Home Cerpen Lucu Hanya Sekadar Teman
Hanya Sekadar Teman
sha_shira sha_shira
26/12/2014 13:38:04
1,626
Kategori: Cerpen
Genre: Lucu

Vin garu kepala. Sakit pula hatinya melayan adik kesayangan temannya berloyar buruk. Lain yang ditanya, lain yang dijawab. Sudahnya, dia yang terpaksa menahan sabar.

‘Kau balik sini sendirilah nanti?’

‘Taklah, orang balik naik baslah.’

‘Oh, sorang?’

‘Eh, taklah. Ramai atas bas tu.’

Gadis itu tersengih memandang Vin. Vin pula menarik nafas panjang. Serasa mahu sahaja gadis comel di depannya itu dipenyek-penyek. Entah kenapa suka sangat berloyar buruk. Jia yang mahu pulang ke kampung di Kelantan untuk bercuti sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor sempat bertemu dengannya untuk makan malam bersama. Sementelah kakak Jia adalah kawan baiknya juga.

Pertemuan itu berakhir setelah masing-masing selesai menjamu selera.

Vin masih ingat pesanan Whatsapp yang dihantarnya kepada gadis itu beberapa hari lalu.

‘Aii..slmt pg’

Balasan yang diterima: ‘Slmt pg’ disusuli dengan emotikon smiley yang sedang tidur. Vin pantas membalas.

‘Eh, tdo k’

Dan jawapan yang diterima terasa sangat menguji kesabaran. Sabar jelah dengan kerenah Jia yang seorang itu.

‘Aah. Tdo la ni blh reply wasap’

Vin tergelak sendiri mengenangkan gadis manis itu. Gadis berkaca mata dan selalu memakai baju lengan panjang dan jeans itu selalu nampak nerd di matanya. Namun dia bersyukur ditemukan dengan gadis itu. Saat dirinya sedang kecewa diuji dengan kecurangan bekas kekasihnya, gadis itu seakan-akan memahami beban perasaan yang ditanggung.

Kepada Jia, perasaannya yang berkecamuk diadukan. Walaupun gadis itu lebih muda daripadanya dari segi umur, dari segi kematangan gadis itu ternyata tidak mengecewakan. Hatinya sedikit tenang mendapat kata-kata semangat daripada Jia.

Vin amat bersyukur kerana mendapat teman sebaik Jia. Jia selalu memberikannya semangat, mengucapkan tahniah atas kejayaannya dan menceriakan dirinya yang lemas dalam duka. Kadang-kadang terlintas juga di fikiran memikirkan sebab musabab Jia selalu ada untuk mendengar keluh-kesahnya. Apakah Jia sudah terjatuh hati padanya? Dan Vin cuba juga mencari bukti-bukti yang menunjukkan ke arah itu. Ternyata tidak bertemu.

Jia sentiasa menunjukkan muka kosong tanpa perasaannya.

‘Jia, kenapa Jia selalu bagi Vin semangat? Jia…Jia…’

Jia senyum. Matanya menatap wajah kacak Vin. Walaupun lelaki itu sering menafikan kekacakannya, hanya orang buta saja yang tidak dapat melihat betapa kacaknya lelaki itu.

‘Kitakan kawan. Apa salahnya?’

Polos saja jawapan itu kedengaran. Vin turut senyum.

‘Tak adalah. Cuma Vin pelik. Jiakan sibuk study, banyak assignment semua, tapi tetap ada masa untuk bagi Vin semangat. Sudi dengar masalah Vin…’

Jia senyum lagi. Hatinya berbunga mendengar kata-kata Vin. Tipu jika dia mengatakan dia tidak tertarik dengan kekacakan lelaki itu. Namun, setakat itu sahaja. Dia sedar hati Vin masih sarat mengingati bekas kekasihnya dan Jia sama sekali tidak mahu menjadi pengganti. Juga tidak mahu hidup dalam bayangan bekas kekasih Vin. Jia senang menjadi kawan dan pendengar yang setia.

‘Vin, Jia suka kalau kawan-kawan Jia dan orang yang Jia sayang bahagia. Jia kalau boleh nak semua orang di sisi Jia gembira.’

Vin senang hati mendengar kata-kata Jia. Dadanya terasa lapang. Terasa keikhlasan Jia bila berbicara dan dia sesungguhnya amat gembira punya teman sebaik Jia.

‘Vin cuma nak cakap terima kasih. Jia kawan yang sangat baik.’

Jia angguk dan membuat riak muka angkuh sambil tersenyum mengusik.

‘Jia tahu.’

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.