Home Cerpen Keluarga IMAGINASI
IMAGINASI
Pena Putera
28/8/2017 18:05:51
3,804
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

CUACA pagi ini mendung. Aku berjalan penuh resah. Bimbang seandainya hujan akan turun. Kalau dilihat pada langitnya yang gelap, hujan lebat pasti akan turun. Sudahlah payung tidak bersama denganku. Mahu aku dalam kebasahan menuju ke sekolah.


Nasibku baik kerana sewaktu sampai di kelas, barulah hujan turun. Makin lama, makin lebat. Aku ambil peluang untuk mengulang-kaji pelajaran sebelum waktu pemudahbicaraan dan pembelajaran akan bermula sebentar lagi.


“Fayyad, kau dah tahu belum?” Soalan Zahid, rakan sekelasku yang duduk di sebelah mengalihkan fokusku dari menumpukan mata kepada buku.


“Tahu apa?” Aku kurang tahu.


“Tahniah weh. Kau menang pertandingan cerpen itu. Sekarang cikgu tengah cari kau. Dia kata nak jumpa dengan kau.”


“Biar betul?” Seperti ragu-ragu.


“Betul. Nampaknya, minggu depan ada rezekilah kau nak naik pentas waktu perhimpunan. Sekali lagi, tahniah.”


Aku terdiam. Dalam diam, hatiku gembira mendengarnya.


Seperti yang dikatakan Zahid, aku terus berjumpa dengan guru yang menguruskan pertandingan cerpen ini.


“Saya suka dengan cerpen awak, Fayyad. Saya tak sangka, awak ada bakat untuk menulis. Ingatkan belajar di kelas sains, hanya ingat formula ion sahaja,” seloroh Cikgu Hamidi. Tersipu-sipu malu aku jadinya.


“Cerpen awak bukan sahaja menyentuh hati saya. Bila saya serahkan kepada guru lain, ada yang menangis tahu tak? Hebat betul cerita yang awak tulis. Memang awak ada imaginasi yang tinggi.”


Aku memandang kertas-kertas yang berada di atas meja. Hasil nukilanku di situ. Kupandang tajuknya. ‘Dunia Ini Jambatan’.


“Fayyad, boleh saya tahu dari mana awak dapat ilham untuk tulis cerpen ini?”


Aku melihat Cikgu Hamidi.


“Sebenarnya, saya dah lama tulis cerpen ini. Cuma, hanya tersimpan di laci meja saya. Ilham untuk menulis cerpen ini saya dapat dari seseorang yang saya sayang. Dialah inspirasi saya menulis cerpen yang bertemakan kehidupan masyarakat yang mengejar dunia semata-mata.”


“Nampaknya, awak mesti menyayangi orang itu sangat mendalam. Betul tak?”


Aku mengangguk. Tidak akan pernah terdetik di hati ini untuk membencinya.



PULANG dari sekolah, aku terus mandi dan solat zuhur. Kemudian, harus menyelesaikan beberapa kerja rumah. Memasak, mendobi, menjemur, menyapu, mengemop… Apa saja yang seorang suri rumah akan lakukan, aku harus buat.


Lalu, bagaimana dengan ibu?


Bila berbicara tentang ibu, aku sedikit sensitif. Ibuku sudah lama menghadap Ilahi. Ketika itu, aku berusia lima belas tahun. Ternyata, sudah dua tahun ibu meninggalkan aku. Benar-benar sedih dan kesannya sehingga kini.


Aku rindukan belaian ibu. Rindu mendengar suara ibu. Hari-hari aku mengidam senyuman ibu. Walaupun aku lelaki, tidak bermakna aku dilarang untuk menangis. Maka, setiap kali mengenangkan ibu, surah al-Fatihah dikirimkan kepada arwah bersama beberapa titisan air mata.


Ayah pula? Setelah tiga bulan ibu pergi meninggalkan kami, ayah terus berkahwin dengan orang lain. Reaksi aku? Semestinya kecewa kerana tergamaknya ayah mencari ganti tempat ibu yang tidak ada siapa akan sama di tempatnya.


Sudah puas aku dan adik-beradik menentang, namun semuanya sia-sia. Tidak diendahkan, tidak dipedulikan malah tidak dianggap wujud langsung. Sedih, marah… Itulah perasaan aku mengenai perkahwinan baru ayah.


“Buat kerja itu biar cepat sikit! Jangan nak termenung aje!”


Kelam-kabut aku dibuatnya. Hampir sahaja terjatuh batang penyapu dari tangan bila disergah begitu. Ternyata ayah sudah pulang bersama ibu. Kelihatan beberapa beg kertas di tangan ibu menarik perhatianku.


“Abang ini… Janganlah marah. Cuba bawa bersabar sikit,” Mak Cik Anum, ibu tiriku menegur pertuturan ayah. Seolah mahu membelaku. Tapi, tiada sedikit pun rasa terharu di hati.


“Kalau tak ditegur, makin naik lemak jadinya. Aku tak suka orang malas dalam rumah ini,” ujar ayah. Hakikatnya, yang malas dalam rumah ini sekarang, siapa?


“Dahlah itu. Hah, Fayyad… Umi ada belikan kamu baju. Baju adik-adik pun ada sekali. Nanti pakai, ya?” Mak Cik Anum menyerahkan aku satu beg kertas. Aku sambut dengan hati kosong. Berterima kasih pun tidak.


Di tangan ada banyak yang dipegang, namun hulurnya cuma satu. Dasar manusia bertopeng dua. Mahu tunjuk baik, buatlah begini. Ingat aku akan terpedaya dengan helah sebegini?


“Dasar anak tak tahu mengenang budi, orang dah memberi… Ucaplah terima kasih!”


Aku baling penyapu, kemudian berlalu pergi tanpa ambil kesah lagi. Tak kuasa aku mahu mengucapnya.


“Kurang ajar!”


Rambutku ditarik dari belakang lalu tangan kasar ayah melayang ke pipiku membuatkan aku mengaduh kesakitan sehingga terjatuh ke lantai.


“Kau ini, memang menyusahkan aku betullah. Nak berterima kasih pun susah, ke? Nak kena ajar? Dia ini bukannya orang luar, ibu kau juga!” tengking ayah dengan wajahnya yang menyinga. Sedikit pun aku tidak gerun. Malah, sudah muak dengan muka sebegitu.


“Eh, dengar tak apa aku cakap ini? Atau kau pekak? Nak aku korek telinga kau?”


Aku hanya membatukan diri, tidak membalas. Lama membisu, ayah menarik kolar baju aku sehingga aku terpaksa berdiri tanpa rela. Ayah tampak marah amat.


“Kau ini, memang dasar anak tak guna. Mungkin mak kau tak patut lahirkan anak tak guna macam kau ini! Barulah hidup aku aman!”


Aku mula mendidih dalam hati. Pantas aku menolak tubuh ayah. Kemarahan aku memuncak. Mata ayah aku tenung dengan tajam.


“Kau itu yang tak patut kahwin dengan ibu aku! Kalau kau tak kahwin dengan dia, mungkin sekarang ini hidup ibu aku akan jauh lebih baik dari hidup bersama dengan lelaki macam kau. Lelaki tak guna!”


Hampir sahaja tangan ayah mahu melekat lagi di pipiku, aku berjaya menepisnya terlebih dahulu.


“Aku dah lama sabar dengan kau. Sejak ibu mati dan sejak kau kahwin dengan perempuan ini, kau dah tak layak dapat gelaran ayah daripada aku. Bagaimana kau hilang rasa hormat kepada aku sebagai seorang ayah, aku juga hilang hormat pada kau sebagai seorang anak.”


Suasana semakin tegang dan ayah tidak menutur kata.


“Abang, Fayyad… Benda ini boleh bawa bincang. Jangan sampai bergaduh. Fayyad, minta maaf dengan ayah. Bukannya ayah kamu membenci kamu. Percayalah, ayah kamu sayangkan kamu lagi.”


“Kau diamlah, perempuan! Kau ingat kau siapa nak nasihat aku? Sebab kaulah, keluarga ini berantakan. Sebab kau jugalah, semuanya jadi begini. Kau dengar tak?!” Aku menengking Mak Cik Anum.


“Fayyad, umi tak maksudkan macam itu…”


“Sudahlah. Memandangkan kamu dah melampau sangat sekarang ini, mulai hari ini dan detik ini juga, ayah minta kamu pergi dari rumah ini.”


Aku terkedu dengan arahan ayah. “Wow! Ayah halau Fayyad, ke sekarang ini? Kenapa, dah rasa tak sanggup nak jaga seorang anak? Tapi sanggup jaga orang luar daripada darah daging sendiri, kan?”


Ayah diam. Tidak membalas.


“Abang, janganlah macam itu. Kalau abang halau Fayyad, dia nak pergi mana nanti?”


“Biarlah dia. Pandailah dia uruskan hidup dia. Nak hidup ke, nak mati ke… Aku tidak peduli lagi. Aku dah tak nak mahu tahu mulai sekarang.”


Hatiku hancur berkecai. Seperti kaca yang jatuh terhempas mengena pada batu besar. Hati ini juga remuk. Seremuk-remuknya seperti kertas. Tergamaknya insan bernama ayah melakukan ini kepada anaknya?


“Baiklah. Kalau itu apa yang kau minta. Tapi, aku nak kau ingat satu benda… Kau adalah ayah yang paling teruk pernah aku jumpa dalam dunia ini.”


Aku terus mengatur langkah, menjauhi mereka dengan azam yang baharu.



SEBELAS tahun berlalu… Siapa sangka, masa berlalu dengan pantas. Mungkin tak sepantas Usain Bolt, namun terasa sekejap sahaja masa berlalu. Alih-alih, sudah dua puluh lapan tahun usiaku kini.


Kini, aku merupakan seorang lecturer di matrikulasi. Baru setahun mengajar di sini, maka aku masih baru dengan persekitarannya.


Orang kata, baru nak mengenali dunia pengajaran yang penuh cabaran lagi mencabar. Haha… Kalau mengajar tak sakit kepala, bukan cabaran mengajar itu. Melayan karenah pelajar, bukan mudah menanganinya.


Kelebihannya di sini adalah aku mengajar orang yang benar-benar mahu belajar. Itu yang aku kagum dan suka. Baguslah kalau begitu. Sayangnya, masih ada juga yang bermalas-malasan dan bila sudah mahu peperiksaan akhir, barulah nak mengenali apa itu buku.


“Dr. cari saya, ke?” Salah seorang pelajar yang aku ingin berjumpa melapor diri. Aku mengangguk dan tersenyum seraya menyuruhnya duduk. Pelajar itu kelihatan gelisah seolah takut berhadapan dengan aku.


Macamlah aku garang. Padahal, satu kampus tahu aku lecturer paling baik mengalahkan lecturer perempuan. Mungkin, soalan yang bakal ditanya nanti yang membuatkan jantung pelajar di depanku berdegup kencang sehingga mengepam darah terlalu laju.


Take it easy… Saya bukannya nak terkam awak, Jun. Saya panggil awak ini sebab nak tanya awak sesuatu aje.”


“Soalan yang Dr. nak tanya itulah buat saya cuak sekarang.”


“Jadi, awak dah tahu apa saya nak tanya?”


Jun mengeluh perlahan. Jun atau nama sebenarnya Juliana itu adalah perempuan, tapi bagaimana nama panggilan boleh jadi Jun, aku pun tak tahu. Mungkin lebih selesa dipanggil begitu gamaknya.


“Macam inilah. Saya tak boleh nak bagitahu Dr. sebab apa dia hilangkan diri. Tapi, kalau Dr. nak tahu juga, baik Dr. face-to-face dengan dia sendiri. Itu aje yang saya boleh cadangkan sekarang.”


“Saya tak tahu dia di mana. Alamat rumah yang dia daftarkan kepada pihak matrikulasi pun tak sah dah sekarang. Dia pindah ke mana, tiada siapa tahu. Awak mesti tahu kan, Jun?”


Jun mengangguk lemah.


“Saya cuma beritahu Dr. seorang aje pasal ini. Saya akan berikan alamat baru, tapi orang lain tak boleh tahu. Ini rahsia kita aje, Dr.. Janji?”


Aku setuju. Tanpa membuang masa lagi, Jun mencatat sesuatu pada sehelas kertas kecil lalu menghulurkannya kepada aku. Satu alamat tertera di atas kertas itu. Berbekalkan alamat ini, aku harus mencarinya dengan segera.




“SAYANG betul budak begitu kalau dilepaskan macam itu saja. Ada potensi dan masa depan yang cerah kalau digilap dengan baik.” Dr. Aisya merungut. Aku mengirup kopi panas di dalam cawan.


“Tak boleh nak cakap apa. Kita tak tahu apa puncanya dia hilang macam itu dan sekarang kita perlu cari dia. Pasti dia ada sembunyikan sesuatu daripada kita semua.”


“Saya harap, tak adalah sampai masalah besar yang menimpanya. Kalau tidak, sedih saya memikirkannya.”


Aku mula berfikir sendirian. Dunia hari ini benar-benar membimbangkan. Aku risau jika ada apa-apa yang terjadi pada dia. Dia merupakan pelajar harapan matrikulasi. Bila sudah buat perangai begini, semua akan tercari-cari.


Walhal, tidak ada masalah pun sebelum ini tentang dia. Kehadiran pun sentiasa penuh. Tak pernah ponteng, tak pernah lewat… Perfect score!


“Oh ya, hujung bulan ini saya nak kahwin,” beritahu Dr. Aisya. Aku tersenyum, tumpang gembira dengan beritanya.


“Tahniah. Tak lama lagi, Dr. jadi milik oranglah.”


“Haha… Saya dah berpunya, Dr. Fayyad itu… bila lagi?”


Aku tersengih. “Belum sampai masa. Dah datang jodohnya, malam itu juga pergi cari rumah tok kadi.”


“Amboi… Tak apalah, kita doakan ajelah yang baik-baik. Semoga Dr. Fayyad dijumpakan dengan jodoh yang baik-baik. Biar cantik cun-melecun. Baru mata tak ke lain walaupun dah beristeri.”


“Ingat saya suka sangat curang-curang ini?”


Dr. Aisya ketawa.


“Boleh saya tahu, Dr. nak jodoh Dr. nanti macam mana?”


Aku termangu sendirian, memikirkan jawapan untuk soalan tersebut.


“Kalau boleh, biarlah saya nak macam arwah ibu. Orangnya tegas, tapi dalam ketegasan, ada lembutnya. Dia dapat menjadi makmum saya dengan baik. Tahu membezakan yang baik dan buruk. Kalau boleh, bila saya terhuyu-hayang tanpa arah tuju, dia ada untuk memimpin saya ke jalan yang betul semula.”


“Wah, kalau begini ceritanya memang rare la jenis-jenis macam itu. Nak-nak lagi zaman sekarang. Dr. rugi tau sebab saya ada ciri-ciri itu. Melepaslah Dr.”


“Dr. Aisya mengatakan hakikat atau sekadar berseloroh?”


“Saya memang tak pandai menipu, kan?”


Kami sama-sama tergelak. Dalam keriuhan gelak tawa kami, hati ini teringatkan arwah ibu. Rindunya aku kepada dia, Ya Allah.



AKU berdiri tepat di hadapan pintu rumah flat yang berada di tingkat empat ini. Membuatkan aku berada di tingkat paling atas. Sudahlah aku ini gayat, kena pula tempat tinggi seperti ini, menambahkan lagi rasa takut aku. Mulalah kepala terfikir benda bukan-bukan. Macam mana kalau tiba-tiba bangunan ini runtuh?


Tapi, tak mungkinlah. Bangunan ini bukan dibina menggunakan kayu semata-mata. Asas tapaknya juga kukuh. Malah, tidak dibina di lereng bukit. Jadi, peratus nak runtuh itu lebih rendah.


“Assalamualaikum.” Ketukan pintu bertalu-talu bersama salam diberi. Masih menunggu respon. Masuk kali ini, sudah kali ketiga aku memberi salam. Jika tiada balasan juga, memang aku akan balik biar pun dengan hampanya.


“Waalaikumusalam.”


Mujurlah, ada yang menyahut. Bila pintu dikuak terbuka, wajah dia tersembul di sebalik pintu itu.


“Dr.?” Jelas kelihatan terkejut wajahnya melihat kehadiranku di sini.



FARINA NATASYA… Pelajar yang aku maksudkan menghilang dalam tempoh lama tanpa sebarang sebab. Membuatkan aku mengambil keputusan untuk mencari sebab kehilangannya. Apa yang lebih mengejutkan, perutnya sudah membuncit.


Aku tidak mahu bersangka buruk, tapi kembung perut itu bukan disebabkan kegemukan namun satu sebab yang jelas.


“Saya mengandung, Dr.”


Luluh hati ini mendengarnya. Bagaimana semua ini berlaku dan bila mulanya, aku tidak tahu. Hakikatnya, perkara ini sudah berlaku dan benar-benar mengecewakan aku. Farina merupakan pelajar harapan, namun terjebak dalam perkara sebegini.


Ini mengingatkan aku bahawa sebijak mana pun seorang itu, dia tidak akan pernah lari dari kesilapan kerana dia juga manusia. Tak kisahlah minor mistake atau major mistake. Mistake still mistake.


“Apa dah jadi, Farina? Cuba awak cerita pada saya. Kalau saya boleh bantu, saya akan cuba bantu.” Aku cuba berlembut.


“Tak ada apa yang boleh dibantu. Inilah yang perlu saya tanggung. Mengandungkan anak luar nikah ini dan menerima hinaan masyarakat yang akan memandang hina pada saya.”


“Awak jangan rasa down. Tak baik untuk kandungan awak. Sekarang ini, saya nak awak cerita pada saya, apa dah jadi. Ayah budak ini tahu tak pasal kehamilan awak?”


“Dr. mesti ingat saya cuma pernah tidur dengan seorang lelaki aje, kan?”


Aku terkedu. “Maksud awak?”


“Saya jauh lebih murah daripada itu, Dr.” Farina memandang lantai. Sempat kulihat matanya mula berair. “Sudah ramai lelaki yang saya tiduri, Dr.. Bukan seorang. Sampai saya tak tahu siapa bapa kepada anak ini.”


Allah… Sungguh mengejutkan. Tidak terkata lagi aku dibuatnya.


“Keluarga awak macam mana pula? Mereka tahu tak berita ini?:


“Mereka tahu… Dan bila mereka tahu, mereka terus buang saya dari hidup mereka. Anggap saya seolah-olah saya tak pernah wujud dalam hidup mereka.”


“Ibu bapa awak buat macam itu?”


Farina mengangguk. “Kalau ya pun, apa nak dihairankan? Sebelum semua ini berlaku pun, tidak pernah sekali mereka ambil kesah tentang saya. Jadi, mengapa saya harus terasa dengan apa mereka lakukan dengan membuang saya jauh dari mereka?”


“Maksud awak?”


“Dr., hakikatnya saya ini dilahirkan dalam keluarga yang benar-benar menyedihkan. Saya ada ibu dan ayah, tapi mereka tak pernah ada untuk saya. Tidak pernah sekali pun mereka pedulikan saya bila saya demam. Hanya duit yang menjadi kebahagiaan mereka berbanding anak sendiri.”


“Sekarang ini, awak nak buat apa? Macam mana awak nak besarkan anak awak ini?” Aku risau dengan keadaan Farina. Farina memerlukan seseorang di sisi.


“Saya mungkin tak ada keluarga yang bahagia, tapi Allah hantar saya seorang sahabat yang sangat penyayang. Saya bersyukur sebab dia sanggup berkorban untuk saya semata-mata demi persahabatan kami.”


Dalam diam, aku terharu. Pasti Jun yang dimaksudkan Farina itu. Satu kampus tahu Jun dan Farina adalah sahabat yang diumpamakan sebagai adik-beradik. Mereka itu rapat benar. Bagai belangkas. Ke mana saja pasti bersama.


“Awak bertuah sebab ada sahabat sebaik Jun. Hargailah jasa dia.”


Farina tersenyum.


“Sekarang ini, macam mana dengan pengajian awak?”


Farina terdiam sejenak sebelum dia memberanikan diri untuk menjawab soalanku.


“Buat masa ini, biarlah saya fokus untuk membesarkan anak ini. Saya tak nak beri tekanan kepada diri saya dengan belajar. Ada baiknya kalau saya berhenti dan mula mencari kerja.”


“Saya tak dapat nak halang awak, tapi memandangkan ini keputusan awak… Saya terima secara sukarela. Tapi, kalau awak ada memerlukan bantuan, saya boleh tolong.”


“Terima kasih Dr.”


Suasana diam antara kami. Aku meliaukan mata melihat sekeliling. Tiba-tiba, mata terpaku pada satu lukisan yang dilekat pada dinding. Cantik lukisan itu.


“Awak ke yang lukis landskap itu?” soalku melihatkan lukisan landskap air terjun yang berwarna-warni. Seolah luar biasa pemandangan tersebut.


“Saya yang lukis, Dr.”


“Pandai juga awak melukis. Rupa-rupanya, awak ada bakat lain.”


“Bakat inilah saya gunakan untuk meluahkan imaginasi saya, Dr.”


Aku tersentak mendengar perkataan imaginasi itu. Sungguh, itu satu perkataan yang bukan biasa untuk aku, tetapi membawa makna yang luar biasa.


“Memandangkan saya seorang yang berimaginasi, jadi dengan melukislah saya luahkannya. Sekurang-kurangnya, adalah juga hasilnya. Dan melihatnya, saya kagum sebab imaginasi saya ternyata cantik bila dilukis.”


Farina memandangku kemudiannya.


“Dr. suka tak berimaginasi?” tanyanya ingin tahu. Aku sekadar mengukir senyum sebelum menganggukkan kepala untuk soalannya.


“Biar betul? Saya ingat dalam kepala Dr. cuma fikir tentang hukum Newton aje.”


Aku tergelak.


“Tak salah, kan untuk saya berimaginasi? Saya pun manusia juga,” kataku lalu memandang kanak-kanak yang sedang bermain di taman permainan di hadapan sana. Riang mereka bermain.


“Boleh saya tahu, imaginasi Dr. itu macam mana? Dr. pernah tak berimaginasi unicorn ini wujud dekat dunia?”


“Mengarutlah! Bagi saya, imaginasi itu adalah apa yang kita fikirkan dalam fikiran di mana kita tidak dapat mengecapinya di dalam realiti sama ada belum memperolehnya atau mustahil untuk mendapatkannya.”


“Saya setuju pendapat Dr.. Realiti ini kadang-kadang menyakitkan, jadi imaginasilah yang akan menyembuhnya. Andai imaginasi itu boleh jadi realiti, pasti hidup ini akan indah.”


Aku memandang wajah Farina yang mula kelihatan kesal. Seperti menyesal dengan hidupnya. Setelah mendengar kisah hidupnya, aku turut bersimpati. Bukan pinta dia mahu dilahirkan begini.


Melihat Farina, seolah melihat bayanganku di sebalik cermin.


“Farina, ada sesuatu yang saya nak cakap.”


“Apa dia Dr.?”


“Realiti adalah realiti. Imaginasi adalah imaginasi. Tapi, kedua-duanya boleh bertukar. Kalau awak nak imaginasi menjadi realiti, awak perlu berusaha untuk menperolehnya. Cuma, awak kena ingat. Kita hidup di dunia untuk menempuh ujian yang Tuhan berikan. Kerana ujian ini adalah menentukan di mana kita seterusnya.”


“Menentukan kita di mana seterusnya? Maksudnya?”


“Di dunia ini, hanyalah sebagai jambatan ke akhirat. Ujian yang kita lalui ini, seharusnya kita lulus dengan cemerlang. Tempuhi segalanya dengan sebaik mungkin. Kita mungkin jatuh, tapi tak selamanya akan jatuh. Kejatuhan itulah membuatkan kita bangkit. Percayalah, Allah tak akan beri ujian kepada kita tanpa sebab.”


“Sebabnya apa?”


“Sebab Allah masih sayangkan kita. Allah masih beri kita peluang untuk tebus kesalahan kita dan perbaiki diri kita. Allah tak mahu kita terus hanyut. Bukankah Allah itu Maha Penyayang?”


Lama menyepi, Farina mendongak ke langit. Perlahan-lahan, bibirnya menguntum senyuman.



AKU mencapai buku diari di meja kerjaku. Diari usang itu aku usap perlahan. Sudah berhabuk kerana lama tersimpan dan tidak dibuka. Sudah lama aku tidak menulis diari ini. Kali terakhir aku menulis sesuatu di dalamnya ketika di bangku sekolah.


Diari itu dibuka. Aku membaca isinya.


11/6/2006


Ibu masakkan aku ayam masak kicap, lauk kegemaranku. Sedap masakan ibu. Kami sekeluarga makan dengan penuh selera. Macam-macam masakan yang ibu masak malam ini. Aku hampir terlupa, hari ini adalah hari lahirku yang ketujuh-belas. Terima kasih ibu, ayah dan adik-adik yang mengingati hari lahirku.


Mata mula berair. Aku selak halaman seterusnya.


13/6/2006


Ibu batuk-batuk dan demam. Aku risau. Ayah kerja di luar bandar. Aku belikan ibu ubat, tapi demam ibu masih tak surut-surut. Ya Allah, semoga ibu cepat sembuh supaya wajah cerianya akan kembali hidup semula.


15/6/2006


Demam ibu makin melarat. Ayah masih sibuk dengan kerjanya. Sudah kutelefon menyuruh ayah pulang dengan segera. Namun, ayah sebaliknya memarahiku kerana tidak memahami kerjanya. Sebagai anak sulung, aku hanya mampu menjaga ibu dan mendoakan semoga ibu cepat sembuh. Ibu perlukan kami.


17/6/2006


Ibu dimasukkan ke hospital. Aku dan adik-adik menangis. Ketika inilah, baru ayah pulang. Itu pun seperti endah tidak endah dengan keadaan ibu. Bagai biskut. Sekejap ada, sekejap tak ada.


Dan… air mataku mula tumpah membaca halaman seterusnya.


20/6/2006


Ibu sudah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Tiada lagi senyuman ibu.

Tidak lagi kedengaran suara ibu. Tidak lagi terasa belaian ibu. Hanya kenangan yang akan tersemat di hati dan kiriman doa buatnya di sana. Semoga ibu tenang dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman


Aku menangis semahunya. Air mata lelakiku tumpah. Segalanya menerjah semula kotak memoriku. Terlayar semuanya di fikiranku.


Sebuah buku besar aku ambil pula. Inilah buku imaginasiku. Inilah buku yang aku luahkan segala imaginasiku. Dengan menulis. Ibulah yang menjadi juri dan pembaca setia tulisanku.


Aku buka dan baca komen ibu untuk salah satu cerpenku. Cerpen ‘Dunia Ini Jambatan’. Aku pernah kata, ada seseorang yang menjadi inspirasi untuk aku menulis cerpen ini. Dan orang itu adalah ibu.


‘Cerita yang menarik. Semuanya cukup. Ibu yakin, anak ibu boleh jadi penulis yang bagus. Kerana ibu tahu, anak ibu ada imaginasi yang tiada batasnya. Yang mampu mewarnakan dunia ini dalam fikirannya.’


Malam ini, terasa hening.



KETIKA berdiri di hadapan rumah ini, aku terasa sebak. Sudah lama kaki ini tidak menjejak ke sini. Dunia mungkin sudah berubah, namun rumah di sini masih sama seperti dulu. Mungkin ada perubahan sedikit, tapi masih sama di hatiku.


Tubuh seorang lelaki yang turun dari rumah terus memandangku. Aku juga membalas pandangannya. Pandangan kami bersabung. Jantungku hampir berhenti berdegup.


“Abang Fayyad!” jeritnya lalu meluru ke arahku. Dan, kami berpelukan. Mula berdrama air mata. Tak kesahlah lelaki atau perempuan, momen sebegini pasti menyentuh hati.


“Hanif apa khabar sekarang?” tanyaku. Kedua-dua pipinya kupegang. Sudah lama aku berjauhan dengan adik-adikku. Melihat mereka telah membesar kini, aku amat gembira.


“Hanif sihat. Ke mana abang hilang selama ini? Kenapa abang pergi tinggalkan kami?”


Kepergian aku, tidak mereka ketahui kerana sewaktu aku meninggalkan mereka, mereka tiada di rumah. Mungkin mereka tertanya-tanya sehingga ke hari ini. Ayah tidak menjelaskan mengapa aku pergi, ke?


“Abang, janji dengan Hanif. Jangan tinggalkan kami. Kami tak nak rasa kehilangan macam kami hilang ibu. Kami hilang abang dan kami hampir hilang ayah. Abang tahu tak?”


Aku terkejut mendengar pernyataan Hanif.


“Kenapa dengan ayah?”


Hanif menunduk memandang lantai. Dia meraup wajahnya beberapa kali sebelum memandang aku semula.


“Ayah lumpuh, bang.”


Ya Allah, apa lagi dugaan-Mu kali ini?



AYAH terbaring lemah di atas tilam. Kata Hanif, setelah setahun aku menghilangkan diri, ayah dan Mak Cik Anum bercerai kerana Mak Cik Anum ada hubungan sulit dengan lelaki lain. Terus ayah ceraikan. Hakikatnya, Mak Cik Anum tak kesah pun diceraikan cuma dia yang membuatkan dia marah apabila ayah tidak mahu beri sesen pun duit kepada Mak Cik Anum.


Kerana marah, Mak Cik Anum melanggar ayah sehingga lumpuh. Mujurlah, Mak Cik Anum dapat ditangkap dan terus dipenjarakan. Bila sudah bebas, tiada siapa pun mendengar beritanya lagi.


Tidak kuduga begitu jahatnya Mak Cik Anum. Sudahlah merampas ayah ketika ibu berperang dengan nyawanya sendiri. Mengapalah dunia ini perlu ada orang sejahat itu? Mungkin ini adalah salah satu ujian untuk ayah sedar kesilapannya.


“Ayah minta maaf sebab ayah dah banyak buat silap dekat kamu, Fayyad. Ayah buta untuk menilai semuanya. Ayah bodoh kerana buang kamu dari hidup ayah. Ayah menyesal. Maafkan ayah, nak.”


Bukan mudah untuk aku memaafkan. Apa yang ayah lakukan dulu, masih terasa peritnya lagi walaupun hanya berparut di hati dan tidak lagi terluka berdarah.


“Ayah dah dapat balasan. Ayah reda jika ini yang terjadi kepada ayah. Fayyad, ayah tak ada siapa-siapa lagi dalam dunia ini selain anak-anak ayah. Setiap hari ayah berdoa, semoga ayah diketemukan dengan Fayyad sebelum ayah menghembuskan nafas yang terakhir. Ayah bersyukur kerana hari ini doa ayah termakbul.”


Hatiku rapuh. Rapuh serapuhnya. Kesedihan mula menguasai emosi.


“Maafkan ayah, Fayyad.”


Akhirnya, aku memeluk ayah. Tidak dapat lagi membendung rasa sedih yang mula bermaharajalela.



DI padang rumput yang terbentang luas dengan pemandangan yang indah, aku dan ayah serta adik-adik berkelah. Kami bergelak tawa antara satu sama lain. Kelihatan mesra kami ketika ini. Dalam masa yang sama, aku bersyukur kerana aku masih diberi kesempatan untuk berjasa kepada ayah.


Aku membawa ayah berjalan-jalan dengan kerusi rodanya. Bersiar-siar di taman yang luas ini. Semuanya kelihatan indah, seperti aku sedang berimaginasi.


“Ayah masih ingat dulu, ayah pernah bawa arwah ibu bersiar-siar di taman. Masa itu, kami bahagia sangat. Ayah ingat lagi, ketika itulah ibu kamu kata yang dia mengandungkan kamu. Ayah rasa, ayah adalah lelaki paling bahagia ketika itu. Ayah benar-benar gembira.”


Bibirku menguntum senyum.


“Arwah ibu pernah cakap, kalaulah dia lahirkan kamu nanti, dia nak anak dia mewarisi satu bakat dia.”


“Bakat?”


“Kalau kamu nak tahu, ibu kamu itu suka menulis.”


Biar betul? Aku benar-benar terkejut kerana tidak pernah pula aku tahu ibu ada bakat untuk menulis.


“Masa kami bercinta, arwah selalu kirimkan cerita untuk ayah baca. Kami mulanya kawan baik sahaja. Arwah ibu kamu cuma minta pendapat ayah tentang tulisannya. Mungkin, dari situ cinta kami mula berputik. Dari kisah penulis dan juri, mula menjadi erat dan berakhir di jinjang pelamin.”


Unik betul kisah cinta ibu dan ayah dulu.


“Kalau kamu nak baca cerita yang ibu kamu tulis, ayah masih simpannya. Kalau nak baca, minta saja dengan ayah.”


Aku mengangguk kerana pasti aku akan membacanya. Kemudian, aku memandang ke hadapan. Udara segar mula menerpa diri. Terasa nyaman ketika ini.


Dalam samar-samar, aku melihat seseorang dari jauh. Satu wajah manis yang kukenali terlihat di mata ini. Senyumanku melebar.


“Ayah… ibu seorang yang cantik, kan?”


“Fayyad, ibu adalah perempuan paling cantik yang pernah ayah berjumpa. Itulah hakikatnya.”


Wajahnya yang tenang semakin menenangkan. Senyumannya, mengubat kerinduanku.


Ibu… Dia berdiri di sana. Adakah ini realiti atau imaginasi?


Jika ini hanya imaginasi, biarlah aku merasainya. Kerana aku mahu lari dari realiti untuk sebentar demi kebahagiaan sesaat.


Setelah bertahun lamanya, akhirnya aku terasa lebih damai dari sebelumnya. Terasa lebih bahagia. Aku teringat akan sesuatu kata-kata yang mula bermain di fikiranku.


Jika tiada hujan, tiadalah pelangi. Jika tiada derita, tiadalah bahagia.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.