Home Cerpen Seram/Misteri CUCUK SANGGUL
CUCUK SANGGUL
NUR AFIZA OTHMAN
24/8/2017 07:22:12
5,753
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Pada suatu pagi yang nyaman......

 

“ Maryam !!” jerit  Sarah sambil termengah-mengahkeletihan akibat berlari mengejar maryam tadi. Maryam menoleh ke belakang . “ya.. eh Sarah, aku ingatkan siapa tadi. Kenapa kau panggil aku ni?” maryam bertanya seraya tersenyum melihat Sarah yang tertunduk-tunduk mengah. “ Maryam tengok ni, kumpulan kita berjaya masuk ke peringkat akhir.” Sarah menunjukkan sehelai kertas kepada Maryam. Maryam meneliti bait-bait tulisan di kertas tersebut lantas tersenyum riang. “Alhamdulillah , rezeki kita. Ahli kumpulan kita semua dah tau ke? Kita kena berkumpul petang ini,kita buat mesyuarat kecil ya?” pinta Maryam lembut. “saya menurut perintah Cik” Sarah mengangguk dan meletakkan tangan di dahi sebagai isyarat mematuhi pesanan Maryam tadi. Mereka tertawa kecil. Maryam memang terkenal dengan sifat lemah lembutnya, namun ada tegas disebalik kelembutan itu. Sarah pula sentiasa ceria dan suka bergurau menceriakan suasana. Maryam dan Sarah bersahabat baik dari zaman persekolahan lagi.Keakraban mereka berkekalan sehingga ke hari ini.

 

Korang , petang ini Maryam nak kita semua berkumpul di tempat biasa, ada mesyuarat kecil katanya” Sarah berkata penuh tertib. Lima sahabat itu berpandangan sesama sendiri. Mereka ialah Cempaka, Mardhiah , Iman , Dahlia dan Wahidah. Mereka juga bersahabat dengan Maryamdan Sarah sejak dari bangku persekolahan. “ Mesyuarat apa tu Sarah , kau ni buat kami takut saja lah.” Bebel Dahlia. “ Adalah...” balas Sarah mengusik.

 

“Assalamualaikum semua, hai . Okay aku tak nak buang masa lagi sebab perkara ini penting..” tertib Maryam menyusun bicara. “ Tahniah buat kita semua , kerana berjaya sampai ke peringkat akhir tarian ini. Kita sudah tidak punya banyak masa , kita perlu strategi baru untuk persembahan kali ini. Puan Fatimah sudah bersetuju untuk kita memilih sendiri lagu dan jenis tarian yang bakal kita persembahkan .” jelas Maryam sambil menyuakan kertas berisi keputusan pertandingan yang melayakkan mereka ke peringkat seterusnya.       “Wah , bagus semua! Kita berjaya. Tentu Puan Fatimah berbangga dengan hasil usaha keras kita semua dan hasil tunjuk ajar beliau. ” Kata Iman seraya disambut dengan sorakan kecil rakan-rakannya. “ oh ya , kita nak buat persembahan tarian apa nanti? ” soal Wahidah yang dari tadi hanya memerhati gelagat teman-temannya. Masing-masing menunjukkan gaya mencari idea. “haaa. Kali ini tema apa pula Maryam?” soal Sarah. “ Tema kali ini sempena KEMERDEKAAN ” jelas Maryam penuh bersemangat. Masing-masing tersenyum mendengar tema tersebut. Biarpun mereka masih muda masing-masing mempunyai kekuatan semangat kemerdekaan yang luar biasa. Seperti sedia maklum kemerdekaan bermaksud kemenangan atau kebebasan sesebuah negara daripada penjajah. Kini , pelbagai ideologi dan perspektif tentang kemerdekaan. Bagi mereka kemerdekaan juga membawa maksud bebas dari dibelenggu sesuatu atau bebas dari sesuatu pengaruh negatif. Mereka juga menganggap seseorang yang berjuang untuk bangkit dari kejatuhan dari lembah kegagalan adalah kemerdekaan yang sebenar. Masing-masing leka mengelamun membayangkan pelbagai idea menarik bersesuaian dengan tema tersebut.

 

Keesokkan harinya......

 

Tujuh sahabat itu hadir ke latihan tarian di Kolej mereka. Mereka sudah tidak sabar untuk bertemu guru tarian mereka,iaitu Puan Fatimah. Puan Fatimah terkenal dengan sifat keibuan yang tinggi ,penuh sopan santun penuh berbudi bahasa dan kadangkala tegas. Puan Fatimah selaku pensyarah dan juga jurulatih mereka tersenyum saat melihat anak-anak didiknya tiba di dewan itu. “Assalamualaikum semua , apa khabar? Semoga sihat hendaknya. Oh ya, sebelum terlupa saya nak ucapkan tahniah atas kejayaan kamu semua sehingga ke peringkat ini. Bagus sekali. Saya berbangga dengan kesungguhan kamu semua. Oh ya, untuk pertandingan kali ini, kamu nak buat persembahkan tarian apa?” Puan Fatimah berkata seraya tersenyum simpul. Mereka berpandangan sesama sendiri lalu ketawa kecil.


“Kami bercadang nak buat tarian gamelan lambang sari bersesuaian dengan imej kebudayaan kita dan tema kemerdekaan” Jelas Maryam selaku ketua kumpulan 7 bunga itu. Puan Fatimah tersenyum lalu mengangguk tanda setuju dengan idea mereka. Puan Fatimah berasa kali ini memang ‘makanannya’ kerana beliau dulu beberapa kali pernah menjadi juara sebagai penari gamelan di negeri kelahirannya Terengganu Darul Iman.



Puan Fatimah menunjukkan langkah-langkah tarian diiringi alunan gamelan. Mereka terpukau melihat gurunya menari penuh kelembutan dan liuk lentok seolah-olah penari professional. Mereka kagum,sungguh kagum. Puan Fatimah menyerahkan cucuk sanggul , gelang kaki , gelang tangan serta beberapa perhiasan lain buat mereka bertujuh. Katanya nak bagi mereka merasa bersemangat seperti sedang menari didalam pertandingan walaupun ketika itu cuma latihan. Mereka semua teruja dengan perhiasan tersebut. Perhiasan mereka berenam semuanya sama,kecuali Maryam. Kata gurunya Maryam ketua jadi perhiasannya lain sedikit dan lebih istimewa lagi itulah perhiasan yang diguna pakai oleh  gurunya itu ketika menjadi penari gamelan dahulu. Sewaktu Maryam mengenakan cucuk sanggul itu, dia terasa bulu tengkuknya ‘meremang’. Tubuhnya tiba-tiba menjadi dingin dan seram sejuk. Oleh sebab dia tidak mahu menghampakan gurunya dia hanya tersenyum dan berpura-pura tiada apa-apa berlaku pada dirinya. Mereka berlatih bersungguh-sungguh pada hari tersebut. Sekejap sahaja mereka sudah menghafal gerak tari tarian tersebut. Setelah usai latihan tersebut, mereka meminta izin untuk pulang ke asrama .

 

Pada malam tersebut...

 

Maryam merasakan malam itu ‘bahang’ lain macam, puas dia pusing ke kiri dan kanan namun beliau tetap tidak dapat melelapkan mata. Maryam menoleh ke arah teman sebiliknya Sarah , Sarah kelihatan begitu lena sekali. Tak sampai hatipula dia mahu mengejutkan Sarah. Entah kenapa hatinya tiba-tiba tertarik mahu melihat cucuk sanggul yang cikgunya beri siang tadi.

 

Sejurus beliau memegang cucuk sanggul itu,tiba-tiba dunia berubah menjadi gelap. Tiada cahaya , sunyi sepi, tiada sesiapa ,hanya yang ada cuma dia dan cucuk sanggul. Tiba-tiba kedengaran alunan gamelan dan ada satu susuk tubuh yang tidak dikenali muncul. Susuk tubuh seorang ‘wanita’ lengkap berpakaian penari gamelan zaman dahulu dan memakai cucuk sanggul yang sama seperti ditangannya. Maryam menjadi kaget,tubuhnya kaku keras tidak bergerak. ‘Wanita misteri’ itu asyik menari mengikuti rentak alunan gamelan, seolah-olah tidak menyedari kewujudan Maryam. Setiap gerak tarinya sangat kemas, penuh kelembutan sehingga berjaya membuat Maryam ‘terpukau’dengan tariannya. “gerak tarianmu begitu sempurna, aku sukakan kau! Mahukah kau menemani dan mengikut aku menari sampai bila-bila?” ‘makhluk’ itu bertanya pada Maryam. Maryam secara tidak sedar bersetuju dan mengikuti sahaja gerak tari itu dengan penuh asyik sehingga terbuai perasaannya,sehingga Maryam berasa seperti diawang-awangan. Malam itu Maryam telah ‘dipukau’ oleh makhluk tersebut dan mereka menjadi ‘satu’.

 

Rupanya pada malam ‘kejadian’ Sarah terjaga dan dia ternampak Maryam bercakap dan  menari seorang diri di dalam gelap lengkap berpakaian penari gamelan dan yang lebih mengejutkan ada ‘sesuatu’ yang menari bersamanya. Sarah tidak dapat melupakan wajah makhluk tersebut.Sarah mempunyai kelebihan melihat ‘makhluk’ yang tidak dapat dilihat menggunakan mata kasar. Dia yakin Maryam dibelenggu ‘sesuatu.’

 

Pada masa yang sama, ahli kumpulan 7 bunga yang lain turut diganggu. Cempaka dan Iman diganggu ketika berada di tandas. Pada malam kejadian mereka terserempak dengan kelibat yang menyerupai Maryam berada di tandas. Mereka menegur ‘kelibat’ tersebut , cuba berbual seperti biasa namun ‘kelibat’ itu hanya mendiamkan diri. Dia hanya menunduk memandang ke bawah dan tersenyum. Secara tiba-tiba tandas itu berbau sangat harum seperti haruman dari 7 bunga yang berlainan kemudian berubah menjadi bau bangkai yang jijik dan memualkan tekak mereka. Mereka berasa tidak sedap hati lalu segera mahu beredar. Sebelum beredar di depan pintu masuk tandas mereka sempat toleh kebelakang. Saat mereka menoleh, ‘kelibat’ itu hilang.Mana mungkin Maryam berjalan terlalu laju sedangkan mereka masih ada di situ. Mereka terus berlari masuk ke bilik Wahidah dan Dahlia . Mardhiah tidak menginap di asrama tersebut,beliau tinggal di rumah keluarganya dan berulang alik ke kolej. Wahidah dan Dahlia turut diganggu dengan bunyi alunan gamelan serta gemerincing gelang kaki penari di bilik mereka. Semakin kuat mereka berzikir dan membaca surah lazim semakin kuat bunyi-bunyian itu. Malam itu mereka semua tidak dapat tidur. Mereka ketakutan dan berpelukan berempat dan membaca ayat Qursi dan 3 Qul sepanjang malam. Mereka tidak sedar bilakah waktu mereka melelapkan mata. Sedar-sedar sahaja sudah siang.

 

Kesokkan harinya..

 

Maryam berkelakuan ganjil dan tidak seperti selalu. Beliau memakai pakaian seperti wanita zaman dahulu yang manis berbaju kebaya , berkain batik dan bersanggul.Lebih mengejutkan beliau mengatakan nama beliau adalah Melati. Keenam-enam sahabatnya berasa pelik dengan tingkah lakunya, lebih-lebih lagi Sarah. Mereka berlatih menari seperti biasa. Maryam dilihat penuh keasyikkan menari , beliau begitu mengahayati setiap gerak tari dan alunan gamelan itu. Puan Fatimah turut perasan perubahan pada Maryam, kerana lagak beliau menari seperti primadona Zaman Kesultanan Melayu dahulu. Bahasa percakapannya juga seperti wanita zaman dahulu kala. Maryam kurang berbicara , dia hanya menunjukkan ‘semangat luar biasa’ ketika menari. Mereka seperti dapat mengesan kelainan pada Maryam. Tubuhnya berbau sangat harum seperti bau bunga ‘sedap malam’ , wajahnya kelihatan polos dan lebih cantik daripada biasa, rambutnya tiba-tiba sahaja panjang separa pinggang sedangkan rambutnya hanya paras bahu. Ketika menari bersama beliau , mereka berasa seram sejuk dan bulu roma sentiasa meremang seperti ada ‘sesuatu semangat lain’ menari bersama mereka.

 

Sewaktu Cempaka dan Iman menunduk mengambil barang mereka di bawah pentas dewan, beliau melihat kaki Maryam tidak jejak ke lantai. Mereka tergamam dan memandang sesama sendiri. Mereka berasa cemas dan ingin segera beredar. Maryam senyum sinis ,dia tahu mereka sedar akan kewujudannya. “Nak kemana tu? Cepat sahaja ingin beredar?” Tanya Maryam sinis . Cempaka dan Iman terkejut dengan soalan Maryam,pucat lesi wajah mereka. “ka..ka..kami ada hal,kami nak balik du..dulu” balas Iman tergagap-gagap. Maryam menjeling dengan jelingan yang tajam dan menakutkan seperti pemangsa mahu menerkam mangsa. “Nak balik ke atau sudah tahu?” balas Maryam seraya ketawa menyeringai. Dia menjerit dan mengilai sekuat hatinya. Sah!! Maryam kesurupan. Masing-masing terpana dan mengigil ketakutan. Maryam terbang dan merangkak ke dinding pentas itu. Dia mengilai , menyumpah seranah bahasa yang sukar difahami,sesekali menangis , sesekali meraung,paling mengerikan lidahnya terjelir panjang sehingga ke dada,muka berubah menjadi hodoh dan bernanah, rambut panjang mengurai.

 

Puan Fatimah menenangkan pelajarnya , dia meminta bantuan beberapa pelajar lelaki untuk memanggil Ustaz Firdaus dan Ustaz Hadi. Tidak lama kemudian ustaz-ustaz itu pun tiba. Makhluk itu menjeling ke arah ustaz –ustaz itu. Dia berasa berang. “Jangan kau cuba mendekati aku jika mahu budak ini selamat!” jerkahnya. “kau siapa dan apa yang kau mahu daripada budak ini?” Tanya Ustaz Firdaus. UstazHadi hanya memerhati sambil mulutnya terkumat-kamit  membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Mahkluk itu menyeringai dan ketawa. “Aku Melati,‘penjaga’ cucuk sanggul yang dia pakai ketika ini” katanya sambil menunjukkan cucuk sanggulnya. “apa yang kau mahu darinya?” Tanya Ustaz Hadi pula. “Aku ditugaskan untuk mengikuti sesiapa sahaja yang mamakai sanggul ini. Aku akan membantu beliau menari dengan lebih baik dan memukau pandangan penonton.” Balas makhluk bernama Melati itu. “Itu dahulu sewaktu tuan kau yang mamakai sanggul ini,sekarang sanggul ini bukan lagi milik tuanmu!” Ustaz Hadi mula rasa terjengkel dengan kata-kata makhluk itu. “siapa cakap? Sekarang budak ini tuan aku. Dia sudah berjanji mahu menari bersamaku sampai bila-bila” balas Melati dengan angkuh. “ Kau memukau budak ini,dan dia tanpa sedar menurut kata-katamu,benar bukan?” Ustaz Firdaus menyangkal Melati. “ pergi kau anak adam! Aku benci kau!” pekik makhluk itu. “ Tubuh yang kau tumpang itu juga anak Adam. Jangan kau cuba mencabar kami,kami bergantung pada kekuasaan Allah swt yang Maha Esa tiada tandinganNya! keluar kau dari tubuhnya jika kau tidak mahu diseksa dengan ayat suci Al-Quran! Keluar!!” Ustaz Hadi menemplak. “tidak!!..diamilik aku!!” jerit makhluk itu. Sahabat-sahabat Maryam sudah mula mengalirkan airmata. Ustaz Firdaus menyuruh semua pelajar yang ada di situ dan Puan Fatimah untuk membaca bismillah , zikir Allahu Akbar, zikir La ilaha illallah, AyatQursi , dan al-fatihah  tanpa henti. Ustaz Hadi mula melaungkan azan serta merta Makhluk itu jatuh terjelepok ke lantai dan mengerang kesakitan. Ustaz Firdaus mengarahkan sahabat-sahabat Maryam memegang tubuh Maryam sambil meneruskan bacaan seperti yang diarahkan Ustaz Firdaus tadi. Ustaz Hadi meneruskan bacaan Ruqyah. Dia meronta-ronta minta untuk dilepaskan. “lepaskan aku! Bodoh! Sakit! Arghhhh panas............!”beliau meronta kesakitan. Matanya terbelalak . Wajahnya kemerahan seperti terbakar. “kau mahu keluar atau tidak?atau mahu aku terus seksa kau?”jerkahUstaz Hadi. 


“ba..baik..baiklah,aku keluar! Tapi dengan syarat aku mahu jiwa budak ini dibawa sekali!” kata makhluk itu kemudian ketawa semula. Dia mengajuk bacaan sahabat-sahabat Maryam.“aku lebih dahulu membaca ayat-ayat ini sebelum anak Adam!” jelas makhluk tersebut sambil ketawa mengilai.

 

Ustaz Hadi dan Ustaz Firdaus berpandangan sesama mereka. Tiada cara lain mereka harus selesaikan dengan segera, mereka kasihan melihat Maryam sungguh tersiksa. “Yang lain teruskan bacaan, dengan sepenuh hati, jerit Allahu Akbar sehingga selesai semuanya. Faham? Ya Allah bantulah kami hambamu ini,tiada daya kami melainkan kekuasaanMu ,Allahu Akbar!!.” Ustaz Firdaus berkata lantang.

 

“BismillahirRahmanir Rahiim , La Ta’luu  ‘Alayya Waa’tuunii Muslimiin” Ustaz Hadi membaca ayat Nabi Sulaiman A.S

 

“Wa Hifzam-Min Kulli Shaytanim Marid” SurahAs-Saffat ayat ke 7.

 

Makhluk itu meraung dan meronta-ronta kepanasan. Muka nya sangat mengerikan. Kulitnya melepuh terbakar. Matanya terbelalak dan meliar. Lidahnya berasap-asap . Nanah di seluruh tubuhnya meletup-letup mengeluarkan bau yang sangat meloyakan.

 

 “Bismillahir Rahmanir Rahiim, Bismillahish Shaafii, Bismillahil Kaafii , Bismillahil Mu’aafii ,Bismillahil ladzhi laa ya dhurruma’as mihi syai un fil ardhi wala fis sama’i wa huwas samii’un ‘alim”  Ustaz Firdaus  membaca 5 Bismillah sebanyak tujuh kali.


Sekali lagimakhluk itu diazab. Jeritannya sangat mengerikan. Dia sudah tidak mampu meronta sekuat tadi. Kini dia semakin lemah.

 

“Dengan namaAllah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, aku perintahkan kau keluar dari tubuh anak adam ini. Allahu Akbar” Ustaz Hadi mengarahkan makhluk itu keluar.


Makhluk itu semakin lemah dan sudah tidak mampu berlawan lagi. Setelah diazab dan terbakar dengan ayat suci Al-Quran dia sudah tidak mampu bertahan. Sebelum dia dibunuh lebih baik dia keluar.

 

“baaa.. ba iklah aku keluar. Aku BEBASKAN anak adam ini dan aku berjanji tidak akan menganggunya lagi mahupun menganggu anak adam yang lain lagi.” Kata makhluk itu mengaku kalah.

 

“ Baiklah,aku arahkan kau untuk keluar terus dari tubuh ini, jangan pernah mengganggunya dan keturunannya lagi mahupun anak adam yang lain. Jika aku jumpa kau lagi aku akan terus bunuh kau!” gertak Ustaz Hadi tegas.

 

“Dengan nama Allah swt yang Maha Besar Yang Maha Agung Penguasa Langit dan Bumi, keluarlah kau jin yang dilaknat dari tubuh anak adam ini, Allahu Akbar!” lafaz Ustaz Firdaus.



Sejurus itu , ‘makhluk’ tadi keluar dan serta merta sanggul itu pecah. Semuanya mengucapkan syukur ke hadrat Illahi atas urusan yang telah dipermudahkan dan diselesaikan. Maryam kelihatan sungguh lemah . Beliau dinasihatkan untuk dibawa pulang oleh ibu bapanya untuk berehat dalam jagaan kedua ibu-bapanya.

 

Seminggu kemudian...

Pertandingan tarian berlangsung dengan begitu meriah sekali. Kesemua peserta mempersembahkan tarian dengan begitu baik sekali. Begitu juga dengan kumpulan 7 Bunga. Maryam sudah sembuh seperti sediakala. Mereka bersyukur dengan keadaan Maryam yang semakin baik hari demi hari. Sewaktu tiba masa pengumuman untuk pemenang pertandingan tarian itu ,mereka semua sangat teruja . Mereka saling berpegangan tangan. 


Setelah pelbagai dugaan dan halangan serta penat lelah mereka , akhirnya kumpulan 7 bunga dinobatkan sebagai juara Peringkat Negeri Pertandingan Tarian bertemakan Kemerdekaan pada tahun itu. Mereka berasa sungguh gembira dan bersyukur penat lelah mereka berhasil apabila berjaya mengharumkan nama kolej mereka.


Inilah erti ‘kemerdekaan sebenar’ buat mereka yang berjaya berjuang dan bangkit dari segala ujian dan dugaan yang menimpa kehidupan mereka.

 

 

************************************TAMAT**************************************

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NUR AFIZA OTHMAN