Home Cerpen Keluarga Pak Cik
Pak Cik
Abu Hurairah
18/1/2017 17:38:09
1,633
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Cuaca hari ini agak baik. Dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang memukul lembut wajah Hisham. Hisham melihat jam tangan yang dipakai di tangan kirinya. Waktu sekarang menunjukkan jam 9.00 pagi, bermakna baru setengah jam masa berlalu sepanjang dia berada di klinik kesihatan ini. Hisham meneruskan bacaan novel yang baru dibeli semalam, setelah berehat beberapa saat.


“Lagi sejam siap la tu kot,” bisiknya di dalam hati.


Selang beberapa minit, Hisham meletakkan penanda buku di halaman yang sedang dibaca dan menutup novel itu lalu meletakkannya di pangkal paha. Lehernya terasa kebas. Dengan berhati-hati, Hisham meletupkan tulang leher dengan menoleh ke kiri dan kanan.


Prakkk!! Prakkk!!


Terasa hilang sedikit rasa letih dan lenguh di leher. Hisham menoleh ke arah barisan kerusi yang sedang didudukinya. Tidak ada sesiapa yang mahu berada di ruangan menunggu situ. Mungkin kerana barisan kerusi itu adalah ruangan menunggu untuk klinik terapi gantian metadon. Yang ada hanyalah beberapa lelaki berpakaian selekeh yang sedang beratur menunggu giliran penerimaan ubat gantian mereka. Salah satu inisiatif untuk merawat mereka yang terjebak dengan najis musuh nombor satu negara itu. Hisham menggelengkan kepala terkenangkan nasib mereka. Kononnya di mulut, masyarakat semua berikrar untuk membantu mereka pulih dan sebagainya. Tetapi dalam masa yang sama, mengaplikasikan konsep pemulauan. Diskrimasi. Contoh semudah tidak mendampingi mereka seperti sekarang. Sanggup menjauhkan diri. Ruangan menunggu di sini lengang! Kosong! Walhal ruangan di hadapan sana penuh! Netizen sanggup berdiri menahan lenguh kaki, dari datang dan berjalan kaki cuma 20 meter dan duduk dengan selesanya di sini.


Hisham meneruskan bacaan novelnya.



******************************



Pinnn! Pinnn!


Bunyi hon yang mengejutkan dan membantutkan bacaan Hisham. Dia meninggikan kepala untuk melihat apa yang sedang berlaku. Kelihatan seorang wanita, keluar dari kereta kancil berwarna kelabu dan melangkah dengan hormat menuju ke sebuah van yang menghalang lalu lintas dan sekaligus menghalang laluan keretanya untuk keluar dari parkir.


“Encik..boleh minta tolong alihkan kenderaan sebentar? Saya tak boleh keluar parking. Encik block kereta saya.” Pinta wanita tersebut dalam nada yang bersopan santun.


Lelaki tersebut membuka tingkapnya dan melihat wanita tua tersebut. Kemudian dia menjengok ke dalam klinik beberapa kali sambil melihat wanita tersebut. Selang beberapa saat, barulah lelaki tersebut memberikan respons hambar.


Jap kak. Saya tunggu isteri ambil ubat. Sekejap je. Mak cik duduk dulu dalam kereta.” Jawab lelaki tersebut dalam nada yang serius.


Dan ketika itu jugalah, kelihatan seorang wanita muda berlari-lari anak menuju ke van. Dia memohon maaf kepada wanita tua tersebut. Sebaik sahaja wanita muda itu memasuki van, kelihatan lelaki tersebut, yang diyakini adalah suaminya, terus mememarahi wanita tersebut. Tidak pasti apa yang dimarahinya. Beberapa kali dia menghentak-hentak stereng van melepaskan geram dan terus menekan minyak memecut vannya. Hisham tersenyum sinis melihat senario tersebut, tambahan lagi melihat telatah wanita yang keretanya dihalang oleh van tersebut. Masih tercengang-cengang.


Hisham meneruskan bacaan novelnya.



******************************



Seorang lelaki tiba-tiba menghampiri dan duduk selang satu kerusi di sebelah Hisham. Hidung Hisham terus menangkap bau badan lelaki tersebut yang agak tengik. Dan itu amatlah mengganggu konsentrasinya!


"Fuh! Tengiknya bau ketiak.” Seloroh Hisham di dalam hati.


Hisham memalingkan muka melihatnya, seorang lelaki tua, sebaya ayahnya barangkali, mungkin lebih tua. Wajah lelaki itu kelihatan sedikit comot, dengan tambahan wajahnya yang berminyak. Namun, pemakaiannya kemas, berbaju-T berkolar, berseluar panjang kasual berwarna hiram, dan berkasut coklat gelap. Hisham perhatikan kasutnya sedikit terkoyak di hujung kasut, dibahagian ibu jari kaki. Lelaki itu turut melihat Hisham dan terus menghadiahkan sekuntum senyuman. Hisham membalas senyumannya diiringi dengan anggukan lemah sebagai tanda sapaan.


Hisham cuba untuk meneruskan bacaan novelnya. Akan tetapi dia tidak dapat meneruskan keinginannya itu. Terganggu dengan bau badan lelaki tersebut.


“Mujur hari ni cuaca tak berapa panas kan pak cik?” Cetusan penyataan yang Hisham ajukan kepada lelaki tersebut, memecahkan kebuntuan.


Haaa..yela, harini tak berapa panas. Kalau tidak, fuhh..boleh pecah peluh kita ni! Ha! Ha! Ha!” Jawab lelaki tu dengan nada bergurau. Suaranya kedengaran agak serak basah, bersulamkan nada sengau yang sedikit.


“Datang sini buat apa nak?” Tanya lelaki itu kepada Hisham.


“Ni haa..teman isteri saya, dia buat pregnant check-up. Ada kat depan tu. Saya ni meneman je,” jawabnya.


“Oo yeke. Anak sulung ke?” Tanya lelaki itu lagi.


“Ye pak cik. InsyaAllah. Minta-minta dapat la yang sulung.” Hisham menjawab dengan sedikit keluhan. Mengapa dia mengeluh? Dia risaukan isterinya mengalami keguguran sepertimana yang berlaku sebelum ini.


“Pak cik pulak datang sebab apa ye? Seorang diri je ke?” Hisham mengajukan soalan selepas melihat lelaki itu mengangguk dan kehabisan idea untuk meneruskan perbualan.


"Sorang je..Pak cik datang ambil ubat ni haaa.” Jawabnya sambil mengeluarkan dan menunjukkan kepada Hisham nombor giliran yang diselitkan di celah jari-jemarinya.

Sambungnya lagi, “maklumlah nak, orang dah senja-senja, macam ni lah..cukup masa, datang klinik ambil ubat. Dah tak payah beli beras, dah tak payah makan nasi. Makan ubat dengan lauk ikan goreng pun orang dah tak hairan.”


“Ha! Ha! Ha! Ha! Ha! Ha!”


Mereka berdua berbalas ketawa beberapa ketika.


“Pak cik datang naik apa?” Tanya Hisham lagi.


Tuuu..naik kuda pak cik tu..” Selorohnya lagi sambil menudingkan jari ke arah sebuah motosikal buruk yang diletakkan di penghujung parkir.


Mereka terdiam seketika melayan perasaan. Masing-masing kembali kebuntuan idea untuk meneruskan perbualan. Beberapa detik kemudian, lelaki itu mula memberi sedikit nasihat kepada Hisham. Nasihat sebagai seorang yang bergelar ayah.


“Kamu bila dah ada anak nanti. Didik anak kamu betul-betul. Besarkan dia dengan penuh kasih sayang. Bagai menatang minyak yang penuh. Bagi didikan yang secukupnya. Jangan sesekali abaikan didikan agama. Jangan sesekali melarang kalau dia nak menuntut ilmu ye.”


Hisham menganggukkan kepala tanda memahami petikan nasihat yang diberikan.


Sambungnya lagi. “Pak cik ni dulu orang susah. Kerja pak cik kerja kampung ja. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Semua upah pak cik ambil, dari menebas rumput, mengutip pelepah nipah, sampai lah membaiki atap rumah. Janji dapur rumah berasap.”

"Tapi sesusah mana pun pak cik. Pak cik tak pernah abaikan pelajaran anak-anak pak cik. Pak cik akan usahakan juga dapatkan sumber rezeki janji anak-anak pak cik dapat menuntut ilmu, dapat menjadi insan yang berguna. Bukan jadi macam pak cik. Tak ke mana. Biar pak cik ikat perut 2-3 hari pun tak apa. Janji pak cik dapat bayar yuran pengajian anak-anak”


“Anak-anak pak cik berapa orang?” Hisham memintas percakapannya.


“4 orang. 3 lelaki, seorang perempuan. Yang sulung tu perempuan. Semua dah kerja hebat-hebat sekarang. Bangga pak cik dengan mereka.” Jawabnya.


“Oooooo...” Hisham mengiyakan jawapan lelaki tersebut.


Sambung lelaki itu lagi. “Yang Kak Long tu sekarang jadi pensyarah kolej swasta kat Ipoh sana. Angah pula manjang dok atas langit nuh. Dok bawa kapal terbang. Pilot katakan! Ha! Ha! Ha!”

“Alang tu ja pak cik tak berapa nak faham kerja dia. Dia cakap dok atas laut. Periksa tu la, periksa menatang ni la. Sekali pergi laut, sebulan dua bulan baru nak balik darat. Apa ntah dia cakap kat pak cik haritu. Lupa dah. Cari gali minyak macam tu la.”

“Yang si adik bongsu ni ja kerja ganas sikit. Dia kapten tentera. Sekarang kat Sabah. Dah lama dah dia pi sana. Nak dekat 4 tahun dah. Pak cik pun hairan kenapa dia minat sangat nak jadi askar. Masa belajar, dia cakap hari-hari menghadap komputer, pegang mesin canggih-canggih. Tengok-tengok bila dah kerja kena pegang senapang. Ha! Ha! Ha!” Lelaki itu terus bercerita tanpa henti.


Hisham dapat melihat raut wajah lelaki tersebut yang kelihatan sangat gembira. Wajah yang berminyak dengan kesan peluh itu kelihatan manis sekali dengan senyuman kebanggaan tatkala dia menceritakan betapa gahnya anak-anaknya. Dapat dirasakan jauh di lubuk hati lelaki tersebut, dia amat puas dengan kejayaan anak-anaknya, puas dengan kejayaannya dalam mendidik anak-anak. Walaupun dengan kisah silam yang sangat jerit dan pedih dalam mencari sesuap makanan untuk meneruskan kehidupan. Tiba-tiba hati Hisham terdetik kehairanan, lantas diajukan satu soalan;


“Pak cik tak pandai bawa kereta ke? Lagi selamat kan. Selesa pun ye. Ke memang sebab pak cik suka bawa motosikal? Kalau pak cik memang suka bawa motosikal, pak cik suruh la anak pak cik beli yang jenis scooter, senang sikit nak bawa. Motosikal yang tu saya tengok pun takut. Macam bila-bila masa je boleh pecah berderai. Buruk sangat! Hehehe..” Hisham bertanya lelaki tersebut sambil diiringi ketawa sinis.


Namun, seloka Hisham tidak disahut lelaki tersebut. Lelaki itu kelihatan tersentak seketika. Beberapa saat kemudian barulah lelaki itu kembali mengukirkan senyuman dan membalas pertanyaan Hisham.


“Pak cik boleh ja bawa kereta. Tapi kereta pak cik dah rosak. Kereta lama nak oi. Faham-faham je la.”

“Tapi tak apa, si Angah dah janji haritu masa dia balik kampung beraya 3 tahun lepas, dia nak belikan pak cik kereta baru. Cuma dia tak balik-balik lagi rumah lepas tu. Nanti dia balik nanti dia mesti belikan sebuah untuk pak cik. Hihihi.”

“Dia sibuk. Pak cik faham. Telefon pak cik tanya khabar pun tak pernah. Ye lah. Tengah-tengah bawa kapal terbang mana boleh main telefon ye dok? Ha! Ha! Ha!”


Hisham terkedu seketika. Tapi tatkala Hisham menatap wajah lelaki tersebut, dia kembali yakin dengan janji anak lelaki tersebut. Sedikit kegusaran pun tidak wujud di raut wajah lelaki itu. Masih tersenyum manis dengan harapan. Harapan dengan janji anaknya. Harapan seorang ayah yang tidak pernah luntur dan yakin anaknya itu akan kotakan janjinya.


Hisham kemudian terlihat kesan-kesan parut di tangan lelaki tersebut. Kesan parut yang masih segar. Penuh di sekitar tangannya hinggalah ke pangkal sikunya.


“Kenapa tangan tu pak cik? Jatuh ke?” Soal Hisham.


Ooo ni ke? Tak la..luka-luka sikit je masa pak cik nak mencari daun nipah. Nak cari daun tu gini lah nak. Kalau tak luka..memang amalkan ilmu kebal la tu. Ha! Ha! Ha!” Jawabnya bersulamkan ketawa besar.


Kali ni Hisham tidak merasakan celoteh lelaki itu menghumorkan hatinya. Dia kehairanan. Kenapa lelaki itu masih bekerja keras sekiranya anak-anaknya sudah berjaya?


“Kenapa pak cik kerja lagi? Duduk la kat rumah, kesian kat pak cik. Berehat je la. Pak cik dah uzur.” Tanya Hisham mengumpan jawapan bagi menjawab persoalan yang berlegar-legar di fikirannya.


Ish! Kalau pak cik tak kerja. Pak cik nak makan apa? Mana ada duit nak oi nak beli barang dapur, nak beli beras. Tambah-tambah lagi semua barang dah naik harga pula tu. Kalau pak cik rajin sikit, dapat la makan sedap-sedap, beli ayam ke, ikan pari ke. Tak lalu pak cik nak makan ikan masin dengan ikan sardin dalam tin hari-hari. Hihihihi!”


Jawapan itu menyentap hati Hisham. Hisham amat terkejut dan langsung tidak menjangkakan seorang ayah yang mempunyai anak-anak yang telah berjaya masih perlu bekerja keras demi mencari sesuap nasi.


Lelaki tua itu terus menyambung percakapannya, kali ni dengan senyuman yang lebih girang dengan harapan.


“Pak cik sekarang tengah pulun himpun duit nak bagi besar sikit rumah. Rumah pak cik sempit sangat. Kalau rumah besar sikit, baru la selesa. Bagi anak-anak selesa sikit bila diorang nak balik beraya nanti. Ni rumah sempit, panas pula tu. Nanti dah cukup duit pak cik nak pasang air-cond. Kesian kat cucu-cucu pak cik. Kalau pak cik jadi diorang pun. Pak cik sendiri pun tak nak balik bermalam kalau rumah sempit dan tak selesa macam rumah pak cik sekarang. Hehehehe..”

"Rumah dah selesa, sejuk pula tu, baru la mereka semua nak balik rumah pak cik kan?"

"Tapi lambat sikit la kot nak besarkan rumah tu. Pak cik baru dapat kumpulkan beberapa ratus je duitnya. Hehehehe...”


Tatkala Hisham mendengar sambungan kata-kata yang keluar dari mulut lelaki itu, hatinya tersentap. Ya Allah! Mulianya pemikiran lelaki ini. Langsung tidak berprasangka buruk terhadap durhaka anak-anaknya. Ketika itu, Hisham betul-betul geram. Darahnya mendidih kemarahan. Mahu saja dia pergi bersemuka dengan kesemua anak-anak lelaki tua itu dan melepaskan geram dengan kejahilan mereka. Tergamak mereka membiarkan ayah mereka terkontang-kanting di sini. Tidakkah mereka tahu sekujur tubuh yang berada di sebelah Hisham ini adalah insan yang telah bermati-matian membesarkan mereka?? Insan yang telah mencurahkan sepenuh kasih sayang dalam mendidik mereka?? Insan yang sanggup mengorbankan maruah dan nyawanya asalkan mereka berjaya??


Tiba-tiba hati Hisham kembali sayu melihat raut wajah manis lelaki tua itu. Lelaki itu masih tersenyum riang dengan harapan palsu. Hisham perhatikan lagi wajah lelaki itu sekali lagi. Sedalam-dalam yang mungkin. Dilihat matanya, kerut di tepi matanya jelas kelihatan. Anak matanya masih bersinar-sinar. Ya Allah! Langsung tiada sesalan kelihatan. Hebatnya insan yang bergelar Ayah ini.


Dan ketika itu jugalah, Hisham terdengar panggilan isterinya yang memanggilnya. Urusan pemeriksaan kandungan isterinya telah selesai. Hisham lantas memohon untuk mengundurkan diri daripada lelaki tersebut. Ketika bersalaman, dapat Hisham rasakan tangannya sangat kasar, menandakan betapa kerasnya dia membanting tulang dari dulu hingga sekarang. Tatkala itu, Hisham tidak dapat menahan sebak. Matanya mula berkaca dengan air mata. Hisham terus beredar pergi, khuatir lelaki itu menyedari genangan air mata Hisham.


Setelah Hisham menghidupkan enjin kereta dan mengenakan tali pinggang keselamatan. Kelibat lelaki tua itu kelihatan di penjuru parkir, sedang memimpin motosikal buruknya. Dia memakai helmet lusuh berwarna biru. Kelihatan lelaki tersebut bersusah payah menghidupkan enjin motosikalnya. Sekali lagi Hisham sebak.


“Abang...kenapa ni? kenapa abang menangis ni?” tanya isteri Hisham kehairanan.


“Tak ada apa sayang, nanti abang ceritakan,” jawapan yang Hisham berikan setelah mengesat air matanya.


Hisham terus mencapai telefon bimbitnya, dan terus menghantar mesej pesanan ringkas, bertanyakan khabar kepada ibu dan bapanya di dalam kumpulan keluarga menggunakan aplikasi whatsapp.



-TAMAT-



*Nota:

Penulis menyeru semua pembaca budiman untuk terus menghubungi ibubapa kalian hatta semudah menghantar mesej pesanan ringkas bertanyakan khabar, sementara mereka masih bernyawa. Indahnya jika kita dapat menggembirakan hati mereka walau sekecil mana pun kegembiraan itu. Dan bagi yang telah kehilangan mereka, ketahuilah amalan kalian dapat menggembirakan roh mereka. Segala yang baik itu datangya dari Maha-Pencipta, dan segala yang buruk itu datang daripada diri saya sendiri.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Abu Hurairah