Budak itu tidak menjawab. Dia mendongak. Matanya tidak kelihatan. Rambutnya masih menutupi sebahagian besar mukanya. Adakah ia seorang budak lelaki? Bentuk badannya kelihatan seperti seorang budak lelaki. Barangkali, usianya sekitar 5-6 tahun.

“Balik rumahlah! Jumpa hantu nanti, baru kau tahu!”

Budak itu masih mendiamkan diri. Langsung tidak mahu bercakap atau bergerak. Lagaknya seperti patung.

“Masalah, betul!” 

Sebagai salah seorang penduduk di kawasan kediaman itu, Fahmi rasa dia bertanggungjawab untuk melindungi budak tersebut. Ibu bapanya tidak balik ke rumah sejak dua hari lepas kerana urusan perniagaan. Fahmi tinggal seorang diri di rumah. Dia menuruni tangga ke aras terbawah, mencapai kunci dan membuka pintu.

Guruh berdentum. Tidak ada sesiapa pun di luar! Fahmi meninjau ke sekeliling.

“Mana pula budak ni? Nak main-mainkan aku agaknya?” Geram. Itulah perasaan Fahmi sekarang. Dia pun menutup pintu rumahnya. Fahmi tiba-tiba terasa dahaga. Dia pun berjalan ke dapur. Cahaya lampu berwarna jingga di dalam peti sejuk menerangi kegelapan di ruang dapur itu. Masih ada beberapa tin minuman di dalam peti sejuk itu.

Ketika Fahmi cuba meneguk air di dalam tin minumannya, dia sedar ada satu lembaga kecil sedang memerhatikannya. Fahmi melihat ke tingkap dapurnya. Tidak ada sesiapa pun. Dia kembali meneguk air. Satu teguk, dua teguk, tiga teguk. Bulu roma Fahmi mula meremang. Dia rasa, ada seseorang menjenguknya di tingkap dapur. Dia meneguk sambil melirik matanya ke tingkap dapur. Tidak ada sesiapa.

Tok! Tok! Tok! Bunyi pintu diketuk orang. Fahmi menyempurnakan tegukan terakhirnya, sebelum membuang air tin tersebut ke dalam tong sampah di tepi sinki. Kemudian, barulah dia bergegas ke pintu depan.

Fahmi membuka kunci. Dia menggenggam tombol pintu dan memulasnya. Tidak dapat!

“Eh, kenapa ni?”

Tok! Tok! Tok! Pintu itu diketuk lagi. Fahmi terus memulas tombol untuk membukanya. Masih tidak dapat dibuka. Padahal, dia sudah membuka kunci pintu tersebut!

“Kenapa ni? Siapa di luar? Jangan main-mainlah!” Hati Fahmi sudah mula memanas. Dia mengesyaki ada orang cuba mempermain-mainkannya.

Fahmi melepaskan tombol. Dia berasa tangannya agak kebas. Tiba-tiba tombol itu bergerak-gerak seperti dipulas orang dari luar.

Bam! Pintu itu terbuka seperti ditendang orang. Angin sejuk pantas menceroboh ke dalam rumah. Fahmi kesejukan. Anehnya, tidak ada sesiapa pun di depan pintu itu.

“Woi, kalau nak main-main, biar bertempat! Kurang ajar betul! Dah malam dah ni!” Fahmi mula berleter. Dia sudah tidak tahan lagi dengan gurauan seperti ini.

Persoalannya, siapakah yang sedang bermain-main dengannya? Adakah budak tadi, atau kawan-kawannya? Fahmi anak tunggal. Ibu bapanya pula cuma akan balik dua hari lagi. Fahmi tidak dapat ikut kerana dia masih bersekolah. Tahun ini dia akan menghadapi peperiksaan SPM. Kelas tambahan sentiasa ada pada waktu petang. Takkan kawan sekolahnya pula yang datang pada malam-malam begini. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 12.15 tengah malam.

“Lantak engkaulah! Aku dah malas nak layan.”

Fahmi menutup pintu. Menguncinya. Kemudian, Fahmi berlalu meninggalkan ruang tamu itu.

Tok! Tok! Tok! Pintu diketuk lagi. Pada ketika itu, Fahmi baru sahaja hendak naik ke tingkat atas.

“Berambus!”

Tok! Tok! Tok! Fahmi memasang telinga. Mendengar betul-betul bunyi tersebut. Ketukan itu bukan dari luar rumah. Ketukan itu, dari dalam rumah! Oh, Tuhan. Ada sesuatu di dalam rumah! Bulu roma Fahmi kembali menegak. Belakang tengkuknya terasa seram sejuk, seperti ada sesuatu menghembuskan ketakutan ke dalam dirinya.

Sepantas itu, Fahmi membuka lampu ruang tamu. Lampu jingga. Fahmi dapat lihat seorang budak lelaki sedang mengetuk pintu rumahnya dari dalam. Budak itu terus-menerus mengetuk pintu rumahnya. Bajunya basah kuyup.

“Bila masa budak ini masuk?” Degupan jantung Fahmi bertambah pantas.

Tak! Tak! Tak! Kedengaran bunyi kaca tingkap diketuk bertalu-talu. Fahmi memandang ke arah tingkap rumahnya. Terdapat banyak bayang lembaga hitam, lembaga budak kecil sedang menampar-nampar cermin tingkap.

“Hentikan! Apa semua ni?” tempik Fahmi. Padahal, dia sedang dalam keadaan ketakutan. Amat takut. Semua keanehan yang berlaku pada malam ini memberi kejutan kepada dirinya.

Budak lelaki yang berada di dalam rumah itu berhenti mengetuk pintu. Dia menunduk seketika, sebelum memalingkan kepalanya memandang ke arah Fahmi. Matanya terbeliak besar! Garang. Marah!

“Abang dah tak ingat, Adik?” Suara kecil budak lelaki itu mengecutkan jantung Fahmi.

Siapa budak ini? Kenapa dia bahasakan dirinya sebagai ‘Adik’?

“Abang dah lupa!” Budak itu kelihatan amat sedih. Kedengaran bunyi bising di luar rumah, seolah-olah ada berbelas-belas budak sedang berbisik-bisik.

“Kawan-kawan Adik nak masuk ke dalam. Ini pun tempat mereka juga.” Budak itu bertutur dengan suara sayu.

“Adik ni siapa?”

Soalan itu tidak berbalas. Budak itu bagaimana pun, memandang ke arah jam antik yang berada di penjuru ruang tamu. Jam itu memang sudah lama ada di situ, sebelum keluarga Fahmi membeli rumah ini. Peti jam antik itu amat besar. Jam itu sudah rosak.

“Buka pintu! Kawan-kawan Adik nak masuk,” rayu budak tersebut.

Seram. Kasihan. Mana satu perasaan yang patut Fahmi utamakan sekarang.

“Buka pintu!” Budak itu mendesak lagi.

Fahmi bagaikan terpukau. Dia menapak langkah demi langkah, menuju ke pintu rumah. Tangannya mengigil semasa dia membuka kunci. Pintu dibuka perlahan-lahan. Alangkah terkejutnya Fahmi, apabila didapatinya terdapat sekitar sebelas orang budak kecil, lelaki dan perempuan sedang berkumpul di luar rumah.

“Siapa? Siapa mereka semua ni?” Fahmi kehairanan. Bulu romanya meremang.

“Jangan bimbang. Kami bukan musuh Abang.” Habis sahaja berkata-kata, kesemua budak itu pun berlari menerpa ke arah Fahmi. Fahmi rebah. Dia jatuh terlentang. Badannya menjadi sangat lemah. Pandangannya semakin kabur. Dalam keadaan separa sedar itu, dia sempat melihat budak-budak tadi berlari masuk ke lubang tempat bandul jam berhayun itu tadi.

Budak lelaki yang mula-mula dilihatnya tadi berdiri di depan jam antik itu. Tangannya menyentuh badan jam antik itu. Dia berpaling ke arah Fahmi yang sedang dalam keadaan separa sedar, sambil berkata, “Ini rumah kami. Abang pun dulu, sama seperti kami. Jangan lupa.”

Budak itu pun melangkah masuk ke dalam peti jam antik itu. Pandangan Fahmi bertukar kelam. Gelap.


=O=


Ia adalah satu cerita lama. Ketika itu, ada sebuah rumah banglo. Rumah itu didiami oleh Sepasang suami isteri bersama-sama dengan dua belas orang kanak-kanak. Salah seorang daripada mereka, yang paling tua, adalah anak kandung manakala sebelas orang yang lain merupakan anak-anak yatim yang dikutip. Anak-anak yatim terbiar yang ditemui di bandar. Suatu hari, si suami mengalami kerugian besar dalam perniagaan. Si isteri risau. Mereka didesak supaya menjualkan rumah mereka. Hutang terlalu banyak. Setiap minggu, akan datang seorang pengutip hutang.

“Sembunyi! Kamu semua sembunyi cepat!” Pasangan suami isteri itu sangat takut, kalau-kalau mereka akan menculik anak-anak yatim peliharaan mereka, untuk dijual. Oleh itu dia telah mencipta satu pintu rahsia di sebalik dinding rumah itu, dan disembunyikan di sebalik jam antik tersebut. Jam antik tersebut sangat besar.

“Bayar hutang kami, atau rumah ini kami bakar!”

Si suami membayar setakat yang mampu. Namun bunga hutang meningkat setiap hari. Mereka tidak ada jalan lagi. Mereka tahu bila pengutip hutang akan datang. Apabila pengutip hutang datang, mereka tidak akan berada di rumah bersama-sama anak kandung mereka. Budak-budak yang lain itu pula diminta bersembunyi di bilik rahsia itu.

Pengutip hutang sangat marah. Rumah itu dibakar, tetapi jiran-jiran sempat memadamkannya. Sebelas orang anak yatim ketakutan, tidak mahu keluar dari persembunyian. Mereka ditemui mati lemas di dalam bilik rahsia itu.

Pasangan suami isteri itu menangis dan kesal kerana menganggap kematian budak-budak itu adalah disebabkan kesalahan mereka. Pengutip hutang pula diburu dan berjaya ditangkap oleh pihak polis. Pasangan suami isteri itu juga ditangkap, mereka menyerahkan anak kandung mereka kepada sepasang suami isteri, yang juga merupakan rakan niaga mereka. Pasangan suami isteri yang mandul. Anak tersebut adalah Fahmi sendiri.

Fahmi mengalami kemurungan yang dahsyat selepas mengetahui kisah kematian adik-beradik angkatnya yang lain. Dia dihantar untuk menerima rawatan mental. Ingatan Fahmi terhadap tragedi yang menimpa keluarganya dilenyapkan secara beransur-ansur.


=O=


Cahaya berwarna jingga memancar.

“Fahmi!” Suara itu bergema berulang-ulang kali.

“Bangun, Fahmi!”

Fahmi tersedar. Dia mendapati dirinya masih di ruang tamu. Hujan masih lebat di luar rumah. Fahmi cuba bangkit, tetapi tidak dapat. Tangannya dan kakinya terikat! Mulutnya pula telah disumbat dengan kain!

Apa yang dah berlaku ni? Fahmi terdengar bunyi tapak kaki orang di tingkat atas. Pencuri! Ada pencuri masuk ke dalam rumah?

“Eh, Bos! Dia dah sedar dah Bos!” Tiba-tiba Fahmi terdengar suara seorang lelaki dewasa di tingkat atas. “Macam mana ni, bos?”

“Kau pergi tanya dia, mana barang-barang berharga dalam rumah ni.”

“Cepat, bodoh! Nanti mak ayah dia balik, susah!”

Dub! Dub! Dub! Bunyi kaki menapak turun tangga. Kelihatan seorang lelaki sederhana tinggi berdiri di depan Fahmi. Dia memakai sarung topeng. Cuma mata dan mulutnya sahaja yang kelihatan. Dia meletakkan hujung mata pisau ke leher Fahmi.

“Kau cakap sekarang, mana semua barang-barang kemas, duit, apa-apa sahaja benda berharga dalam rumah kau ni!”

Fahmi cuba bercakap, tetapi mulutnya sudah disumbat dengan kain.

“Oh, lupa pula! Mulut kau tersumbat.” Lelaki itu merapati Fahmi. “Aku akan bagi kau peluang bercakap, tapi kalau kau cuba menjerit, aku bunuh! Kau faham? Kalau faham angguk!”

Fahmi pantas mengangguk beberapa kali.

“Bagus!” Lelaki itu pun menarik keluar kain yang menyumbat mulut Fahmi.

“Mana? Cakap sekarang!” Garang sekali suara lelaki itu. Fahmi menggigil ketakutan.

‘Jangan risau, Bang. Suruh dia datang sini.” Suara budak lelaki, tiba-tiba berbisik ke telinganya. Bulu roma Fahmi meremang.

“Tu! Dekat jam antik tu!” Fahmi bercakap dalam suara yang tersekat-sekat.

“Oh! Cerdik. Di situ kau simpan, ya!” Lelaki itu menyumbat kembali mulut Fahmi. “Ni, hadiah untuk kau!”

Lelaki itu melangkah ke arah jam antik tersebut. Dia menjenguk ke dalam lubang di tengah peti jam antik. Badannya tiba-tiba kaku. Lelaki itu berundur beberapa langkah sebelum rebah. Senyap!

“Oii... lamanya!” Dub! Dub! Dub! Seorang lagi lelaki atau perompak turun dari tingkat atas.

“Eh?” Terbeliak mata perompak yang kedua itu apabila mendapati rakannya terbaring di depan jam antik. Dia berpaling ke arah Fahmi. Masih terikat. Mulut masih tersumbat.

Dia pun mendekat Fahmi dan memeriksa ikatan di tangan dan di kaki Fahmi. Pada ketika itulah, perompak yang pertama tadi bangkit semula.

“Oii, engkau ni!” Terkejut perompak kedua apabila perompak pertama mendekatinya secara senyap-senyap. Tangannya menggenggam pisau. Perlahan-lahan dia mengacukan pisau itu ke leher perompak yang kedua.

Fahmi menyaksikan situasi yang mencemaskan itu dengan hati yang kuat-kuat berdebar-debar. Jantungnya seperti diramas beberapa kali dengan pantas. Orang-orang jahat itu akan saling berbunuhan!

Tik! Tok! Tik! Tok! Kedengaran bunyi hayunan bandul dari jam antik itu. Jam antik itu tiba-tiba hidup kembali. Jam antik itu pun berdenting tiga belas kali.


=O=


Ketika itu, Fahmi berusia 7 tahun. Dia lebih tua berbanding adik-adik angkatnya.

“Fahmi, hari ini Fahmi ikut emak dah ayah tau,” pesan Ayah Fahmi.

“Fahmi nak ajar adik-adik. Nak ajar Matematik.” Fahmi cuba menolak.

“Tak boleh. Setiap hari Sabtu dan Ahad, Fahmi kena ikut mak dan ayah!”

“Kenapa?”

“Dengar cakap ayah tu, Fahmi.” Emak Fahmi pula bersuara.

“Adik-adik yang lain?”

“Mereka kena jaga rumah.”

“Kenapa biar mereka jaga rumah, kenapa bukan Fahmi?”

“Fahmi anak kandung ayah dan emak. Mereka bukan.”

“Kenapa tak bawa adik-adik, semua sekali?”

“Nak bawa mereka semua, tak muat.”

“Tak apa, Bang. Kami boleh main sorok-sorok dalam bilik rahsia dekat dalam jam tu!” Salah seorang adik angkat Fahmi, bersuara.

“Oh!” Fahmi melihat jam antik tersebut.

“Kalau orang jahat datang, kami boleh sembunyi di dalam tu. Situ ada dunia yang selamat.”

“Badan kami kecil, boleh muat. Orang besar tak boleh masuk,” tambah salah seorang lagi adik angkatnya.

“Orang jahat tak dapat cari kami!”

“Jam ni pintu masuk ke dunia kami!”


=O=


“Aku dah ingat. Aku dah ingat siapa, aku,” ujar Fahmi kepada dirinya sendiri.

Buat kali pertama selepas sedekad tragedi itu berlalu, Fahmi ,mengunjungi pusara adik-adik angkatnya. Sayu. Pilu.

Fahmi amat menyayangi adik-adik angkatnya, tetapi siapa dia untuk melawan kasih sayang Tuhan. Tuhan jauh lebih menyayangi adik-adik angkatnya.

Fahmi sedar ibu bapanya ada di mana sekarang. Sudah sampai masanya, untuk dia pergi bertemu mereka. Ada banyak soalan untuk ditanya atau mungkin sahaja, dia patut lupakan semua ini. Setiap manusia tidak lari dari melakukan kesilapan. Seronokkah kita mencari kesalahan orang? Seronokkah kita jika orang mencari kesalahan kita?

Adakalanya, kita harus biarkan seseorang itu menghargai kesedaran yang ada pada dirinya. Pengajaran yang membuatkan dirinya kesal atas kesilapan yang pernah dilakukannya dulu.

“Emak dan ayah mungkin pernah melakukan kesilapan pada suatu ketika dahulu. Namun, sekarang, pasti mereka telah sedar kesilapan mereka. Mereka akan sentiasa menjadi emak dan ayah kandungku.”


=O=


Sejak peristiwa itu, sekali-sekala pada waktu malam, Fahmi akan terdengar jam antik itu berdenting tiga belas kali pada waktu malam. Namun itu pasti bukan perbuatan roh adik-adik angkatnya. Fahmi tahu, roh adik-adik angkatnya sudah lama meninggalkan dunia ini. Mereka telah dijanjikan syurga.

Apa yang ada di sebalik jam antik itu, adalah kisah lain. Sesuatu yang menyerupai adik-adik angkatnya. Suatu hari nanti, Fahmi akan tahu cara untuk berdepan dengan mereka, anak-anak kecil yang selalu muncul di tengah malam.


LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV (sehingga cerpen ini ditulis):

05 JUN 2015: Cerpen Jin Galah

06 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.1: SPESIES

18 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.2: SUAMI

20 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.3: RINDU

21 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.4: SRIKANDI

23 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.5: MUTASI

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.