1,722
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
RAMADHAN MAK LIJAH II

 

               Azrisyam memandu MPVnya berhati-hati.Lagu Dendang Perantau  lantunan suara lemak merdu dari AllahyarhamTan Sri P.Ramlee begitu menusuk kalbunya. Tidak lengkap rasanya jika hari lebaran yang disambut tidak diiringi dengan lagu-lagu hari raya seperti itu.  Dia berpakaian melayu lengkap berwarna ungu dengan samping berwarna kuning cair disulami benang perak corak songket bunga tabur. Songkok hitamnya bertenggek senget di atas kepalanya.  Dia kelihatan segak. Dia bersiul-siul gembira seirama dengan lagu yang terbit dari radio MPVnya.  Dua orang rakannya bergerak dari rumah masing-masing.

 

               Ah, apalah nasih Mak Lijah sekarang.  Kehidupan ibu tua itu sememangnya tidak begitu bernasib baik ketika ini, terutama ketika umat islam yang lain sedang bergembira, keluh Azrisyam. Adakah anak-anaknya sudah pulang menjenguk warga emas itu untuk sama-sama meraikan hari lebaran? Huh, lagi-lagi ketika Mak Lijah sedang ditimpa musibah ketika ini.  Fikirnya, Mak Lijah sudah sepatutnya menerima kunjungan dan merasai dakapan serta ciuman mesra anak cucunya. Bersama-sama menghadapi dan menikmati juadah enak makanan tradisi melayu zaman berzaman seperti yang dirasai oleh ibubapa yang lain dihari mulia. Hari kemenangan. Azrisyam beristighfar beberapa kali.

  

               Azrisyam membelok MPVnya di satu simpang kiri menuju ke sebuah dewan. Dilihatnya sudah ramai yang berada di perkarangan dewan tersebut.  Mereka berpakaian baju melayu, yang perempuan lengkap berpakaian baju kurung.  Tua, muda,kecil dan besar. Kelihatan juga kumpulan yang memakai pakaian serba biru dan putih.  Fikirnya mereka itu tentulah dari agensi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan dari Kementerian Kesihatan.  Dilihatnya beberapa orang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga sedang sibuk melayan mangsa banjir kilat.

 

               Setelah bersalaman dan menerangkan tujuan kedatangannya dengan pegawai yang bertanggung jawab menjaga keperluan dan kebajikan mangsa di dewan itu, Azrisyam dan rakan-rakannya menyerahkan beberapa kotak sumbangan dari syarikatnya yang berupa barangan elektrik seperti dapur gas dan periuk nasi elektrik. Terdapat juga makanan kering seperti biskut, gula, kopi, sardin, milo, susu dan kordial.  Beberapa kotak lagi adalah pakaian terpakai dan balang-balang plastik yang dipenuhi kuih raya.  Dia mencatitkan sesuatu ke dalam sebuah buku yang diberikan oleh pegawai berkenaan.

 

               Azrisyam mendekati Mak Lijah yang duduk bersila di satu sudut. Kelihatan Mak Lijah sedang mengurut-ngurut betisnya.  Di hadapannya kelihatan bekas-bekas kuih raya yang sudah tinggal separuh. Anaknya, Khairul masih lena di dalam cubicle yang dipasang oleh kakitangan JKM.  Azrisyam memberi salam dan bertanya khabar.  Mak Lijah sedikit terkejut.  Dia menjawab salam.

 

         “Oh, encik. Sampai juga encik ke mari ya?, encik tak balik kampung ke?”,Tanya Mak Lijah sambil terbatuk-batuk kecil.

 

         “Ya, mak cik. Saya dah balik kampung dah, dua hari lepas saya kembali semula ke pekan ni. Iya lah esok lusa dah start kerja.”

 

         “Anak-anak tak balik ke mak cik?”, Tanya Azrisyam cepat-cepat sebelum orang tua itu lebih dahulu bersuara, bertanya itu ini.

 

         “Alhamdulillah. Tahun ni semua anak cucu mak cik balik. Mereka balik raya kedua dan ketiga.  Tak mengapalah,asalkan semuanya dapat berkumpul, semua dapat berjumpa dah cukup.  Mak cik rasa syukur sangat-sangat.  Bila mereka berkumpul semula, mak cik terbayang  seperti waktu mereka kecil-kecil dahulu.  Makan dan bermain bersama-sama.” Ada cahaya kegembiraan di wajah Mak Lijah.  Azrisyam juga turut gembira.

 

         “Habis tu mana anak cucu mak cik?. Semua dah balik ke bandar semula ke?”

 

         “Anak sulung mak cik dah balik Johor. Anak nombor dua pun dah ikut suami balik Pahang.  Yang masih tinggal si Khalisa.  Dia dan suami pergi ziarah kubur bapa mereka.  Tu cucu-cucu mak cik ada main kat luar tu.”

 

         “Macam mana raya tahun ni mak cik. Raya di dalam dewan”, Tanya Azrisyam sedikit terharu.

 

         “Dah lima hari mak cik kat sini. Bosan rasanya tak boleh nak buatapa-apa.  Tapi seronok juga.  Ramai kawan di sini.  Kami macam satu keluarga besar.  Beraya dan makan di dalam satu rumah yang besar!. Cuma kurang selesa sikit lah sebab tak boleh nak buat macam rumah sendiri”, jawab mak cik Lijah sambil tersenyum lebar.

 

         “Kesian mak cik.  Lepas ni mesti banyak kerja yang nak dibuat.”

 

         “Tak apalah encik.  Dah nasib makcik dan kawan-kawan lain begitu.  Dah ketentuan Allah. Terima ajalah.” Ujar Mak cik Lijah menyambung perbualan sambil menggamit Tompok, kucing kesayangannya.

 

         “Macam mana keadaan rumah mak cik?”

 

         “Malam raya kedua tu hujan lebat sangat. Takut betul mak cik. Guruh petir macam nak pecahkan rumah mak cik. Dapur rumah mak cik tenggelam paras pinggang.  Iyalah tempat tu rendah.  Tak pernah lagi dapur mak cik tenggelam takat tu.  Dulu, lima enam tahun yang lepas, ada juga air naik, tapi paling tinggi pun sekerat buku lali je.”

 

         “Masa bah tu anak-anak mak cik belum balik lagi kan?”

 

         “Iya, mujur mereka semua belum balik lagi.  Mereka balik raya kedua dan ketiga.  Kalau tidak teruk juga mereka nak berangkut pindah ke dewan dengan anak bini masing-masing.

 

               Mujur?, Azrisyam tertanya-tanya sendirian.  Ini bermaksud mak cik Lijah masih tidak mahu menyusahkan anak-anaknya walau dia sendiri dalam keadaan bahaya dan hanya dia dan Khairul yang bertungkus-lumus menyelamatkan diri dan barang-barang mereka dari di tenggelami air malam itu.

 

         “Biasanya banjir kilat ni cepat surutnya.  Ini dah masuk hari ke lima, air tak surut-surut lagi.  Kawasan kami tu dah jadi macam kawah.  Air tak mau keluar.  Habis sebelas buah rumah semuanya terendam,termasuklah rumah mak cik.” Terang mak cik Lijah sayu.  Azrisyam akur, memang sekarang ini pembangunan tanah rancak di mana-mana. Pemantauan tentang pengurusannya kurang diambil peduli oleh pihak yang berkenaan.

 

         “Siapa yang pergi tengok rumah mak cik?”

 

         “Ni, si Khairul ni lah. Pagi tadi baru balik tengok rumah.  Bukan apa, takut juga kalau-kalau rumah dipecah orang.  Lepas tu dia sambung tidur.  Letih katanya.  Dia kata dapur dah senget nak tumbang.  Ialah papan dan tiangnya dah uzur sangat,reput relai dimakan dek anak-anai”, terang Mak cik Lijah sayu. Azrisyam hanya terdiam kelu. 

 

               Tidak berapa lama kemudian mereka didatangi oleh ketua kampung, Pak Andak dan encik Zaimi pegawai kebajikan masyarakat daerah. Mereka menyampaikan berita bahawa pusat pemindahan akan ditutup esok atas arahan pengerusi pengurusan bencana daerah tuan Asraff yang juga merupakan pegawai daerah tempat tinggal mereka.  Sistem perparitan baharu sudah dibina untuk mengalirkan air keluar.  Wajah Mak Lijah bertambah sayu.

 

         “Tok, tuan, saya takut nak balik. Dapur rumah saya dah nak roboh”, ujar Mak Lijah.

 

         “Oh, tak mengapa Mak Lijah, Mak Lijah jangan bimbang, Pegawai daerah dah bersetuju nak baiki mana-mana rumah yang rosak dengan segera.  Semua akan ditanggung oleh kerajaan.  Terang Pak Andak.  En. Zaimi mengangguk-anggukkan kepala.

 

         “Tuan, Tok ketua, bagaimana jika pihak syarikat kami juga turut menyumbangkan sedikit bantuan seperti membaik pulih pendawaian yang rosak dan menyalurkan tenaga staff kami untuk sama-sama bergotong royong membaiki rumah.  Ianya juga adalah satu tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat.  Corporate Social Responsibility kami terhadap mereka yang memerlukan bantuan”, Jelas Azrisyam.

 

         “Wah bagus sangatlah tu!, perkara sebegitu sangat dialu-alukan. Kita sama-sama memikul tanggungjawab bagi membantu masyarakat yang memerlukan”,balas encik Zaimi.

 

         “Awak tahu, encik Azri, kami di pihak JKM pun mempunyai sukarelawan kami yang benar-benar komited mahu membantu golongan susah. Kerja-kerja sukarela mereka ini dipanggil Homehelp.  Mereka mengunjungi warga emas, OKU dan pesakit terlantar ke rumah mereka.  Mereka membantu mengemas dan membersih kawasan rumah, membasuh pakaian, membantu memandikan mereka yang tak upaya, menyuap makan, malah menyisir rambut dan melayan kerenah golongan yang tidak bernasib baik seperti ini.  Mereka hanya dibayar elaun yang tidaklah seberapa mengikut jumlah jam berkhidmat. Tapi mereka bukalah mengejar wang upah. Dijiwa mereka memang ada naluri suka membantu dan saling mengasihani.

 

         “Bila dengar cerita en. Azri dan en. Zaimi ni barulah saya sedar bahawa komuniti setempat yang paling rapat dengan masyarakat seperti kami ini juga perlu turut sama turun padang.  Saya nak menubuhkan satu NGOlah tuan.  Saya nak orang kampung saya yang berminat di dalam kerja-kerja membantu orang susah ni untuk membuat kerja-kerja amal seperti mengunjungi warga emas dan keluarga yang mempunyai anak-anak OKU, membawa mereka ke klinik atau hospital, gotong royong membersih rumah, surau atau tanah perkuburan. Setidak-tidaknya kami dapat memahami masalah mereka.  Ianya dipanggil NGO kampung”, usul Pak Andak.  Mereka semua ketawa.

 

         “Iya, betul tu Pak Andak.  Saya sokong saranan Pak Andak tu. Sekarang ni ramai ibu bapa yang tinggal keseorangan kerana tiada waris atau anak-anak sudah berkeluarga dan berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki. Masing-masing sibuk dengan kerja. Akhirnya keperluan asas dan kesejahteraan hidup warga emas ini terabai. Akhirnya mereka dirujuk ke jabatan kami. Jika apa yang dikatakan oleh Pak Andak itu terjadi, maka berkuranglah masalah pengabaian warga emas dan OKU ini. Kita sama-sama saling membantu antara pihak korporat, NGO, komuniti setempat dan pihak kerajaan.  Ini dipanggil win-win situation”, balas encik Zaimi.

 

               Setelah berbual panjang lebar Pak Andak dan encik Zaimi meminta diri. Azrisyam menghampiri Mak cik Lijah semula yang dari tadi diam membisu.  Dia melihat warga emas itu  agak keletihan.

 

         “Mak cik nak minum. Nanti saya ambilkan.”

 

         “Ambilkan mak cik air masak sudahlah.” Pinta Mak cik Lijah. Azrisyam pergi mengambil sebotol air mineral.  Dia menyerahkannya kepada mak cik Lijah.

 

         “Encik, mak cik nak tanya satu soalan boleh?”

 

         “Ya, apa dia mak cik?”

 

         “Sampai sekarang mak cik masih tak tau mengapa encik minta alamat anak-anak mak cik masa bulan puasa dulu”, Tanya Mak cik Lijah sambil memandang dengan mata yang pudar. Azrisyam terkedu.  Dia merasa serba salah.

 

         “Sebab ni ya?”, tanya Mak Lijah sambil mengeluarkan sesuatu dari beg yang terdampar disisinya.  Dia mengunjukkan tiga keping kad hariraya.  Azrisyam mengangguk-anggukkan kepala.

 

         “Sa...saya minta maaf mak cik”, saya hantar kad tu tanpa kebenaran makcik.”

 

         “Eh, bukan salah encik.  Mak cik yang nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada encik sebab kad inilah anak-anak mak cik balik raya tahun ni. Encik tahu dah empat tahun mereka tak balik beraya bersama mak cik.  Pagi raya kedua tu mereka berlari cari mak cik di dewan ni.  Masing-masing memohon maaf sambil menangis pada mak cik.  Mereka takut tak dapat jumpa mak cik lagi pasal banjir tu”, terang Mak cik Lijah.

 

               Azrisyam amat bersyukur.  Atas usahanya yang kecil, anak-anak Mak Lijah pulang ke kampung halaman.  Dia tidak menyangka sekeping raya kad yang dipos secara diam-diam dapat membantu memulihkan hubungan seorang ibu dengan anak-anaknya. Apa salahnya dia membantu Mak cik Lijah yang suka membantu orang lain? Dia tahu ramai yang sudah melupakannya fungsi kad hari raya kerana sudah ada kemudahan menghantar ucapan dengan cara yang lebih pantas dan efisien. 

 

Moga Mak Lijah hidup sejahtera disamping anakcucu pada masa akan datang

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh